07 Julai 2016

07 Julai 2001 : DAP Ugut Keluar Dari Barisan Alternatif Kerana PAS Pertegas Prinsip Negara Islam

Pada hari ini dalam tahun 2001, Jawatankuasa Harian PAS Pusat telah mengambil pendirian untuk mempertahankan perjuangan menegakkan negara Islam dan tidak akan tunduk kepada apa sahaja tekanan dan ugutan DAP. Jawatankuasa Harian Pusat juga turut memutuskan supaya penubuhan negara Islam oleh PAS tidak akan dibuat secara paksaan kepada rakyat, sebaliknya ia dilakukan secara demokratik. Atas asas ini, PAS bertegas untuk sanggup kehilangan DAP sebagai rakan politiknya, sebaliknya PAS akan kekal bersama Barisan Alternatif (BA).

Dalam Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-41 pada 1 Jun 2001, Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor telah menekankan keperluan PAS untuk mempertahankan perjuangan menegakkan negara Islam dengan memgambil kira uslub dakwah dalam konteks politik semasa dan menyelaraskan penglibatan PAS dalam BA. Pendirian PAS dalam muktamar ini, yang diikuti oleh penegasan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa PAS akan menutup pusat perjudian kasino dan meningkatkan kedudukan mahkamah syariah untuk menggantikan mahkamah sivil, telah menimbulkan kemarahan DAP.

DAP telah menyerang PAS dengan menuduh PAS menyimpang jauh dari manifesto BA, diikuti oleh ugutan DAP untuk menarik diri dari pakatan pembangkang itu. Pemimpin DAP yang menganggap isu negara Islam sebagai sensitif, telah memberi amaran kepada PAS supaya menghentikan perjuangan negara Islam. Pada 2 Julai 2001, memberi respon terhadap pendirian PAS itu, DAP telah menyatakan rasa terkejut kerana PAS mahu menegakkan negara Islam dan ia mahu keluar dari BA. Pada 11 Julai 2001, DAP secara terbuka menentang idea negara Islam dan mahu mengkaji semula hubungan dengan PAS.

DAP sebenarnya telah terkesan dengan keadaan politik Sarawak yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri pada akhir tahun 2001. Pada akhir 2000, DAP Sarawak telah menunjukkan sikapnya untuk berundur dari BA. Sebagai alasan terhadap tindakan ini, seorang ADUN DAP, Jason Wong Sing Nang telah keluar DAP pada 10 Februari 2001 kerana menolak perjuangan PAS dan akhirnya pada 3 Mac 2001, DAP Sarawak mengumumkan keluar dari BA. Strategi DAP untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak 2001 ini telah menyebabkan mereka menyelar dasar perjuangan PAS, kerana beranggapan isu negara Islam telah menghilangkan sokongan orang bukan Islam kepada DAP dalam Pilihan Raya Umum 1999. DAP mahu menyertai Pilihan Raya Negeri Sarawak tanpa imej negara Islam dan PAS.

Mengambil kira sikap dan pendirian DAP yang begitu keras terhadap perjuangan Islam PAS, pada 7 Julai 2001, PAS mengambil pendirian untuk mempertahankan perjuangannya dan tidak akan tunduk kepada tekanan DAP. Ustaz Fadzil Mohd Noor kemudian membawa pendirian Jawatankuasa Harian PAS Pusat ini untuk disahkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 15 Julai 2001. Rentetan itu, DAP mencabar PAS pada 27 Julai 2001 supaya keluar dari BA jika terus memperjuangkan negara Islam. Pada 19 Ogos 2001, Kongres Kebangsaan DAP menyerahkan kepada CEC DAP untuk memutuskan kedudukan parti itu dalam BA. Akhirnya, pada 22 September 2001, DAP telah mengumumkan keluar dari BA kerana tidak bersetuju dengan perjuangan PAS mahu menegakkan negara Islam.

Disusun oleh : Arkib PAS

06 Julai 2016

06 Julai 1956 : Cawangan PAS Terengganu Yang Pertama Ditubuhkan Di Dungun

Pada hari ini dalam tahun 1956, PAS telah berjaya menembusi negeri Terengganu apabila PAS Cawangan Dungun ditubuhkan di Madrasah az-Zainiyyah, Sura Gate, Dungun di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Zainal Abidin Aman (Tok Guru Haji Bidin). Terengganu merupakan negeri kedua terakhir yang berjaya ditembusi oleh PAS di Semenanjung Tanah Melayu, sebelum PAS masuk ke Melaka pada akhir 1957. Penubuhan PAS Cawangan Dungun adalah hasil usaha Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu, Ustaz Mohd Asri Haji Muda yang mengadakan perjumpaan untuk memberi penerangan tentang perjuangan PAS dan berakhir penubuhan cawangan ini.

