08 Oktober 2016

08 Oktober 1960 : ADUN Parti Negara Sertai PAS Untuk Kukuhkan Kerajaan PAS Terengganu

Pada hari ini dalam tahun 1960, ADUN Langkap, Ismail Abbas telah mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS sebagai satu usaha untuk memperkukuhkan kerajaan PAS Terengganu yang menghadapi krisis kepemimpinan sejak Ogos 1959. Ekoran krisis kepemimpinan PAS Terengganu yang berpanjangan ini, ia telah memberikan kesan negatif kepada kestabilan Kerajaan Negeri Terengganu yang dipimpin oleh PAS sejak selepas Pilihan Raya Negeri Terengganu 1959. Kegagalan PAS melantik Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah sebagai Menteri Besar Terengganu, yang diikuti oleh kegagalan melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Besar kemudiannya telah menjadi punca kepada krisis politik ini.

Pilihan Raya Negeri Terengganu Kali Pertama diadakan pada 20 Jun 1959, di mana PAS telah berjaya memenangi 13 daripada 24 kerusi DUN, sedangkan bakinya dikuasai oleh Perikatan (tujuh) dan Parti Negara (PN) (empat). Pada 29 Jun 1959, PAS telah membentuk kerajaan dengan Mohd Daud Abdul Samad (Setiu) dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang pertama selepas merdeka. Turut dilantik sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) ialah Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah (Jeram), Abu Bakar Salleh (Sura), Ismail Yusof (Ulu Terengganu Tengah), Omar Abdul Rahman (Ulu Terengganu Barat), Ustaz Omar Shukri Embong (Ulu Dungun) dan Mohd Senari Yunus (Kampung Raja), manakala Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar (Marang) dilantik sebagai Speaker DUN Terengganu.

Selepas pembentukan Kerajaan PAS Terengganu ini, pada 5 Ogos 1959, timbul krisis dalam kepemimpinan PAS Terengganu kerana ada Cawangan PAS yang tidak berpuas hati terhadap Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam. Krisis ini kemudiannya dianggap selesai apabila Ustaz Ahmad Azzam dilantik semula sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 7 Mei 1960. Namun ia menjadi barah kepada kerajaan apabila Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah pada 20 Mei 1960 telah menuntut untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar seperti yang telah dipersetujui sebelumnya. Ekoran itu, pada 13 Jun 1960, Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohamad telah menghantar beberapa Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk 'mengembalikan muhibbah' dan mendamaikan PAS Terengganu.

Di sebalik kesediaan semua pemimpin PAS Terengganu untuk bertolak ansur, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah berkeras supaya PAS menyelesaikan isu perlantikan Timbalan Menteri Besar dan memecat keahlian Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar. Akhirnya pada 27 Jun 1960, beliau membuat ugutan untuk keluar PAS jika tuntutannya tidak dipenuhi, sehingga beliau keluar PAS pada 15 Julai 1960. Keadaan ini telah menyebabkan Kerajaan PAS Terengganu terumbang-ambing kerana PAS mempunyai kerusi yang seimbang dengan pembangkang, 12-12. Untuk menyelamatkan kerajaan, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14-15 Julai 1960 telah memutuskan sana ada PAS menarik ADUN PN menyertai PAS atau membentuk kerajaan campuran PAS-PN.

Pada 6 Jun 1960, ADUN PN, Mohd Abdul Rahman telah mengemukakan usul tidak percaya kepada Kerajaan PAS Terengganu di DUN, tetapi usul ini gagal apabila Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah menentang usul tersebut, tetapi beliau juga turut menggagalkan usul kerajaan untuk mendapatkan belanjawan tambahan. Pada 18-19 Ogos 1960, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengarahkan Menteri Besar Terengganu merundingkan pembentukan kerajaan campuran dengan PN. Ketika rundingan pembentukan kerajaan campuran ini telah berada di tahap terakhir, di mana empat ADUN PN akan memperkukuhkan Kerajaan Terengganu, tiba-tiba ADUN Langkap dari PN, Ismail Abbas telah menyatakan kesediannya untuk menyertai PAS.

