06 Ogos 2016

06 Ogos 2016 : Pendaftaran PAS Cawangan Singapura Diluluskan

Pada hari ini dalam tahun 1958, usaha PAS untuk menubuhkan sayapnya di Singapura sejak 1952 telah berhasil apabila permohonan untuk mendaftarkan PAS Cawangan Singapura diluluskan oleh pihak berkuasa. Pada 1952, PAS pernah mengemukakan permohonan yang serupa kepada pemerintah British di tanah jajahan mahkota itu, tetapi telah ditolak. Singapura yang mempunyai undang-undang yang berbeza dengan Tanah Melayu menghendaki cawangan parti politik dari Semenanjung didaftarkan di pulau itu, sedangkan sebelum 1966, cawangan-cawangan parti politik di Tanah Melayu tidak didaftarkan.

Perkembangan politik yang pesat di Singapura tetapi diwarnai oleh konflik berdarah akibat isu Natrah pada akhir 1950, yang diikuti oleh melebarnya pengaruh komunis di pulau itu, telah menyebabkan proses pendaftaran PAS pada 1952 gagal. Namun, disebabkan ramainya tokoh-tokoh politik Islam dan pemimpin kiri di Singapura yang menyertai PAS antara 1951 hingga 1956, telah meletakkan Singapura sebagai potensi besar bagi PAS. Antara tokoh agama yang menonjol di Singapura seperti Ustaz Abdul Rahman al-Jampuli, Dr Burhanuddin al-Helmy, Prof Ahmad Ibrahim, Sheikh Fadhlullah Suhaimi, Syed Ahmad Dahlan, Ustaz Mohd Taha Suhaimi dan Wan Jo Abu Bakar yang telah menyertai PAS. Sedangkan tokoh-tokoh kiri yang turut menyertai PAS di Singapura termasuk Mohd Taha Kalu, Khadijah Sidek, Dr Dali Moin dan Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah.

Perubahan politik pasca Pilihan Raya Singapura 1955 yang memperlihatkan kemunculan David Marshal sebagai Ketua Menteri telah memberi nafas baru kepada PAS. Pada 24 Februari 1957, satu pertemuan ahli-ahli PAS Singapura diadakan di rumah Ustaz Mohd Taha Suhaimi yang turut dihadiri oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, Yang Dipertua Agung PAS. Dalam pertemuan ini, mereka telah bersetuju untuk menubuhkan PAS Cawangan Singapura dan melantik Ustaz Mohd Taha Suhaimi sebagai Yang Dipertua PAS Singapura. Mereka kemudiannya mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan PAS Cawangan Singapura di bawah Ordinance of Society Singapore.

Pada 6 Ogos 1958, permohonan untuk mendaftarkan PAS Cawangan Singapura telah diluluskan sekaligus membolehkan PAS bergerak secara sah di pulau Temasik itu. Pada 20 November 1958, PAS Cawangan Singapura telah mengadakan mesyuarat agung kali pertama di mana bekas Setiausaha Agung PKMM Singapura, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah telah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Singapura. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh pada 25-27 Disember 1958 kemudiannya telah memberikan status autonomi kepada PAS Cawangan Singapura di mana Yang Dipertuanya secara automatik menjadi Pesuruhjaya PAS Singapura. Selain Ustaz Abdullah Zawawi yang menjadi pesuruhjaya antara 1958-1962, turut menjadi pesuruhjaya ialah Ustaz Mohd Taha Suhaimi (1962-1966). Selepas perpisahan Singapura dari Malaysia pada 1965, PAS Singapura dikenali sebagai Angkatan Islam (AIS) yang dipimpin oleh Wan Jo Abu Bakar. Mulai 2011, ia dikenali sebagai Angkatan Islam Singapura (Angkasa).

