Ada satu kisah yang berlaku kepada salah seorang klien saya, Ahmad (bukan nama sebenar) di mana ia boleh menjadi pengajaran kepada kita semua. Antara kesilapan Ahmad adalah mempercayai persahabatan, tetapi tidak menilai kesannya di masa hadapan. Ahmad tidak sedar bahawa beliau telah terjerat dengan satu masalah yang agak besar, iaitu menanggung hutang orang lain.
Bila bercerita tentang menanggung hutang orang lain, mungkin ramai di antara kita merasakan bahawa Ahmad telah menjadi penjamin kepada pinjaman seseorang. Apa yang berlaku kepada Ahmad, boleh jadi ia lebih baik atau lebih buruk daripada itu. Dikatakan lebih baik kerana Ahmad boleh menuntut hak yang sepatutnya dia perolehi, dikatakan lebih buruk pula adalah kerana Ahmad terpaksa menanggung pinjaman yang tidak ada keperluan padanya. Akhirnya, kesannya sama atau hampir sama seperti seorang penjamin hutang, kerana Ahmad dikira menanggung hutang orang lain sekiranya hutang tersebut bermasalah. Itu tidak sepatutnya berlaku dalam hidup Ahmad.
Semuanya bermula pada 8 November 2019, apabila Ahmad bersetuju untuk membeli sebuah kenderaan Multi-purpose Vehicle ('MPV') jenama tempatan daripada rakan baiknya, Ali (bukan nama sebenar).
Pada ketika itu, Ali telah mengiklankan penjualan sebuah kenderaan MPV dalam media sosialnya secara "sambung bayar". Kebetulan pula kenderaan MPV tersebut rupa-rupanya adalah kepunyaan Ali. Ali dikenali sebagai seorang yang mahir dalam pengurusan kenderaan, terutamanya dari sudut prestasi dan penampilan. Semua kenderaan milik Ali dijaga dengan baik. Sekiranya Ahmad membelinya, sudah pasti harga ansuran bulanan yang perlu dibayar oleh Ahmad jauh lebih murah daripada harga ansuran bulanan sebuah kereta baharu. Keluarga Ahmad agak ramai, mempunyai 6 orang anak. Sebelum ini, beliau hanya menaiki sebuah kereta kecil dan usia kenderaannya itu melebihi tempoh 9 tahun.
BELI KENDERAAN SECARA "SAMBUNG BAYAR" : KESAN DAN AKIBAT
Pembelian kenderaan secara “sambung bayar” ini sebenarnya bertentangan dengan undang-undang di Malaysia. Walau bagaimanapun, penjualan kenderaan secara “sambung bayar” ini amat popular bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan yang sah, tetapi mempunyai kuasa membeli. Selain itu, pembelian kereta secara “sambung bayar” ini juga popular bagi mereka yang telah diisytihar muflis, tetapi masih mempunyai kemampuan untuk membayar ansuran bulanan bagi sesebuah kenderaan yang dibeli.
Di antara kesan dan akibat membeli kenderaan secara “sambung bayar” ini adalah seperti berikut:
Risiko penjual
- Risiko penggunaan kereta untuk kegiatan jenayah;
- Risiko saman;
- Risiko tanggungan hutang (ansuran tidak berbayar) - menjejaskan profil kredit;
- Risiko ketidakpastian pemilikan kunci kenderaan semasa; dan
- Tidak boleh mensabitkan pembeli sebagai pencuri kerana pemberian sukarela (Seksyen 378, Kanun Keseksaan).
Risiko pembeli
- Waris pemilik asal kenderaan membuat tuntutan pusaka;
- Ketidakpastian pindah milik setelah hutang selesai dibayar;
- Ketidakbolehan menjual kenderaan kepada orang lain;
- Ketidakbolehan tuntutan insuran;
- Risiko dituduh kereta curi;
- Ketiadaabsahan perjanjian bertulis kerana bank adalah pemilik sewa beli yang sebenar (Seksyen 38, Akta Sewa Beli 1967); dan
- Tidak dilindungi Undang-Undang kerana klausa Perjanjian Sewa Beli tidak membenarkan.
Bagi Ahmad, dia bukanlah orang yang tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan atau seseorang yang telah diisytiharkan sebagai muflis, tetapi lebih kepada melihat kenderaan MPV yang dijual oleh Ali masih lagi cantik. Harga ansuran yang akan dibayar juga mungkin lebih murah kerana hanya perlu "sambung bayar". Apatah lagi apabila risiko "sambung bayar" ini kebiasaannya bukan kepada pembeli, tetapi lebih kepada penjual. Agak mustahil untuk Ali tidak mempercayai Ahmad, sedangkan mereka ini umpama adik-beradik kerana agak rapat. Oleh itu, minat Ahmad kepada kereta MPV itu hampir kesampaian, apatah lagi dijual oleh rakan karibnya sendiri.
DEPOSIT SEBAGAI KEUNTUNGAN PENJUAL?
