05 September 2016

05 September 1987 : Pejabat Agung PAS Berpindah Ke Taman Melewar

Pada hari ini dalam tahun 1987, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil keputusan untuk memindahkan Pejabat Agung PAS dari No. 28A, Jalan Pahang Barat, Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur (Pejabat Harakah sekarang) ke Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Batu Caves, Selangor, setelah kompleks tarbiyah PAS itu mulai beroperasi sejak April 1987. Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini mula menjadi tuan rumah kepada muktamar PAS kali pertama pada 11-12 April 1987 iaitu Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33, setelah ia bermuktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 1971 (Muktamar Kali Ke-17). Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini ada hasil daripada perancangan PAS sejak 1977 untuk memiliki kompleks sendiri, yang asalnya dicadangkan di Chow Kit, Kuala Lumpur tetapi berpindah ke Kampung Changkat, Gombak (Taman Melewar).

Sejarah Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini bermula dengan pemilikan sebidang tanah di Kampung Changkat atas nama Ustaz Harun Jusoh bagi pihak PAS Terengganu pada 1976. Apabila rancangan PAS mendirikan bangunan 17 tingkat di Chow Kit gagal kerana ditendang dari BN pada 13 Disember 1977, PAS memutuskan untuk membangunkan kompleksnya di Taman Melewar. Pada 6 November 1983, Setiausaha Agung PAS telah memulakan kutipan derma pembinaan markaz ini dan akhirnya kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan pada Jun 1984 secara gotong-royong. Dalam masa yang sama, aktiviti-aktiviti kepartian seperti ceramah umum telah mula dijalankan di sini, dengan berpusat di rumah Ustaz Hassan Shukri. Akhirnya, pada awal 1987, fasa pertama Markaz Tarbiyah PAS Pusat berjaya disiapkan iaitu bangun pejabat (Pejabat KUIZM sekarang) dan dewan utama (Dewan Fadzil Noor sekarang), sekali gus membolehkan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 diadakan di markaz ini pada 11-12 April 1987.

Sebelum Markaz Tarbiyah PAS Pusat dibina, ekoran kegagalan rancangan pembinaan Kompleks Pejabat Agung PAS di Chow Kit, PAS telah menjadikan bangunan di No. 28A, Jalan Pahang Barat sebagai Pejabat Agung PAS sejak 1974. Sebelum itu, Pejabat Agung PAS berpindah-randah sejak ia mula beroperasi di Kuala Lumpur mulai 1 Disember 1956, setelah lima tahun beroperasi di Seberang Perai. Pejabat Agung PAS yang pertama ialah di No. 721, Kepala Batas, Seberang Perai (rumah Setiausaha Agung PAS, Haji Ahmad Maliki, sekarang di Jalan Kedah) (1951-1952), kemudian berpindah ke Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam (madrasah Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Yang Dipertua Agung PAS) (1952-1953), diikuti oleh Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas (Madrasah Sheikh Haji Abdullah Fahim, bekas Ketua Dewan Ulamak PAS) (1954-1955) dan akhirnya berpindah ke Pajak Song, di No. 958, Kepala Batas (rumah Cikgu Ahmad Awang, Setiausaha Agung PAS) (1955-1956).

Mulai 1 Disember 1956, Pejabat Agung PAS telah dipindahkan ke Kuala Lumpur bertempat di No. 45, Institute Road, Sentul (rumah Haji Abdullah Akin, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) (1956-1957), kemudian ke Batu 4, Segambut, P.O Sentul (rumah Tuan Guru Haji Mohd Noor Mahyuddin, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) (1957). PAS kemudiannya menumpang di rumah Haji Yunus Taib (Bendahari Agung PAS) di No. 26, Jalan Hamzah, Kampung Baru pada pertengahan 1957, sebelum ia dapat menyewa di No. 24, Jalan Hamzah, Kampung Baru (1957-1962). Pejabat Agung PAS berpindah lagi ke No. 4, Jalan Raja Uda, Kampung Baru pada 1962 hingga Jun 1964, sebelum ia berpindah ke No. 300-3C, Jalan Pekeliling (sekarang Jalan Tun Razak, simpang Jalan Semarak) (1964-1970). Pejabat Agung PAS kemudiannya berpindah di bangunan yang sama pada Oktober 1970 ke No. 300-6B, Jalan Pekeliling sehingga 1973. Setelah itu, ia berpindah lagi ke No. 214-1A, Jalan Pahang (sebelah Hospital Tawakal) (1973-1974). Kemudian itu, barulah PAS menduduki No. 28A, Jalan Pahang Barat sebagai Pejabat Agung PAS sehingga ia berpindah ke Taman Melewar (1974-1987).

