31 Mac 2016

31 Mac 2000 : PAS Haramkan Premis Judi Sebagai Agenda Laksana Syariat Islam Di Terengganu

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2000, Kerajaan PAS Terengganu yang dipimpin oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menguatkuasakan pengharaman judi dengan menamatkan semua lesen premis perjudian di seluruh Negeri Terengganu. PAS telah menguasai Negeri Terengganu setelah mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999 melalui gabungan Barisan Alternatif (BA) yang turut dianggotai oleh PKN, DAP dan PRM. Pada 30 November 1999, Tuan Guru Haji Abdul Hadi selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu telah diangkat sebagai Menteri Besar.

Dalam Manifesto PAS Terengganu yang bertajuk 'Membangun Mengikut Islam,' PAS telah menggariskan lapan tawaran penting, antaranya:

I. Mentadbir kerajaan berdasarkan al-Quran dan Sunnah;
II. Mengamalkan konsep syura dalam pentadbiran;
III. Mendaulatkan Darul Iman dengan Islam sebagai ad-Diin;
IV. Mewujudkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum tanpa diskriminasi;
V. Mewujudkan kerajaan yang bersih tanpa rasuah, ketidakadilan, diskriminasi dan salah guna kuasa;
VI. Menutup semua kegiatan haram termasuk perjudian dan mengawal minuman keras;
VII. Menangani masalah sosial; dan
VIII. Membangunkan sumber manusia sebagai asas pembangunan.

Bagi menjayakan lapan tawaran ini, Kerajaan PAS Terengganu telah meletakkan dua prinsip penting dalam pentadbiran iaitu pentadbiran berasaskan al-Quran dan Sunnah serta mengamalkan konsep syura dalam pentadbiran dan pengurusan. Antara pembaharuan yang dibuat dalam mencapai sasaran tersebut ialah mewujudkan pasukan pentadbiran dan pengurusan terbaik, menubuhkan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), melantik ADUN wanita dan bukan Islam, waktu kerja lima hari seminggu, cuti bersalin 90 hari, mengukuhkan Amanah Saham Darul Iman (ASDI), perlindungan wanita dan orang bukan Islam dan lain-lain.

Dalam konteks penguatkuasaan syariat secara khusus, Kerajaan PAS Terengganu telah memperkasakan peranan masjid, mengukuhkan pentadbiran zakat, menghapuskan rasuah dan memastikan sumber kewangan halal, menubuhkan hisbah, inovasi pendidikan melalui menubuhkan pelbagai institusi pendidikan integrasi, mengawal jualan arak, mewujudkan Tabung Darul Iman (TDI), menubuhkan halal hub, menggubal undang-undang jenayah syariah dan lain-lain. Antara langkah terpenting dalam perlaksanaan syariat ini ialah keputusan Kerajaan PAS Terengganu untuk menamatkan semua lesen premis judi di seluruh Terengganu mulai 31 Mac 2000 yang sekali gus menjadikan judi adalah aktiviti haram di negeri tersebut.

30 Mac 2016

30 Mac 1962 : Mesyuarat Agung Khas Pinda Undang-undang Tubuh Bagi Perkasakan PAS Dipersetujui

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1962, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju supaya PAS mengadakan satu Mesyuarat Agung Khas pada 22 April 1962 bagi membolehkan satu pindaan ke atas Undang-undang Tubuh PAS 1955 dibuat bagi memperkasakan PAS selepas negara mencapai kemerdekaan. Sejak Undang-undang Tubuh PAS didaftarkan dengan kerajaan pada 31 Mei 1955, ia telah tiga kali dipinda oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS iaitu pada 26-28 Disember 1955 berkaitan disiplin parti untuk menghalang ahli PAS menjadi ahli parti lain serentak; pada 24-25 Ogos 1957 yang menetapkan pemilihan Jawatankuasa Kerja Agung PAS dibuat dua tahun sekali; dan pada 25-27 Disember 1958 yang mengubah nama PAS.