Disusun oleh: Arkib PAS

05 Ogos 2016

05 Ogos 2012 : Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Berjumpa Sultan Kelantan Bincang Isu Royalti

Pada hari ini dalam tahun 2012, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan bahawa beliau akan mengadap Sultan Kelantan, Sultan Mohammad Ke-V untuk membincangkan isu berkaitan royalti minyak Kelantan yang 'dirompak' oleh Kerajaan Pusat. Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz akan mengadap Baginda untuk mendapatkan perkenan bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Kelantan menduduki Jawatankuasa Khas berhubung isu pembayaran royalti petroleum di negeri-negeri Pantai Timur. Selain Kelantan, turut menghadapi 'rompakan' royalti petroleum ialah Terengganu sejak negeri itu diperintah oleh PAS antara 1999 hingga 2004.

Jawatankuasa Khas berhubungan isu pembayaran royalti petroleum bagi negeri-negeri Pantai Timur telah diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pada 4 Ogos 2012. Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad ini bertujuan untuk mengkaji secara adil dan telus berhubung isu pembayaran tunai (royalti) petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung. Turut terlibat dalam isu royalti petroleum ini ialah Pahang kerana negeri tersebut juga dikatakan mempunyai hasil petroleum yang belum digali di lautnya, sedangkan Terengganu dan Kelantan telahpun menggali hasilnya. Jawatankuasa Khas ini akan dianggotai oleh wakil-wakil negeri yang dilantik oleh sultan masing-masing, selain pakar-pakar undang-undang. Menurut Ketua Kerajaan Kelantan itu, kerajaan belum lagi berbincang tentang pencalonan wakil tersebut, tetapi ia akan dibawa mengadap untuk mendapat perkenan Sultan Kelantan.

Isu royalti minyak Kelantan telah berbangkit sejak 2009 apabila Kerajaan Negeri mendapati daripada Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa Kelantan telah mengeluarkan hasil petroleum sejak 2004. Kerajaan Kelantan yang menganggarkan keseluruhan hasil royalti sehingga 2009 itu bernilai RM1 bilion, dan telah mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan Pusat. Menurut perjanjian petroleum berdasarkan Akta Petroleum 1975 antara Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohamad Nasir dengan Pengerusi Petronas, Tengku Razaliegh Hamzah, bahawa Kelantan akan dibayar royalti sebanyak lima peratus setahun yang dibayar dua kali jika hasil petroleum ditemui di kawasan pantai dan pesisirnya. Isu tuntutan royalti ini menjadi isu utama dalam kempen Pilihan Raya Kecil DUN Manik Urai sepanjang Jun hingga Julai 2009.

Kesan daripada tuntutan yang dibuat oleh Kelantan, pada 8 Julai 2009, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kerajaan Pusat memyerahkan kepada Petronas untuk membuat penjelasan. Pada 24 November 2009, sebuah Kaukus Parlimen telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaliegh Hamzah untuk membincangkan isu royalti petroleum dan mengkaji semula Akta Petroleum 1975. Pada 28 Januari 2010, satu Pidato Royalti Minyak diadakan di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV yang turut dihadiri oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas, selain Mursyidul Am PAS dan Pengerusi Kaukus Parlimen itu. Desakan-desakan berterusan daripada rakyat Kelantan supaya royalti dibayar kepada Kelantan, selain tuntutan MAMPAT di Terengganu, telah memaksa Kerajaan Pusat bertindak.

Pada 4 Ogos 2012, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut untuk mengkaji tuntutan Kelantan. Memberi respon kepada penubuhan jawatankuasa ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 5 Ogos 2012 dilaporkan telah mengumumkan untuk mengadap Sultan Mohammad Ke-V untuk mendapat perkenan perlantikan wakil Kelantan ini. Sultan Kelantan kemudiannya telah berkenan melantik Dr Tengku Mohd Fa-iz Petra yang juga Tengku Mahkota Kelantan untuk mewakili Kelantan dalam Jawatankuasa Khas tersebut. Walau bagaimanapun, Kerajaan Pusat hingga kini hanya membayar wang ihsan sebanyak RM25 juta setahun melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Disusun oleh: Arkib PAS