Kejayaan PAS menyiapkan fasa pertama pembinaan kompleks Markaz Tarbiyah PAS Pusat pada awal 1987, telah menyebabkan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 5 September 1987 memutuskan untuk Pejabat Agung PAS berpindah ke Taman Melewar. Bangunan asal Pejabat Agung PAS di No. 28A, Jalan Pahang Barat telah dijadikan Pejabat Harakah, iaitu lidah rasmi PAS yang mula diterbitkan kali pertama pada 17 April 1987. Turut berpindah ke markaz ini ialah Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, diikuti oleh Pejabat Dewan Ulamak PAS Pusat, Pejabat Dewan Muslimat PAS Pusat dan Pejabat Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat secara berperingkat-peringkat. Pejabat Agung PAS beroperasi di Taman Melewar selama 20 tahun sebelum ia berpindah ke No. 318A, Jalan Raja Laut mulai 23 Mac 2007. Kini, Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar menjadi kampus Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) dan Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

Disusun oleh: Arkib PAS

04 September 2016

04 September 2000 : Presiden PAS Ramal UMNO Tarik Royalti Untuk Sabotaj Kerajaan PAS

Pada hari ini dalam tahun 2000, Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor telah membuat jangkaan bahawa Umno akan bertindak apa sahaja untuk menyekat pengaruh PAS setelah Terengganu berjaya ditawan dalam Pilihan Raya Umum pada 29 November 1999. Menurut Ustaz Fadzil Mohd Noor lagi, Umno sangat sakit hati kepada PAS terutama setelah negeri Terengganu dijangka memungut hasil royalti petroleum berjumlah RM810 juta pada tahun 2000. Atas sebab itu, kata Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Pendang itu, berkemungkinan besar Umno akan menarik balik bayaran royalti petroleum kepada Terengganu sebagai langkah untuk menyekat pengaruh PAS.

Sebelum itu, PAS telah berjaya memerintah Terengganu setelah menguasai 28 daripada 32 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Menteri Besar. Ekoran kemenangan PAS ke atas sebuah negeri yang kaya dengan hasil petroleum ini, PAS telah memperkenalkan dasar-dasar kebajikan kepada rakyat seperti menghapuskan tol, cukai pintu, cukai bakul, cukai beca dan lain-lain. Selain itu, Kerajaan PAS Terengganu turut berusaha melaksanakan syariat, mereformasikan pentadbiran tanah, menyuburkan pendidikan Islam dan menyerapkan nilai Islam dalam pentadbiran. Kerajaan PAS Terengganu juga berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 17.3 peratus kepada 14 peratus. Perkembangan positif di Terengganu ini merupakan satu ancaman besar kepada Umno/BN sehingga wakil Umno Terengganu, Awang Jabbar telah mendesak Perhimpunan Agung Umno pada 11-13 Mei 2000 supaya mengkaji kedudukan royalti petroleum yang didakwa disalahgunakan oleh PAS.

Memberi respon terhadap desakan Umno Terengganu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ada 26 Jun 2000 mendakwa Terengganu tidak berhak ke atas royalti minyak. Pada 30 Jun 2000 pula, Kerajaan Pusat meningkatkan lagi tekanan dengan mengumumkan tindakan kerajaan untuk mengkaji semula keseluruhan sturuktur bayaran royalti tersebut. Berdasarkan usaha-usaha zalim Umno ini, Presiden PAS yang juga Ketua Pembangkang membuat ramalan pada 4 September 2000 bahawa tidak mustahil Umno akan menarik balik royalti petroleum Terengganu. Beliau berkata demikian ketika berucapan dalam Ekspo Gabungan Ekonomi Jemaah (GEJ) yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Merbok pada 2-4 September 2000. Menurut Ustaz Fadzil Mohd Noor, beliau percaya bahawa Mesyuarat Kabinet minggu sebelumnya (30 Ogos 2000) telah membuat keputusan tentang kedudukan royalti tersebut.