Pada 26-28 September 1961, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan langkah-langkah memperkasakan PAS dan mengarahkan Prof Zulkifli Mohamed, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS untuk menyediakan sebuah kertas kerja yang "boleh memberi nafas baru kepada perjuangan PAS." Dalam kertas yang dirangka pada 26 September 1961 bertajuk "Kedudukan dan Penyusunan Semula (PAS)," Prof Zulkifli telah mencadangkan pelbagai bentuk susunan semula PAS, termasuk meminda undang-undang tubuhnya. Bagi tujuan pindaan undang-undang tubuh ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 30 Mac 1962 telah bersetuju diadakan satu Mesyuarat Agung Khas.

Prof Zulkifli mencadangkan beberapa perubahan untuk memperkemaskan pernyataan dasar, tujuan dan usaha-usaha yang menjadi perkara pokok dalam perlembagaannya. Antara cadangan penting Prof Zulkifli ialah supaya PAS membuka keahlian kepada orang bukan Islam, selain perubahan struktur organisasi dan mesyuarat agung.

Antara cadangan perubahan yang diterima dalam Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963 ialah:

I. Mewujudkan raison d'ĂȘtre (Muqaddimah) sebagai penegasan tujuan PAS;
II. Memasukkan 'Qias' sebagai sumber hukum selain al-Quran, Sunnah dan Ijmak yang sekali gus meletakkan PAS sebagai gerakan Ahli Sunnah wal Jamaah;
III. Menukar cogan kata PAS dari 'Merdeka' kepada 'Allahu Akbar';
IV. Menetapkan lapan tujuan PAS dengan sasaran utama untuk mewujudkan pemerintahan Islam yang melaksanakan hukum Allah dan seluruh pegangan dan pandangan hidup Islam. Inilah kali pertama PAS menyatakan secara jelas tujuannya untuk mewujudkan pemerintahan Islam;
V. Memberi kuasa kepada Yang Dipertua Agung PAS untuk melantik Bendahari Agung sebagai mana melantik Setiausaha Agung; dan
VI. Organisasi PAS di peringkat Cawangan (sekarang Kawasan) dan Negeri disusun semula seperti mewujudkan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri menggantikan Pesuruhjaya PAS Daerah dan menghapuskan Dewan Ulamak PAS Cawangan, di mana Dewan Ulamak PAS hanya wujud di peringkat Pusat dan Negeri sahaja.

Cadangan yang asalnya telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 3-5 Disember 1961 ini telah gagal dibawa ke Mesyuarat Agung Khas pada 22 April 1962 kerana masalah korum. Ia kemudian dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-11 pada 31 Disember 1962 - 2 Januari 1963 dan diluluskan.

29 Mac 2016

29 Mac 1982 : Spekulasi Bakal Pemimpin PAS Berakhir Ekoran Anwar Sertai UMNO

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anwar Ibrahim telah mengejutkan banyak pihak apabila beliau mengumumkan penyertaannya ke dalam Umno dalam rangka 'membersihkan Umno dari dalam.' Dengan penyertaannya Anwar ke dalam Umno ini, ia telah menamatkan spekulasi bahawa Anwar adalah bakal Yang Dipertua Agung PAS selepas Dato' Mohd Asri Haji Muda. Semenjak krisis politik di Kelantan pada 1977 yang membawa kepada kekalahan PAS di Kelantan, Anwar selaku Presiden ABIM disebut-sebut sebagai layak memimpin PAS.

Anwar yang dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Kampung Cheruk Tokkun, Bukit Mertajam adalah lulusan Universiti Malaya pada 1971. Semasa bergelar mahasiswa, beliau telah memimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), sebelum memimpin ABIM selama 10 tahun mulai 1972. Selain mengasaskan Yayasan Anda, Anwar juga adalah Presiden Majlis Beliau Malaysia (MBM) yang ditahan ISA pada 1974 selama dua tahun kerana demonstrasi isu kemiskinan Baling. Beliau yang menolak tawaran untuk dilantik sebagai wakil Malaysia dalam United Nation Council of Youth juga adalah pemimpin World Assembly of Muslim Youth (WAMY) mewakili rantau Asia-Pasifik.