Pada 8 Oktober 1960, beliau telah mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS, yang sekali gus menggagalkan pembentukan kerajaan campuran tersebut, tetapi PAS kekal menguasai majoriti di DUN Terengganu. Ismail Abbas kemudiannya dilantik sebagai anggota Exco Terengganu, selain menjadi Yang Dipertua PAS Cawangan Kuala Terengganu Utara (1960-1969). Ismail Abbas, seorang ahli perniagaan, pada asalnya adalah ahli PN, setelah menyertai PAS, dipilih mewakili di DUN Langkap dalam Pilihan Raya Umum 1964 dan 1969, tetapi tewas. Pada 1974, beliau keluar PAS kerana tidak bersetuju PAS menyertai BN dan bertanding sebagai calon Bebas di DUN Jeram.

Disusun oleh: Arkib PAS

07 Oktober 2016

07 Oktober 1990 : Isu Negara Islam Dalam Manifesto PAS Dimanipulasi Media

Pada hari ini dalam tahun 1990, media massa arus perdana telah memanipulasikan kononnya Manifesto PAS 1990 akan memggugurkan perjuangan untuk menegakkan negara Islam, terutama untuk membolehkan PAS bekerjasama dengan DAP. Akhbar Berita Harian dan New Straits Times telah mendakwa bahawa PAS telah "Gugur istilah negara Islam" dan "PAS drop term Islamic State." Manipulasi media ini bertujuan untuk menimbulkan kemarahan ahli PAS dan rakyat kerana menganggap PAS telah tunduk kepada serpihan Umno, Semangat 46 dan DAP yang membentuk pakatan Gagasan Rakyat (GR) tanpa kerjasama PAS.

Isu negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS telah dijadikan syarat utama kerjasama politik yang dibentuk oleh PAS dengan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) sejak 1988. Angkatan yang dianggotai oleh Berjasa, Semangat 46 dan Hamim telah mengadakan persefahaman politik (tafahum siyasi) dengan PAS berasaskan syarat menerima perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Kerjasama ini pernah tergugat oleh pengumuman Tengku Razaliegh Hamzah, Presiden Semangat 46 pada 9 Disember 1989 bahawa parti itu akan bekerjasama dengan DAP, kemudian pada 10 Oktober 1990, Semangat 46 telah menubuhkan GR yang melibat DAP, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Indian Progressive Party (IPF) dan Malaysian Solidarity Party (MSP), sebelum ia turut disertai oleh Berjasa dan Hamim. Tindakan Semangat 46 membentuk kerjasama dengan PAS melalui Angkatan, dan dengan DAP melalui GR telah menimbulkan fitnah bahawa wujud kerjasama PAS-DAP.

Pada 7 Oktober 1990, Berita Harian telah menyiarkan berita bahawa PAS akan melancarkan manifestonya pada 12 Oktober 1990, diikuti oleh manipulasi tentang isu pengguguran negara Islam keesokkannya. Pada 8 Oktober 1990, Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Ahmad Subky Abdul Latif didakwa oleh media massa bahawa telah membuat kenyataan kepada akhbar Nanyang Siang Pau dan Shin Min Daily News, bahawa Manifesto PAS tidak menyebut hasrat PAS menubuhkan negara Islam. Kenyataan ini mendapat respon positif daripada pemimpin DAP pada 8 Oktober 1990, tetapi menerima kritikan yang sangat keras daripada pemimpin Umno sepanjang minggu tersebut. Di sebalik penafian-penafian pimpinan PAS, bahawa PAS bertegas dengan matlamatnya untuk menegakkan negara Islam, pada 8 Oktober 1990, Haji Ahmad Subky Abdul Latif terpaksa membuat kenyataan menafikan dakwaan tersebut, dan mengumumkan akan mengemukakan saman kepada akhbar-akbar berkaitan jika terus memanipulasikan isu pengguguran negara Islam ini. Namun begitu, pemimpin Umno berterusan menjadikan isu pengguguran istilah negara Islam sebagai bukti PAS mempunyai 'hubungan gelap' dengan DAP.

