07 Mac 2016

07 Mac 1974 : PAS Setuju Sertai BN Kerana Tidak Terikat Sebagai Satu Pertubuhan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1974, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju menerima Perlembagaan BN dan bersetuju PAS menyertai gabungan parti-parti tersebut setelah berjaya meletakkan PAS sebagai parti yang tidak terikat dengan BN. Menurut Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda, BN bukannya sebuah 'pertubuhan' yang mengikat parti-parti anggotanya, sebaliknya ia adalah sebuah 'gabungan' berbentuk konfederasi di mana setiap parti anggotanya adalah bebas dan mempunyai identiti tersendiri.

Isu keterikatan PAS kepada rakan gabungan telah menjadi topik utama dalam penetapan hukum ketika pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1972. Kemudian, apabila BN dicadangkan dalam mesyuarat antara parti-parti yang menganggotai Kerajaan Campuran pada 17 Januari 1974, PAS telah bersetuju secara umum untuk menyertai kerjasama ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1974, tetapi tidak bersetuju dengan apa-apa syarat yang mengikat PAS, lebih-lebih lagi apabila Perlembagaan BN menyebut kerjasama BN ini sebagai 'pertubuhan' yang bermaksud semua parti meleburkan diri ke dalam BN.

Dewan Ulamak PAS Pusat yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 27 Januari 1974 telah menetapkan hukum harus PAS bekerjasama dengan BN dengan syarat ia tidak menghilangkan identiti PAS sebagai sebuah parti politik Islam. Pada 13 Februari 1974, Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS bersetuju supaya PAS meminda draf Perlembagaan BN dengan menukar istilah 'pertubuhan' kepada ' gabungan' untuk membolehkan PAS menyertai BN sebagai sebuah parti yang beridentiti sendiri dan tidak melebur dalam BN.

Pendirian Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 7 Mac 1974 ini membolehkan penyertaan PAS dalam Pilihan Raya Umum 1974 atas nama BN tanpa mengikat PAS secara mutlak. Tindakan PAS menyertai BN pada 1 Jun 1974 kemudiannya telah mendapat pengesahan dari Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-20 pada 13-15 Jun 1974 kerana ketidakterikatan PAS dengan BN, dan sekali gus membolehkan PAS menyertai Pilihan Raya Umum pada 24 Ogos 1974 atas nama BN dan menggunakan simbol Dacing.

Kerana sifat PAS yang tidak terikat dengan BN dan memiliki identiti sendiri ini, semua calon PAS berkewajipan memberi walak dan ketaatan kepada PAS, bukannya kepada BN. Pendirian PAS ini boleh dilihat dalam beberapa kes:

I. Pemecatan Dato' Mohamed Nasir pada 10 Oktober 1977 antara lain kerana Menteri Besar Kelantan itu menganggap dirinya Menteri Besar BN, bukannya Menteri Besar PAS sehingga beliau tidak mengikut arahan PAS;
II. PAS mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Dato' Mohamed Nasir di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977 kerana Menteri Besar itu tidak mentaati arahan PAS, sebaliknya mengikut telunjuk Umno;
III. PAS mengarahkan semua wakil rakyatnya meletakkan jawatan dari kerajaan pada 6 November 1977 kerana PAS menentang Rang Undang-undang Darurat Kelantan 1977 yang dikemukakan oleh Kerajaan BN;
IV. Keahlian Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, Datuk Hassan Adli Mohd Arshad telah terlucut pada 8 November 1977 kerana menyokong Rang Undang-undang Darurat Kelantan 1977; dan
V. PAS membawa kerusi-kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum 1974 atas nama BN menjadi kerusi PAS atas sifatnya yang tidak terikat dengan gabungan ini pada 13 Disember 1977.

Semua tindakan PAS ini tidak dianggap sebagai pengkhianatan PAS terhadap BN, kerana penyertaan PAS dalam BN adalah atas sifatnya yang tidak terikat, sebaliknya menjadi anggota gabungan yang bebas dan beridentiti sendiri.