Penglibatan Anwar dengan ABIM yang dilihat pro PAS pada 1970-an telah menyebabkan ahli-ahli PAS menganggap beliau sebagai 'Pemimpin al-Kahfi' yang disebut-sebut akan menyertai dan memimpin PAS. Dalam Pilihan Raya Umum 1978 selepas kekalahan Kelantan, Anwar bersama ABIM telah berkempen membantu PAS. Tokoh Gerakan Islam Indonesia, Pak Natsir yang menyifatkan 'PAS lesu darah' telah mengarahkan ABIM melakukan 'blood transfer' untuk mengukuhkan PAS. Beberapa tokoh ABIM seperti Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Yahya Othman, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan lain-lain telah menyertai PAS dan bergiat aktif dalam kepemimpinan PAS. Bahkan, telah tersebar cerita tawaran Dato' Mohd Asri bahawa beliau bersedia untuk berundur untuk memberi laluan kepada Anwar untuk memimpin PAS.

Penulis terkenal, Subky Latif ketika menulis buku 'Siapa Ganti Asri' telah menamakan Anwar sebagai calon paling layak mengambil alih kepemimpinan PAS. Bahkan, akhbar The Straits Times Singapura pada 3 September 1980 turut menamakan Anwar sebagai tokoh yang layak mengetuai PAS selepas krisis politik Kelantan. Disebarkan kenyataan Anwar bahawa ABIM menggalakkan ahli-ahlinya memilih berjuang mengikut corak politik Islam, pada Ogos 1980, Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin turut membuat ramalan bahawa Anwar akan menjadi pemimpin utama PAS.

Namun begitu, seluruh spekulasi dan ramalan tersebut telah berakhir apabila Anwar mengumumkan penyertaannya beliau ke dalam Umno pada 29 Mac 1982 sebagai 'ijtihad perbadi' kerana "kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Dr Mahathir." Penglibatan Anwar dalam Umno selama 16 tahun untuk "membaiki dari dalam" telah berakhir apabila beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Meteri pada 2 September 1998 kerana dituduh oleh Umno terlibat dengan skandal seks liwat sejak dalam Perhimpunan Agung Umno 1997 lagi.

28 Mac 2016

28 Mac 2009 : PAS Serah Memo Kepada Yang Dipertuan Agong Halang Najib Dilantik Sebagai Perdana Menteri

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2009, PAS telah menyertai parti-parti Pakatan Rakyat (PR) untuk mengemukakan satu memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah untuk memohon menangguhkan perlantikan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang serta kesemua 70 orang Ahli Parlimen PR telah mengemukakan permohonan ini kepada Istana Negara.

Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Haji Abdullah Ahmad Badawi yang terjejas teruk ekoran kegagalan BN mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kehilangan lima buah negeri dalam Pilihan Raya Umum 2008 telah mengumumkan perletakan jawatannya dan akan mengadap Tuanku Sultan Mizan pada 2 April 2009 untuk memaklumkan hal tersebut. Ekoran itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Abdullah yang menjadi Perdana Menteri sejak 2003.

PAS bersama-sama parti-parti pembangkang berpandangan bahawa Datuk Seri Mohd Najib tidak wajar diberikan peluang menjadi Perdana Menteri kerana namanya telah terpalit dengan beberapa skandal besar yang masih belum dibersihkan. Antara isu-isu besar yang dikaitkan dengan beliau ialah isu pembelian kapal selam Scorpone dari Perancis di mana dikatakan berlaku penyelewengan dalam pembayaran komisyennya. Malaysia juga dikejutkan oleh berita pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu yang dikaitkan secara langsung dengan nama beliau dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor. Atas asas ini, PAS melihat perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri perlu ditangguhkan sehingga sebuah suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat semua dakwaan tersebut.

Di samping itu juga, tersebar khabar angin bahawa satu usul undi tidak percaya akan dibuat terhadap di Parlimen jika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri. Ekoran dari khabar angin tersebut, Datuk Seri Abdullah dalam ulasannya selepas Perhimpunan Agung Umno pada 29 Mac 2009 menjelaskan hal tersebut sebagai tidak perlu. Namun begitu, di sebalik desakan pembangkang supaya Datuk Seri Mohd Najib disiasat di atas semua tuduhan tersebut, pada 3 April 2009, beliau telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang kemudiannya dilingkari oleh pelbagai skandal seperti 1MDB, wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadi dan juga pelbagai krisis dalaman Umno.

27 Mac 2016

27 Mac 2015 : DAP Sabah Umum Pakatan Politik Baru Tanpa PAS Kerana Protes Hudud

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2015, DAP Sabah telah mengumumkan cadangan mereka untuk membentuk Pakatan Rakyat Baru (PRB) di Sabah yang melibatkan DAP, PKR dan beberapa parti kecil lain tanpa penglibatan PAS. Menurut Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt, tindakan DAP Sabah ini adalah sebagai protes terhadap usaha PAS untuk melaksanakan hudud, dan menurut beliau, tindakan ini adalah selaras dengan pendirian Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

DAP telah mengambil sikap yang keras terhadap PAS setelah Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan hasil kejayaan Jawatankuasa Teknikal Hudud dan PAS akan membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen untuk membolehkan undang-undang syariah dilaksanakan di Kelantan. Bertindak terhadap cadangan PAS ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 24 Februari 2015 telah mengumumkan bahawa DAP telah hilang kepercayaan kepada PAS kerana 'mengkhianati' PR dengan cuba membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen untuk membolehkan PAS melaksanakan hudud. Atas kenyataan DAP ini, PAS Labuan telah menggantung semua kerjasama dengan DAP sehingga DAP Sabah mencadangkan pembentukan PRB.

Isu perlaksanaan hudud telah lama diperjuangkan oleh PAS, bahkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS II) Kelantan telah diluluskan sejak 23 November 1993, jauh lebih awal sebelum PR ditubuhkan pada 1 April 2008. Setelah melalui pelbagai proses, pada 23 Februari 2015, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah telah mengumumkan bahawa Kelantan telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan hudud. Jawatankuasa Teknikal Hudud Nasional dan Jawatankuasa Teknikal EKJS II Kelantan telah bersetuju supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dipinda bersama Perkara 76A(1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hudud dilaksanakan.

Bertindak dari keperluan ini, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan usul Rang Undang-undang Persendirian untuk meminda Akta 355 di Dewan Rakyat yang mula bersidang pada 9 Mac 2015. Pada 16 Mac 2015, DUN Kelantan telah meluluskan pindaan EKJS II Kelantan 1993 untuk memperkemaskan perlaksanaan hudud di Kelantan. Kerana sikap PAS yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah ini, DAP sebagai sekutu PAS telah menuduh PAS mengkhianati PR dan mula memusuhi PAS. Tindakan DAP Sabah yang cuba membentuk PRB pada 27 Mac 2015 tanpa penglibatan PAS ini adalah antara usaha terawal DAP dalam menghalang undang-undang Islam dari dilaksanakan di negara ini.

26 Mac 2016

26 Mac 2003 : PAS Kutuk Negara Arab Jadi Dalang Amerika Hancurkan Iraq

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2003, Pemangku Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengutuk tindakan negara-negara Arab yang menjadi dalang dengan memberi maklumat perisikan kepada Amerika Syariat (AS) dan sekutunya untuk menghancurkan Iraq. Menurut Ketua Pembangkang itu, pendedahan Naib Presiden Iraq, Taha Yassin Ramadhan mengenai tindakan beberapa negara Arab tersebut adalah amat memalukan umat Islam kerana mereka telah bersekongkol dengan tentera asing untuk menceroboh negara umat Islam.

Krisis ini tercetus di Teluk Parsi pada awal tahun 2003 apabila AS mengumumkan akan melancarkan serangan ke atas Iraq yang dipimpin oleh Saddam Hussein yang didakwa gagal menghapuskan senjata pemusnah dalam jangka waktu yang ditetapkan. Cadangan serangan ini dibuat oleh AS, Britain dan Sepanyol dengan membelakangkan laporan dua pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Hans Blix dan Mohammed al-Baradei. PAS berpandangan bahawa cadangan Perancis supaya siasatan diteruskan adalah lebih baik dari berperang kerana Resolusi 1441 Majlis Keselamatan PBB telah mengarahkan agar Iraq memberikan kerjasama dalam siasatan ini.

Perang Iraq yang dikenali sebagai Operasi Kebebasan Iraq telah bermula pada 20 Mac 2003 dan berlangsung selama lapan tahun 270 hari berakhir 15 Disember 2011. Dalam perperangan ini, AS telah berjaya menceroboh Iraq dan menggulingkan Kerajaan Parti Baath sekali gus menghukum mati Saddam Hussein. Akibat perperangan ini, walaupun AS berjaya mengadakan pilihan raya untuk kerajaan demokrasi, tetapi ia telah menimbulkan pemberontakan dan keganasan sehingga hari ini. Perang ini telah membunuh 113,728 orang awam dan 37,120 tentera.

Dalam membantah perang ini, pada 10 Mac 2003, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi mengumumkan bahawa PAS akan mengadakan himpunan aman di Keduataan AS pada 14 Mac 2003, dan satu usul tergempar akan dibawa ke Parlimen untuk membincangkan isu ini. Apabila perang tercetus pads 20 Mac 2003, PAS telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk serangan ini di mana keangkuhan AS dan sekutunya telah membelakangkan PBB, di samping itu wakil-wakil rakyat PAS turut mengecam Presiden AS, George W Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair ketika membahas usul Perdana Menteri tentang perang ini di Dewan Rakyat. Ekoran daripada pendedahan Naib Presiden Iraq tentang peranan negara-negara Arab dalam membantu AS menghancurkan Iraq, pada 26 Mac 2003, PAS telah mengambil pendirian mengutuk perbuatan khianat tersebut yang dilihat merugikan umat Islam.

25 Mac 2016

25 Mac 1998 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Bawa Usul Isu Murtad Ke Parlimen

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1998, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan usul tergempar di bawah Perkara 18 Peraturan Dewan Rakyat untuk menangguhkan sidang bagi membolehkan isu murtad dibincangkan di Dewan Rakyat. Usul ini kemudiannya ditolak setelah dibentangkan kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail berpandangan ia tidak perlu disegerakan walaupun merupakan perkara tertentu dan berkepentingan ramai.

Isu murtad ini menjadi isu yang menggemparkan negara sejak 1996 apabila tercetus dua isu murtad yang paling terkenal iaitu kes Hartina Kamaruddin yang memeluk agama Hindu pada Mac 1996 dan kes Nor Aishah Bokhari yang menjadi Kristian pada November 1997. Isu ini menjadi lebih panas apabila Ustaz Shaari Bustamah, Mufti Wilayah Persekutuan mendedahkan bahawa sehingga 1989, terdapat 4,776 kes permohonan menukar nama kepada nama bukan Islam dengan 516 kes murtad di Wilayah Persekutuan pada 1998 sahaja, sedangkan sehingga Julai 1997 ada hampir 3,000 kes seumpama ini di ibu kota tersebut.

Menyedari gejala murtad semakin menular ini, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-43 pada 30 Mei - 1 Jun 1997 telah memutuskan supaya PAS menangani isu murtad ini, sekali gus mendesak pemerkasaan Badan Petugas Pencegah Murtad yang ditubuhkan oleh PAS Pusat pada 11 November 1996. Pada 22 Februari 1998, PAS telah memutuskan untuk mengadakan siri-siri ceramah perdana isu murtad melibatkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi di seluruh negara, selain menggerakkan kempen kesedaran melalui PAS Negeri dan Kawasan. Sebagai tindakan lanjutan, pada 21 Mac 1998, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah memutuskan supaya Timbalan Presiden PAS membawa usul persendirian bagi mewujudkan undang-undang pencegahan murtad dengan membolehkan tindakan diambil ke atas orang yang murtad dan juga orang yang memurtadkan.

Sebagai langkah awal, pada 25 Mac 1998, Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah mengemukakan usul di bawah Perkara 18 kepada Dewan Rakyat untuk membincangkan masalah murtad ini. Ekoran penolakan oleh Dewan Rakyat, PAS Pusat pada 18 April 1998 mengarahkan supaya supaya Timbalan Presiden PAS bersama Dr Daeng Sanusi Mariok, Ustaz Wan Jamil Mahmud, Ustaz Mohd Amar Abdullah dan Senator Ustazah Jamilah Ibrahim menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkara ini. Dalam masa yang sama, PAS telah meningkatkan usaha supaya Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II dapat dilaksanakan. Pada 15-17 Mei 1998, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-44 telah mendesak Kerajaan Pusat supaya mewujudkan undang-undang pencegahan murtad, sehingga pada 2 September 1999, Tuan Guru Haji Abdul Hadi bertindak mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian untuk mewujudkan undang-undang bagi mencegah murtad, tetapi ia tidak dilayan oleh kerajaan.