Menjawab semua manipulasi media ini, pada 15 Oktober 1990, PAS telah mengemukakan manifestonya yang bertema "Membangun Bersama Islam." Dalam manifesto ini, PAS mempertegaskan bahawa ia akan "menegak dan melaksanakan Islam sebagai ad-diin dan menjalankan pentadbiran secara adil dan saksama untuk kesejahteraan semua rakyat berdasarkan prinsip-prinsip al-Quran dan as-Sunnah." Manifesto PAS turut mempertegaskan tentang konsep pembangunan yang tidak terpisah dari elemen akhlak dan moral. Oleh kerana PAS tidak menyebutkan perkataan negara Islam dalam manifesto ini, walaupun sangat jelas ia memberikan takrif sebuah kerajaan dan pentadbiran Islam, media massa berterusan kemudiannya menaburkan fitnah bahawa PAS telah menggugurkan perjuangan negara Islam kerana hubungan gelap dengan DAP.

Dua isu besar ini - menggugurkan perjuangan negara Islam dan hubungan gelap dengan DAP - telah dimanipulasikan oleh media arus perdana yang dikuasai oleh BN sejak 7 Oktober 1990, dalam usaha mereka memerangkap PAS. Mereka berusaha memberikan gambaran buruk terhadap PAS menjelang Pilihan Raya Umum 1990, sekali gus menutupi perpecahan Umno yang berlaku sejak 1987. Namun begitu, PAS berjaya menangkis serangan ini melalui manifesto yang bertajuk "Membangun Bersama Islam." Dalam Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990, PAS telah berjaya menguasai semula Kelantan dan Ketua Dewan Ulamak PAS, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober 1990.

Disusun oleh: Arkib PAS

06 Oktober 2016

06 Oktober 1986 : Dewan Pemuda PAS Anjurkan Simposium Sehari Tentang Negara Islam

Pada hari ini dalam tahun 1985, Dewan Pemuda PAS Pusat telah menganjurkan simposium sehari yang dinamakan sebagai "Simposium Negara Islam" untuk membincangkan tentang konsep dan matlamat negara Islam. Dua pembentang telah mengemukakan kertas kerja iaitu Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad dengan tajuk "Prinsip-prinsip Perlembagaan Islam" dan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan tajuk "Konsep Negara Islam dan Matlamatnya." Simposium yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka ini adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman tentang negara Islam yang hangat diperkatakan ketika itu.

Semenjak kejayaan Revolusi Iran pada 11 Februari 1979 dan pelancaran Republik Islam Iran pada 1 April 1979, ia telah mempengaruhi dunia Islam keseluruhannya untuk kembali kepada Islam. Faktor perubahan abad Islam yang memasuki abad ke-15 Hijriyah (1400H) pada 1980 turut menjadi faktor yang membentuk gelombang kesedaran, termasuk perubahan struktural PAS yang membentuk Konsep Kepempinan Ulamak pada 1982. Menangani kesedaran dan kebangkitan umat Islam, Perdana Menteri Malaysia yang baru, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah memperkenalkan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam pentadbiran awam, sedangkan PAS dengan lantang memperjuangkan pembentukan negara Islam. Keadaan menyebabkan timbul konflik dan pergeseran di antara PAS dengan Umno, sedangkan dua serpihan PAS, Berjasa dan Hamim mendukung pendekatan Perdana Menteri baru itu.

Perjuangan menegakkan negara Islam yang didukung oleh PAS adalah lanjutan daripada perjuangan Hizbul Muslimin sejak 1948. Pada 1954, PAS telah secara rasmi menetapkan tujuannya untuk memperjuangkan penubuhan negara Islam dan ia menjadi kerangka utama tuntutan kemerdekaan PAS. Ekoran kegagalan membentuk negara Islam dalam proses kemerdekaan tersebut, pada 28 Disember 1958, PAS telah mengambil ketetapan tentang kewajipan berjuang menegakkan negara Islam. Pada 1963, bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Budiman Radhi telah menulis buku bertajuk "Tatanegara Islam," yang kemudiannya diikuti oleh wacana-wacana tentang negara Islam dalam lidah rasmi PAS, Bulan Bintang.