Sejarah PAS Terengganu telah bermula sejak 1954 lagi apabila Ustaz Mohd Asri Haji Muda dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Daerah Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang. Pada 1955, Ustaz Mohd Asri dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu. Terengganu yang terkenal dengan pengaruh parti kiri seperti PKMM dan PRM bukan sahaja menyulitkan pergerakan pengaruh PAS, tetapi juga Umno. Pada tahun 1956, empat tokoh PAS iaitu Dr Haji Abbas Alias (Yang Dipertua Agung PAS), Ustazah Zabidah Ali (Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat), Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dan Ustaz Zabidi Ali (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) telah berpindah ke Terengganu kerana urusan kerja dan ia memberi nafas baru kepada perkembangan PAS di negeri itu. Dr Haji Abbas misalnya, setelah dilantik dengan Pengarah Kesihatan Terengganu, telah berjaya menubuhkan PAS Ranting Chabang Tiga, Kuala Terengganu dalam tahun 1956.

Dalam perjumpaan anjuran Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu pada 6 Julai 1956 di Pondok Haji Bidin (Madrasah az-Zainiyyah), PAS Cawangan Dungun telah berjaya ditubuhkan. Tuan Guru Haji Bidin telah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Dungun, bersama Ustaz Ngah Mohamad (Naib Yang Dipertua), Isa Abdullah (Setiausaha), Syed Hussein Tuan Kechik (Bendahari), Cikgu Muda Salleh (Ketua Ulamak), Kapten Abdul Majid Awang (Ketua Pemuda), Abu Hitam, Musa Yusof, Salleh Mohd Zain, Engku Mohamad Wok, Ngah Sulong, Mat Abdullah, Ustaz Wan Abbas Abdullah dan Hashim Jais sebagai Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan Dungun. Mereka menjadi perintis kepada perkembangan PAS di Terengganu.

Setelah PAS Cawangan Dungun berjaya ditubuhkan, PAS mulai berkembang di Terengganu dengan tertubuhnya PAS Cawangan Kuala Terengganu (1956), Kemaman (1957), Besut (1956), Kuala Berang (1958) dan Kuala Terengganu Utara (1959). Menjelang Pilihan Raya Umum 1959, PAS telah mempunyai enam Cawangan di Terengganu, mengatasi Umno yang ditubuhkan di Terengganu sejak 1950. Pengaruh PAS lebih kukuh apabila tokoh-tokoh ulamak seperti Tuan Guru Haji Bidin, Tuan Guru Haji Abbas Mohamad, Tuan Guru Haji Shafie Sulong, Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamad dan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong menyertai PAS.

Kesan paling nyata daripada perluasan pengaruh PAS di Terengganu ialah kejayaan PAS menguasai 13 daripada 24 kerusi DUN Terengganu dalam Pilihan Raya Umum 1959, sekali gus membolehkan PAS membentuk kerajaan di Terengganu. Antara faktor penting yang mendorong perkembangan mendadak PAS di Terengganu selepas 1956 ialah penyertaan Dr Burhanuddin al-Helmy ke dalam PAS pada akhir 1956, yang menyebabkan ahli-ahli politik kiri termasuk termasuk bekas-bekas ahli PKMM, PRM dan Hizbul Muslimin di Terengganu mengikuti jejak beliau menyertai PAS.

Disusun oleh : Arkib PAS

05 Julai 2016

05 Julai 2011 : PAS Rakam Junjungan Kasih Kepada YDP Agong Perkenan BERSIH 2.0 Mengadap

Pada hari ini dalam tahun 2011, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengutuskan ucapan junjungan kasih bagi pihak PAS kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin di atas ampunan perkenan mengadap Baginda kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0). Mursyidul Am PAS yang mengutuskan surat dari Tanah Suci Mekah bagi melahirkan junjungan kasih kepada Ketua Negara dalam usaha parti-parti politik dan NGO untuk menuntut diadakan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini. Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memberikan ampunan perkenan untuk membolehkan Bersih 2.0 mengadap dan menyerahkan tuntutan-tuntutan pilihan raya tersebut.