04 Ogos 2016

04 Ogos 1952 : Pemimpin PAS Berbeza Pandangan Hukum UMNO Terima Wang Loteri Dari MCA

Pada hari ini dalam tahun 1952, akhbar Utusan Melayu telah menyiarkan konflik kepemimpinan yang berlaku dalam PAS ekoran perselisihan pendapat dua pemimpin tertinggi PAS dalam isu penerimaan wang loteri MCA oleh Umno. Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah berbeza pendapat dengan Timbalan Yang Dipertua PAS, Ustaz Haji Ghazali Abdullah yang kemudiannya menjadi polemik di media massa. Yang menarik, Ustaz Haji Ghazali Abdullah adalah seorang tokoh Umno Perak, sedangkan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad adalah penyokong Dato' Onn Jaafar di dalam Umno sebelum bekas pemimpinan utama Umno keluar dari parti nasionalis sekular itu pada 26 Ogos 1951.

Ada asalnya, isu ini timbul kerana usaha MCA Kuala Lumpur yang diketuai HS Lee untuk memujuk Dato' Razak Yahya, pemimpin Umno Kuala Lumpur mengadakan kerjasama MCA-Umno dalam Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 16 Februari 1952. MCA telah membiayai kempen Umno dalam pilihan raya yang memenangkan mereka untuk sembilan daripada 12 kerusi. Kesan daripadanya, Umno dan MCA mula membentuk satu perikatan politik. Prof Ramlah Adam berkata Umno 'dibeli' oleh MCA apabila parti Cina itu menawarkan sumbangan hasil Loteri MCA sebanyak $500,000.00 kepada Umno untuk melatih orang Melayu dalam bidang perniagaan, setelah MCA gagal memperalatkan Dato' Onn Jaafar melalui Parti Kemerdekaan Melayu (IMP).

"Dengan itu Umno dan Tunku Abdul Rahman tidak terlepas daripada manipulasi MCA. Parti MCA dan Chinese Chambers of Commerce telah menggunakan pengaruh (wang loteri)nya untuk memujuk dan mengambil hati Umno," komen Ramlah Adam. MCA juga dikatakan akan menggunakan wang loteri untuk menyelamatkan sebuah bank Melayu, akhbar Majlis milik orang Melayu dan membantu perpindahan pejabat Tunku Abdul Rahman dari Province Wellesly ke Johor Bahru, selain turut membantu dana pembinaan Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur. Atas sebab itu, Dato' Onn Jaafar telah mencadangkan kepada Majlis Undangan Persekutuan supaya loteri diharamkan. Menurut Prof Nik Anuar Mahmud, pemberian MCA sebanyak setengah juta ringgit itulah yang menyebabkan Umno menerima kerakyatan jus soli yang diminta oleh MCA sehingga merugikan orang Melayu hari ini.

Masalah menerima wang hasil judi loteri anjuran MCA oleh Umno dan orang Melayu telah menjadi perdebatan hukum dalam PAS. Pada 23 Julai 1952, Utusan Melayu telah menyiarkan pendapat Tuan Guru Haji Ahmad Fuad yang mengatakan ia adalah harus kerana wang haram apabila berpindah tangan kepada pihak kedua ia menjadi halal berdasarkan Mazhab Maliki. Ustaz Haji Ghazali yang merupakan ahli Umno pula berpendapat wang tersebut adalah haram kerana kita mengetahui sumbernya yang haram iaitu judi loteri. Pendapat Ustaz Haji Ghazali Abdullah yang berbeza ini disiarkan oleh Utusan Melayu pada 4 Ogos 1952. Kerana pertentangan pendapat dalam soal penerimaan wang hasil judi ini, Ustaz Haji Ghazali Abdullah mulai meninggalkan perjuangan PAS dan ia menimbulkan konflik kepemimpinan yang disifatkan oleh seorang wartawan, Bakhtiar Djamily sebagai "Persatuan Islam menghadapi dugaan."

Pada tahun 1951, para ulamak dalam Bahagian Agama dan Pelajaran Umno telah bertindak menubuhkan PAS pada 23 Ogos 1951, yang disebabkan kemarahan ulamak terhadap tindakan Umno menganjurkan Loteri Umno bagi membiayai pembinaan Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur. Para ulamak Umno telah berfatwa bahawa ia adalah haram, sehingga Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor, Ungku Ismail Abdul Rahman mengatakan Umno telah tergelincir daripada al-Quran dan Sunnah. Isu judi loteri inilah yang menyebabkan ulamak menubuhkan PAS. Setelah ulamak berpisah dari Umno, parti sekular itu telah mengambil pemberian MCA untuk "membeli" orang Melayu dalam soal kerakyatan. Perbezaan pendapat para ulamak PAS adalah perkara biasa, tetapi ia adalah simbol keprihatinan ulamak terhadap kemungkaran.

Disusun oleh: Arkib PAS

03 Ogos 2016

03 Ogos 1986 : PAS Kuasai Separuh Undi Popular Di Kelantan Pada Pilihanraya Umum Kali Ke-7

Pada hari ini dalam tahun 1986, PAS Kelantan telah membuat lonjakan besar dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 3 Ogos 1986 dengan menguasai 45.9 peratus undi popular dan menguasai 10 daripada 39 kerusi DUN di Kelantan. PAS yang tewas teruk di Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri pada 11 Mac 1978 akibat kerjasama antara serpihan PAS, Berjasa dengan Umno dan mengalami perpecahan lagi ekoran penubuhan Hamim pada 24 Mac 1983, dilihat sukar untuk bangkit dalam masa yang terdekat. Namun begitu, kejayaan PAS Kelantan membuat lonjakan besar pasca dua perpecahan ini, telah menyebabkan PAS dilihat sangat berpotensi untuk berkuasa semula di Kelantan dalam pilihan raya berikutnya.

Pilihan Raya Umum 1986 diadakan dalam suasana politik yang tidak memihak kepada PAS kerana ia sedang diserang dengan beberapa isu besar antaranya Tragedi Memali 19 November 1985, isu hubungan PAS-CCC, isu pertemuan PAS-Umno dan juga isu "Parti Allah" yang dijadikan senjata saat akhir BN. PAS sendiri yang berusaha membentuk pakatan pembangkang melalui penubuhan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) pada 14 Julai 1986 tidak sempat berbuat apa-apa kerana Parlimen dibubarkan lima hari kemudian. Kerjasama PAS dengan masyarakat Cina menerusi Majlis Perunding Cina (CCC) sejak 1985 juga tergugat ekoran isu pertemuan PAS-Umno. Dari segi isu-isu di peringkat nasional, BN telah berjaya memilih kedudukan terbaik untuk membendung pencapaian PAS.

Namun begitu, di Kelantan suasana politik telah berbeza selepas kekalahan 1978. Faktor kepemimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengetuai PAS Kelantan sejak 1 Mac 1981, yang diikuti oleh program tarbiyah dalaman yang dibuat secara besar-besaran dan juga kuliah umum yang berpusat di Dewan Zulkifli Mohamad telah memulihkan kekuatan PAS dalam masa yang singkat. Perpecahan pada 1983 yang menyebabkan PAS hilang empat daripada lima kerusi Parlimen (Kota Setar, Rantau Panjang, Bachok dan Pasir Mas) serta tiga kerusi DUN (Kubang Kerian, Meranti dan Perupok) tidak menjejaskan PAS, sebaliknya telah menyingkirkan golongan yang menjadi "kemuncut dalam perjuangan." Kegagalan Hamim mendapatkan semula deposit dalam pilihan raya kecil di Selising dan Kemumin pada 8 September 1983 telah menghilangkan gugatan parti tersebut terhadap PAS walaupun mereka menyertai BN pada 1985.

Pembubaran serentak DUN Kelantan dan Dewan Rakyat pada 19 Julai 1986, yang diikuti oleh penamaan calon pada 24 Julai 1986 dan pengundian pada 3 Ogos 1986 telah memperlihatkan PAS Kelantan berjaya mengenepikan isu-isu nasional dan membuat kebangkitan semula. 10 calon PAS iaitu Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat (Semut Api), Daud Ibrahim (Kemumin), Abdul Halim Abdul Rahman (Banggol), Mawardi Ahmad (Lundang), Mustafa Ibrahim (Mulong), Omar Mohamad (Perupuk), Idris Ahmad (Tawang), Wan Hussin (Labok), Wan Hassan Wan Yusof (Guchil) dan Ismail Yaakob (Manik Urai) telah menang di kawasan masing- masing, di samping kejayaan Ustaz Nik Abdullah Arshad mempertahankan kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. BN sebaliknya memenangi 29 kerusi DUN dengan lebih 10 daripadanya adalah marginal, sedangkan pada 1988, pengharaman Umno hampir menghilangkan majoriti mereka di DUN Kelantan. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan dilantik sebagai Ketua Pembangkang di DUN Kelantan.

Disusun oleh: Arkib PAS

02 Ogos 2016

02 Ogos 2001 : Timbalan Pengarah Jabatan AMAL Negeri Johor Ditahan Bawah ISA

Pada hari ini dalam tahun 2001, Timbalan Pengarah Unit Amal Johor, Ustaz Norashid Sakib telah ditahan ISA atas tuduhan terlibat dalam kegiatan memudharatkan keselamatan negara. Beliau ditahan mengikut Seksyen 73 ISA bersama sekumpulan yang lain kerana dikatakan membentuk Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM). Dalam tempoh tiga hari antara 2-4 Ogos 2001, seramai 10 orang yang kebanyakkannya adalah ahli PAS telah ditahan di atas arahan Menteri Dalam Negeri. Menurut Timbalan Negeri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin, mereka adalah antara 12 orang mujahidin Afghanistan yang menubuhkan organisasi KMM di Puchong pada 1999.

Ustaz Norashid Sakib, seorang guru agama di Madrasah al-Masriah, Simpang Renggam, Johor merupakan graduan pengajian Islam dari Pakistan. Beliau aktif dalam Dewan Pemuda PAS Johor sejak pulang dari Pakistan dan memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Johor dan Ketua Dewan Pemuda Sungai Benut, selain menjawat jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Amal Johor. Pada jam 9.30 pagi 2 Ogos 2001, pihak polis telah mendatangi Madrasah al-Masriyah dan meminta Ustaz Norashid Sakib melaporkan diri di Balai Polis Simpang Renggam. Pada sebelah petangnya, polis menggeledah rumah beliau dan keluarganya dimaklumkan beliau ditahan mengikut Seksyen 73 ISA.

Selain Ustaz Norashid Sakib, ahli-ahli yang turut ditahan tanpa bicara ialah Ustaz Lufti Ariffin (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Kedah), Ustaz Ahmad Tajuddin (Ketua Dewan Pemuda PAS Larut), Ustaz Nik Adli Nik Aziz (anak Mursyidul Am PAS), Salehan Abu Bakar (ahli PAS Guar Chempedak), Abu Bakar Che Joi (ahli PAS Baling), Asmawani Abdullah (ahli PAS Baling) dan Ahmad Fauzi Deraman (ahli PAS Gurun). Dua lagi yang turut ditahan ialah Alias Ngah (penyokong PAS) dan Zainon Ismail (bekas ahli PAS). Pergerakan mereka didakwa oleh kerajaan terbongkar ekoran penangkapan seorang ahli mereka dari Indonesia, Mohd Ikbal Abdul Rahman. Kerajaan turut mendakwa kumpulan ini diketuai oleh Ustaz Nik Adli Nik Abdul Aziz, anak Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mangsa- mangsa ISA ini ditahan antara empat hingga 10 tahun.

Di sebalik tuduhan-tuduhan dan dakwaan yang dibuat oleh kerajaan, pihak pemerintah itu tidak pernah mengemukakan bukti, bahkan tidak mendakwa semua tahanan ISA di mahkamah. Pejuang-pejuang hak asasi manusia menganggap penahanan ini adalah pencabulan kemanusiaan, sedangkan pemerhati politik melihatnya sebagai satu usaha merosakkan reputasi PAS. Isu ini telah mempalitkan PAS dengan isu keganasan dan militan. KMM kemudiannya dinamakan oleh kerajaan sebagai Kumpulan Militan Malaysia, setelah menyedari perkataan 'mujahidin' yang dilabelkan sebelum ini memberi imej positif kepada tahanan. Antara usaha PAS untuk membela tahanan KMM ini adalah dengan menubuhkan Tabung ISA, selain berterusan mendesak supaya ISA dihapuskan. Presiden PAS, Dato' Ustaz Fadzil Mohd Noor pada 8 Ogos 2001 telah membawa usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membincangkan penyalahgunaan ISA oleh Kerajaan BN.

Disusun oleh: Arkib PAS

01 Ogos 2016

01 Ogos 2009 : PAS Sertai Himpunan Mansuhkan ISA

Pada hari ini dalam tahun 2009, PAS menyertai Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk mengadakan himpunan bagi membantah penyalahgunaan ISA oleh Kerajaan BN dengan menahan musuh-musuh politik mereka tanpa bicara. Tujuan utama himpunan Mansuh ISA ini adalah untuk mendesak Kerajaan BN memansuhkan ISA, membebaskan semua tahanan ISA dan menutup kem tahanan ISA di Kamunting, Perak. Penganjur himpunan ini, GMI telah mensasarkan penyertaan seramai 100,000 demonstran untuk berarak dan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Selain gabungan GMI, perhimpunan ini turut disertai oleh parti-parti Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP, selain NGO-NGO hak asasi manusia. Mereka merancang untuk berhimpun di Masjid Jamek Kuala Lumpur, Kompleks Sogo, KL Sentral dan Masjid Negara, sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum. Rancangan GMI ini telah mendapat tindak balas beberapa NGO pro kerajaan, Majlis Pemuafakatan Ummah (Pewaris), Perkasa dan 10 NGO lain telah merancang untuk membuat himpunan pada hari yang sama bagi menyokong ISA. Mereka mengatur untuk berhimpun di Padang Merbuk, Masjid Negara dan Pasar Seni sebelum bergerak ke Dataran Merdeka dan menyerahkan memorandum menyokong ISA di Istana Negara.

Disebabkan tindakan NGO pro kerajaan tersebut, pihak polis pada 28 Julai 2009 telah mengumumkan untuk tidak mengeluarkan permit kepada kedua-dua pihak untuk mengelakkan pertembungan dan pergeseran. Pihak polis juga mengumumkan untuk sekatan jalan raya dan menahan sesiapa yang terlibat dengan perhimpunan ini, yang menyebabkan Pewaris dan Perkasa membatalkan himpunan mereka, tetapi GMI meneruskan himpunan ini. Dalam himpunan pada 1 Ogos 2009 ini, seramai 10,000 demonstran telah menyertainya, termasuk para pemimpin utama Pakatan Rakyat. Seramai 549 lelaki dan 40 wanita telah ditahan di bawah Akta Polis kerana menyertai perhimpunan ini.

Sebagai menyatakan sokongan kepada Himpunan Mansuhkan ISA dan tanda komitmen PAS untuk menentang ISA, pada 15 Julai 2009, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad telah mengeluarkan arahan kepada seluruh ahli PAS supaya turun dalam himpunan pada 1 Ogos 2009 untuk membantah ISA. PAS juga telah menganjurkan ceramah dan mengedarkan risalah tentang kezaliman ISA di seluruh negara untuk membentuk kesedaran rakyat terhadap isu kezaliman ISA. Hasil dari sokongan PAS terhadap Himpunan Mansuh ISA ini, pada 1 Ogos 2009, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein telah berjanji bahawa kerajaan akan mengkaji semula ISA sama ada ia patut dimansuhkan atau sebaliknya.

Disusun oleh: Arkib PAS

31 Julai 2016

31 Julai 2009 : ADUN Permatang Pasir (PAS) Meninggal Dunia

Pada hari ini dalam tahun 2009, ADUN Permatang Pasir, Dato' Haji Mohd Hamdan Abdul Rahman yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada awal pagi 31 Julai 2009. Beliau yang merupakan wakil rakyat kawasan tersebut sejak 1999 telah mengalahkan calon BN, Ahmad Sahar Shuib dalam Pilihan Raya Umum 2008 dengan majoriti 5,443 undi. Beliau adalah satu-satu ADUN PAS yang dapat mempertahankan kerusinya tiga kali berturut-turut sejak 1999.

Dato' Haji Mohd Hamdan yang dilahirkan di Kedah pada 1946, telah lulus Senior Cambridge pada 1965 dan lulus IV Sanawi dalam pendidikan agama di bawah Majlis Agama Islam Kedah, sebelum mengikuti kursus intensif pentadbiran awam di Institut Pentadbiran Awam (INTAN) pada 1975 dan kursus pentadbiran umum di Kolej Pentadbiran dan Latihan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia (KDRM) pada 1977. Selain pernah menjadi guru di Maktab Mahmud, Alor Setar (1965-1966), beliau juga telah berkhidmat sebagai pegawai tadbir negeri Kedah (1966-1977) dan pegawai kastam (1977-1983). Beliau juga adalah aktivis masyarakat yang pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Malaysia (MBM) Cawangan Kedah (1973-1977), Setiausaha ABIM Kedah (1973-1976), Pengerusi ABIM Alor Setar (1973-1982) dan aktif dalam PEMADAM selaku Ahli Jawatankuasa PEMADAM Pulau Pinang (1989-1999) dan Ahli Jawatankuasa PEMADAM Seberang Perai Tengah sejak 2008.

Beliau yang mula terlibat dengan PAS sejak 1970-an, telah mulai aktif selepas bersara dari KDRM pada 1983. Pada mulanya beliau dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan PAS Pulau Pinang pada 1983, kemudian menjadi Bendahari PAS Pulau Pinang pada 1985, sekali gus selaku Ketua Penerangan PAS Tasik Gelugur dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Ekonomi Dewan Pemuda PAS Pusat. Beliau yang merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas sejak 1989 telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sejak 1989 menggantikan Ustaz Zabidi Ali. Beliau digantikan oleh Mohamad Sabu pada 2003, tetapi dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sehingga 2008. Beliau juga turut menjadi ADUN mewakili PAS sejak 1999.

Dalam Pilihan Raya Umum 1990 dan 1995, beliau dicalonkan oleh PAS di DUN Penaga, tetapi tewas kedua-duanya. Namun begitu, pada 1999, 2004 dan 2008, beliau berjaya merampas kerusi DUN Permatang Pasir sebanyak tiga kali berturut-turut dengan majoriti melebihi 3,000 undi. Beliau yang menerima anugerah Darjah Pangkuan Setia Negeri yang membawa gelaran Dato' pada 11 Julai 2009 telah meninggal dunia pada 31 Julai 2009 setelah beberapa uzur kerana serangan jantung. Hasil jasa dan perkhidmatan beliau sejak 1999, dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada 25 Ogos 1995, kerusi DUN Permatang Pasir berjaya dipertahankan oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man dengan majoriti 4,551 undi.

Disusun oleh: Arkib PAS