19 Januari 2026

Krisis Kebankrapan Rakyat Malaysia 2025 : Realiti Dan Harapan

Di sebalik angka kebankrapan yang dibentangkan di dalam Program Literasi Kewangan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (“MdI”) baru-baru ini, kita perlu mengakui bahawa ada individu dan keluarga yang bekerja dengan masa depan yang teruji.

Sehingga Disember 2025, fakta menunjukkan bahawa lebih 100,000 rakyat Malaysia telah diisytiharkan bankrap. Daripada jumlah ini, Selangor merekodkan kes kebangkrapan tertinggi (hampir 20,000 kes), mengatasi negeri-negeri lain termasuk Johor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang. Ini adalah satu isyarat jelas tekanan kewangan yang semakin menekan rakyat di bandar dan pinggir bandar.

19 November 2025

Belanjawan Selangor 2026 : Rakyat Terbeban, Kerajaan Terus Beretorik

Ketika rakyat Selangor bergelut setiap hari dengan harga barang yang melambung, pendapatan yang tidak mencukupi dan tekanan hidup yang semakin menghimpit, Belanjawan Selangor 2026 yang dibentangkan baru-baru ini sebenarnya menonjolkan jurang ketara antara retorik kerajaan dan realiti rakyat.

Sama ada kita sedari ataupun tidak, Selangor kini merekodkan inflasi 1.8%, lebih tinggi daripada purata kebangsaan, dengan kenaikan harga makanan, minyak masak, sayur, ikan serta perkhidmatan harian yang semakin mahal sehingga ada kategori barangan meningkat hampir 50%. Cukai Jualan & Perkhidmatan (“SST”) dengan kadar 5–10% pula terus memburukkan harga barangan bukan keperluan asas. Ironinya, Kerajaan Selangor tidak membentangkan sebarang pelan konkrit untuk menurunkan harga atau meningkatkan kemampuan rakyat menghadapi lonjakan kos sara hidup.

15 November 2025

Belanjawan Selangor 2026 : Antara Pelaburan Mega Dan Keperluan Rakyat

Belanjawan Selangor 2026 dibentangkan dengan lenggok bahasa sastera, teori ekonomi Barat dan analogi hutan seolah-olah ia sebuah karya falsafah, bukannya dokumen fiskal yang sepatutnya menjawab keresahan rakyat. Kerajaan Selangor menonjolkan angka yang kelihatan gah seperti rizab negeri yang kini mencecah RM4.8 bilion, namun persoalan asas yang tidak dijawab ialah: apakah manfaat angka tersebut kepada rakyat yang masih bergelut membayar sewa rumah, menanggung kos makanan yang meningkat serta berdepan pasaran kerja yang tidak stabil? Sekiranya rizab terus meningkat tetapi rakyat terus menanggung tekanan hidup, maka itu bukan kemajuan, itu hanyalah pencitraan politik yang cuba menutup ketidakefektifan dasar.

Belanjawan Selangor 2026 juga memperlihatkan defisit RM430 juta, walaupun Kerajaan Selangor mendakwa kedudukan kewangan kukuh dan perbelanjaan berhemah. Rakyat melihat situasi ini sebagai kegagalan Kerajaan Selangor menyusun keutamaan fiskal secara telus dan bertanggungjawab. Defisit sebegini menggambarkan kecenderungan Kerajaan Selangor berbelanja secara populis, meluluskan projek mega tanpa menimbang kemampuan sebenar dan mengabaikan impak jangka panjang kepada kedudukan fiskal negeri. Tidak salah rasanya jika Kerajaan Selangor mengalihkan 10 hingga 15 peratus perbelanjaan pembangunan yang kini banyak tertumpu kepada projek-projek berskala besar kepada program peningkatan pendapatan isi rumah, subsidi pengangkutan serta bantuan perumahan rakyat, langkah yang jauh lebih bermakna dan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

27 Oktober 2025

Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia-AS : Untung Siapa Sebenarnya?

Ada sebilangan rakyat kita kagum dengan ‘seni diplomasi’ pemimpin negara (dan budaya tarian) yang dipersembahkan kepada Presiden Amerika Syarikat (“AS”), Donald J. Trump baru-baru ini. Hakikatnya, perjanjian perdagangan dua hala yang ditandatangani antara Malaysia dan AS pada 26 Oktober 2025 boleh mencetuskan kebimbangan besar di kalangan rakyat.