Menurut Ustaz Fadzil Mohd Noor lagi, tindakan ini adalah akibat rasa sakit hati Umno ekoran pertambahan jumlah royalti yang terpaksa dibayar kepada Kerajaan Terengganu sebanyak RM810 juta untuk tahun 2000, iaitu kenaikan sebanyak 75 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Di sebalik ramalan yang dibuat oleh Presiden PAS tersebut, pada 5 September 2000, Kementerian Kewangan telah mengumumkan bayaran royalti tidak akan dibuat lagi kepada Kerajaan Terengganu, sebalik akan disalurkan terus kepada rakyat Terengganu melalui satu program baru, Program Pembiayaan Wang Ehsan (PPWE). Menangani isu ini, Kerajaan PAS Terengganu mengumumkan akan mengusaha langkah-langkah baru bagi menampungkan kekurangan kewangan tersebut, di samping mengambil beberapa tindakan politik. Pada 16 Oktober 2000, PAS membawa isu ini ke Dewan Rakyat, di samping mengemukakan memorandum kepada Kementerian Kewangan. Akhirnya, pada 8 Mac 2001, Kerajaan PAS Terengganu membawa kes ini ke mahkamah. 

Disusun oleh: Arkib PAS

03 September 2016

03 September 2003 : Pimpinan PAS Mahu Calon Timbalan Presiden PAS Disyurakan Elak Polemik

Pada hari ini dalam tahun 2003, beberapa pimpinan PAS mahu perebutan jawatan Timbalan Presiden PAS yang menjadi polemik hangat apabila beberapa nama telah dicalonkan untuk mengisi jawatan tersebut dihentikan, setelah ia dikosongkan oleh Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Naib-naib Presiden PAS ketika ini ialah Senator Ustaz Hassan Shukri (Ahli Dewan Negara), Dato' Mustafa Ali (Exco Kerajaan Negeri Terengganu) dan Dato' Dr Hassan Ali (ADUN Gombak Setia, Selangor). Polemik ini timbul kerana ini adalah kali pertama jawatan Timbalan Presiden PAS dipertandingkan semenjak era kepemimpinan ulamak bermula pada 1982. Kerana itu banyak pihak mendesak supaya jawatan ini disyurakan dan jangan berlaku pertandingan.

Kekosongan jawatan Timbalan Presiden PAS berlaku apabila Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor meninggal dunia pada 23 Jun 2002 dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi memangku jawatan tersebut sejak 12 Jun 2002, selepas Presiden PAS itu mengalami komplikasi akibat pembedahan jantung. Dalam sejarah PAS, kali terakhir berlaku perebutan jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS ialah dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-27 pada 17-19 April 1981 apabila Pak Yusof Rawa bertanding mengalahkan penyandang jawatan tersebut, Ustaz Dato' Abu Bakar Umar. Sebelum itu, semenjak Ustaz Haji Hassan Adli Mohd Arshad menjadi Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada 29 Januari 1965 dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada 20 Jun 1971, tiada pertandingan jawatan tersebut, sehingga beliau dipecat sebagai ahli PAS pada 9 November 1977 ketika krisis Dato' Mohamad Nasir berlaku. Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-25 pada 7-9 September 1979, Ustaz Dato' Abu Bakar Umar dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS mengalahkan Pak Yusof Rawa, setelah beliau memangkunya sejak 9 Januari 1978.

Jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung sebelum ini telah dipegang oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor (1982-1989) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (1989-2002) tanpa sebarang pertandingan. Selepas kematian Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak melantik Pemangku Timbalan Presiden PAS sehingga Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-49 pada 12-14 September 2003. Nama-nama popular yang disebut-sebut sebagai calon Timbalan Presiden PAS ialah Senator Ustaz Hassan Shukri, Dato' Mustafa Ali dan Tuan Guru Dato' Dr Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah memenangi jawatan Presiden PAS tanpa bertanding setelah tempoh pencalonan berakhir pada 28 Ogos 2003, sedangkan tiga tokoh tersebut menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS.

Media massa telah mula berpolemik tentang calon pemimpin nombor dua PAS sejak awal September 2003 dengan memberi fokus kepada tiga calon ini sehingga timbul isu golongan moderat menentang calon ulamak. Akhbar New Straits Times pada 1 September 2003 meramalkan Tuan Guru Dato' Dr Harun Din akan mengambil alih jawatan tersebut, tetapi Berita Harian pada 9 September 2003 meramalkan Dato' Mustafa Ali akan menang tanpa bertanding. Di sebalik desas-desus ini, terdepat usaha-usaha supaya jawatan tersebut disyurakan dan tiada pertanding. Beberapa pemimpin kanan PAS telah memberi pandangan kepada media pada 3 September 2003 supaya perebutan jawatan tersebut dielakkan. New Straits Times keluaran 4 September 2003 menyimpulkan semua pandangan pimpinan ini sebagai "call to avoid contest for PAS deputy president's post."

Dalam pemilihan parti yang diumumkan keputusan pada 14 September 2003 yang melibatkan pertandingan dua penjuru, Senator Ustaz Hassan Shukri telah diumumkan menang ke atas Dato' Mustafa Ali dengan lebihan sebanyak 173 undi. Sejak pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS dalam tahun 2003 yang mengakhiri tradisi tanpa pemilihan ini, setiap kali pemilihan parti sentiasa berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden PAS. Ustaz Nasharudin Mat Isa telah memenangi pemilihan jawatan ini bagi tahun 2005, 2007 dan 2009, manakala Haji Mohamad Sabu memenanginya untuk pemilihan tahun 2011 dan 2013, sedangkan pemilihan tahun 2015 dimenangi oleh Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Disusun oleh: Arkib PAS

02 September 2016

02 September 1967 : Ahli Parlimen Kelantan Hilir (PAS) Meninggal Dunia Akibat Kemalangan

Pada hari ini dalam tahun 1967, Ahli Parlimen Kelantan Hilir, Ustaz Haji Ahmad bin Abdullah atau lebih terkenal dengan gelaran Haji Ahmad Perai telah meninggal dunia akibat satu kemalangan jalan raya. Kecelakaan jalan raya yang berlaku di Chemor, Perak pada 30 Ogos 1967 telah menyebabkan beliau cedera parah dan dimasukkan ke Rumah Sakit Besar Ipoh, sebelum diterbangkan ke Kota Bharu pada 31 Ogos 1967. Pada hari Jumaat, dua hari selepas itu, kira-kira jam 6.25 petang, beliau menghembuskam nafas terakhir di Rumah Sakit Besar Kota Bharu. Ini adalah kematian berturut-turut wakil rakyat PAS selepas pembunuhan kejam ke atas Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu pada 3 Julai 1967.

Haji Ahmad Perai, seorang tokoh agama dan ahli perniagaan yang terkenal semenjak 1940-an adalah berasal dari Bagan Dalam, Seberang Perai yang lahir dalam tahun 1926. Kerana berasal dari Seberang Perai ini, nama beliau terkenal dengan panggilan 'Haji Ahmad Perai.' Dalam usia yang masih muda, beliau telah dibawa ke Mekah oleh keluarganya dan mendapat pendidikan agama di Tanah Suci selama 22 tahun. Kerana minatnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan, beliau bertolak ke Bombay dan memasuki sebuah universiti di sana sehingga lulus ijazah ekonomi. Beliau pulang ke Malaya sebelum Perang Dunia Kedua dan menceburi bidang perniagaan di Seberang Perai dan Kedah. Selepas Perang Dunia Kedua, beliau dilantik sebagai Manager Peladang Trading, Alor Setar. Nama beliau mulai mendadak naik ekoran penglibatan beliau dalam gerakan pemulihan ekonomi Melayu Islam yang berpusat di Gunung Semanggol.

Beliau menyertai Persidangan Ekonomi di Maahad Il Ihya as-Syariff pada 23 Mac 1947 yang berjaya menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS), di mana Haji Ahmad Perai dilantik sebagai wakil Kedah dalam Jawatankuasa Kerja PEPERMAS, dan sekali gus terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PEPERMAS bersama Burhanuddin Ganjil (Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Se-Malaya), Ibrahim Fikri (Terengganu) dan Encik Judin (Perak), sedangkan Ustaz Abu Bakar al-Baqir menjadi Yang Dipertua Agungnya. Antara sumbangan terbesar PEPERMAS ialah menubuhkan Bank Kebangsaan Melayu pada 1 Julai 1947, diikuti oleh cadang menubuhkan Bank Peladang pada Disember 1947 untuk mengatasi masalah hutang dan riba yang ditanggung oleh para petani Melayu, dan rancangan mereka mewujudkan Bank Perdagangan. Walau bagaimanapun, selepas Persidangan Agama-Ekonomi pada 13-16 Mac 1948, PEPERMAS telah diserapkan sebagai sayap ekonomi Hizbul Muslimin selepas parti Islam yang pertama itu ditubuhkan di Gunung Semanggol pada 14 Mac 1948. Pergerakan mereka terhenti oleh Ordinan Darurat 1948 yang membawa Ustaz Abu Bakar al-Baqir ke kem tahanan selama empat tahun.

Apabila PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951, Haji Ahmad Perai tidak terlibat menubuhkan PAS, tetapi beliau mula bersama PAS dengan tertubuhnya PAS Cawangan Bukit Mertajam pada 20 April 1952 yang diketuai oleh Bendahari Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, beliau mula terlibat aktif, tetapi belum berjawatan dalam PAS. Pada 1957, beliau bertolak ke India untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang, tetapi dipanggil pulang oleh PAS kerana menghadapi Pilihan Raya Umum 1959. Beliau telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu Hilir, sebelum bertukar ke kerusi Kelantan Hilir pada 1964. Selepas 1959, beliau dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi PAS.

Ekoran kematian beliau pada 2 September 1967, kerusi Parlimen Kelantan Hilir telah kosong. PAS kemudiannya menamakan seorang tokoh agama muda, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat dari Pulau Melaka sebagai calon PAS pada 25 September 1967. Kerana pencalonan ini, Ustaz Nik Abdul Aziz telah menyertai PAS pada 23 September 1967, sedangkan sebelumnya beliau hanya penyokong PAS. Dalam Pilihan Raya Kecil pada 21 Oktober 1967, beliau telah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kelantan Hilir, sekali gus diangkat sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat pada 19 April 1968, jawatan yang dipegang sehingga 1995. Semenjak itu, nama Ustaz Nik Abdul Aziz menjadi terkenal sehingga terlantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan (1981-2013), Menteri Besar Kelantan (1990-2013) dan Mursyidul Am PAS (1994-2015).

Disusun oleh: Arkib PAS

01 September 2016

01 September 1991 : Kerajaan PAS Kelantan Umum Pengalihan Wang Kerajaan Ke Bank Islam Tanpa Riba

Pada hari ini dalam tahun 1991, Kerajaan PAS Kelantan telah mengumumkan satu dasar untuk membersihkan harta kerajaan daripada unsur riba dengan memindahkan semua wang kerajaan di bank konvensional ke Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), iaitu satu-satunya yang mengamalkan sistem perbankan Islam ketika itu. Sejak PAS mengambil alih Kerajaan Kelantan daripada BN mulai 22 Oktober 1990, PAS telah menunjukkan komitmen untuk melaksanakan syariat secara berperingkat bermula dengan sektor ekonomi dan sosial, sebelum melaksanakan sistem undang-undang jenayah Islam. Dalam kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2 Februari 1991, bahawa undang-undang jenayah Islam tidak akan dilaksanakan secara serta-merta bagi mengelakkan tohmahan buruk, sebaliknya syariat dilaksanakan secara berperingkat termasuk menghapuskan amalan riba dalam masyarakat.

Mengharamkan riba adalah antara kewajipan kerajaan kerana riba diharamkan oleh Islam. Menurut Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, sistem kewangan riba menjadi senjata kuasa Barat untuk membelenggu ekonomi dunia dan umat Islam. Apabila beliau menjadi Menteri Besar pada 22 Oktober 1990, "Antara perkara pertama yang ambo (Menteri Besar Kelantan) buat masa jadi MB (Menteri Besar), ambo panggil Pegawai Kewangan Negeri, minta pindah akaun kewangan Kerajaan (Kelantan) ke Bank Islam. Ambo buat ni tanpa mesyuarat, sebab ni perkara nas, tak perlu mesyuarat, kita kena buat." Dengan tindakan ini, Kerajaan PAS Kelantan bukan sahaja telah membersihkan simpanan tetap kerajaan dari riba, tetapi dapat memaksa bank-bank konvensional mengamalkan perbankan syariah mulai 1993.

Bagi menghapuskan amalan ekonomi haram dalam masyarakat Kelantan, Kerajaan PAS Kelantan telah memulakan dengan mengharamkan judi melalui sekatan lesen premis judi mulai 1 Januari 1991. Susulan daripada itu, mulai 1 Februari 1991, diperkenalkan sistem qardhu hassan iaitu pinjaman tanpa faedah bagi pembelian kenderaan dan rumah kepada kakitangan kerajaan, selain menubuhkan Tabung Serambi Mekah pada awal 1991. Ini diikuti oleh langkah kerajaan menyekat premis bank konvensional beroperasi di Kelantan melainkan mesti mempunyai produk berasaskan syariah mulai 1993. Sebelum itu, Kerajaan PAS Kelantan pada Mac 1992 telah memperkenal sistem gadaian Islam, ar-rahn bagi membersihkan riba dalam masyarakat, yang diikuti oleh pelancaran Amanah Saham Darul Naim (ASDN) yang patuh syariah.

Tindakan Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan pada 1 September 1991 tentang langkahnya untuk mengalihkan simpanan tetap kerajaan ke Bank Islam mulai 1993 ternyata memberi kesan besar kepada sistem kewangan Islam di negara ini. Lebih-lebih lagi apabila Menteri Besar Kelantan pada 18 Julai 1992 bukan sahaja menegaskan dasar untuk memindahkan aset kewangan kerajaan ini ke Bank Islam, tetapi tidak akan meluluskan lesen premis untuk syarikat perbankan konvensional beroperasi di Kelantan mulai 1993. Ekoran itu, Bank Negara pada 6 Mac 1993 telah memberi kebenaran kepada tiga buah bank untuk membuka 'Islamic Window' yang kemudiannya dikenali sebagai Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF). Pada 21 Ogos 1993, 10 buah lagi bank terlibat dengan SPTF, sehingga Bank Muamalat ditubuhkan pada 1999 sebagai bank Islam yang kedua.

Berdasar statistik, sebelum Kelantan memperkenalkan dasar kewangan tanpa riba, terdapat hanya sebuah bank Islam di Malaysia antara 1983 hingga 1992, tetapi ia telah meningkat kepada 21 buah bank yang mengamalkan SPTF pada 1993. Menjelang tahun 1998, telah terdapat 49 buah bank yang mempunyai Skim Perbankan Islam (SPI), nama baru SPTF. Ekoran kegawatan ekonomi pada 1998 dan percantuman bank-bank, bilangan bank SPI telah dikurangkan kepada 36 buah. Ternyata langkah Kerajaan PAS Kelantan yang mengumumkan pada 1 September 1991 untuk memindahkan simpanan kerajaan ke bank Islam, dan sekatan ke atas bank konvesional mulai 1993 untuk beroperasi di Kelantan telah menyebabkan kemajuan mendadak sistem kewangan Islam di negara ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

31 Ogos 2016

31 Ogos 1983 : Pindaan Perlembagaan PAS Dimuktamadkan Tubuh Majlis Syura Ulamak

Pada hari ini dalam tahun 1983, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersama wakil-wakil Badan Perhubungan PAS Negeri telah memuktamadkan pindaan Perlembagaan PAS dalam satu mesyuarat khas di Kuala Lumpur. Tujuan utama pindaan Perlembagaan PAS ini adalah untuk membolehkan PAS menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai institusi tertinggi yang mengawal dasar parti. Ia adalah manifestasi daripada keputusan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 yang menggagaskan konsep kepemimpinan ulamak yang menjadi teraju perjuangan PAS.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982, satu usul Dewan Pemuda PAS Pusat untuk PAS mempelopori dan mengamalkan konsep kepemimpinan ulamak telah diluluskan, bersama usul supaya Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 dipinda untuk menubuhkan sebuah 'Majlis Ulamak' yang menjadi tempat rujukan dan berkuasa memutuskan setiap urusan PAS. Ekoran itu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 4 November 1982 telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Pemangku Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri bagi mengkaji pindaan Perlembagaan PAS, untuk diangkat ke Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 dalam tahun 1983. Jawatankuasa Khas ini telah menyusunkan beberapa perkara sebagai cadangan kepada pindaan Perlembagaan PAS tersebut, antaranya:

I. Perubahan nama jawatan-jawatan utama PAS seperti Yang Dipertua Agung PAS kepada Presiden PAS;
II. Mewujudkan satu jawatan baru dalam Jawatankuasa Kerja Agung PAS iaitu Ketua Penerangan PAS;
III. Mengubah fungsi Dewan Ulamak PAS kepada tanggungjawab tarbiyah dan pendidikan;
IV. Mengawal kuasa Yang Dipertua Agung PAS dalam melantik pegawai utama parti, iaitu mesti dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS;
V. Penubuhan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai manifestasi daripada konsep kepemimpinan ulamak. 

Berbeza dengan cadangan-cadangan lain yang bertujuan memperkemas dan menambah baik organisasi PAS sedia ada, cadangan menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS adalah langkah radikal dalam memperkasakan peranan para ulamak dalam PAS. Pindaan ini menggariskan tiga kuasa Majlis Syura Ulamak PAS iaitu:

i) menafsirkan Perlembagaan PAS,
ii) mengawal dasar parti, dan
iii) mengawal tatatertib atau disiplin ahli PAS.

Majlis ini kelak akan diketuai oleh seorang Mursyidul Am, sedangkan ahli-ahlinya seramai 12 orang adalah terdiri dari para ulamak. Badan ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Yang Dipertua Agung PAS dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS dengan tujuan memastikan "penentuan dasar PAS itu lebih terjamin dari segi sandarannya kepada kehendak-kehendak syariat Islam." Cadangan-cadangan yang digariskan oleh Jawatankuasa Khas telah diperhalusi oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 12 April 1983, sebelum ia diangkat kepada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 pada 30 April hingga 1 Mei 1983.

Cadangan Jawatankuasa Khas ini telah diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS, tetapi isu perubahan nama jawatan-jawatan utama telah diubah dari cadangan "Presiden PAS" kepada "Yang Dipertua PAS Pusat," dengan ketetapan ia mesti dikaji semula oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS bersama tiga wakil Badan Perhubungan Negeri. Setelah melepasi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 8 Mei 1983 dan 20 Ogos 1983, maka Jawatankuasa Kerja Agung PAS bersama wakil-wakil Badan Perhubungan PAS Negeri pada 31 Ogos 1983 kemudiannya telah mengesahkan pindaan baru ini, sebelu dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Disusun oleh: Arkib PAS

30 Ogos 2016

30 Ogos 1955 : 'Mr. Opposition' PAS Mengangkat Sumpah Sebagai Ahli Majlis Undangan Persekutuan

Pada hari ini dalam tahun 1955, wakil rakyat tunggal pembangkang mewakili PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Undangan Persekutuan (Federal Legislative Council) setelah memenangi Pilihan Raya Umum pada 27 Julai 1955. Beliau merupakan satu-satu calon bukan Perikatan yang menang bagi kerusi Krian daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya tersebut untuk mengisi salah satu kerusi Majlis Undangan Persekutuan yang mempunyai 98 ahli itu. Dengan berlangsungnya majlis mengangkat sumpah ini, maka rasmilah Bendahari Agung PAS itu sebagai wakil pembangkang tunggal, yang kemudiannya lebih dikenali sebagai "Mr Opposition" di kalangan anggota majlis perundangan tersebut.

Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin merupakan seorang ulamak terkenal di utara Semenanjung. Beliau adalah salah seorang ulamak yang berkerja keras dalam mengasaskan PAS, walaupun pada awalnya merupakan aktivis Umno. Ulamak keturunan Banjar ini adalah anak kepada Tuan Hussin Kedah, ulamak besar yang tersohor itu dan beliau mendapat pendidikan tinggi di Mekah, sebelum menjadi Mudir Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena, Seberang Perai. Di dalam PAS, beliau pernah dilantik sebagai Bendahari Agung PAS, Ahli Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Ketua Dewan Ulamak PAS dan Ahli Jawatankuasa Agung PAS. Pada 23 Disember 1956, beliau mewakili Dr Haji Abbas Alias menyampaikan Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima.

Dengan terlantiknya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin sebagai Ahli Majlis Undangan Persekutuan secara rasmi pada 30 Ogos 1955, maka beliau telah memainkan peranan penting dalam membawa suara Islam ke majlis perundangan itu. Bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda mencatatkan peranan beliau, "sebagai seorang ulamak terkenal dan mempunyai ketokohan dan kedudukan yang terhormat dalam masyarakat, maka kehadiran beliau (Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin) dalam Majlis Undangan Persekutuan itu merupakan titik tolak penting dalam sejarah PAS." Sepanjang empat tahun (1955-1959) beliau berada dalam Majlis Undangan Persekutuan, beliau telah membangkitkan isu-isu masyarakat, kedudukan Islam, bahasa Melayu, ketuanan Melayu, pelajaran dan juga isu antarabangsa. Sejak mula dicalon oleh PAS, beliau telah difitnah oleh Umno kononnya Majlis Undangan bukan tempat "membaca doa nasi kunyit" atau mengajar hadis, bahkan mendakwa beliau tidak dapat berfungsi kerana "tidak tahu berbahasa Inggeris."

Semua fitnah ini tertolak apabila beliau dicatatkan tidak pernah 'memonteng' sidang Majlis Undangan Persekutuan dan berperanan aktif. Bermula dengan membangkit isu rakyat seperti bantuan nelayan, ganti rugi penanam padi, kedudukan pesara kerajaan, penglibatan lepasan sekolah dalam perkhidmatan awam, hinggalah masalah penubuhan Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan ancaman komunis. Antara sumbangan besar beliau ialah cadangan berkait sekolah-sekolah agama rakyat yang dibangkitkan pada 14 Mac 1956, dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Penyiasat Sekolah Agama. Hasilnya, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Menimbang Bantuan Kewangan Kepada Sekolah Agama Bukan Kerajaan yang turut dianggotai oleh beliau, dengan diketuai Abdul Rahman Talib. Kerana cadangan mereka, kerajaan memasukkan bantuan sekolah agama dalam Ordinan Pelajaran 1957. Pada 16 Mei 1956, Tuan Guru Haji Ahmad telah berucap menyokong Penyata Pelajaran Razak dengan menekankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, lalu tarikh penerimaan Penyata Razak 1956 ini (16 Mei) dijadikan 'Hari Guru.' Dalam perbahasan Belanjawan 1957 pada 13 November 1956, beliau telah mencadangkan supaya jualan arak dihapuskan dan cadangan penghapusan judi laga binatang pada 15 Ogos 1957.

Peranan terpenting Tuan Guru Haji Ahmad di Majlis Undangan Persekutuan ialah apabila beliau memberi pandangan tentang Penyata Reid atau Kertas Putih Perlembagaan pada 10 Ogos 1957. Ucapan beliau terfokus kepada beberapa isu seperti Perlembagaan ini "will not benefit to the Malay," kerana soal kebangsaan tunggal, hak ketuanan Melayu dan kerakyatan jus soli akan "melenyapkan dan menanggalkan hak mutlak bangsa Melayu di dalam tanah airnya sendiri." Dalam soal Islam sebagai agama Persekutuan yang sekular, beliau menegaskan "but this would be lower the dignity of Islam, for Islam cannot, under modern condition, be associated with the State." Ini selari dengan pandangan PAS yang menegaskan "... (Islam) ialah agama yang menjadi panduan kepada hidup negeri ini, dan kepada pemerintahan negeri ini dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya." Bagi beliau, isu ini timbul kerana Perlembagaan Persekutuan digubal tanpa penglibatan rakyat, melainkan Perikatan, Raja-raja Melayu dan British sahaja.

Disusun oleh: Arkib PAS