Di dalam iklan penjualan kenderaan tersebut, Ahmad dimaklumkan oleh Ali bahawa deposit sebanyak RM5,000 perlu dibayar kepadanya sebagai tanda persetujuan pembelian. Ahmad bersetuju dengan syarat tersebut, dengan anggapan bahawa beliau akan membayar ansuran sebanyak 7 bulan lebih (RM700 sebulan) lebih awal sebagai pendahuluan.
“Eh, bukan macam tu, you salah faham ni...”, kata Ali.
Ahmad kehairanan. Sepanjang pengalamannya di dalam bidang kewangan, istilah deposit merujuk kepada bayaran pendahuluan yang perlu dibayar dan akan dikira sebagai belanja pada masa hadapan atau bayaran yang akan dipulangkan semula setelah tamat perjanjian.
Rupa-rupanya, deposit yang dimaksudkan adalah “keuntungan” kepada Ali, bukan pendahuluan yang biasa difahami. Mujurlah Ahmad sedar, sebenarnya beliau akan membeli kenderaan tersebut bukan dengan harga yang lebih murah, tetapi lebih mahal, iaitu hampir RM60,000!
"Eh, biar betul Ali!", terkejut Ahmad.
KELUAR DARI 'PERANGKAP'
Ahmad tidak bersetuju dengan Ali. Atas nasihat isterinya, Ahmad telah menulis sebuah penyataan jual beli (umpama perjanjian) bagi memenuhi akad sebelum menerima pembelian kenderaan tersebut. Pada awalnya, Ali tidak bersetuju. Oleh kerana itu, Ahmad sedia membatalkan pembelian akibat tidak mendapat persetujuan tersebut. Setelah Ali berfikir panjang (dan dilihat Ali seolah-olah terdesak), Ali bersetuju dengan Ahmad. Namun, Ahmad tidak berkesempatan mendapatkan persetujuan bertulis dengan Ali, melainkan melalui e-mel yang telah dituliskan oleh beliau dan dihantar kepada Ali sebagai bukti perbincangan dan beliau dengan Ali di masa hadapan. Paling tidak pun, sekiranya ada apa-apa yang berlaku, ia akan jadi bukti pada isteri-isteri masing-masing dalam tuntutan harta (sekiranya dipersoalkan) atau sebagai bukti penyempurnaan akad hutang antara dirinya dan Ali di hadapan Allah Ta’ala semasa akhirat nanti.
Untuk awal ini, Ahmad mengira bahawa perkara ini tidak mengapa, kerana Ali juga bukan sesiapa, tetapi seorang rakan karibnya di kampus dahulu yang sangat boleh dipercayai (dan rupanya Ahmad telah silap!)
UMPAMA “PERIUK API MASA HADAPAN”
Selepas Ahmad memiliki kenderaan tersebut, Ali dilihat tidak berpuas hati. Ali berhari-hari mencari cara bagaimana untuk mendapatkan wang yang boleh dipinjam daripada rakan-rakannya yang ada. Jumlahnya bukannya kecil, mendapatkan nilai RM50,000 dalam tempoh yang singkat bukanlah sesuatu yang mudah. Ali juga tahu, Ahmad mahir dalam perniagaan dan terlibat sebagai pelanggan bagi syarikat yang dimiliki oleh Ali dan berberapa rakan-rakan yang lain. Ali cuba memujuk Ahmad untuk meminjamkan sedikit wang syarikat untuk sementara, tetapi sudah pastinya Ahmad tidak akan bersetuju dengan alasan, amaun tersebut akan digunakan untuk bayaran kos operasi syarikat pada masa terdekat. Ketika Ahmad menceritakan keadaan ini, saya mempertikai tindakan Ali yang cuba mengganggu syarikat Ahmad adalah suatu yang bertentangan dengan undang-undang di Malaysia, tetapi Ahmad memaklumkan kepada saya bahawa tindakan pengabaian terhadap apa yang dilakukan oleh Ali tidaklah semudah yang disangka. Saya mengangguk tanda faham (walaupun sebenarnya agak hairan).
Sepanjang tempoh itu, Ali dilihat seolah-olah mencari cara bagi mendesak beliau membantunya dengan memberi persepsi kurang enak ke atas tata kelola Syarikat yang diuruskan oleh Ahmad. Ahmad sedikit rimas dengan desakan tersebut kerana persepsi itu memberi kesan kepada pembekal dan pemiutang syarikat.
Hinggalah pada 15 November 2019 (dan mungkin sebenarnya Ahmad telah terkena), Ali memohon jasa baik Ahmad untuk menggunakan namanya bagi pembelian sebuah kenderaan mewah bernilai RM130,000. Pada masa ini jugalah, Ahmad telah “terpijak periuk api” tersebut dengan bersetuju atas niat membantu. (dan pada hari ini, Ahmad sendiri mengakui bahawa inilah tindakan yang paling bodoh yang pernah dilakukan oleh beliau!)
