04 Jun 2016

04 Jun 1989 : PAS Kelantan Ambil Tindakan Terhadap Pimpinan Yang Menolak Pendirian Parti

Pada hari ini dalam tahun 1989, Dewan Harian PAS Kelantan telah mengambil keputusan untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pimpinan PAS Negeri dan juga Dewan Ulamak PAS Negeri yang menentang pendirian parti untuk mengadakan kerjasama politik dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990. Setelah Umno berpecah pada 1988, PAS membuat strategi dengan menolak tawaran kerjasama politik dengan Umno, sebaliknya membentuk kerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46 menerusi APU. Sebahagian pimpinan PAS Kelantan bersikap keras dengan menolak kerjasama dengan serpihan Umno yang dianggap seperti Umno juga.

Terdahulu, perubahan-perubahan politik yang berlaku telah mendorong PAS mengatur strategi politiknya dengan mewujudkan pakatan politik pembangkang. Pada 13 Julai 1986, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah mengemukakan sebuah kertas tentang tahaluf siyasi untuk mengalahkan BN, diikuti oleh kertas Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 9 Oktober 1989 tentang kedudukan tahaluf dalam politik Islam. Ekoran perpecahan Umno, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman pada 9 Jun 1989 telah menyediakan sebuah kertas strategi untuk menawan Kelantan bertajuk 'Persefahaman Politik Dalam Pilihan Raya' yang mencadangkan pendekatan kerjasama dengan serpihan Umno untuk membolehkan PAS menguasai semula Kelantan.

Bertolak dari asas hukum dan strategi politik ini, PAS telah mengambil langkah mewujudkan hubungan politik dengan Semangat 46. Namun begitu, terdapat di kalangan pimpinan PAS Kelantan yang menentang pendekatan ini. Dalam laporan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Wan Abdul Rahim Abdullah pada 12 November 1989, seluruh kegiatan menentang persefahaman politik PAS-APU di kalangan ahli-ahli PAS telah didedahkan. Sebagai tindakan ke atas kegiatan subversif dalam parti ini, Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 26 Februari 1989 mengarahkan pimpinan yang menentang kerjasama ini meletak jawatan, tetapi tidak berkesan.

Antara pimpinan utama yang terlibat ialah Ustaz Mawardi Ahmad (Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan), Ustaz Sabri Muhammad (Setiausaha Perhubungan), Ustaz Ismail Noh (Bendahari Perhubungan), Ustaz Mustapha Taib, Ismail Abdullah dan Ustaz Wan Daud Wan Jusoh (Ahli-ahli Perhubungan) serta Ustaz Mohd Nor Idris (Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan). Ekoran tindakan berterusan mereka menentang kerjasama ini, pada 24 April 1989, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat bertindak untuk tidak melantik semula mereka dalam kepemimpinan PAS Kelantan bagi sesi 1989-1991. Beliau turut memberi amaran untuk bertindakan serupa terhadap Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Kelantan pada 31 Mei 1989. Bagi mewujudkan kesatuan fikrah dalam parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 1990, pada 4 Jun 1989, PAS Kelantan mengambil sikap untuk bertegas terhadap anasir-anasir penentangan ini, sehingga akhirnya pada 26 September 1989 PAS terpaksa memecat keahlian sebahagian daripada mereka.

Disusun oleh: Arkib PAS

03 Jun 2016

03 Jun 2001 : Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Dipilih Sebagai Pimpinan PAS Pusat

Pada hari ini dalam tahun 2001, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-47 yang berlangsung sejak 1 Jun 2001 telah memilih seorang tokoh pendakwah terkenal, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk sesi 2001-2003. Ini adalah kali pertama Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyertai pimpinan PAS Pusat sejak beliau mulai aktif dalam parti pada 1999. Muka baru yang turut terpilih dalam muktamar ini ialah Ustaz Ahmad Awang, Dr Abdul Wahab Ismail, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib, Dr Lo'lo' Mohd Ghazali, Husam Musa, Datuk Kamaruddin Jaffar, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, Salahuddin Ayub, Ustaz Omar Mohamad dan Ustaz Idris Ahmad.

Sebelum aktif dalam PAS, Ustaz Tuan Ibrahim adalah seorang pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Jengka dan merupakan seorang pendakwah terkenal yang sering menjadi ahli panel Forum Perdana TV1. Beliau yang dilahirkan di Jerantut, Pahang pada 27 Ogos 1960 dan berkelulusan Sarjana Pengajian Islam dalam bidang dakwah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah anak saudara kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali gus berpangkat sepupu kepada pemimpin-pemimpin PAS sekarang seperti Ustaz Datuk Nik Mohd Zawawi Salleh (Setiausaha Majlis Syura Ulamak), Ustaz Nik Abduh Nik Aziz (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) dan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani (Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor).

Walaupun telah lama bersama perjuangan PAS dan aktif bersama ABIM ketika mudanya, Ustaz Tuan Ibrahim hanya aktif dalam PAS setelah beliau terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Pahang pada 29 November 1999. Beliau berjaya mengalahkan calon BN, Dato' Zainal Hassan dengan majoriti 319 undi. Walau bagaimanapun, kerusi tersebut tidak dapat dipertahankan dalam pilihan raya selepas itu. Ustaz Tuan Ibrahim kemudiannya diumumkan sebagai calon yang terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-47, 3 Jun 2001. Sesi 2001-2003 adalah sesi terakhir PAS dipimpin oleh Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor. Beliau mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selama 10 tahun sebelum tewas merebut jawatan Timbalan Presiden PAS pada 2011.

Dalam kepemimpinan PAS Pusat, selain menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selama 10 tahun, Ustaz Tuan Ibrahim telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang selepas Pilihan Raya Umum 2004 dan memegang jawatan ini sehingga 2015, selain dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat (2011-2013) sebelum dipilih sebagai Naib Presiden PAS pada tahun 2013. Tokoh yang berdarah diraja Jembal yang terkenal dengan siri-siri buku "Senyumlah" ini, juga turut menduduki Majlis Syura Ulamak PAS mulai 2011, sebelum terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-61 di Kuala Selangor.

Disusun oleh: Arkib PAS

02 Jun 2016

02 Jun 1962 : Penguasaan Keluarga Ahmad Yatim Dalam Pilihanraya DUN Rantau Panjang

Pada hari ini dalam tahun 1962, pengasas PAS Kelantan, Ahmad Yatim telah berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau Panjang dalam satu pilihan raya kecil kerana kematian penyandangnya, Abdul Rahman Daud. Pilihan Raya Kecil DUN Rantau Panjang ini adalah pilihan raya kecil yang pertama di Kelantan selepas merdeka. Kemenangan Ahmad Yatim ini bukan sahaja mengekalkan penguasaan PAS di kerusi tersebut, tetapi turut mengekalkan penguasaan keluarganya dalam politik Kelantan.

Abdul Rahman Daud yang juga mertua kepada Ahmad Yatim telah menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut sejak 1955. Dalam Pilihan Raya Negeri 1955, Abdul Rahman telah memenangi kerusi Majlis Undangan Negeri Pasir Mas Tengah atas tiket Perikatan, tetapi menyertai PAS pada 1958 kerana menantunya adalah pengasas PAS Cawangan Pasir Mas yang ditubuhkan pada 23 Julai 1953. Dalam Pilihan Raya Umum 1959, Abdul Rahman memenangi kerusi DUN Rantau Panjang dan pada 9 Jun 1959 dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, sehingga beliau meninggal dunia pada 1962. Tempat beliau sebagai anggota Exco diganti oleh Mohd Amin Yaakob, Adun Bachok Tengah.

PAS telah menamakan Setiausaha PAS Cawangan Pasir Mas, Ahmad Yatim untuk menggantikan mertuanya dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada 2 Jun 1962 ini, dan berjaya mengalahkan calon Perikatan, Nik Yusof Nik Loding dengan kelebihan 1,051 undi. Kerusi ini kemudiannya dipertahankan oleh Ahmad Yatim dalam Pilihan Raya Umum 1964 dengan mengalahkan Wan Mahmud Wan Konok (Perikatan) sebanyak 1,757 undi. Pada 10 Mei 1964, Ahmad Yatim yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Dalam krisis kepemimpinan PAS Kelantan pada 1965, nama Ahmad Yatim disebut-sebut sebagai calon Pesuruhjaya PAS Kelantan, tetapi pada 10 November 1968, Ahmad Yatim telah ditahan ISA atas tuduhan terlibat dengan gerakan subversif di sempadan Malaysia-Thailand. Walaupun PAS menafikan tuduhan ini dan menganggapnya sabotaj terhadap imej PAS, namun ia tetap memberikan kesan buruk kepada PAS. Akibat penahanan ini, kerusi Dun Rantau Panjang telah jatuh ke tangan calon Perikatan, Hussein Ahmad pada 1969. Hussein Ahmad yang kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan telah mempertahankan Dun Rantau Panjang (mulai 1974 dikenali sebagai Gual Periok) sehingga 1982.

Bintang Ahmad Yatim yang juga besan kepada bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Senator Ustaz Amaluddin Darus (Ahli Dewan Negara 1959-1974) tidak lagi menyinar dalam politik Kelantan kerana beliau menyertai besannya itu membantah kepemimpinan Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 1975 dan menubuhkan Parti IMAM. Pada 1978, pemimpin IMAM telah bergabung dengan parti Berjasa yang ditubuhkan oleh Dato' Mohamed Nasir. Kerana pengaruh Ahmad Yatim, dua anaknya iaitu Daud Yatimee Ahmad dan Hanifa Ahmad (menantu Ustaz Amaluddin) telah dicalonkan oleh Berjasa masing-masing di kerusi Dun Tok Uban dan Meranti. Kerana memenangi kedua-dua kerusi ini, Daud Yatimee Ahmad dilantik sebagai Speaker Dun Kelantan (1978-1982) dan Hanifa Ahmad sebagai anggota Exco Kerajaaan Negeri Kelantan (1978-1982) dalam Kerajaan BN Kelantan.

Walaupun Daud Yatimee berjaya mempertahankan kerusi Dun Tok Uban hingga 1990, tetapi kerusi Meranti berjaya dirampas semula oleh PAS pada 1982, sebelum Adun PAS, Dato' Nik Man Nik Mat menyertai Hamim pada 1983. Setelah menyertai semula PAS dan berkhidmat dengan PKINK sejak 1991, Hanifa Ahmad telah dicalonkan oleh PAS dalam Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Pasir pada 6 Disember 2005, tetapi tewas tipis. Dalam Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008, Hanifa Ahmad telah berjaya menjadi Adun Pengkalan Pasir dan dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan kali kedua. Dato' Hanifa Ahmad mencipta sejarah sebagai satu-satunya Adun Kelantan yang menjadi anggota Exco dalam Kerajaan BN (1978-1982) dan Kerajaan PAS (2008-2016). Beliau juga menjadi satu-satunya rakyat Kelantan yang menjadi anggota Exco tiga keturunan bersama ayahnya, Ahmad Yatim (1964-1969) dan datuknya, Abdul Rahman Daud (1959-1962).

Disusun oleh: Arkib PAS

01 Jun 2016

01 Jun 1974 : PAS Turut Serta Asaskan Barisan Nasional

Pada hari ini dalam tahun 1974, PAS telah turut serta dalam mengasaskan sebuah pakatan politik nasional yang baru, Barisan Nasional (BN) yang telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966. BN didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti-parti politik untuk membentuk sebuah pakatan politik kuat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1974. Pakatan politik sebelumnya, Perikatan hampir tewas dalam Pilihan Raya Umum Ketiga pada 1969 yang telah menggugat kestabilan politik negara.

Hubungan politik antara PAS dengan parti-parti lain terbentuk kesan dari tragedi 13 Mei 1969, di mana PAS telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain menyertai Kerajaan Pusat mulai 1 Januari 1973. Pada 17 Januari 1974, parti-parti yang terlibat dalam Kerajaan Campuran telah membincangkan kerjasama mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1974, dan PAS mengambil sikap awal bersetuju untuk bekerjasama dalam pilihan raya tersebut, tetapi tidak bersetuju dengan penggunaan simbol yang sama. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Januari 1974 telah dimaklumkan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda tentang pendirian parti-parti tersebut untuk bertanding atas nama "Front National".

Bertindak atas perkara tersebut, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Januari 1974 telah mengarahkan Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS Pusat supaya membuat kajian dari sudut politik dan juga Perlembagaan BN, manakala Dewan Ulamak PAS Pusat diarahkan membuat kajian terperinci tentang hukum kerjasama tersebut dari sudut syarak. Pada 27 Januari 1974, Dewan Ulamak PAS Pusat mengambil pendirian harus PAS menyertai BN untuk mencapai matlamat PAS dengan syarat mengekalkan identiti PAS sebagai sebuah parti Islam, manakala Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS Pusat pada 16 Februari 1974 pula bersetuju PAS menyertai BN sebagai sebuah 'gabungan parti politik,' bukannya 'pertubuhan politik.' Dengan pendirian ini, PAS telah bersetuju menyertai pakatan politik yang baru dan PAS telah mencadangkan supaya ia dinamakan sebagai 'Barisan Nasional.' PAS turut mencadangkan supaya simbol 'Kapal Layar' ditukar kepada 'Dacing' sebelum contoh simbol tersebut dilukis oleh Abdul Ghafar Baba, Naib Presiden Umno. Sebagai langkah permulaan, pada 20 April 1974, satu rapat umum bersama antara Yang Dipertua Agung PAS dengan Presiden Umno, Tun Abdul Razak Hussein diadakan di Temerloh, Pahang yang dihadiri oleh lebih 80,000 pendengar.

Akhirnya, pendaftaran BN yang dikemukakan oleh parti-parti tersebut telah diluluskan pada 1 Jun 1974 dengan dianggotai sembilan buah parti iaitu Umno, MCA, MIC, PAS, Gerakan, PPP, SUPP, PBB dan Perikatan Sabah. Pada 13 Jun 1974, Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat telah meluluskan usul keharusan PAS menyertai BN dengan alasan "...Barisan Kebangsaan (BN) dari sudut pembentukannya, tujuan-tujuannya dan memerhatikan dengan jauh dan cermat keadaan suasana negara kita Malaysia ini serta perkembangan-perkembangan politiknya dan politik negara sekitarnya, dipadankan dengan petunjuk-petunjuk daripada nas al-Quran dan as-Sunnah serta berpandu kepada kaedah-kaedah fiqh, maka kesimpulan dari muzakarah (muktamar ini) sepakat dari ijtihad kami bahawa penyertaan PAS ke dalam BN itu harus jua adanya." Dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS pada 13 Jun 1974, sebelum Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat dilangsungkan, Dato' Mohd Asri telah menjelaskan tiga sebab besar PAS perlu berada dalam BN, iaitu:

I. Untuk Menjamin keutuhan kuasa dan pimpinan politik kita (umat Islam) dalam menghadapi masyarakat majmuk; dan

II. Objektif BN tidak sedikit pun dapat menyekat kebebasan PAS untuk mengembang dan memperjuangkan konsep dan prinsipnya, iaitu Islam. Antara objektif BN ialah "menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan."

III. BN adalah sebuah konfederasi (gabungan) politik yang tidak mengikat identiti PAS, walaupun menyertai pilihan raya menggunakan simbol yang sama.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-20 pada 13-15 Jun 1974 kemudiannya meluluskan usul Dewan Pemuda PAS Pusat untuk membolehkan PAS menyertai BN dengan disokong oleh Dewan Ulamak PAS Pusat. PAS berada dalam BN sehingga ia dipecat dari pakatan politik itu pada 13 Disember 1977 ekoran krisis politik Kelantan.

Disusun oleh: Arkib PAS

31 Mei 2016

31 Mei 1955 : Pendaftaran PAS Diluluskan Oleh Pendaftar Pertubuhan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1955, pendaftaran PAS sebagai sebuah parti politik telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang sekali gus membolehkan PAS menyertai Pilihan Raya Umum 1955. Alamat pendaftaran PAS yang didaftarkan ialah "Arabic School, Kepala Batas" iaitu Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, iaitu Pejabat Agung PAS. Sekolah Arab ini adalah milik Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS. Selepas Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan meletak jawatan pada 26 September 1953, Pejabat Agung PAS telah berpindah dari Madrasah al-Masriah, Tanah Liat dan menumpang di Sekolah Arab tersebut.

Setelah PAS ditubuhkan secara rasmi pada 24 November 1951, PAS telah mengemukakan pendaftarannya pada 1952 di bawah Societies Ordinance 1949 dengan nombor pendaftaran sementara No. 34 in R of S. 26/52. Tetapi kerana isu-isu politik semasa seperti penangkapan pemimpin Hizbul Muslimin pada 1948, pembunuhan Hassan al-Banna di Mesir pada 1949, penahanan Abdul A'la al-Maududi pada 1949 dan pemberontakan Darul Islam di Indonesia pada 1948 telah menyebabkan British menangguhkan kelulusan pendaftaran PAS. Suasana darurat sejak 1948 di Tanah Melayu yang meningkatkan perhatian British telah berjaya diredakan dengan tindakan PAS menyertai National Conference pada 27 April 1953. National Conference menurut Ramlah Adam adalah ditaja oleh Sir Malcom MacDonald, Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara.

Penglibatan PAS dalam National Conference dan juga National Convention pada 1953-1954 adalah untuk menuntut pilihan raya segera. Ekoran itu, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954 telah memutuskan supaya PAS menyertai pilihan raya ini. Sedangkan parti-parti politik mesti berdaftar sebagai syarat menyertai pilihan raya. Atas asas ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 23 Januari 1955 ketika membincangkan rancangan pilihan raya PAS, telah menyerahkan kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias untuk menyelesaikan urusan pendaftaran PAS. PAS kemudiannya didaftarkan semula di bawah The Societies (Registration) Rules, 1953 di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Kuala Lumpur. Secara kebetulan pegawai pendaftar pertubuhan adalah kenalan Dr Haji Abbas berbangsa India yang pernah ditolong untuk mendapatkan pekerjaan pada zaman Jepun. Dengan bantuan pegawai tersebut, proses pendaftaran PAS telah dipermudahkan.

Pada 10 April 1955, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memperhalusi urusan pendaftaran PAS dan menyerahkan urusan ini kepada Dr Haji Abbas dan Cikgu Ahmad Awang, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Akhirnya pada 31 Mei 1955, Pendaftar Pertubuhan telah meluluskan pendaftaran PAS dengan nombor pendaftan 733 (Penang). Dalam banyak kajian, mengatakan PAS didaftarkan pada 14 Jun 1955 atau sehari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum 1955. Sebelum penamaan calon pada 15 Jun 1955, Pemangku Setiausaha Agung PAS, Ustaz Mohamad Hashim pada 9 Jun 1955 telah memaklumkan kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri dan Setiausaha-setiausaha PAS Cawangan tentang kelulusan pendaftaran PAS ini, dan mungkin maklumat ini hanya diterima seminggu kemudian. Atas sebab itu, ramai yang menyangka ia diluluskan menjelang penamaan calon tersebut.

30 Mei 2016

30 Mei 1972 : PAS Kelantan Tolak Perletakan Jawatan Timbalan Menteri Besar

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1972, Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan telah menolak perletakan jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohamed Nasir yang telah menyerahkan surat perletakan jawatannya pada 25 Mei 1972. Dato' Mohamed Nasir dalam surat perletakan jawatannya memaklumkan keadaan kesihatannya yang tidak baik menyebabkan beliau terpaksa berundur. Namun begitu, perletakan jawatan ini telah dijadikan isu oleh media massa seumpama PAS sedang menghadapi krisis kepemimpinan.

Dato' Mohamed Nasir pernah menjadi Timbalan Menteri Besar pada sesi 1959-1964 iaitu ketika Dato' Ishak Lotfi Omar menjadi Menteri Besar Kelantan, tetapi beliau tewas dalam Pilihan Raya Umum 1964, yang menyebabkan beliau berkhidmat sementara dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN), sebelum beliau kembali ke Dun Kelantan pada 1969. Mohamed Nasir yang merupakan lulusan Kolej Pertanian Serdang dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Pertanian Kelantan sebelum bersara pada 1958. Beliau juga mendapat pendidikan agama di bawah didikan Maulana Abdullah Nuh dan Maulana Mohamad Shah di Pasir Mas dan Machang, dan mula menyertai PAS pada 1954 setelah PAS ditubuhkan di Machang.

Selepas Pilihan Raya Umum 1969, Dato' Mohamed Nasir dinamakan semula oleh PAS Kelantan sebagai Timbalan Menteri Besar ketika Dato' Mohd Asri Haji Muda menjadi Menteri Besar Kelantan. Walau bagaimanapun, ekoran masalah kesihatan beliau yang berpanjangan dan beberapa kali ditahan di hospital, beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatannya pada 25 Mei 1972.

Di sebalik perletakan jawatan ini, media massa telah menggembar-gemburkan isu ini seolah-olah PAS Kelantan sedang berkrisis. Walhal, ketika ini PAS sedang berunding dengan Perikatan untuk membentuk Kerajaan Campuran. Ekoran itu, PAS Kelantan pada 30 Mei 1972 telah menolak permintaan beliau dan memujuk Dato' Mohamed Nasir supaya menarik balik perletakan jawatannya serta bersetuju untuk memberi cuti kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan itu selama dua bulan. Faktor ini telah menyebabkan Dato' Mohamed Nasir tidak lagi dinamakan untuk jawatan kerajaan selepas 1974.

Dato' Mohamed Nasir yang kekal sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan sehingga 1974 telah tidak dinamakan untuk sebarang jawatan kerajaan oleh PAS Kelantan pada1974 kerana permintaan beliau sendiri yang mahu berundur, yang menyebabkan Wan Ismail Ibrahim dinamakan sebagai calon Menteri Besar Kelantan menggantikan Dato' Ishak Lotfi Omar. Namun begitu, Umno Kelantan telah mempengaruhi Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri untuk memilih Dato' Mohamed Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru pada 1974 yang menjadi punca krisis politik Kelantan kemudiannya.

29 Mei 2016

29 Mei 1974 : Dewan Ulamak PAS Berbincang Mengenai Penubuhan Barisan Nasional

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1974, Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengadakan satu perjumpaan yang melibatkan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat dan wakil-wakil Dewan Ulamak PAS Negeri-negeri dengan Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang diwakili oleh Dato' Mohd Asri Haji Muda, Dato' Abu Bakar Umar, Ustaz Baharuddin Abdul Latif dan Ustaz Hassan Shukri, yang turut disertai oleh wakil-wakil Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat. Pertemuan ini adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan merungkai kekeliruan berkait dengan penyertaan PAS dalam Barisan Nasional (BN) yang bakal ditubuhkan. Dewan Ulamak PAS Pusat pada 27 Januari 1974 mengambil pendirian bahawa harus PAS menyertai BN untuk menjayakan tujuan PAS.

Terdahulu, pada 1 Januari 1973, PAS telah membentuk Kerajaan Campuran dengan Perikatan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain turut menyertai Kerajaan Pusat. Walau bagaimanapun, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-19 pada 21-23 September 1973, Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Pusat telah meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap perlaksanaan syariat Islam dalam kerajaan, walaupun PAS telah bersuara di Parlimen supaya Islam dijadikan dasar pemerintahan negara. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini juga, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah membayangkan kemungkinan PAS akan menyertai gabungan politik 'National Front' yang bakal ditubuhkan.

Dalam mesyuarat parti-parti politik yang bekerjasama dengan Perikatan pada 17 Januari 1974, telah dibincangkan kemungkinan membentuk sebuah pakatan politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 1974, dan PAS secara umum bersetuju menyertainya. Ekoran itu, pada 26 Januari 1974, PAS Pusat mengarahkan Dewan Ulamak PAS Pusat membuat kajian terperinci tentang hukum PAS menyertai BN. Di sebalik pendirian Dewan Ulamak PAS Pusat pada 27 Januari 1974 yang menyatakan "penyertaan PAS dalam barisan kebangsaan itu dengan maksud-maksud yang khusus bagi menjayakan perjuangan mengisi tujuan-tujuan PAS dapat diterima" dan dengan syarat ia tidak menghilangkan identiti PAS sebagai parti Islam, masih terdapat perkara-perkara yang tidak jelas berkait pakatan politik tersebut.

Dewan-dewan Ulamak PAS Negeri juga walaupun secara umumnya bersetuju PAS menyertai BN kerana ia "adalah strategi baru yang membuka pintu bagi PAS untuk menduduki ulil amri di semua peringkat," tetapi berlaku banyak kesamaran yang perlu diselesaikan. Untuk menyelesaikan kesamaran ini, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menganjurkan perjumpaan melibatkan pimpinan Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat serta Dewan-dewan Ulamak PAS Negeri dengan wakil Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Seramai 28 orang pimpinan Dewan Ulamak PAS termasuk wakil-wakil Dewan Pemuda dan Muslimat PAS telah hadir pada 29 Mei 1974 untuk mendengar taklimat Yang Dipertua Agung PAS sehingga semua yang hadir berpuas hati tentang erti BN yang akan ditubuhkan.