Walaupun kerajaan Malaysia menyatakan bahawa perjanjian ini akan membuka peluang pelaburan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, perjanjian ini juga dilihat lebih banyak menguntungkan AS. Ia bukan sekadar satu perjanjian perdagangan biasa, tetapi satu bentuk pengikatan dasar yang boleh melemahkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

20 Oktober 2025

Antara Diplomasi Dan Dominasi : Menilai Implikasi Ekonomi Lawatan Trump Ke ASEAN

Sebahagian daripada masyarakat Malaysia melihat kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 akan membawa manfaat ekonomi kepada Malaysia dan rantau ASEAN. Biarpun ia adalah kerana mandat diplomasi yang diamanahkan kepada negara kita atas tanggungjawab kepengerusian, perkara ini wajar dinilai dengan berhati-hati dan bukan diterima bulat-bulat.

Biarpun Trump merupakan Presiden Amerika Syarikat dan tokoh berpengaruh dunia, rekod dasar dan pendekatannya terhadap perdagangan antarabangsa menunjukkan kecenderungan kepada perlindungan kepentingan ekonomi Amerika terlebih dahulu. Oleh itu, kehadirannya lebih berpotensi membawa risiko ekonomi dan tekanan geopolitik daripada manfaat sebenar kepada Malaysia dan ASEAN.

17 Oktober 2025

Di Sebalik Kestabilan Kewangan: Cabaran Ekonomi Yang Dihadapi Rakyat Malaysia

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (“BNM”) telah mengeluarkan laporan “Financial Stability Review First Half 2025” bagi tujuan penilaian terhadap kedudukan kewangan negara dalam tempoh separuh Tahun 2025. Tidak dinafikan, ada berberapa kesan positif kepada rakyat apabila sistem kewangan negara kita kekal kukuh dengan nisbah modal dan kecairan yang tinggi, memastikan akses pinjaman stabil walaupun keadaan global tidak menentu. Langkah-langkah bagi memperkukuh dasar keselamatan siber dan anti-penipuan dilihat mampu meningkatkan perlindungan pengguna kewangan itu sendiri.

Walau bagaimanapun, kesan negatif tetap ada kepada rakyat walaupun tidak bersifat menyeluruh. Beberapa dasar dan perkembangan ekonomi ini sebahagiannya berpotensi memberikan tekanan kewangan dan kos sara hidup kepada kumpulan tertentu dalam masyarakat.

16 Oktober 2025

"Negara Bertakwa Membawa Berkat" - Sokongan Penuh Ucapan Perbahasan Belanjawan 2026 Presiden PAS

Ucapan YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (“TGHH”) dalam perbahasan Belanjawan 2026 bukan sekadar satu ucapan politik, tetapi satu peringatan besar tentang asas sebenar kekuatan negara: keimanan, ketakwaan dan keadilan dalam pemerintahan.

Firman Allah SWT jelas menunjukkan, apabila rakyat dan pemimpin beriman dan bertakwa, Allah akan melimpahkan berkat dari langit dan bumi. Inilah mesej utama TGHH bahawa pembangunan negara bukan semata-mata soal angka dalam belanjawan, tetapi soal berkat dan kejujuran dalam mengurus amanah.

11 Oktober 2025

Belanjawan Malaysia 2026 : Belanja Besar Dengan Kekaburan Hala Tuju ?

Belanjawan 2026 yang dibentangkan kerajaan dilihat megah dengan jumlah peruntukan RM470 bilion, antara tertinggi dalam sejarah negara. Ia digambarkan sebagai pelan besar untuk memperkukuh daya tahan ekonomi dan memperluas kebajikan rakyat.

Namun, dari sudut pandang yang lain, yang berkemungkinan kerana hampir dengan Pilihan Raya Negeri Sabah atau Pilihan Raya Umum Ke-16 yang dijangka berlaku pada tahun hadapan, belanjawan ini memang dijangka bersifat ‘kosmetik politik’ berbanding penyelesaian menyeluruh terhadap masalah struktur ekonomi. Soalan pokoknya ialah: sejauh manakah perbelanjaan besar ini benar-benar akan meringankan beban rakyat, merapatkan jurang ketidaksamarataan dan memperkukuh ekonomi domestik?

11 Jun 2025

Isteri Di Balik Tabir Perjuangan

Isteri saya bukanlah jenis yang gemar ke depan. Senyumannya biasa, langkahnya sederhana. Lebih sebulan yang lalu, namanya ada disebut dalam satu majlis yang cukup besar ertinya sempena Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Pandan.