Memasuki dekad 1980-an, perbincangan tentang kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam atau sekular telah membawa kepada isu takfiri. Pendekatan Islamisasi yang diambil oleh Umno telah ditolak oleh PAS yang dikatakan 'kosmetik' untuk mengelirukan umat Islam tentang konsep sebenar negara Islam. Pada 12-13 November 1983, dalam Seminar Tarbiyah dan Kepemimpinan PAS, ahli-ahli PAS telah diperjelaskan tentang konsep Hizbullah yang bertujuan menegakkan daulah dan khilafah Islamiyah. Negara Islam menurut seminar ini ialah negara hakimiyah, di mana segala hukum dan undang-undang adalah daripada Allah dan kepemimpinannya terdiri daripada orang Islam tulen yang melaksanakan Islam yang sebenar.

Ketegangan tentang persoalan 'adakah Malaysia sebuah negara Islam?' telah berlanjutan sehingga mencetuskan Debat Umno-PAS pada akhir 1984. Mengambil pendekatan ilmu dalam soal negara Islam ini, Dewan Pemuda PAS Pusat pada 6 Oktober 1985 telah menganjurkan Simposium Negara Islam yang membincangkan secara khusus tentang prinsip perlembagaan, konsep dan matlamat negara Islam. Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, negara Islam adalah sebuah negara untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah, di mana hukum Allah didaulatkan dan Islam dijadikan aqidah negara yang berada di tempat tetinggi serta dilaksanakan secara syumul.

Disusun oleh: Arkib PAS

05 Oktober 2016

05 Oktober 1986 : Permohonan Perletakan Jawatan Pemimpin Tertinggi PAS Ditolak

Pada hari ini dalam tahun 1986, Jawarankuasa Kerja Agung PAS telah menolak perletakan jawatan Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi dari jawatan Yang Dipertua Agung PAS, setelah pemimpin tertinggi PAS itu berbuat demikian pada 28 September 1986. Turut meletakkan jawatan ialah Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Ahmad Subky Abdul Latif. Mereka bertindak demikian sebagai mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan PAS dalam Pilihan Raya Umum 1986 yang didakwa oleh ahli-ahli PAS berpunca dari penubuhan Majlis Perunding Cina (CCC). CCC dikatakan telah menikam PAS dari belakang ketika pilihan raya umum itu berlangsung.

CCC adalah sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh Lajnah Perhubungan dan Hal Ehwal Luar PAS pada 22 Januari 1986 dan dipengerusikan oleh Syed Ibrahim Abdul Rahman. CCC berfungsi untuk membentuk hubungan di antara PAS dan masyarakat Cina, dan menjadi strategi penting PAS dalam dakwah dan pilihan raya. Pada awalnya, PAS telah menawarkan kerusi-kerusi untuk orang Cina atas tiket PAS, tetapi pada akhirnya yang bertanding adalah di kalangan Cina Muslim. CCC telah menerima provokasi yang kuat dari MCA, DAP dan juga Umno yang menuduh mereka menjadi alat PAS dan PAS dituduh menipu orang Cina. Media massa turut memanipulasikan isu pertemuan pimpinan PAS dengan pemimpin Umno yang akhirnya berjaya mengalihkan semula orang Cina dari PAS. Dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 3 Ogos 1986, PAS hanya menang satu kerusi Parlimen sahaja iaitu menerusi Ustaz Nik Abdullah Arshad (Pengkalan Chepa). 

Akibat analisis-analisis yang dibuat oleh pelbagai pihak yang merumuskan bahawa kekalahan PAS adalah berpunca dari CCC, hubungan PAS dengan masyarakat Cina mulai kritikal, tetapi pemimpin PAS masih optimis dengan pendekatan politico-dakwah ini. Namun begitu, dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-32 di Masjid Rusila, Terengganu pada 27-28 September 1986, isu CCC menjadi tegang. Ia bermula dengan kenyataan optimis Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa terhadap strategi bersama CCC, kemudiannya menerima kecaman hebat dari wakil Dewan Pemuda PAS Pusat, Abdul Khalid Samad. Wakil Dewan Pemuda PAS Pusat itu mencadangkan supaya bahagian Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS yang mempertahankan CCC ditolak dan mengusulkan supaya PAS "mengkaji semula hubungan dan persefahaman yang telah dijalin dengan parti-parti politik bukan Islam." Usul ini yang diluluskan dengan lebihan suara bukan sahaja telah menyebabkan satu frasa Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS tertolak, tetapi turut menjejaskan kewibawaan pucuk pimpinan PAS seluruhnya, terutama yang terlibat menggerakkan CCC.

Ekoran dari kelulusan usul ini, empat pimpinan tertinggi PAS tersebut telah mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan pada hujung muktamar itu. Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang mengadakan mesyuarat tergempar pada 5 Oktober 1986 telah memutuskan untuk menolak semua perletakan jawatan ini, dan mengutuskan satu rombongan terdiri daripada Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dr Daeng Sanusi Mariok, Dr Haji Abbas Alias, Ustaz Hassan Shukri dan Cikgu Mustafa Ali untuk menemui Pak Yusof Rawa, Ustaz Nakhaie Ahmad, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Haji Ahmad Subky Abdul Latif. Hasil dari pertemuan ini, mereka berempat telah menarik balik surat-surat perletakan jawatan mereka dengan Ustaz Nakhaie Ahmad memberi syarat bahawa semua Ahli Jawatankuasa Kerja Agung mesti bertanggungjawab secara kolektif terhadap apa sahaja keputusan mereka yang tidak bercanggah dengan syarak. Pada 26 Oktober 1986, Pak Yusof Rawa kembali memimpin mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Disusun oleh: Arkib PAS

04 Oktober 2016

04 Oktober 2007 : Presiden PAS Seru Selamatkan Malaysia Dengan Islam

Pada hari ini dalam tahun 2007, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyeru rakyat supaya menyelamatkan Malaysia dengan Islam. Beliau membuat seruan ini sebagai respon terhadap Kempen Selamatkan Malaysia yang digerakkan oleh PAS sejak Jun 2007 dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, yang kemudiannya menjadi tema parti-parti pembangkang dalam memobilisasikan rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-11, terutama oleh Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) 2007. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mempertegaskan bahawa kezaliman, rasuah, salah laku, sekatan ke atas Islam sehinggalah menindas gerakan Islam yang dilakukan oleh Kerajaan BN, menjadi sebab mengapa negara ini wajib diselamatkan dengan Islam.

Pada 21 Jun 2007, Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki telah mengumumkan bahawa PAS akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-50 pada 31 Ogos 1957 dengan program "Kempen Selamatkan Malaysia." Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata kempen ini diadakan kerana kemerdekaan negara semakin terhakis dan kedaulatan negara semakin hilang selepas 50 tahun diperintah oleh BN. Pelancaran Kempen Selamatkan Malaysia telah dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 4 Ogos 2007 di Maahad Tahfiz wa Tarbiyah (MTT), Tok Jiring, Terengganu. Ia kemudiannya diikuti oleh pelbagai program yang dibuat oleh pelbagai peringkat organisasi PAS dengan tema Selamatkan Malaysia.

Sepanjang tahun 2007, Malaysia telah dikejutkan dengan beberapa isu penyelewengan, salah laku dan rasuah yang besar. Antaranya ialah isu video klip seorang peguam dengan seorang hakim kanan, isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibu, isu Laporan Audit Negara 2006 yang mendedahkan penyelewengan dan salah laku kerajaan, isu pembelian kapal selam Scorpene dan 18 buah jet pejuangan Sukhoi MKM-30 yang dikatakan melibatkan rasuah dan salah laku serta isu-isu sekatan ke atas kebebasan yang berleluasa. Atas asas ini, PAS telah menjadi program Kempen Selamatkan Malaysia sebagai agenda besar sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara.

Dalam pada itu juga, tema Selamatkan Malaysia turut menjadi tema perjuangan parti-parti pembangkang dalam menghadapi kezaliman BN, terutama setelah BERSIH ditubuhkan pada 23 November 2006. BERSIH yang turut disokong oleh PAS bertujuan untuk memobilisasikan tenaga rakyat dalam menuntut pilihan raya yang bersih terutama bagi pilihan raya umum yang dijangka berlangsung pada 2008. Perhimpunan BERSIH yang diadakan pada 10 November 2007 juga bertemakan Selamatkan Malaysia. Boleh dikatakan perhimpunan BERSIH ini menjadi kemuncak gerakan rakyat yang dimulakan oleh PAS pada 4 Ogos 2007 untuk Selamatkan Malaysia.

Bagi menghadapi arus kebangkitan rakyat ini, pada 4 Oktober 2007, Presiden PAS dalam satu ceramahnya kepada ahli-ahli dan penyokong PAS telah menjelaskan latar belakang kezaliman dan penyelewengan yang berlaku di seluruh dunia. Beliau menyatakan dunia Barat sangat takut kepada kebangkitan semula Islam, dan mereka berusaha menyokong aliran-aliran Islam yang liberal seperti Islam Hadhari dan memberi tekanan kepada gerakan Islam di seluruh dunia, supaya perubahan politik yang berlaku tidak menguntungkan Islam atau mengembalikan Islam sebagai agama yang berkuasa. Barat memperkenalkan pemikiran liberal dan perjuangan kebebasan asasi yang tidak berpaksi kepada agama untuk menangani kebangkitan Islam. Atas sebab itu, Presiden PAS pada 4 Oktober 2007 menyatakan wajib untuk PAS menyelamatkan Malaysia dengan Islam.

Disusun oleh: Arkib PAS

03 Oktober 2016

03 Oktober 2010 : Deklarasi Ahli PAS Sempena Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Kebangsaan Dipersetujui

Pada hari ini dalam tahun 2010, Ijtimak Tarbawi Pemuda Kebangsaan selama tiga hari dua malam telah berakhir di Masjid Rusila, Marang dengan Deklarasi Ijtimak Tarbawi sebagai pernyataan memperkasakan tarbiyah. Ijtimak raksasa yang dianjurkan oleh Akademi Tarbiyah (AKTAR) Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai oleh Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz ini merupakan himpunan tarbawi yang pertama setelah ia terhenti semenjak pertengahan 1990-an. Menurut Pengarah Program, Ustaz Azman Shafawi Abdul Rani yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, himpunan ini adalah kesinambungan daripada perhimpunan tarbawi peringkat antarabangsa yang pernah diadakan di tempat yang sama pada tahun 1989 dan 1994, dan ia diharapkan menjadi tempat persediaan untuk membincangkan persiapan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ijtimak yang bermula dengan kuliah Maghrib oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ini telah dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 1 Oktober 2010. Ia kemudiannya telah diisi oleh beberapa slot tarbiyah bermula dengan program taujihad tarbiyatur ruuhiyah oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, manakala Presiden PAS telah mengkhatamkan tafsir surah al-Hujarat selama tiga hari, di samping amanat khas amal tarbawi oleh Ahli Parlimen Ikhwanul Muslimin Mesir, Sheikh Dr Abdul Maqsud Muhammad Askar serta taujihad amal tarbawi dan amanah harakah Islamiyah oleh Murabbi PAS, Ustaz Haji Yahya Othman dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Harun Taib. Pidato-pidato lain telah disampaikan oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS), Ustaz Dato’ Haji Abu Bakar Chik (bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat 1989-1999), Haji Salahuddin Ayub (bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat 2003-2007) dan Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat).

Dengan kehadiran melebihi 5,000 peserta, termasuk peserta yang diwajibkan iaitu Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Negeri dan Dewan Pemuda PAS Kawasan, ijtimak ini telah berjaya mengukuhkan kedudukan PAS sebagai sebuah harakah tarbiyah, dakwah dan siyasah. Ijtimak ini kemudiannya berakhir pada 3 Oktober 2010 dengan Deklarasi Ijtimak Tarbawi yang menggariskan enam perkara dalam memperkasakan tarbiyah, iaitu:

I. Bertekad memperkasakan tarbiyah dengan memahami dan melaksanakan program tarbiyah secara berterusan dan konsisten di dalam Dewan Pemuda PAS di seluruh peringkat;
II. Menjadikan tarbiyah merentasi tanzim, dengan erti kata nilai-nilai tarbiyah akan menguasai dan mengoreantasikan seluruh kegiatan lajnah dan jemaah;
III. Memperkukuhkan program usrah di seluruh peringkat sebagai asas dan akar kepada semua program kepartian dan politik yang lain;
IV. Demi memperkasakan tarbiyah di dalam Dewan Pemuda, maka kita sebagai peserta program Ijtimak Tarbawi 2010 bersetuju untuk mengadakan program Ijtimak Tarbawi sebagai acara tahunan;
V. Menyokong konsep kepemimpinan ulamak dan mempertahankannya untuk menerajui parti PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang memayungi umat Islam di Malaysia; dan
VI. Membina diri dan syakhsiyah dengan terus mendalami ilmu-ilmu Islam mengikut acuan al-Quran dan as-Sunnah serta hikmah para ulamak dan pejuang Islam di sepanjang zaman.

Setelah Ijtimak Tarbawi Peringkat Kebangsaan 2010 berakhir pada 3 Oktober 2010 dengan semangat deklarasi yang mahu ia dijadikan acara tahunan, Ijtimak Tarbawi 2.0 telah diadakan pada 28-30 Oktober 2011 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar, Selangor. Ia kemudiannya diikuti oleh Ijtimak Tarbawi 3.0 di Maahad Tahfiz al-Quran al-Muhammadi, Pagoh, Johor pada 4-6 Oktober 2013 dan Ijtimak Tarbawi 4.0 di Kompleks Yayasan an-Nahdah, Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 5-7 Disember 2014. Ijtimak Tarbawi tidak diadakan pada tahun 2012 kerana seluruh jentera parti memberikan tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang berlangsung pada awal 2013, sedangkan Ijtimak Tarbawi 5.0 yang dirancang untuk diadakan di Kampung Memali, Baling, Kedah pada 20-21 November 2015 bersempena dengan ulang tahun ke-30 Peristiwa Memali telah ditangguhkan, dan ijtimak tarbawi berikutnya dijangka akan diadakan di Pernu, Melaka pada 14-16 Oktober 2016.

Disusun oleh: Arkib PAS

02 Oktober 2016

02 Oktober 1960 : Yang Dipertua Agung PAS Berucap Di Kongres Ahli-ahli Tasawuf Sufiyyah Seluruh Malaya

Pada hari ini dalam tahun 1960, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin Mohd Noor al-Helmy telah menyampaikan ucapan pembukaan Kongres Ahli-ahli Tasawuf Sufiyyah Seluruh Malaya yang diadakan di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Kongres ini telah menghimpunkan kumpulan-kumpulan tareqat tasawuf dari seluruh negara dengan tujuan mengorganisasikan mereka bagi membina kekuatan umat Islam selepas negara mencapai kemerdekaan. Kongres ini kemudiannya berjaya menubuhkan Persatuan Tarekat Sufiyyah yang pernah mengadakan mesyuarat agungnya kali yang pertama pada 3 Jun 1962 yang juga dibuka oleh Dr Burhanuddin al-Helmy.

Kewujudan kumpulan-kumpulan tarekat dan tasawuf di kalangan umat Islam di Malaysia sebenarnya telah berlaku semenjak abad ke-17 lagi terutama dengan masuknya Tarekat Qadariyah dan Naqsyabandiyah ke Asia Tenggara pada zaman Sheikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri (1615-1693). Di Tanah Melayu, tokoh utama bidang tasawuf ialah Sheikh Abdul Malik Abdullah (Tok Pulau Manis) (1650-1736), penulis kitab Hikam Melayu, kemudiannya diikuti oleh Sheikh Daud Abdullah al-Fathani (1769-1847), penyebar Tarekat Syatariyah di kalangan ulamak Melayu. Semenjak itu, ilmu tasawuf mula berkembang di kalangan para ulamak Melayu di Mekah dan mula tersebar kepada murid-murid mereka di seluruh negara. Sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kumpulan-kumpulan tarekat dan tasawuf telah tumbuh dengan banyak tanpa organisasi dan hanya bergerak mengikut aliran tasawuf masing-masing.

Salah seorang tokoh tasawuf yang terkenal di negara ini ialah Dr Burhanuddin al-Helmy. Pada usia mudanya, beliau terkenal kerana mendukung pemikiran reformasi dan menolak amalan tasawuf, walaupun bapanya sendiri adalah seorang ulamak tasawuf bertariqat Nasyabandiyah. Menurut Dr Burhanuddin al-Helmy, ketika menyiapkan kajian kedoktoran falsafah (PhD)-nya di India pada awal 1940-an, beliau telah mendalami pemikiran tokoh-tokoh tasawuf yang terkenal termasuk al-Ghazali, al-Badawi, ar-Rafi’i, ar-Rumi, al-Qusyairi, Ibnu Ata’illah dan lain-lain sehingga beliau menerima dan menjadi pengikut tasawuf. Beliau dikatakan seorang pengikut Naqsyabandiyah beraliran Chistiyah. Semenjak itu, beliau mulai terkenal sebagai seorang ahli politik yang mengamalkan tasawuf, terutama setelah beliau memimpin PAS mulai 25 Disember 1956.

Memandangkan penglibatan golongan tarekat dan tasawuf sufiyyah dalam pergerakan masyarakat sangat kecil dan ketiadaan organisasi mereka, pada tahun 1960 telah dibuat satu inisiatif untuk mengumpulkan kumpulan-kumpulan tawasuf dari seluruh negara untuk membolehkan para ahli tasawuf ini juga berperanan dalam pembentukan negara. Kongres yang diadakan pada 2 Oktober 1960 ini telah dibuka oleh Dr Burhanuddin al-Helmy. Dalam ucapannya, Dr Burhanuddin al-Helmy telah menyeru kepada para pengamal tarekat dan tasawuf supaya bangkit berjihad dalam kepemimpinan negara kerana jika golongan agama, terutama ahli-ahli tasawuf tidak terlibat dengan politik, kepemimpinan dan pemerintahan, pentadbiran negara akan dikuasai oleh golongan sekular yang tamakkan harta dan pangkat. Bagi beliau, ahli-ahli tasawuf perlu terlibat dalam politik pemerintahan untuk membentuk kerajaan yang bersih dan tunduk kepada Allah.

Beliau menyebutkan, “Janganlah lemah ahli-ahli tarekat sufiyah meneruskan jihad di tengah-tengah masyarakat kebendaan yang perlu disiram dengan siraman jiwa tauhid dan sufiyah, dan awas, dan jauhkan diri daripada tasawuf yang maghrur, tasawuf yang dirasuk oleh tipu daya musuh-musuh Islam.” Dalam konteks perjuangan berorganisasi, beliau menegaskan, “Dalam meneruskan jihad tarekat sufiyah ini, susunlah lebih kemas lagi perpaduan dan siarkanlah pelajaran-pelajaran tasawuf itu mengikut adab dan akhlak ahli-ahli tasawuf. Jangan tiru-tiru ahli fiqh. Biarlah ahli fiqh dengan gelanggangnya! Tetapi ahli tasawuf jangan tak bergelanggang, mestilah ada bergerak dalam gelanggangnya. Adakah yayasan dan perguruan tasawuf secara zaman (moden) ini, jangan jadi pak turut saja. Islam membenci pak turut dan taklik buta. Semua ahli tasawuf mestilah betul-betul menjadi at-tabi’in al-‘arifin as-sodiqin.” Ucapan beliau dalam Kongres Ahli-ahli Tasawuf Sufiyyah Seluruh Malaya pada 2 Oktober 1960 dan Mesyuarat Agung Persatuan Tarekat Sufiyah pada 3 Jun 1962 telah diterbitkan oleh Maktabah Haji Abdullah Mohd Nordin ar-Rawi pada 1966 dengan tajuk “Simposium Tasawuf dan Tariqat.”

Disusun oleh: Arkib PAS