Bersih 2.0 yang diketuai oleh tokoh pejuang hak asasi manusia, Datuk Ambiga Sreenevasan telah merancang menganjurkan himpunan besar-besaran pada 9 Julai 2011 bagi mengemukakan tuntutan pilihan raya bersih dan adil. Selain NGO, ia turut disertai oleh PAS, PKR dan DAP. Ini adalah kali kedua tuntutan pilihan raya bersih dan adil dibuat selepas kali pertama diadakan pada 2007. Mengikut rancangan awal, himpunan ini akan diadakan di Masjid Kampung Baru, Kompleks Sogo, Dewan Bandaraya dan Dataran Merdeka. Tetapi himpunan ini kemudiannya dipindahkan ke Stadium Merdeka di atas titah Yang di-Pertuan Agong.

Bersih 2.0 ini ditubuhkan ekoran isu-isu pilihan raya bersih seperti penyalahgunaan kuasa SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), salah guna media, isu persempadanan pilihan raya, politik wang dan sebagainya. Pada 19 Jun 2011, Bersih 2.0 telah dilancarkan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor yang dihadiri oleh pemimpin parti-parti pembangkang dan juga NGO hak asasi manusia. Respon terhadap usaha parti-parti pembangkang ini, Perkasa telah menubuhkan Gerak Aman. Mereka mengadakan satu perhimpunan untuk membantah Bersih 2.0 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, selain merancang untuk berhimpun di Masjid Negara, Dataran Merdeka, Stadium Merdeka dan Istana Negara, di samping membuat 1,278 aduan polis. Pergerakan Pemuda Umno pula mengaturkan Himpunan Patriot yang menentang Bersih 2.0.

Dalam menangani pergolakan ini, pada 3 Julai 2011, Yang di-Pertuan Agong telah membuat Titah Khas Istana Negara Dibawah Duli Tuanku yang melarang rakyat mengadakan himpunan jalanan, sebalik mencadangkan ia diadakan secara tertutup di mana-mana stadium. Pada 5 Julai 2011, Datuk S Ambiga bersama beberapa pemimpin Bersih 2.0 telah mengadap Yang di-Pertua Agong di Istana Negara dan bersetuju supaya perhimpunan diadakan secara tertutup. Hasil rundingan dengan kerajaan, akhirnya dipersetujui supaya perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di Stadium Merdeka, tetapi seramai 91 orang pemimpin Bersih 2.0, Pemuda Umno dan Perkasa tidak dibenarkan memasuki Kuala Lumpur.

Sebagai menjunjung kasih terhadap keprihatinan Baginda dalam menangani masalah rakyat, khususnya berkait dengan tuntutan pilihan raya bersih ini, Mursyidul Am PAS telah mengutuskan surat pada 5 Julai 2011 untuk merakamkan junjungan kasih kepada Baginda. PAS juga merakamkan menjunjung kasih kerana Baginda memberikan ampunan perkenan bagi membolehkan pemimpin Bersih 2.0 mengadap dan menyerahkan tuntutan pilihan raya bersih dan adil kepada Baginda. Walaupun Baginda tidak memperkenankan himpunan dan perarakan jalanan diadakan, Baginda telah mencadangkan supaya himpunan diadakan secara tertutup di mana-mana stadium supaya ia tidak menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara. PAS menyifatkan tindakan bijak Baginda sebagai simbol keprihatinan Baginda terhadap isu-isu rakyat.

Disusun oleh: Arkib PAS

04 Julai 2016

04 Julai 2013 : PAS Kesal Tindakan Kudeta Menjatuhkan Kerajaan Sah Mesir Pimpinan Dr. Morsi

Pada hari ini dalam tahun 2013, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa kesal dan sedih di atas tindakan Jenaral Abdul Fattah as-Sisi melakukan rampasan kuasa untuk menjatuhkan kerajaan Ikhwanul Muslimin di Mesir yang dipimpin oleh Dr Mohamad Morsi. Menurut Mursyidul Am PAS itu, peristiwa ini telah mengulang sejarah hitam di Mesir, sebuah bumi yang bukan sahaja pernah diperintah oleh Firaun yang zalim, tetapi pemimpin-pemimpin lain pada zaman moden yang mewarisi kezaliman Firaun.

Dr Morsi adalah Presiden Mesir kelima yang dipilih secara demokratik menggantikan pemimpin diktator, Presiden Hosni Mubarak yang berundur pada 11 Februari 2011. Dalam Pilihan Raya Presiden Mesir pada Mei 2012, Dr Morsi mewakili Parti Keadilan dan Kemerdekaan (FJP), parti tajaan Ikhwanul Muslimin telah berjaya dipilih oleh rakyat. Beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir pada 24 Jun 2012 menggantikan Mohammed Hussein Tantawi, Pemangku Presiden Mesir. Dr Morsi yang juga Pengerusi FJP adalah seorang profesor kejuruteraan di Universiti Zagazig sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Mesir pada tahun 2000 dan merupakan pimpinan utama Ikhwanul Muslimin.