06 Mac 2016

06 Mac 1978 : PAS Kelantan Keluarkan Manifesto Hadapi Pilihanraya Negeri

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1978, PAS Kelantan telah mengeluarkan manifesto bertajuk 'Undilah Bulan Purnama untuk Menjamin Kedaulatan Agama, Bangsa dan Negara' bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri yang diadakan pada 11 Mac 1978. Pilihan Raya Negeri ini diadakan berasingan pada 1978 ekoran krisis kepemimpinan Kerajaan Kelantan yang membawa kepada perisytiharan darurat pada 8 November 1977. Penamaan darurat pada 12 Februari 1978 telah diikuti oleh pembubaran DUN dan pebetapan tarikh pembuangan undi.

Keadaan dalaman PAS sedang berkrisis ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri ini kerana Dato' Mohamed Nasir, Menteri Besar Kelantan telah menubuhkan Berjasa bersama pengikutnya setelah beliau disingkirkan dari PAS. Kumpulan Dato' Mohamed Nasir pada mulanya menubuhkan Parti Progresif Islam (PPI) pada 25 September 1977, tetapi menukar namanya kepada Barisan Jamaah Islamiyah Malaysia (Berjasa) setelah ia bergabung dengan satu lagi serpihan PAS iaitu parti Ikatan Muslim Insaf Malaysia (IMAM). Ekoran tindakan Dato' Mohamed Nasir mengkhianati PAS, beliau dikenakan undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977, lalu mengakibatkan perpecahan besar dalam PAS khususnya di Kelantan.

Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ini, PAS Kelantan telah mengeluarkan satu manifesto sebagai tawaran kepada Rakyat Kelantan jika mereka mengekalkan PAS sebagai kerajaan. Manifesto ini mempunyai pengenalan yang menjelaskan tentang krisis politik Kelantan yang berlaku akibat sabotaj pihak ketiga ketika PAS berada dalam BN yang berakhir dengan darurat. PAS menganggap krisis ini sebagai "sendiwara politik yang amat ketara.".

Manifesto PAS Kelantan yang dikeluarkan pada 6 Mac 1978 ini mengandungi janji-janji PAS tentang lima perkara iaitu politik, pentadbiran, agama, kewangan dan pembangunan ekonomi. PAS telah menawarkan satu sistem politik berasaskan Islam dalam konteks federalisme di Malaysia, di samping mengekalkan pentadbiran cekap dengan dasar yang adil. Dalam konteks agama, PAS menawarkan pengenalan pentadbiran agama, perluasan tabligh dan dakwah, menaikkan taraf YPTIK kepada sebuah universiti Islam dan memajukan sekolah-sekolah agama. Dari sudut kewangan dan ekonomi, PAS menawarkan perbelanjaan berhemat dan penubuhan perbadanan-perbadanan untuk Memajukan ekonomi negeri.

05 Mac 2016

05 Mac 1976 : PAS Dapat Tambahan Kerusi Dalam Rombakan Kabinet Era Tun Hussein Onn

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1976, PAS telah mendapat tambahan kerusi menteri dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn yang dibentuk ekoran kematian Tun Abdul Razak Hussein pada 14 Januari 1976. Tambahan jawatan menteri ini adalah kenaikan pangkat Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dari Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan.

Selepas kematian Tun Abdul Razak Hussein, PAS telah mengambil pendirian pada 15 Januari 1976 supaya PAS dapat meningkatkan peranannya dalam kerajaan dengan lebih positif, di mana PAS menuntut tambahan jawatan dalam kabinet termasuk diwujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua yang akan diisi oleh PAS, tambahan satu jawatan Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen serta kenaikan pangkat seorang Setiausaha Parlimen kepada Timbalan Menteri. PAS juga menuntut supaya jawatan Menteri Pertahanan diserahkan kepada PAS, selain mengekalkan Kementerian Tanah dan Galian dan Tugas-tugas Khas yang dipegang oleh Dato' Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS.

Dalam pembentukan kabinet pertama selepas menyertai BN pada 1 Januari 1973, PAS diberikan jawatan Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas (Dato' Mohd Asri), Timbalan Perusahaan Utama (Ustaz Haji Yusof Rawa) selain Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (Ustaz Abu Bakar Hamzah). Selepas Pilihan Raya Umum 1974, PAS diberikan tambahan jawatan dalam kabinet dengan seorang Menteri, dua orang Timbalan Menteri dan seorang Setiausaha Parlimen. Mereka yang menjawat jawatan-jawatan ini ialah Dato' Mohd Asri (Menteri Tanah dan Galian dan Tugas-tugas Khas), Dato' Ustaz Hassan Adli (Timbalan Menteri Buruh), Dato' Abu Bakar Umar (Timbalan Menteri Kesihatan) dan Cikgu Mustafa Ali (Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian).

Hasil desakan PAS ini, rombakan kabinet pasca Tun Razak yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn pada 5 Mac 1976 telah melantik dua orang Menteri dari PAS iaitu Dato' Mohd Asri (Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah) dan Dato' Ustaz Hassan Adli (Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan), seorang Timbalan Menteri iaitu Dato' Abu Bakar Umar (Timbalan Menteri Kesihatan) serta dua orang Setiausaha Parlimen iaitu Cikgu Mustafa Ali (Kementerian Perdagangan dan Perindustrian) dan Zahari Awang (Kementerian Luar Negeri). Zahari Awang kemudiannya ditukarkan ke Kementerian Perumahan dan Kemajuan Perkampungan dalam rombakan kabinet pada 14 April 1977, selain kenaikan pangkat Cikgu Mustafa Ali sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar serta perlantikan Ustaz Abdul Wahab Yunus sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan.

04 Mac 2016

04 Mac 2002 : PAS Anjur Makan Malam Cari Dana Bantu Wakil Rakyat DAP Yang Digantung Parlimen

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2002, PAS Kelantan telah menganjurkan satu Majlis Makan Malam Membantu Ahli Parlimen Batu Gajah untuk membantu wakil rakyat DAP yang telah digantung keahlian oleh Dewan Rakyat pada 12 Disember 2001. Majlis makan malam ini bertujuan mengumpul dana untuk membantu Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan yang telah digantung tanpa elaun selama enam bulan kerana mengkritik Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail.

PAS telah mengadakan beberapa siri majlis pengumpulan dana untuk membantu ahli parlimen tersebut bermula dengan Majlis Jamuan Teh anjuran PAS Kawasan Ampang pada 2 Februari 2002, sebelum majlis makan malam di Kota Bharu ini. Majlis ini diadakan di Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu dengan kerjasama PAS Kota Bharu dan dihadiri oleh beberapa pemimpin PAS seperti Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS dan Haji Anuar Tan Abdullah, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Turut hadir ialah wakil DAP, Lim Kit Siang dan Fong Po Kuan, manakala PKN diwakili oleh Ahli Parlimen Peringat, Ustaz Mohamad Mustafa.

Isu ini tercetus ekoran tindakan Ahli Parlimen Batu Gajah itu mengkritik Yang Dipertua Dewan Rakyat yang kemudiannya menyebabkan satu usul tindakan tatatertib dikemukakan untuk menggantung keangotaan beliau selama enam bulan tanpa elaun. Usul ini dikatakan tidak mengikut Peraturan Dewan Rakyat kerana tidak mencukupi tempoh tujuh hari, tetapi ia dibenarkan oleh Tun Mohamad Zahir untuk dibentang, dan ia tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat terlebih dahulu. Keadaan ini menyebabkan Ahli Parlimen Batu Gajah itu dianggap teraniaya.

Apa yang menarik dalam isu ini ialah tindakan PAS menganjurkan program-program untuk mengutip dana bagi membantu dan membela ahli parlimen DAP sehingga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan bahawa tindakan ini dibuat atas semangat mempertahankan keadilan dan kemanusiaan. Walhal sebelum ini, DAP merupakan sekutu PAS dalam Barisan Alternatif (BA) yang telah memutuskan hubungan dengan PAS dan keluar dari BA sejak 22 September 2001 kerana isu negara Islam. PAS sebaliknya mengambil sikap politik matang dengan tidak memusuhi ahli-ahli DAP, walaupun DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS. Penganjuran Majlis Makan Malam yang turut dihadiri oleh Mursyidul Am PAS pada 4 Mac 2002 ini adalah untuk membantu ahli DAP yang digantung selama enam bulan tanpa elaun di Parlimen tanpa menghiraukan status hubungan kedua-dua parti.

03 Mac 2016

03 Mac 1967 : Akta Bahasa Kebangsaan Lulus Dengan Bangkangan PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1967, Dewan Rakyat telah meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dengan bangkangan kuat daripada PAS. PAS sejak awal tidak bersetuju dengan akta ini kerana kegagalan Umno menunaikan janji mereka untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Akta Bahasa Kebangsaan 1967 telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Februari 1967 oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dengan tujuan untuk memantapkan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan setelah genap 10 tahun mencapai kemerdekaan. Akta ini akan berkuat kuasa mulai 1 September 1967.

Walau bagaimanapun, PAS telah menyifatkan akta ini sebagai memungkiri janji Tunku Abdul Rahman Putra dalam Mesyuarat Agung Umno pada 4 Jun 1955 yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka. Tunku Abdul Rahman telah berjanji supaya semua urusan rasmi dalam pentadbiran dan pendidikan akan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya setelah 10 tahun bahasa Inggeris turut digunakan dalam pentadbiran.

PAS telah mengkritik akta 11 fasal ini tentang:

1. Kebenaran untuk kerajaan menggunakan bahasa kaum-kaum lain dalam urusan rasmi;
2. Kebenaran untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam apa-apa urusan rasmi yang difikirkan patut;
3. Kebenaran untuk bahasa Inggeris digunakan di Parlimen dan DUN;
4. Kebenaran penggunaan bahasa Inggeris dalam teks undang-undang;
5. Kebenaran untuk undang-undang bertulis sebelum 1 September 1967 menggunakan bahasa Inggeris;
6. Kebenaran menggunakan bahasa Inggeris di mahkamah;
7. Akta hanya berkuat kuasa di Semenanjung sahaja, tidak di Sabah dan Sarawak; dan
8. Menukarkan tulisan Jawi dengan tulisan Rumi.

Dengan kelonggaran akta ini, pada pandangan PAS, Tunku Abdul Rahman adalah seorang pemimpin yang terlalu tunduk kepada desakan orang bukan Melayu. Ketika membahaskan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 pada 2 Mac 1967, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah menyifatkan tindakan Kerajaan Perikatan ini sebagai "tambahan dosa dan jenayah politik Umno terhadap bangsa Melayu". Sebelum ini, Umno menuduh PAS sebagai pengkhianat negara kerana isu Konfrantasi Indonesia, tetapi kini PAS mengembalikan paku buah keras kepada Umno. Ucapan Dato' Mohd Asri di Parlimen ini diterbitkan dengan tajuk 'Rakyat Menggugat.'.

Walaupun akta ini ditentang hebat oleh PAS, pada 3 Mac 1967, ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat untuk digabungkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963, yang menyebabkan PAS pada 6 Ogos 1967 telah mengemukakan usul di Parlimen melalui Ustaz Abu Bakar Hamzah untuk menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa bagi Malaysia. Kesan terbesar akta ini ialah terhapusnya tulisan Jawi dari sistem pendidikan negara.

02 Mac 2016

02 Mac 1980 : Muktamar Khas PAS Kerana Membantah Kezaliman BN

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1980, PAS telah mengadakan Muktamar Khas bagi memberi tekanan terhadap Kerajaan BN ekoran kezaliman yang berterusan dilakukan ke atas rakyat. Secara khusus, Muktamar Khas ini diadakan setelah berlakunya isu kenaikan harga padi di Kedah pada akhir 1979 yang membawa kepada peristiwa demonstrasi padi pada 19 Januari 1980 sehingga Alor Setar dikenakan perintah berkurung.

Kesan dari peristiwa demonstrasi isu padi ini, pada 23 Januari 1980, 14 orang ahli PAS telah ditahan ISA termasuk Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Abdul Halim Arshat, Setiausaha PAS Padang Terap, Ustaz Osman Marzuki dan Setiausaha Kerja PAS Kedah, Solahuddin Mansur. Pada masa yang sama, tekanan berterusan dikenakan oleh Kerajaan BN terhadap PAS, termasuklah isu kafir-mengkafir dan percubaan Umno mengharamkan perkataan "Islam" pada nama PAS. PAS pula bertindak balas dengan menuduh Umno sebagai "penipu agama," "penyeru asobiyah" dan "penganut sekular.".

Dewan Harian PAS Pusat yang mengkaji kesan tekanan Umno ini terutama penahanan 14 ahlinya di bawah ISA dan isu padi, pada 10 Februari 1980 telah memutuskan supaya satu Muktamar Khas PAS untuk "memperkuatkan tekanan kepada Kerajaan BN supaya membebaskan 14 tahanan ISA," dan "memperluaskan penyebaran maklumat tentang kezaliman Kerajaan BN." PAS menyifatkan tindakan keras Kerajaan BN ke atas PAS ini kerana ketakutan mereka terhadap kebangkitan Islam terutama selepas Revolusi Iran pada 1979.

Dalam Ucapan Dasar Muktamar Khas ini, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah mempertegaskan bahawa peralihan abad Islam dengan memasuki abad ke-15 pada 1980 (1400H), telah menjadi permulaan kurun kebangkitan Islam. Beliau menyeru supaya PAS menggerakkan pendekatan baru yang berbeza dalam dakwahnya, selain terpaksa mendepani cabaran yang semakin tinggi dalam mencapai matlamat perjuangannya. Muktamar Khas pada 2 Mac 1980 ini kemudiannya mengambil ketetapan bahawa kezaliman dan penyalahgunaan kuasa BN ke atas para petani dan 14 ahli PAS adalah satu usaha BN dalam menumpaskan kebangkitan Islam diperjuangkan oleh PAS di Malaysia .

01 Mac 2016

01 Mac 1981 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Dilantik Sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan Ke-6

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1981, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan yang keenam menggantikan Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan, Haji Mohd Amin Yaakub yang melepaskan jawatannya pada akhir Februari 1981. Perlantikan ini merupakan sebahagian dari rancangan PAS untuk merampas semula Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1982 setelah kejatuhan PAS pada 1978.

Sebelum perlantikan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, PAS Kelantan telah dipimpin oleh Mohd Asri Haji Muda (1954-1962), Ustaz Khaidir Khatib (1963-1968), Haji Mohd Nor Yusof (1968-1971), Dato' Ishak Lotfi Omar (1971-1978) dan Haji Mohd Amin (1978-1981). Perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini telah memulakan era kepemimpinan ulamak di Kelantan lebih awal sehingga suara rasmi PAS, Suara Islam telah menyiarkan berita perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan tajuk utama "Ulamak Pimpin PAS Kelantan.".

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, seorang ulamak lulusan dari India, Pakistan dan Mesir merupakan anak kepada Tuan Guru Haji Nik Mat Alim bin Raja Banjar, anggota Majlis Ulamak MAIK. Beliau yang menyertai PAS pada September 1967 telah menjadi Ahli Parlimen Kelantan Hilir pada 21 Oktober 1967, sebelum dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat pada 19 April 1968. Selain menganggotai pimpinan PAS Pusat, Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga dilantik sebagai Ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan semenjak 1968.

Ekoran dari krisis kepemimpinan PAS Kelantan pada 1977 yang menyebabkan PAS kehilangan kerajaan pada 1978, Dato' Ishak Lotfi telah meletakkan jawatannya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan dan sebuah Jemaah Pesuruhjaya yang dipengerusikan oleh Haji Mohd Amin telah dibentuk pada 20 Mac 1978. Jemaah Pesuruhjaya ini terus berfungsi sehinggalah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 1 Mac 1981.

Semenjak kepemimpinan beralih tangan, PAS Kelantan terus mengorak langkah dan melakukan kebangkitan sehingga berjaya menguasai semula Kelantan pada 21 Oktober 1990. Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz telah memimpin PAS Kelantan selama 32 tahun sebelum diambil alih oleh Ustaz Dato' Haji Ahmad Yaakub pada 1 Disember 2013.