Saya menulis ini bukan untuk meninggikan, tetapi untuk menghargai. Jika ada yang sudi mengambil hikmah, saya berkongsi ini dengan penuh rendah hati.

Kerana pada saya — perkahwinan bukan insurans untuk gerak kerja dalam jamaah Islam PAS. Ia adalah vitamin. Ia menyegar, tetapi tidak menjamin.

06 Jun 2025

PETRONAS Potong 10% Tenaga Kerja : Tanda Awal Kepada Krisis Lebih Besar ?

Rancangan pengurangan pekerja yang melibatkan lebih 5,000 kakitangan Petroliam Nasional Berhad (“Petronas”), bersamaan dengan 10% daripada jumlah tenaga kerja syarikat, memberi kesan yang signifikan kepada ekonomi negara. Sebagai syarikat minyak dan gas nasional, langkah ini bukan sahaja memberi kesan langsung kepada mereka yang terlibat, tetapi turut mencerminkan tekanan yang dihadapi sektor tenaga secara keseluruhan akibat kejatuhan keuntungan.

Pertama, dari segi pasaran buruh, rancangan pengurangan pekerja ini akan meningkatkan kadar pengangguran, terutamanya dalam kalangan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Pekerja yang terlibat akan bersaing dengan graduan baharu dan pencari kerja sedia ada, mewujudkan tekanan tambahan ke atas pasaran pekerjaan, khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan pengurusan projek. Kedua, kehilangan pendapatan oleh ribuan isi rumah akan mengurangkan kuasa beli dan menjejaskan perbelanjaan pengguna. Ini boleh memberi kesan limpahan kepada sektor lain seperti runcit, perkhidmatan dan perumahan. Vendor, kontraktor dan pembekal yang bergantung kepada projek dan bajet operasi Petronas juga mungkin terjejas secara langsung.

Dari sudut fiskal, penurunan keuntungan Petronas bermakna sumbangan cukai dan dividen kepada kerajaan akan turut berkurangan. Ini memberi tekanan ke atas kedudukan kewangan kerajaan, yang mungkin perlu menilai semula perbelanjaan pembangunan, subsidi dan inisiatif sosial lain. Tekanan ini boleh mendorong kerajaan untuk mempertimbangkan langkah penjimatan atau meningkatkan pinjaman.

Selain itu, langkah ini boleh menjejaskan sentimen pelabur, terutamanya pelabur asing yang melihat Petronas sebagai tonggak ekonomi Malaysia. Keyakinan terhadap kestabilan ekonomi negara mungkin tergugat, seterusnya memberi kesan kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan pasaran modal. Syarikat minyak dan gas lain juga mungkin mengambil langkah berhati-hati terhadap sebarang pelaburan baru di Malaysia.

Dalam jangka panjang, situasi ini mungkin mempercepatkan transformasi industri minyak dan gas ke arah automasi, digitalisasi, dan penerokaan sumber tenaga boleh diperbaharui. Pekerja yang diberhentikan pula mungkin beralih ke industri lain jika dibantu dengan program latihan semula dan peningkatan kemahiran yang bersesuaian.

Kesimpulannya, walaupun kesan pengurangan pekerja oleh Petronas ini tidak sebesar krisis ekonomi global, impaknya tetap ketara. Ia memberi tekanan kepada pelbagai aspek ekonomi negara, dan memerlukan respons strategik daripada kerajaan serta sektor swasta untuk memastikan kestabilan jangka pendek dan pertumbuhan mampan jangka panjang.

18 Mac 2025

Cerpen: Lahanat !

"LAHANAT!" ~ Itulah kata-kata kesat yang dihamburkan oleh Ali secara terbuka di dalam grup komunikasi santai aplikasi WeChat Tingkatan 5 Melur, membuatkan semua rakan-rakan sekelasnya terkesima apabila Ketua Tingkatan ("KT"), Ahmad, mengajak semua yang berkelapangan untuk hadir ke Majlis Makan Malam Amal Sekolah Menengah Kebangsaan ("SMK") Taman Indah.

Celaan itu rupa-rupanya mem'barah' daripada satu peristiwa yang telah berlaku sebelum itu.

Semuanya bermula apabila Ali yang berjawatan sebagai Penolong Ketua Tingkatan ("PKT") 5 Melur, telah mengadakan program ‘Belanja Makan Nasi Beriani’ peringkat kelas secara semberono sebelum ini, tanpa melalui perbincangan rasmi bersama semua Ahli Jawatankuasa ("AJK") Tingkatan 5 Melur yang lain. Walaupun program itu hanya di peringkat kelas, program itu telah menelan perbelanjaan yang tidak bekeperluan, apatah lagi apabila Ali menggunakan jawatannya sebagai PKT untuk mengajak rakan-rakan sekelas untuk hadir, langsung tidak mengambil kira kedudukan kewangan kelas sedia ada.

07 Januari 2025

Zionis Merosakkan Konsep Madani


Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali (berhubungan dan bermasyarakat)! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
[Surah al-Hujurat: 13]
Berpandu kepada ayat ini, Ibn Khaldun RH menulis dalam al-Muqaddimah yang bermaksud:
“Manusia itu bercirikan masyarakat madani secara tabii (fitrah atau naluri).”
[Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun, Jld. 1 (al-Muqaddimah), Hlm. 54]
Manusia itu wajib bermasyarakat dan bertamadun bagi memenuhi keperluan hidup dan peranannya tanpa mengira bangsa dan agama.

01 Januari 2025

Dosa Sekularisme Lebih Besar Daripada Fitnah Dan Membunuh


Teori sekularisme yang memisahkan urusan kehidupan manusia daripada agama ialah ciptaan manusia dalam kalangan ahli falsafah bukan Islam, termasuk dalam syirik akbar yang menentang aqidah tauhid yang diperjuangkan oleh semua anbiya’. ‘Syirik Akbar’ ialah dosa yang tidak diampunkan oleh Allah dan ditutup pintu taubatnya selagi amalan syirik itu tidak dibatalkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya, Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampunkan segala dosa yang selain (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar. Adakah kamu tidak memerhatikan orang yang menganggap diri mereka bersih? Sebenarnya, Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mereka tidak dizalimi sedikit pun. Perhatikanlah, betapa mereka mengada-adakan pendustaan terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang nyata (bagi mereka).”
[Surah al-Nisa’: 48–50]

27 Ogos 2024

Bebanan Hutang Dan Persahabatan

Ada satu kisah yang berlaku kepada salah seorang klien saya, Ahmad (bukan nama sebenar) di mana ia boleh menjadi pengajaran kepada kita semua. Antara kesilapan Ahmad adalah mempercayai persahabatan, tetapi tidak menilai kesannya di masa hadapan. Ahmad tidak sedar bahawa beliau telah terjerat dengan satu masalah yang agak besar, iaitu menanggung hutang orang lain.

Bila bercerita tentang menanggung hutang orang lain, mungkin ramai di antara kita merasakan bahawa Ahmad telah menjadi penjamin kepada pinjaman seseorang. Apa yang berlaku kepada Ahmad, boleh jadi ia lebih baik atau lebih buruk daripada itu. Dikatakan lebih baik kerana Ahmad boleh menuntut hak yang sepatutnya dia perolehi, dikatakan lebih buruk pula adalah kerana Ahmad terpaksa menanggung pinjaman yang tidak ada keperluan padanya. Akhirnya, kesannya sama atau hampir sama seperti seorang penjamin hutang, kerana Ahmad dikira menanggung hutang orang lain sekiranya hutang tersebut bermasalah. Itu tidak sepatutnya berlaku dalam hidup Ahmad.

25 November 2023

Fon Telinga Nirwayar AirPods Pro 2 (2nd Generation) : Kini Semakin Popular Merentas Masa

Artikel asal oleh : Effi Saharudin (Amanz Media)

Pergi ke YouTube sekarang dan tonton video-video temuramah atas talian yang dilakukan dengan selebriti popular, penganalisa politik atau ahli politik yang dijemput untuk menyampaikan isu semasa. Dalam 80% situasi, anda pasti dapat melihat fon telinga putih dengan tangkai panjang pada telinga mereka.

Boleh dirumuskan pandemik Covid-19 adalah iklan percuma terbaik untuk Apple AirPods seperti mana ahli sukan popular menjadi duta percuma untuk Beats By Dre semasa sukan Olimpik Beijing 2008. Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan AirPods popularitinya pasti membingungkan. Apa yang kerap kami dengar ialah AirPods menjual gaya dan bukannya kualiti audio sama seperti Beats by Dre.

01 Oktober 2023

Menangani Masalah Kerosakan Komunikasi Dengan Berkesan

Seorang sahabat saya pernah menceritakan tentang perihal majikannya yang agak tegas tidak bertempat dalam perkara-perkara remeh.

Sebagai contoh, seluruh rakan sekerjanya (bukan sekadar dirinya) telah dilemparkan dengan kata-kata yang sangat kesat melalui Whatsapp Group akibat kegagalannya memahami persetujuan majikannya untuk hadir ke mesyuarat yang telah ditetapkan. Dalam masa yang sama, komitmen beliau terhadap peraturan pejabat sebelum ini telah menyebabkan salah faham terhadap arahan majikan secara langsung, sekaligus membangkitkan kemarahan majikannya melalui berberapa siri perjumpaan. Akhirnya, beliau rasa tertekan dan produktiviti kerja beliau sedikit terjejas.

Menyelesaikan isu kerosakan komunikasi (communication breakdown) adalah penting dalam hubungan peribadi atau profesional. Apabila orang ramai bergelut untuk memahami satu sama lain atau mengalami kesukaran untuk menyampaikan fikiran dan perasaan mereka, ia boleh menyebabkan salah faham, konflik dan penurunan produktiviti.

10 September 2023

Jam Pintar Apple Watch Series 8 : Jam Tangan Pintar Terbaik Berprestasi Lancar

Artikel asal oleh : Fahim Zahar (Amanz Media)

Sebagai seorang yang mula menggunakan peranti boleh pakai dengan Mi Band dan beralih ke jam-jam Wear OS, pada awalnya saya sukar untuk percaya dakwaan orang ramai yang Apple Watch adalah jam tangan pintar terbaik di pasaran. Ini dakwaan yang sama dengan tablet, di mana iPad adalah yang terbaik.

Dakwaan ini terbukti apabila saya mula menggunakan Apple Watch Series 3, tukar ke Series 4 dan terus melompat ke Series 7 pada tahun 2021. Selepas menggunakannya untuk beberapa bulan yang lalu dan ia dibawa ketika menunaikan ibadah umrah. Apabila Apple Watch Series 8 tiba ke makmal Amanz, saya ingin melihat apakah perbezaannya jika ada atau lebih baik berhijrah terus ke Apple Watch Ultra?

01 September 2023

Telefon Pintar Apple iPhone 14 Pro Max : Adakah Masih Elok Apabila Lubang Menggantikan Takuk ?

Artikel asal oleh : Effi Saharudin (Amanz Media)

Ramalan mengenai penggunaan kamera bawah skrin pada iPhone 14 Pro Max tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pada kedua-dua model iPhone 14 Pro tahun ini, takuk besar yang wujud sejak iPhone X telah digantikan dengan Dynamic Island yang mengintegrasikan lubang besar di bahagian skrin dengan pelbagai sistem notifikasi peranti.

Tetapi adakah pengenalan Dynamic Island, pemproses yang lebih berkuasa dan kamera utama dengan sensor lebih besar akan dapat menjadikan iPhone 14 Pro Max peranti perlu dibeli untuk tahun 2022? Ini adalah pandang pertama Amanz untuk iPhone 14 Pro Max.

24 Disember 2022

Selesaikan Dahulu Isu Monopoli Dan Kartel, Bukan Sekadar Menasihati Rakyat 'Pilih Kedai'

Dalam teori ekonomi, keseimbangan pasaran berlaku apabila kuantiti permintaan berpadanan dengan kuantiti yang ditawarkan pada suatu tingkat harga yang tertentu. Kadangkala, lebihan permintaan juga boleh berlaku apabila kuantiti yang ditawarkan tidak mencukupi, dan begitu jugalah sebaliknya. Ketidakseimbangan pasaran inilah yang akan mempengaruhi harga sesebuah barangan.

Dalam hal ini, YB Rafizi Ramli (selaku Menteri Ekonomi) telah memberi cadangan kepada rakyat agar menjauhi peniaga yang menjual barangan mereka dengan harga yang dirasakan terlalu tinggi daripada harga yang dikenakan oleh peniaga-peniaga lain. Dengan itu, secara teorinya, faktor permintaan yang berkurangan (akibat harga yang terlalu tinggi itu) akan menekan peniaga tersebut menurunkan harga jualannya.

Hakikatnya, gangguan terhadap keseimbangan pasaran berlaku apabila isu monopoli dan kartel tidak ditangani oleh Kerajaan Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (Kerajaan PH-BN) secara serius. Kerajaan PH-BN perlu menyatakan pendirian mereka dan bertindak segera terhadap permasalahan ini, tidak 'memilih bulu' dalam isu monopoli dan tidak memberi solusi 'lepas tangan' atas alasan kesedaran rakyat sebagai pengguna. Sebagai contoh, sekiranya peniaga atau kumpulan peniaga tertentu sahaja yang menguasai pasaran, apakah pilihan yang ada bagi rakyat (sebagai pengguna) untuk memilih barangan yang lebih murah?

Selain itu, Kerajaan PH-BN perlu menyedari bahawa sistem kapitalisme yang telah diamalkan oleh golongan kaya menyukarkan masyarakat untuk melaksanakan sesuatu kewajaran secara drastik bagi menyelesaikan isu ketidakseimbangan pasaran. Sudah pasti rakyat yang miskin terpaksa memilih barang yang murah dengan kualiti yang tidak memberangsangkan, yang kaya terus diberi peluang untuk memilih barang yang lebih baik dan berkualiti, tanpa perlu membuat perbandingan harga sesuatu barangan. Impaknya, harga tinggi yang dikenakan tidak memberi tekanan kepada peniaga sebagaimana cadangan yang diutarakan oleh YB Menteri pada waktu ini.

Sekiranya masih tiada campur tangan serius daripada Kerajaan PH-BN dalam permasalahan ini kerana (mungkin) masih belum ada lagi 'formula-formula' yang sesuai, ketahuilah bahawa rakyat Malaysia pada hari ini sedang 'menyukat' tempoh umur Kerajaan PH-BN yang selayaknya dalam mentadbir negara Malaysia dalam usaha membangunkan ekonomi yang mampan.

02 Disember 2022

Kerajaan Perpaduan Atau Kerajaan Campuran ?

Pakatan Harapan (PH) pada hari ini telah memperbodohkan rakyat dengan penggunaan istilah 'Kerajaan Perpaduan' (Unity Government).

Hakikatnya, sebuah Kerajaan Perpaduan perlu dianggotai oleh semua parti politik yang menyokong atau yang tidak sehaluan, yang kebiasaannya dicadangkan apabila sebuah kerajaan majoriti tidak dapat dibentuk oleh mana-mana gabungan parti-parti politik yang menang dalam suatu Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri.

Ini bertepatan dengan saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tempoh lalu dalam menyelesaikan isu pelantikan Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh (PM Ke-10) dan pembentukan Kerajaan Persekutuan. Saranan ini semestinya bukanlah suatu campur tangan dari pihak Istana ke atas sistem politik negara, tetapi sekadar satu pandangan pada hemat baginda YDPA bagi menyelesaikan kemelut yang timbul. Tidak timbul juga isu bahawa Kerajaan Perpaduan ini harus diikuti oleh semua parti politik yang menang di dalam PRU yang lepas kerana ia juga bukanlah suatu titah yang diwartakan.

Walau bagaimanapun, saranan ini telah berubah apabila Barisan Nasional (BN), melalui Pengerusinya (yang juga merupakan Presiden UMNO) telah mengkhianati mandat ahli-ahlinya sendiri apabila menyatakan sokongan kepada PH bagi membentuk Kerajaan Persekutuan. Laungan "No Anwar, No DAP" dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu rupa-rupanya sekadar kata-kata dusta yang dijanjikan oleh pemimpin yang mereka percayai mampu membawa parti mereka ke arah yang lebih baik.

Oleh sebab itu, Kerajaan Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 ini sebenarnya adalah sebuah 'Kerajaan Campuran' (Grand Coaliation Government) yang terdiri daripada PH, BN dan beberapa parti pro-kerajaan, bukan Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang diuar-uarkan di media massa.

PAS dan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh ini akan membarisi perwakilan pembangkang di Dewan Rakyat bagi memainkan peranan 'semak dan imbang'. Pendirian ini diambil atas mandat pengundi yang telah memilih PN dalam PRU Ke-15 yang lepas, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip panduan PN BEST: iaitu menjadi pemimpin negara yang #PrihatiN, #BErsih dan #STabil.

Dalam masa yang sama, PAS (dan PN) juga sentiasa bersedia untuk menggantikan UMNO (dan BN) pada hari ini bagi memperjuangkan hak rakyat Malaysia, terutamanya nasib umat Islam dan bangsa Melayu (tanpa menafikan hak bangsa-bangsa lain), serta beriltizam untuk membentuk sebuah negara #MalaysiaSejahtera yang makmur dan harmoni.