Kerajaan Dr Morsi terjejas ekoran pemberontakan yang ditaja oleh golongan sekular selepas setahun menjadi Presiden. Beliau mengumumkan untuk meminda Perlembagaan dan melaksanakan syariat di Mesir. Pada 30 Jun 2013, golongan sekular mula mengadakan tunjuk perasaan dan keganasan kerana membantah usaha Dr Morsi melaksanakan Islam yang menyebabkan kehilangan banyak nyawa. Pada 1 Julai 2013, pemberontak merempuh masuk ke Pejabat Ikhwanul Muslimin di Jabal Mokhatam. Pada 3 Julai 2013, Menteri Kesihatan mengumumkan 16 lagi kematian, yang menyebabkan Jeneral As-Sisi merampas kuasa pada malamnya dan melantik Adly Mansour dilantik Pemangku Presiden. Sheikhul Azhar, Dr Ahmed Thayyib, pemimpin Kristian, Paus Theodoros II dan pemimpin pembangkang sekular, Dr Mohamed al-Baradaie menyokong tindakan Jeneral As-Sisi ini.

Terkesan dengan kejatuhan Kerajaan Dr Morsi ini, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz telah mendakwa terdapat di kalangan tokoh-tokoh agama yang diperalatkan oleh golongan sekular untuk menyekat kebangkitan Islam. Jeneral as-Sisi sengaja memperalatkan pemimpin al-Azhar untuk mengabsahkan tindakan tidak demokratik ke atas Dr Morsi. Tuan Guru Nik Abdul Aziz yakin bahawa generasi Fi Zilalul Quran akan bangkit menebus semula perbuatan biadap as-Sisi ini. Dalam pada itu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya pada 13 Julai 2013, menganggap protes untuk menjatuhkan Dr Morsi telah dirancang dan dilakukan oleh pelakon-pelakon politik yang ditaja oleh Barat.

Disusun oleh: Arkib PAS

03 Julai 2016

03 Julai 2010 : PAS Anjur Himpunan Bantah Judi Bola Di Masjid Negara

Pada hari ini dalam tahun 2010, PAS menganjurkan himpunan besar-besaran bersama Gerakan Mansuhkan Judi (GMJ) untuk membantah kelulusan lesen judi bola oleh Kerajaan Malaysia sempena Piala Dunia 2010. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nassaruddin Hassan Tantawi mengetuai ahli-ahli PAS perhimpunan ini, manakala Cikgu Azmi Abdul Hamid mengetuai semua NGO dalam GMJ. Perhimpunan ini diadakan pada sebelah petang 3 Julai 2010 yang dihadiri oleh hampir 5,000 demonstran sebagai membantah penularan budaya judi di negara ini.

Isu lesen judi bola ini timbul ekoran pengumuman oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adik Hussein pada 6 Mei 2010 bahawa lesen judi bola sepak akan dikeluarkan sempena pesta Bola Sepak Piala Dunia yang bermula 11 Jun 2010 di Afrika Selatan. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung pula mengumumkan lesen ini diberikan kepada syarikat perjudian, Berjaya Group. Menurut kerajaan, tujuan utama lesen ini diberikan adalah untuk mengekang perjudian haram yang berlaku tanpa kawalan sepanjang musim Piala Dunia itu, sekali gus hasil perjudian ini dapat digunakan untuk pembangunan sukan di negara ini. Alasan kerajaan ini tidak dapat diterima oleh PAS kerana aktiviti perjudian telah diharamkan oleh Allah dan tindakan mengeluarkan lesen untuk perjudian bola sepak akan membiakkan budaya haram dalam masyarakat.

Bagi menghalang terlaksananya judi bola sepak ini, Dewan Pemuda PAS dan GMJ telah menganjurkan himpunan 5,000 umat di setiap masjid di seluruh negara selepas Solat Jumaat pada 21 Mei 2010. Dalam tempoh 10 hari antara 21-30 Mei 2010 juga, Dewan Pemuda PAS telah menyerahkan memorandum kepada mufti-mufti di seluruh negara supaya bertindak menyelamatkan akhlak umat Islam. Dalam masa sebulan antara 21 Mei hingga 21 Jun 2010, turut dianjurkan juga ialah Rally Pemuda PAS Pusat dan Negeri di setiap negeri untuk membuat bantahan kepada pihak berkuasa agama, khususnya para mufti bagi mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan bertindak menyekat lesen perjudian bola sepak itu dari dikeluarkan.

Susulan dari itu, Dewan Pemuda PAS mengadakan Roadshow Mendidik Rakyat antara 21 Mei hingga 30 Jun 2010 untuk mendidikan rakyat agar memahami keburukan dan bahaya judi serta mencegah mereka dari terlibat dengan aktiviti perjudian ini. Dalam masa yang sama, Dewan Pemuda PAS turut mengeluar dan mengedarkan risalan Hindari Judi untuk mencegah rakyat terjebak dengan judi bola sepak ini.

Kesan dari desakan keras PAS yang didukung oleh rakyat ini, pada 26 Jun 2010, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah mengumumkan bahawa lesen perjudian bola sepak tidak dikeluarkan. Walaupun kerana membuat pengumuman demikian, PAS dan GMJ tetap mendesak kerajaan supaya tidak sekali-kali mengeluarkan lesen tersebut. Kemuncaknya, satu perhimpunan besar-besaran dianjurkan pada 3 Julai 2010 yang melibatkan 60 NGO yang berhimpunan di Masjid Negara, termasuk Angkatan Muda PKR yang diketuai oleh Shamsul Iskandar. Selepas perhimpunan pada sebelah petang Jumaat ini, mereka berarak ke Istana Negara untuk menyerah memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu bagi menghalang kerajaan dari mengeluarkan lesen perjudian bola sepak di negara ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

02 Julai 2016

02 Julai 1967 : Ahli Parlimen PAS Pasir Mas Hulu Mati Dibunuh

Pada hari ini dalam tahun 1967, Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu yang Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji telah diserang dengan kapak kecil selepas selesai Majlis Maulid Nabi yang diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad, Bangunan PAS Kelantan. Akibat serangan yang berlaku di tengah malam 2 Julai 1967 ini, Abdul Samad Ghul telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 6.30 pagi pada 3 Julai 1967 di Hospital Besar Kota Bharu. Serangan ganas ini masih misteri sehingga hari ini kerana pihak keselamatan gagal menangkap pembunuh tersebut sehingga ia dikatakan sebagai satu pembunuhan politik terhadap tokoh pemidato PAS itu.

Abdul Samad Ghul yang dilahirkan di Bangkok pada 1935 adalah berasal dari sebuah keluarga berdarah campuran Melayu-Pakistan kerana ayahnya adalah seorang tabib mata dari Pakistan, sedangkan ibunya berasal dari Pasir Mas. Pada mula Abdul Samad Ghul menerima pendidikan di Sekolah Melayu Merbau, sebelum belajar di Sekolah MAIK selama tujuh tahun, selain turut mengikuti kelas malam untuk belajar bahasa Inggeris. Beliau mendapat pendidikan politik Islam dan latihan pidato secara langsung dengan Prof Zulkifli Mohamad di Kota Bharu.

Beliau telah berkhidmat sebagai pegawai rendah, sebelum dinaikkan pangkat sebagai operator di Hospital Besar Kota Bharu sehingga 1964. Beliau yang mula terlibat dengan PAS sejak 1955 di bawah Ustaz Amaluddin Darus, telah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu pada 1958 dan mula mewakili Dewan Pemuda PAS Kota Bharu ke Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat sejak 1961. Beliau yang menduduki Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (1961-1964) telah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan pada 1964, merangkap Wakil Ketua (Timbalan Ketua) Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada 23 November 1965, beliau dilantik sebagai Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ekoran pengunduran Ustaz Amaluddin Darus yang uzur akibat akibat kemalangan.

Beliau yang turut memegang jawatan sebagai Wakil Ketua Dewan Pemuda PAS untuk sesi 1966-1968 turut dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS sejak 1964. Dalam Pilihan Raya Umum 1964, beliau telah terpilih sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu dan terkenal kerana kelantangannya dalam menyuarakan isu-isu ketuanan bangsa Melayu di Dewan Rakyat. Beliau merupakan salah seorang pemidato PAS yang berpengaruh ketika ini dan pada Majlis Maulid Nabi itu beliau telah menyentuh tentang penyelewengan Tun Abdul Razak Hussein selaku Menteri Dalam Negeri yang menyalahgunakan ISA untuk menahan para ulamak, selain turut menyentuh isu penglibatan tentera Malaysia dalam konflik Asia Barat di Suez.

Selepas ceramah Maulid Nabi pada 2 Julai 1967 di Bangunan Pejabat PAS Kelantan ini, Abdul Samad Ghul bersendirian ke keretanya sebelum diserang oleh seseorang yang tidak dikenali dengan kapak kecil yang menyebabkan kecederaan parah di kepala beliau. Pada pagi 3 Julai 1967, beliau dikejarkan ke Hospital Besar Kota Bharu untuk mendapat rawatan segera, tetapi telah menghembus nafas terakhirnya pada waktu subuh pagi 3 Julai 1967. Kejadian pembunuhan misteri ini menjadi sebahagian siri keganasan politik di negara ini terutama sejak Umno menubuhkan Pemuda Tahan Lasak pada 1965.

Disusun oleh: Arkib PAS

01 Julai 2016

01 Julai 1986 : PAS Setuju Wujudkan Pakatan Politik Pembangkang Bagi Menghadapi Barisan Nasional

Pada hari ini dalam tahun 1986, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi bersetuju supaya parti-parti pembangkang membentuk satu pakatan politik bagi menghadapi BN dan PAS bersedia mengetuainya. Pendirian PAS dinyatakan oleh Pak Yusof Rawa dalam rangka PAS menghadapi Pilihan Raya Umum Ketujuh yang dijangka diadakan pada tahun 1986. Ini adalah langkah pertama PAS untuk membentuk semula kerjasama politik setelah ia ditendang dari BN pada akhir 1977.

Pada 30 Jun 1986, ketika PAS berusaha memperkukuhkan hubungannya dengan masyarakat Cina melalui CCC, Yang Dipertua Agung PAS telah menyatakan bahawa PAS telah pun membuat kajian teliti tentang tahaluf siyasi dalam menghadapi perkembangan politik semasa di negara ini. PAS juga bersetuju supaya inisiatif diambil bagi mewujudkan persefahaman parti-parti pembangkang dengan syarat mereka "menghormati pegangan teguh PAS terhadap gagasan perjuangan menegakkan negara Islam dengan perlaksanaan awalnya ialah untuk mengukuhkan asas-asas keadilan di dalam pemerintahan dan masyarakat," "mengakui kepemimpinan Islam sebagai teras kestabilan politik di negara ini" dan "PAS adalah diterima menerajui kepemimpinan ini."

Tujuan utama pakatan pembangkang ini menurut Pak Yusof Rawa adalah "... tanggungjawab untuk menyelamatkan negara ini dari kehancuran, kezaliman, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, assobiyah dan pemusatan kuasa yang diamalkan oleh Kerajaan BN," dan "demi mempertahankan Islam, umat dan negara serta kebaikan bersama." Dari pernyataan yang dibuat oleh Pak Yusof Rawa pada 30 Jun 1986 ini, PAS dengan jelas berpegang kepada kepentingan politik pakatan dalam menumbangkan BN tetapi ia mesti ditegakkan atas prinsip Islam dan dipimpin oleh Islam.

Dalam satu kenyataan kepada media yang menghuraikan strategi PAS 1 Julai 1986, Pak Yusof Rawa telah menghuraikan sebab-sebab kenapa PAS mesti memimpin pakatan pembangkang, kenapa Islam mesti dijadikan asas pembentukan kerjasama ini dan kenapa semua parti mesti menerima kepemimpinan Islam sebagai teras politik di negara ini. Memberi respon terhadap cadangan PAS, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Lee Lam Thye pada 3 Julai 1986 menyatakan kesediaan DAP menyertainya dengan syarat CCC tidak terlibat dan tidak melibatkan penubuhan negara Islam. DAP akhirnya tidak menyertai pakatan ini kerana menolak negara Islam.

Pada 10 Julai 1986, PAS, PSRM, NasMa dan SDP telah mengadakan satu pertemuan di Pejabat Agung PAS, Jalan Pahang dan bersetuju menubuhkan sebuah pakatan pembangkang. Bagi melegitimasikan pembentukan pakatan ini, pada 13 Julai 1986, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah mengemukan satu kertas kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS bertajuk "Cadangan Mengadakan Satu Tahaluf Dengan Golongan Pembangkang Untuk Menghancur dan Menentang Kezaliman BN." Pada 14 Julai 1986, satu perisytiharan bersama dibuat oleh empat parti tersebut untuk menubuhkan pakatan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 1986.

Disusun oleh: Arkib PAS