14 Julai 2016

14 Julai 1956 : PAS Serah Memorandum Kepada Suruhanjaya Reid

Pada hari ini dalam tahun 1956, PAS telah menyerahkan satu memorandum 14 perkara tentang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) merdeka kepada Suruhanjaya Perlembagaan yang diketuai Lord Reid. Memorandum ini bertujuan untuk menyatakan pandangan PAS tentang ciri-ciri negara PTM yang bakal merdeka. Pada 24 Januari 1956, akhbar Straits Time melaporkan bahawa Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah mengumumkan persetujuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Perlembagaan sebagai persiapan ke arah kemerdekaan setelah 31 Ogos 1957 ditetapkan sebagai tarikh kemerdekaan PTM.

Suruhanjaya Perlembagaan ini telah ditubuhkan British dengan dianggotai oleh Lord William Reid (Ketua dari Britain), Sir Ivor Jennings (Britain), Sir William McKell (Australia), Hakim B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan). Suruhanjaya yang lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid ini telah menerima 131 memorandum dari pelbagai pihak, dan bermesyuarat sebanyak 118 kali untuk merumuskan Perlembagaan PTM merdeka. PAS sendiri telah menyerahkan pandangan mereka kepada Suruhanjaya Reid pada 14 Julai 1956 setelah mendapatkan pandangan ahli-ahli PAS di semua peringkat.

Pada 7 Mac 1957, bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah telah mencadangkan supaya PAS mengambil pendirian sama ada menyokong atau menentang suruhanjaya ini dan mahu pandangan semua pihak dalam PAS diambil kira. Pada 1 Mei 1956, PAS telah meminta semua peringkat organisasinya supaya memberi cadangan kepada Pejabat Agung PAS bagi maksud tersebut, berasaskan enam asas iaitu corak kerakyatan, bentuk kerajaan, susunan perlembagaan, eksekutif dan legislatif, kedududukan sultan-sultan, memelihara kedudukan orang Melayu, kepentingan minoriti dan kedudukan agama Islam. PAS turut mengadakan pertemuan antara Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri untuk membincangkan tugasan Suruhanjaya Reid dan perkara yang perlu diangkat kepada mereka.

Pada 30 Jun 1956, Jawatankuasa Politik PAS telah mengangkat rumusan-rumusan penting tentang cadangan ini kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS sebelum ia diluluskan pada 1 Julai 1956. PAS Pusat turut memberi kuasa kepada Jawatankuasa Politik PAS untuk membuat pindaan terakhir sebelum ia diserahkan. PAS telah melantik Prof Zulkifli Mohamad dan Mohd Asri Haji Muda bersama dua yang lain (akan dilantik oleh Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin ak-Helmy) untuk bertemu Suruhanjaya Reid bagi menyampaikan pandangan PAS. Mereka kemudiannya menyerahkan pandangan tersebut pada 14 Julai 1956.

Memorandum 14 Perkara ini telah menegaskan pandangan PAS iaitu:

I. Negara ini terbukti oleh sejarah dan diakui oleh undang-undang adalah negara Melayu yang dimiliki bangsa Melayu;
II. Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan mutlak di negara ini;
III. Kebangsaan negara ini mestilah Melayu;
IV. Islam menjadi agama rasmi dan berasaskan kebudayaan Melayu;
V. Kerakyatan jus soli adalah ditolak;
VI. Mereka yang cukup syarat berdomisil boleh memohon kerakyatan;
VII. Perlu ditubuhkan kerajaan berbentuk persekutuan dengan dua dewan perundangan;
VIII. Parlimen mesti tunduk kepada Raja-raja Melayu dengan Yang di-Pertuan Besar Persekutuan sebagai pengerusi
IX. Tidak bersetuju Pulau Pinang dan Melaka diletakkan di bawah Baginda Queen, tetapi ia mesti dikembalikan sebagai negeri Melayu semula.

Disusun oleh: Arkib PAS

13 Julai 2016

13 Julai 1986 : PAS Perkenal Pendekatan Tahaluf Siyasi Terhadap Masyarakat Bukan Islam

Pada hari ini dalam tahun 1986, Jawankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil langkah mendekati orang bukan Islam sebagai strategi dakwahnya untuk membuktikan bahawa Islam berupaya memimpin masyarakat majmuk. Langkah yang diambil oleh PAS ialah dengan menerokai tahaluf siyasi sebagai satu pendekatan politik baru yang berasaskan syariat, terutama untuk mendepani masyarakat majmuk. Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju dengan cadangan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad dalam kertas kerjanya, 'Cadangan Mengadakan Satu Tahaluf Dengan Golongan Pembangkang Untuk Menghancur dan Menentang Kezaliman BN.'

Selepas Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-31 pada 14-15 April 1985, PAS telah mengambil langkah mendekati orang Cina sehingga tertubuhnya Majlis Perunding Cina (CCC) pada 28 Januari 1986. Pada 1 November 1985, pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan kesediaan mereka bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ketujuh yang dijangka diadakan pada tahun 1986. Pada 30 Jun 1986, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa telah mengumumkan kesediaan PAS untuk mewujudkan persefahaman dan memimpin parti-parti pembangkang berdasarkan kaedah politik Islam melalui tahaluf siyasi. Hasilnya, pada 10 Julai 1986, telah diadakan pertemuan parti-parti pembangkang di Pejabat Agung PAS, Jalan Pahang.

Pernyataan sikap baru PAS ini adalah perubahan pendekatan politik setelah PAS berpengalaman bekerjasama dalam BN (1973-1977). PAS sendiri pada 22 Januari 1986, kerana kesediaan DAP, telah memutuskan bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan Islam, tetapi boleh bekerjasama dan menerima bantuan dengan orang bukan Islam. Pendirian ini adalah untuk mengelakkan PAS atau ahlinya memberi wala' kepada pertubuhan bukan Islam. Sebaliknya, PAS mempunyai kerjasama secara sulit dengan individu politik bukan Islam tertentu sebagai strategi dalam pilihan raya. Walau bagaimanapun, ekoran hubungan PAS-CCC dan juga kesediaan DAP, PAS perlu mempunyai pendirian politik yang lebih terbuka, sesuai dengan kaedah politik Islam dalam menghadapi politik etnik di negara ini.

Pada 13 Julai 1986, Ustaz Nakhaie Ahmad dalam cadangannya, menyatakan pada zaman Rasulullah SAW, terdapat beberapa bentuk tahaluf dengan orang bukan Islam yang telah dibuat, iaitu antaranya tahaluf al-fudhul untuk menentang kezaliman, tahaluf Abu Talib untuk memelihara kebebasan dakwah, tahaluf Mut'im bin Adi untuk memelihara keselamatan pendakwah, Sahifah Madinah untuk mempertahankan negara Islam Madinah dan mengiktiraf kedaulatan Islam, dan Bai'ah ar-Ridhwan sebagai gencatan senjata dengan musyrikin Mekah untuk pertukaran tawanan perang. Sedangkan tahaluf Abu Lahab yang mengkompromi aqidah, tahaluf Bani Amir yang menyerahkan kuasa pemerintahan kepada orang kafir dan tahaluf Bani Syaiban yang menjerumuskan gerakan Islam dalam perangkap musuh adalah bentuk tahaluf yang ditolak oleh Rasulullah SAW dan diharamkan.

Atas asas-asas kukuh yang dikemukakan oleh Ustaz Nakhaie Ahmad, PAS Pusat telah bersetuju dengan pendekatan tahaluf siyasi untuk membolehkan perjuangan Islam berkembang. Hasilnya, pada 14 Julai 1986, parti-parti pembangkang yang diketuai PAS yang mengisytiharkan penubuhan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) dengan dianggotai oleh NasMa, PRM dan SDP. PAS juga mengarahkan Naib Yang Dipertua Agungnya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyediakan kertas terperinci tentang hukum tahaluf siyasi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan pada 1990 kerana keperluan kerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Kertas yang diterima dan diluluskan pada 9 Oktober 1989 ini kemudian menjadi asas seluruh tahaluf siyasi PAS selepas 1990.

Disusun oleh: Arkib PAS

12 Julai 2016

12 Julai 2002 : Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 Disaman Oleh Ketua UMNO

Pada hari ini dalam tahun 2002, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (EKJS2 1993) yang digubal oleh Kerajaan PAS Kelantan dan diluluskan oleh DUN Kelantan pada 23 November 1993 telah diumumkan akan disaman di Mahkamah Persekutuan oleh Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim. Pemilik syarikat guaman Tetuan Zaid Ibrahim & Co. ini telah mengumumkan kepada media untuk bertindak demikian ke atas undang-undang syariah tersebut bagi menghalang ia dari dilaksanakan. Ketika EKJS2 1993 diluluskan, ia mendapat sokongan penuh dari semua ADUN Kelantan, termasuk dua ADUN BN.

Isu hudud ini berbangkit semula pada tahun 2002 ekoran usaha Kerajaan PAS Terengganu menggubal undang-undang jenayah syariah untuk negeri tersebut. Sepanjang tempoh antara Mei hingga Jun 2002, semua pihak memperkatakan tentang hudud Terengganu, termasuk DAP dan Umno. DAP telah mendakwa undang-undang ini akan menakutkan orang bukan Islam terhadap pembangkang, sedangkan Umno mendakwa terdapat seksyen dalam enakmen jenayah syariah itu yang menzalimi wanita. Kedua-dua pihak, DAP dan Umno mengambil sikap menolak hukum yang didakwa sebagai "Hudud PAS" ini. Walau bagaimanapun, pada 8 Julai 2002, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 telah diluluskan.

Sebagai tindak balas terhadap usaha PAS ini, Ketua Umno Bahagian Kota Bharu pada 12 Julai 2002 telah mengumumkan kepada media bahawa beliau akan menyaman EKJS2 1993 di Mahkamah Persekutuan disebabkan kononnya tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Tindakan Datuk Zaid Ibrahim ini memberi kesan buruk kepada Umno kerana ketika ini sedang berlangsung Pilihan Raya Kecil Parlimen Pendang dan DUN Bukit Raya, Kedah ekoran kematian Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor. Untuk meringankan kesan ke atas Umno ini, Badan Perhubungan Umno Kelantan pada 28 Julai 2002 telah dimaklumkan tentang keputusan Kabinet dan Majlis Tertinggi Umno bahawa mereka tidak bersetuju dengan tindakan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu itu, dan mengarahkan ia ditarikh balik.

Berkeras dengan sikapnya yang menolak perlaksanaan undang-undang syariah di negara ini, Datuk Zaid Ibrahim bertegas untuk sanggup melepaskan jawatannya sebagai pemimpin Umno dan akan meneruskan usaha menghalang perlaksanaan undang-undang syariah ini. Sedangkan bagi pihak PAS, pada 27 Oktober 2003, Menteri Besar Terengganu yang juga Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengumumkan pewartaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002. Terdahulu, Datuk Zaid Ibrahim pada 16 Oktober 2003 menggesa supaya Hudud Terengganu tidak diwartakan sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan untuk EKJS2 1993. Pada 21 Oktober 2003, Ketua Umno Bahagian Kota Bharu itu telah memohon petisyen Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan enakmen tersebut. Akibatnya, walaupun telah diwartakan, enakmen ini tidak dapat dilaksanakan kerana Mahkamah Persekutuan pada 5 November 2003 membenarkan petisyen Datuk Zaid Ibrahim tersebut.

Disusun oleh : Arkib PAS

11 Julai 2016

11 Julai 1992 : PAS Sasar Setengah Juta Keahlian Pada Tahun 1995

Pada hari ini dalam tahun 1992, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah meluluskan sebuah kertas cadangan untuk mengatur strategi bagi menambah keahlian PAS mencapai setengah juta orang menjelang tahun 1995. Kertas cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Azizan Abdul Razak ini adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan PAS sebagai pembangkang utama di negara ini sebelum Pilihan Raya Umum Kesembilan yang dijangka pada tahun 1995. Pada pertengahan tahun 1992, jumlah keahlian PAS telah mencapai 380,000 orang di seluruh negara.

Ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-37 pada 2 Jun 1991, Presiden PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor telah menyentuh masalah keahlian PAS yang perlu ditingkat untuk mengukuhkan kedudukan PAS, selain pengemaskinian sistem keahlian PAS. Ekoran itu, sepanjang tempoh antara Jun 1991 hingga Jun 1992, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdul Halim Arshat telah mengambil langkah pengukuhan tersebut. Pada 30 Jun 1991, sebuah kertas kerja bertajuk "Penyusunan dan Pengemaskinian Sistem Pendaftaran Keahlian PAS di Semua Peringkat" telah dikemukakan oleh Setiausaha Agung PAS. Sasaran utama adalah untuk menambahkan seramai 180,000 ahli baru PAS sebelum 1995.

Bagi mengukuhkan sasaran ini, pada 11 Julai 1992, Ustaz Azizan Abdul Razak dalam kertas cadangannya, "Rancangan 4 Tahun Meningkatkan Bilangan Ahli PAS ke Angka 1/2 Juta 1992-1995" yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengemukakan beberapa strategi bertindak. Secara umum, menurut Ustaz Azizan Abdul Razak, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum 1990, jumlah penyokong dan pengundi PAS adalah tiga kali ganda daripada jumlah ahlinya. Ini bermakna PAS berpotensi menambahkan keahliannya hingga melebihi 750,000 orang, tetapi mengambil sasaran untuk mencapai keahlian 500,000 orang dalam tempoh empat tahun, atau pertembahan sebanyak 45,000 orang setahun. Jika PAS berjaya menambahkan jumlah keahlian hingga setengah juta orang, PAS diunjurkan akan mencapai peningkatan jumlah penyokong dan pengundinya sehingga mencecah sejuta orang.

Antara strategi yang digariskan ialah memberi fokus kepada keahlian isi rumah ahli PAS seperti isteri dan anak-anak, selain keluarga terdekat mereka. PAS turut mensasarkan kempen keahlian jangka panjang untuk pelajar institut pengajian tinggi, pengundi atas pagar dan kalangan terdekat dengan ahli-ahli PAS. Secara mudah, PAS dicadangkan supaya memastikan berlaku pertambahan seramai 24 orang dalam setiap daripada 2,957 buah Cawangan PAS di seluruh negara. PAS Pusat kemudiannya menubuhkan sebuah Jawatankuasa Petugas untuk mencapaikan sasaran tersebut dengan diketuai oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Dr Daeng Sanusi Mariok.

Setelah empat tahun perlaksanaannya, PAS telah berjaya menambahkan keahliannya seramai 87,328 orang, iaitu sekitar 40 peratus daripada sasaran sebenar. Pertambahan ini berlaku sebanyak 21,132 orang pada 1992, 17,550 orang (1993), 21,547 orang (1994) dan 21,108 orang (1995). Antara faktor utama yang menyukarkan usaha menambah keahlian pada era ini menurut Laporan Tahunan PAS 1995 ialah kerana sekatan dan tekanan ke atas kebabasan politik. Kebanyakan rakyat lebih suka menjadi penyokong atau pengundi PAS berbanding menjadi ahli PAS untuk mengelakkan tindakan dan sekatan politik dikenakan ke atas mereka.

Disusun oleh : Arkib PAS

10 Julai 2016

10 Julai 2016 : Tiga Pimpinan Pemuda PAS Ditahan Di Bawah ISA

Pada hari ini dalam tahun 1984, tiga orang pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat telah ditahan di bawah ISA kerana didakwa melakukan kegiatan yang memecahbelahkan masyarakat. Mereka yang ditahan ialah Mohamad Sabu (Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat), Ustaz Bunyamin Yaakub (Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat) dan Ustaz Abu Bakar Chik (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu). Mereka ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA, yang menurut sesetengah pemerhati politik adalah berpunca dari desakan pimpinan Umno di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang bimbang dengan gelombang kebangkitan PAS.

Semenjak kekalahan PAS di Kelantan pada 1978, telah berlaku kesedaran Islam yang besar terutama selepas memasuki abad ke-15 (tahun 1400) Hijriyah (1980 Masehi), yang diikuti oleh pembentukan kepemimpinan ulamak dalam PAS pada akhir 1982. Dalam tempoh ini, telah tercetus isu-isu besar seperti penahanan Tuan Guru Haji Mustapha Abu Bakar (1981) dan Amanat Haji Hadi (1983) yang membawa kepada isu takfir. Persoalan pemisahan politik dari agama atau sekularisasi, undang-undang jahiliyah dan thaghut, perjuangan assobiyah, jihad dan mati syahid, pertarungan hak dan batil serta isu-isu seumpamanya telah mewarnai suasana politik ketika ini, terutama dalam Pilihan Raya Kecil DUN Selising dan Kemumin di Kelantan pada 8 September 1983.

Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 pada 30 April 1983 telah mendakwa program Islamisasi bukanlah melaksanakan Islam, tetapi memanipulasi untuk mengurangkan tekanan kebangkitan Islam. Beliau mendakwa pimpinan Umno adalah regim boneka musuh-musuh Islam yang menjadikan Islam sebagai tetamu, bukannya tuan dan berusaha menyekat kebangkitan Islam. Dalam ucapan dasar pada 14 April 1984 sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-30, Yang Dipertua Agung PAS itu telah menjangka satu tindakan melulu dan ganas akan dilakukan ke atas perjuangan Islam oleh golongan sekular bagi menyekat kebangkitan Islam.

Program-program Islamisasi kerajaan seperti penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), penubuhan Bank Islam, dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, dasar Bersih, Cekap dan Amanah dan sebagainya telah menerima kritikan hebat daripada pimpinan Dewan Pemuda PAS yang menyifatkannya sebagai kosmetik politik Umno. Mereka mendakwa Islamimasi ini tidak berasaskan al-Quran dan Sunnah, sebaliknya bersumber dari Washington, London dan Tel Aviv. Tekanan-tekanan radikal PAS ke atas Kerajaan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menyebabkan kerajaan menggubal Akta Cetak dan Mesin Cetak 1984. Terdahulu, PAS yang menentang pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 14 Oktober 1983, telah mendesak Perdana Menteri supaya melaksanakan hukum syariat di negara ini. Di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah, sokongan terhadap gagasan negara Islam yang dibawa oleh PAS semakin mendadak sehingga timbul cadangan Debat PAS-Umno tentang persoalan ini.

Di celah-celah ketegangan ini yang mewarnai kebangkitan Islam pada awal dekad 1980-an ini, terdapat desakan daripada pimpinan Umno di tiga negeri tersebut supaya pimpinan PAS ditahan untuk membendung pegerakan PAS. Akibatnya, pada 1983, dua pemimpin PAS Besut, Ustaz Mohamad@Stimat Jusoh dan Ustaz Abdul Latif Mohamad ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dan dibuang daerah. Pada 10 Julai 1984, tiga pemimpin Dewan Pemuda PAS telah ditahan ISA, diikuti oleh pengharaman himpunan politik di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu mulai awal Ogos 1984. Pada 18 Julai 1984, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Tabung Jihad untuk mengumpulkan sumbangan kepada keluarga mangsa-mangsa ISA ini.

Disusun oleh : Arkib PAS

09 Julai 2016

09 Julai 1959 : Ustaz Haji Ishak Lotfi Dilantik Menteri Besar Kelantan Pertama

Pada hari ini dalam tahun 1959, ADUN Kota Bharu Selatan, Ustaz Haji Ishak Lotfi Omar telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang pertama selepas merdeka, setelah PAS berjaya memenangi 28 daripada 30 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 20 Mei 1959. Turut mengangkat sumpah ialah Haji Mohamad Nasir (Machang Utara) selaku Timbalan Kepada Menteri Besar serta Tengku Mohamad ibni Sultan Mohamad Ke-IV (Pasir Puteh Utara), Ustaz Abdullah Yusof (Tok Uban), Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim (Pasir Puteh Tengah), Nik Abdul Rahman Nik Mohamad (Meranti), Mohd Yusof Noor (Machang Selatan), Abdul Rahman Daud (Rantau Panjang) dan Cikgu Mohd Daud Jamil (Tanah Merah Timor) sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, manakala Mohd Asri Haji Muda (Kota Bharu Tengah) sebagai Speaker DUN Kelantan.

Dato' Bentara Jasa Haji Ishak Lotfi adalah Menteri Besar Kelantan ke-11 sejak 1775 menggantikan Tengku Seri Maharaja Tengku Hamzah bin Tengku Zainal Abidin yang menjadi Menteri Besar sejak 1953. Beliau yang dilahirkan pada 1918 di Kampung Masjid, Kota Bharu dalam sebuah keluarga politik, berpangkat cicit kepada Dato' Maha Menteri Che Saad Penghulu Ngah, Menteri Besar Kelantan (1890-1894) yang terkenal itu. Beliau juga adalah anak saudara kepada Dato' Mohd Asri Haji Muda (bekas Yang Dipertua Agung PAS) dan As'ad Shukri Haji Muda (bekas Ketua KMM Kelantan), selain anak tiri kepada Mohd Daud Salleh (bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS). Ibunya, Che Minah Haji Muda adalah kakak Dato' Mohd Asri.

Beliau mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya yang merupakan pusat pengajian Islam terbesar ketika itu. Beliau belajar di Masjid Muhammadi, Sekolah Arab MAIK dan Sekolah Melayu Jalan Post Office Lama, sebelum belajar di Mekah selama 10 tahun sejak 1927. Antara gurunya di Mekah ialah Pak Da Eil al-Fathani dan Haji Noh Jamaluddin Kelantan. Pada 1937, beliau pulang ke Kelantan dan mula terlibat dengan politik. Beliau mengasaskan percetakan Matba'ah al-Maarif pada 1938, selain menjadi pengarang majalah ar-Riwayah. Beliau terlibat dengan politik melalui Setiawan Belia dan Dewan Bahasa Melayu, selain turut terlibat dengan Pemuda Asuhan Bekerjasama (PAB) dan menyertai KMM sebelum Perang Dunia Kedua. Pada zaman Jepun, beliau menyertai Barisan Pemuda Sukarela Kelantan (BPSK), kemudian menjadi Setiausaha Agung Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) sejak 1945, terlibat mengasaskan Umno pada 1946 dan akhirnya beliau menyertai PAS pada 1952.

Dalam perkhidmatan awam, beliau dilantik sebagai Pegawai Pelajaran MAIK pada 1945, kemudian menjadi Penolong Pegawai Zakat mulai Jun 1949, sebelum dilantik sebagai Pegawai Agama MAIK hingga 1959. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Hal Ehwal Agama Majlis Raja-raja. Dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan 1959, beliau dipilih sebagai ADUN Kota Bharu Selatan, dan dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada 9 Julai 1959. Beliau menjadi Menteri Besar Kelantan sehingga 10 Mei 1964, sebelum dilantik sebagai Speaker DUN Kelantan (1964-1968) dan menjadi Menteri Besar kali kedua (1973-1974).

Disusun oleh : Arkib PAS

08 Julai 2016

08 Julai 1978 : PAS Sertai Pilihanraya Umum Ke-5 Dengan Agenda Perlaksanaan Syariat Islam

Pada hari ini dalam tahun 1978, PAS telah menyertai Pilihan Raya Umum Kelima bagi mengembalikan semula syariat Islam sebagai undang-undang negara, setelah PAS tidak dapat berbuat demikian sepanjang berada dalam kerajaan antara 1973-1977. PAS menyertai pilihan raya umum kali ini sebagai sebuah parti pembangkang, berbeza dengan Pilihan Raya Umum 1974 di mana PAS bertanding sebagai komponen BN yang memerintah. Sejak PAS dikeluarkan dari BN pada 13 Disember 1977 dan tewas dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 11 Mac 1977, PAS menyusun langkah baru untuk mengukuhkan semula kedudukannya.

Kedudukan PAS yang terjejas ekoran permainan politik Umno yang menyebabkan tertubuhnya serpihan PAS, Berjasa yang dipimpin oleh Dato' Mohamad Nasir yang berwala' kepada BN. Akibat krisis ini, Kelantan telah didaruratkan antara 8 November 1977 hingga 12 Februari 1978, yang diikuti oleh Pilihan Raya Negeri yang menyaksikan PAS hanya menang 2 daripada 34 kerusi DUN Kelantan, sedangkan serpihan PAS, Berjasa mendapat 11 kerusi dan BN mendapat 23 kerusi. Ekoran kekalahan ini, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Ishak Lotfi Omar telah meletak jawatan pada 19 Mac 1978 supaya PAS dapat memulihkan keluatannya menjelang Pilihan Raya Umum Kelima.

Walaupun PAS menghadapi krisis kepemimpinan dan organisasi yang teruk disebabkan isu Kelantan ini, namun PAS terus bergerak memperjuangkan agenda menegakkan Islam di negara ini. Pada peringkat awal, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 30 Mei 1978 telah mengemukakan usul rang undang-undang persendirian untuk membolehkan beliau membawa ke Dewan Rakyat dalam persidangan antara 19 Jun hingga 7 Julai 1978 usul untuk dua ketetapan iaitu "supaya Malaysia melaksanakan hukum dan perundangan Islam bagi menggantikan hukum dan perundangan sedia ada" dan "supaya ditubuhkan segera sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar sistem perundangan Islam dan sistem perundangan lain bagi mengkaji, menyusun dan mengemukakan cadangan kepada pihak kerajaan dan Dewan (Rakyat) itu bagi tujuan yang dimaksudkan."

Usul persendirian ini dikemukakan setelah agenda Islamisasi yang dilakukan oleh PAS dalam kerajaan terhenti akibat terkeluarnya PAS dari BN. Usul persendirian Yang Dipertua Agung PAS ini walau bagaimanapun tidak sempat dibahaskan apabila Parlimen dibubarkan pada 13 Jun 1978. PAS yang telah menetapkan pada 7 April 1978 bahawa ia akan meletakkan sebanyak mungkin calon dalam Pilihan Raya Umum 1978, telah memutuskan pada 14 Jun 1978 supaya PAS bertanding 100 daripada 240 kerusi Parlimen. Walau bagaimanapun, oleh kerana PAS bertanding di Semenanjung sahaja, PAS berjaya meletakkan 88 daripada 153 kerusi Parlimen dan 204 daripada 276 kerusi DUN. Tujuan utama PAS berbuat demikian ialah selain meningkatkan undi popular, ia juga sebagai langkah utama ke arah melaksanakan syariat Islam.

Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1978 ini, PAS telah mengemukakan manifesto bertajuk "Untuk Agama, Bangsa dan Negara yang Selamat dan Sejahtera." Tujuan manifesto ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam, dengan PAS akan meminda takrif Islam sebagai agama Persekutuan sesuai dengan maksud sebenar Islam untuk "mewujudkan sebuah negara yang benar-benar berpegang kepada hukum-hukum dan ajaran Islam secara praktik," "hukum-hukum Islam hendaklah menjadi dasar utama untuk semua perundangan negara," "undang-undang sedia ada atau mana-mana akta atau undang-undang dan peraturan yang diadakan secara tulisan atau semangatnya bertentangan dengan hukum Islam adalah tidak sah dan dianggap bertentangan dengan Perlembagaan negara" serta "kuasa kerajaan hendaklah berjalan, beredar dan berlaku di dalam batas-batas yang diberikan oleh hukum-hukum Islam sahaja."

Dengan agenda besar untuk menegakkan Islam ini, PAS telah menyertai Pilihan Raya Umum Kelima yang diadakan pada 8 Julai 1978, sedangkan semua pemerhati politik melihat masa depan PAS akan terkubur, bahkan ada yang mengatakan sebagai "gerhana Bulan Purnama." Walaupun PAS hanya memenangi 5 daripada 153 kerusi Dewan Rakyat dan 9 daripada 276 kerusi DUN, telah PAS telah berjaya memulihkan sokong orang Melayu kepada PAS, khusus di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Selain memenangi dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN di Kedah, PAS turut menang satu kerusi Palimen dan satu kerusi DUN di Pulau Pinang dan satu kerusi DUN di Perak, sehingga menurut Crouch H (1980), seorang sarjana yang mengkaji Pilihan Raya Umum 1978 bahawa PAS menguasai 40.3 peratus undi Melayu. BN sendiri walaupun memenangi 131 kerusi Parlimen, telah mengalami kemerosotan undi popular dari 60.7 peratus kepada 57.2 peratus akibat ketiadaan PAS dalam pakatan tersebut. Keputusan Pilihan Raya Umum pada 8 Julai 1978 ini jelas menunjukkan bahawa sokongan orang Melayu terhadap PAS mempunyai kolerasi dengan kesungguhan PAS menegakkan syariat Islam.

Disusun oleh: Arkib PAS