"PERIUK API" HAMPIR MELETUP
Nama Ahmad kini telah “diberi pinjam” kepada Ali untuk sebuah kereta mewah. Sehingga pada 31 Mei 2023, Ali telah membayar kenderaan mewah tersebut dalam bulan yang sama walaupun agak lewat dari tarikh yang sepatutnya dibayar. Oleh kerana disiplin pembayaran Ali yang tidak menentu dan bagi memastikan profil kredit Ahmad dalam keadaan yang baik, Ahmad kebiasaanya akan membuat pembayaran ke bank terlebih dahulu, kemudian barulah Ahmad menerima pembayaran daripada Ali.
Tetapi kali ini, Ahmad tiba-tiba tidak menerima sebarang bayaran daripada Ali sehingga 26 Ogos 2023 (dan itu pun dibuat secara kontra hutang dengan ansuran kereta MPV yang diguna pakai oleh Ahmad). Apatah lagi apabila terdengar desas-desus bahawa Ali kini ditimpa masalah bebanan hutang yang agak serius, perkara ini sekaligus menimbulkan kegusaran kepada Ahmad. Kerisauan beliau rupanya ada asasnya: Ahmad terpaksa membayar hutang kereta mewah tersebut selama 11 bulan selepas bayaran terakhir yang beliau terima daripada Ali pada 26 Oktober 2023 (dan itu juga adalah dibuat secara kontra hutang!).
Dalam waktu ini, saya mengingatkan Ahmad dengan satu Firman Allah Ta’ala, yang bermaksud:
"Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak)."(Surah al-Baqarah, ayat 280)
Atas ibrah Firman Allah Ta’ala itu, saya mencadangkan kepada Ahmad untuk mengambil satu keputusan, iaitu: membayar hutang kereta mewah tersebut sehingga jumlahnya sama dengan ansuran yang sepatutnya Ahmad perlu bayar bagi kereta MPV-nya kerana kereta tersebut atas nama Ahmad, manakala Ali pula perlu membayar hutang kereta MPV yang sedang diguna pakai oleh Ahmad kerana itu tanggungjawabnya dalam memastikan kenderaan tersebut tidak akan ditarik oleh pihak Bank.
"PERIUK API" MELEDAK !
Pada 26 Ogos 2024, sewaktu Ahmad ingin mengajak saya untuk makan tengah hari, kereta MPV-nya telah “hilang”. Ketika ini, saya kelu tanpa bicara, apa yang dijangka telah berlaku betul-betul sehari selepas ulang tahun kelahirannya ke-47. Kereta MPV-nya telah ditarik kerana hutang ansuran yang telah tertunggak selama 4 bulan. Pada ketika ini, Ahmad kelihatan sugul dan beliau tidak mempunyai apa-apa yang diharapkan melainkan membiarkan ia berlaku.
Setelah disahkan oleh berberapa peniaga gerai berhampiran tempat letak kereta bahawa kereta MPV-nya telah ditunda, saya meminta Ahmad bersabar. Ahmad seorang yang hebat, sempat lagi menunjukkan teks mesej beliau kepada Ali melalui Whatsapp:
“Salam. Biasanya, kereta kena tarik simpan kat mana, I nak ambil barang I dalam kereta you yang I tak sempat ambil.”
Ini mesej Ahmad pada Ali dalam keadaannya agak sibuk dengan kerja-kerja di pejabat. Ahmad tenangkan hati, redha dengan apa yang telah ditentukan Allah Ta’ala untuk hari itu. Kereta yang berjasa hampir 5tahun telah pergi tanpa rela. Kata Ahmad, di “badan” kereta MPV itu ada Pemain Android berjenama, “Dashboard Camera” dan Kamera 360 Darjah yang diminati beliau, begitu juga di “kaki” kereta itu dengan Sport Rim tayar yang elegan.
Berikutan dengan apa yang berlaku, saya terus mencadangkan kepada Ahmad agar terus menuntut haknya untuk memiliki kereta mewah yang dibeli atas namanya.
Alhamdulillah, kereta itu sampai ke tangan Ahmad pada 29 Ogos 2024, tetapi dalam keadaan yang cukup menyayat hati.
Kereta tanpa insuran, enjin yang bermasalah dan tayar yang botak. Sekurang-kurangnya, kos peyelenggaraan yang perlu Ahmad lakukan adalah hampir RM20,000 bagi memastikan ia boleh digunakan semula dengan baik.
KESIMPULAN
KESIMPULAN
Inilah cerita tentang Ahmad. Sebenarnya, kisah ini panjang dan tragis. Cerita tentang klien saya ini (yang telah saya anggap sebagai seorang abang) sedikit sebanyak memberi makna tentang bahaya hutang dan penilaian persahabatan.
Saya berharap perkara yang berlaku kepada Ahmad menjadi satu pengajaran buat diri saya dan keluarga. Tujuan coretan ini bukan untuk memalukan sesiapa, tetapi sekadar memperingatkan diri bahawa hutang itu adalah penyakit, bukan sesuatu yang menyeronokkan.
Akhir kata, jauhilah hutang dan amalkanlah doa yang diajar oleh Nabi S.A.W agar kita sentiasa dijauhkan diri daripada hutang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan