12 Jun 2016

12 Jun 2002 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Pangku Jawatan Presiden PAS

Pada hari ini dalam tahun 2002, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah melantik Timbalan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Pemangku Presiden PAS ekoran kesihatan Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor yang tidak stabil setelah melakukan pembedahan jantung di Hospital UKM, Cheras pada 10 Jun 2002. Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu terpaksa menjalankan tugas-tugas Dato' Fadzil Mohd Noor dalam parti kerana Presiden PAS itu belum sedar sejak menjalani pembedahan bahkan turut mengalami beberapa komplikasi lain.

Pada 11 Mei 2002, Ustaz Fadzil Mohd Noor yang juga Ketua Pembangkang telah dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu setelah diserang sakit jantung ketika menghadiri satu seminar tentang perlaksanaan hudud di Terengganu. Setelah ditahan selama lima hari di hospital beliau dibenarkan pulang, dan beliau telah menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-48 pada 31 Mei hingga 2 Jun 2002. Ketika menyampaikan ucapan penangguhan muktamar ini, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah meluahkan isi hatinya, "... kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya bercakap dengan orang yang saya kasihi dan sayang..." ketika menutup muktamar tersebut. Pada 8 Jun 2002, beliau dimasukkan ke Hospital UKM untuk menjalani pemeriksaan jantung dan menjalani pembedahan saluran jantung pada 10 Jun 2002. Pembedahan ini walau bagaimanapun telah menyebabkan beliau diserang stroke dan beliau tidak sedarkan diri.

Ekoran keadaan Ustaz Fadzil Mohd Noor yang semakin kritikal, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 Jun 2002 telah melantik Timbalan Presiden PAS untuk memangku tugas-tugas Presiden PAS sehingga beliau sihat. Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang dilahirkan pada 20 Oktober 1947 dan berkelulusan dari Universiti Madinah dan Universiti al-Azhar mula menjadi pimpinan PAS sejak 1975 bermula dengan jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu (1975-1979), Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (1977-1983), Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat (1979-1983) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1979-1981). Pada 1981, beliau dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS sehingga beliau dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (kemudian Timbalan Presiden PAS) pada 1989.

Setelah 11 hari memangku jawatan Presiden PAS, pada pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah meninggal dunia dan dikebumikan di Kuala Nerang, Kedah. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 24 Jun 2002 telah secara rasmi melantik Tuan Guru Haji Abdul Hadi sebagai Pemangku Presiden PAS. Dalam ucapan pertama beliau sebagai Pemangku Presiden PAS pada 24 Jun 2002, Tuan Guru Haji Abdul Hadi menyebutkan, "... pengganti Almarhum tidak sama dengan Almarhum, tetapi kepemimpinan jama'ie sangat penting untuk menang dan mendapatkan keredhaan Allah." Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dipilih secara rasmi sebagai Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-49 pada 12-14 September 2003.

Disusun oleh: Arkib PAS

11 Jun 2016

11 Jun 1993 : PAS Pertegas Hasrat Untuk Melaksanakan Syariat Islam

Pada hari ini dalam tahun 1993, Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan hasrat dan cita-cita PAS untuk melaksanakan hukum syariat, khususnya hudud di Kelantan jika PAS terus diberikan kepercayaan oleh rakyat. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar yang bertajuk "Pertahan Syakhsiyah Ummah" pada perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-39 di Markaz Tarbiyah PAS Pusat pada 11 Jun 1993. Muktamar yang berlangsung pada 11-13 Jun 1993 ini dijangka sebagai muktamar terakhir sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Kesepuluh.

Sejak PAS memerintah Kelantan pada 21 Oktober 1990, PAS telah mewujudkan Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat pada 30 November 1990. Pada 26 Februari 1991, Jawatankuasa Pemandu Kerajaan Kelantan telah merancang untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah termasuk hudud, qisas dan takzir. Ekoran itu, pada 30 Mei 1991, Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menjelaskan bahawa kajian terhadap aspek teknikal untuk menggubal hukum syariat telah selesai dan akan dibentangkan di DUN Kelantan segera. Pada 18 Oktober 1991, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertegaskan sikap kerajaan yang akan memberi keutamaan terhadap perlaksanaan undang-undang syariat mulai tahun 1992.

Di sebalik kesungguhan PAS berusaha melaksanakan undang-undang syariat, terdapat sesetengah pihak dalam PAS yang mengkritik kegagalan Kerajaan Kelantan menyegerakan perlaksanaan syariat. Sedangkan di luar PAS, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed pada 16 April 1992 menyatakan kesediaan untuk membenarkan Kelantan melaksanakan hudud sehingga menimbulkan kemarahan parti Gerakan. Keadaan ini telah menimbulkan polemik dan perbincangan panjang tentang hukum syariah, termasuk ada pihak yang menuduh PAS tidak serius melaksanakan syariat dan menjadikannya isu politik.

Ekoran itu, Presiden PAS dalam ucapan dasarnya pada 14 Ogos 1992 menjelaskan, "Pihak yang takut dengan perlaksanaan undang-undang Islam ini telah memutarbelitkan bahawa perlaksanaan hudud yang kita rancang telah dianggap sebagai permainan politik. Tidaklah perlu kita mempedulikan sangat tuduhan-tuduhan sumbang seperti itu kerana perlaksanaan syariat Islam termasuk hudud adalah dasar yang telah dan sedang diperjuangkan oleh PAS sejak sekian lama. Bahkan di dalam manifesto pilihan raya PAS 1990 yang lalu telah pun diterangkan begitu jelas hasrat untuk melaksanakan hukum Allah ini." Bahkan, dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-38 pada 14-16 Ogos 1992 meluluskan usul menyokong Kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah.

Pada 7 November 1992, Majlis Syura Ulamak PAS telah meluluskan draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, tetapi belum dapat dikemukakan ke sidang DUN Kelantan pada November 1992, Januari 1993 dan Jun 1993. Bagi merungkai kegusaran umat Islam di atas dakwaan pelbagai pihak bahawa PAS bermain politik dalam soal perlaksanaan hukum syariat ini, pada 11 Jun 1993, Presiden PAS telah mempertegaskan dalam ucapan dasarnya tentang hasrat PAS melaksanakan syariat. "Apa yang sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat Kelantan ialah perlaksanaan perundangan Islam, hudud adalah sebahagian daripadanya. Insya Allah ia akan menjadi kenyataan. Dan apabila ia terlaksana nanti, ia adalah hasil penyertaan kita dalam pilihan raya." Akhirnya, pada 23 November 1993, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 telah berjaya diluluskan oleh DUN Kelantan.

Disusun oleh: Arkib PAS

10 Jun 2016

10 Jun 1990 : PAS Kaji Penyertaan Dalam Angkatan Perpaduan Ummah

Pada hari ini dalam tahun 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil keputusan untuk mengkaji dan meneliti Perlembagaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sebelum menyertai gabungan tersebut. PAS yang mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, S46 dan serpihan PAS, Berjasa bermula sejak Dewan Pemuda PAS menganjurkan Majlis Makan Malam Pemikir Ummah di Kelana Jaya pada 23 Disember 1988 yang mempertemukan pemimpin Team B Umno, Tengku Razaliegh Hamzah dengan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor. Akhbar Watan pada 3 Januari 1989 menyifatkan kerjasama PAS-S46 sebagai satu alternatif kepada Umno-BN.

Dalam masa yang sama, pemimpin Team B Umno turut berunding dengan Berjasa sejak 4 November 1987 untuk merangka pakatan baru politik Melayu bagi mengalahkan Umno dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan. Mereka bersetuju menjadikan PAS sebagai rakan politik dalam hal ini, sedangkan Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan tegas menyatakan kerjasama ini hanya boleh berlaku jika S46 menerima Islam sebagai asas perjuangan. Ketika rundingan teknikal sedang berlangsung antara pakatan Berjasa-S46 sedang berlangsung, pada Februari 1989, pakatan kedua-dua parti tersebut telah merancang mendaftarkan sebuah gabungan parti politik yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Pada 12 Februari 1989, PAS menegaskan sikap untuk tidak menyertai APU sehingga semua hal teknikal diselesaikan.

Namun begitu, serentak dengan itu juga, PAS telah bekerjasama secara tidak rasmi dalam beberapa Pilihan Raya Kecil di Ampang (28 Januari 1989), Teluk Pasu (25 Jun 1989), Pantai Merdeka (24 Mac 1990) dan Kijal (1 Ogos 1990), selain menganjurkan beberapa program dengan "peraduan ummah" seperti Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam (21 Ogos 1988), Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (9-10 September 1988) dan Seminar Perpaduan Ummah (28 Oktober 1988). Tujuan utama tindakan PAS ini adalah untuk mengekal mementum politik ummah, selain mengelakkan S46 membentuk kerjasama dengan pihak lain yang merugikan PAS.

Di peringkat dasar, PAS telah mengkaji strategi politik dalam menghadapi perubahan ini dengan kertas Ustaz Hassan Shukri pada 9 Oktober 1988 dan kertas Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman pada 9 Jun 1989 yang mencadangkan PAS mewujudkan kerjasama politik ini. Pada 9 Oktober 1988 juga, PAS telah menerima kertas dasar tahaluf siyasi oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Walau bagaimanapun, dalam kertas Ustaz Abdul Halim, telah dicadangkan supaya PAS mengekalkan identiti dengan simbol Bulan Purnama dan PAS mewujudkan tafahum siyasi (persefahaman politik) dengan APU tanpa menyertai pakatan tersebut. Dalam kata lain diwujudkan kerjasama PAS-APU dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990.

Pada awal Jun 1990, S46 dan Berjasa telah mendaftarkan APU tanpa penyertaan PAS. Sebaliknya, PAS pada 10 Jun 1990 mengambil sikap untuk tidak menyertai APU dan akan mengkaji terlebih dahulu kedudukan Perlembagaan APU dan implikasinya kepada PAS. Di sebalik sikap PAS itu, pada 20 Ogos 1989, serpihan PAS, Hamim telah keluar dari BN untuk menyertai APU. Walau bagaimanapun, APU yang turut disertai oleh KIMMA pada 1990 telah kekal sebagai sebuah pakatan politik longgar dan tidak rasmi apabila Pendaftaran Peertubuhan pada 10 Julai 1989 menolak pendaftaran APU kerana ia memerlukan sekurang-kurangnya tujuh anggota. Sejak itu, kerjasama PAS-APU berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990.

Disusun oleh: Arkib PAS

09 Jun 2016

09 Jun 1989 : PAS Kelantan Setuju Adakan Persefahaman Politik Untuk Tawan Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1989, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah meluluskan satu kertas cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman untuk membolehkan PAS merampas Kelantan dari BN melalui persefahaman politik. Kertas yang bertajuk 'At-Tafahum Siyasi: Persefahaman Politik Dalam Pilihan Raya' ini menggariskan strategi PAS Kelantan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Kesembilan setelah Umno diharamkan pada 4 April 1988. PAS melihat perpecahan Umno ini sebagai peluang terbaik untuk mengambil alih semula Kelantan yang menyebabkan PAS pada 9 Oktober 1988 mengambil strategi mendekati S46 dan Berjasa.

Terdahulu, setelah Umno diharamkan, Berjasa telah mengambil inisiatif mewujudkan gabungan politik Islam atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang turut disertai oleh S46, sebelum Hamim dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) turut berbuat demikian. Dalam PAS sendiri, sejak akhir November 1987 telah ada usaha yang dibuat oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS untuk menyatukan PAS dengan Team A Umno (Umno Baru) dalam 'Barisan Islamiyyah,' tetapi PAS pada 9 Oktober 1988 bersetuju menerima kertas cadangan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri, "Tinjauan Ringkas Politik Semasa dan Sikap Yang Perlu Diambil oleh PAS," yang mencadangkan PAS mendekati Team B Umno (kemudiannya dikenali sebagai S46). S46 yang kemudiannya membentuk APU bersama Berjasa, kemudiannya mula mengadakan persefahaman dengan PAS.

Di Kelantan secara khusus, keadaan politik menjadi lebih menarik kerana PAS bukan sahaja memiliki 10 daripada 39 kerusi DUN, tetapi kebanyakan kerusi yang diwakili Umno adalah kerusi marginal di bawah 1,000 undi majoriti. Perpecahan Umno telah membuka ruang kepada PAS di mana pada 12 Mac 1988, Adun Banggol, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman telah membuat usul undi tidak percaya kepada Tan Sri Mohammed Yaacob, Menteri Besar Kelantan, walaupun tidak disokong oleh Team B Umno. Tetapi, setelah Team B Umno menubuhkan S46 secara rasmi pada 3 Jun 1989, keadaan politik Kelantan telah berubah.

Menurut analisa Ustaz Abdul Halim dalam kertasnya, PAS telah menguasai sekitar 46 peratus undi popular di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1982 dan 1986, yang bermakna memerlukan lonjakan sekitar lima peratus untuk menguasai semula Kelantan. Berpandukan hukum tahaluf yang diharuskan seperti dalam kertas kerja Tuan Guru Hajj Abdul Hadi Awang pada 9 Oktober 1988, PAS Kelantan mencadangkan supaya satu tafahum siyasi (persefahaman politik) diwujudkan dengan APU tanpa PAS menyertainya. PAS melihat S46 mempunyai sejumlah penyokong di kalangan bekas ahli dan penyokong Umno, sedang Berjasa disokong oleh bekas ahli PAS. Persefahaman ini boleh melonjakkan undi popular PAS di Kelantan. Ustaz Abdul Halim juga mencadangkan supaya PAS memerintah negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah jika menang, Bulan Purnama kekal sebagai simbol PAS walaupun manifesto bersama.

Kertas kerja yang diluluskan oleh Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 9 Jun 1989 ini diterima sebagai strategi PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990, di mana PAS memenangi 24 daripada 39 kerusi dan bakinya dikuasai oleh S46 (14 kerusi) dan Berjasa (satu kerusi). Sejak kemenangan ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pesuruhjaya PAS Kelantan telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan dan PAS menerintah dengan dasar 'Membangun Bersama Islam' hingga hari ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

08 Jun 2016

08 Jun 1976 : PAS Cadang Tubuhkan Barisan Nasional Sabah Selesaikan Krisis Politik

Pada hari ini dalam tahun 1976, Dewan Harian PAS Pusat telah bersetuju untuk mencadangkan satu formula kerjasama parti-parti politik di Sabah bagi menyelesaikan krisis kepemimpinan yang berlanjutan sejak awal 1971 lagi. PAS mencadangkan supaya dua parti utama Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) diterima sebagai anggota BN dan dibentuk Kerajaan Campuran Berjaya-Usno atau Kerajaan BN Sabah bagi menstabilkan politik negeri itu. Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 14 April 1976, Berjaya telah mendapat 28 daripada 48 kerusi, sedangkan 20 kerusi lagi dimenangi oleh Usno.

Krisis politik Sabah tercetus apabila Tun Datu Mustapha Datu Harun, Ketua Menteri Sabah menuntut hak ekonomi Sabah dalam isu balak dan minyak pada 1971, yang menyebabkan Kuala Lumpur campur tangan dalam urusan Sabah. Selain menghantar Syed Kechik al-Bukhary ke Sabah, Kuala Lumpur turut menggunakan Datuk Abdul Rahman Yaakub, Ketua Menteri Sarawak dan Datuk Harris Salleh, Setiausaha Agung Usno untuk menjatuhkan Tun Datu Mustapha. Pada 23 April 1976, Tun Datu Mustapha telah membentangkan kertas "Kedudukan Sabah dan Masa Depan Sabah Dalam Malaysia," yang mencemaskan Kuala Lumpur sehingga Datuk Mohamad Said Keruak dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah pada 1 November 1975.

PAS yang mempunyai sikap menyokong Usno di Sabah menyedari krisis politik ini adalah berpunca daripada tindakan Tun Abdul Razak Hussein untuk menjatuhkan Tun Datu Mustapha. Tun Abdul Razak telah menaja kerjasama serpihan Usno, Datuk Harris Salleh dengan bekas parti UPKO pimpinan Tun Mohd Fuad Stephen bagi membentuk Berjaya pada 15 Julai 1975. Akibatnya, Berjaya dapat mengalahkan Usno dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 14 April 1976. Sedangkan ketika ini, Usno dan Sabah Chinese Association (SCA) yang membentuk Perikatan Sabah sejak 1967 merupakan parti komponen BN sejak penubuhannya BN pada 1 Jun 1974. Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda berbeza pendapat dengan Tun Abdul Razak dalam soal ini kerana PAS mengambil kira kedudukan Usno sebagai komponen BN, sedangkan Tun Abdul Razak melihat ancaman Tun Datu Mustapha terhadap Kuala Lumpur.

Sikap PAS terhadap Usno dan Tun Datu Mustapha dipengaruhi oleh peranan Tun Datu Mustapha terhadap perkembangan Islam di Sabah. Tindakan Tun Datu Mustapha memajukan Islam menerusi penubuhan United Sabah Islamic Association (USIA) pada 1969 dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada 1971 serta kejayaan meletakkan Islam sebagai agama negeri Sabah pada 23 September 1971, telah menyebabkan PAS 'menyerahkan' kepada Usno untuk membangunkan Islam di Sabah, termasuk membiarkan PAS Sabah yang ditubuhkan pada Ogos 1964 terkubur supaya ia tidak bersaing dengan USIA. Sokongan PAS kepada Usno juga sangat penting kerana ketika ini gerakan Kristianisasi sedang pesat berkembang di Filipina dan Sarawak, di mana mereka meletakkan Sabah sebagai sasarannya. Banyak kajian mengatakan kejatuhan Tun Datu Mustapha pada 1975 bukan semata-mata kerana krisis dengan Kuala Lumpur, tetapi terdapat gerakan antarabangsa menjatuhkan beliau kerana kegiatan dakwah Islam di Sabah.

Ketika krisis politik Sabah memuncak ekoran saingan Berjaya terhadap Usno, PAS pada 15 Januari 1976 telah mencadangkan supaya BN menerima keahlian Usno, tetapi menolak keahlian Berjaya yang dilihat mengancam Usno. Setelah DUN Sabah dibubarkan, PAS pada 17 Mac 1976 memutuskan untuk menghantar jentera pilihan raya ke Sabah bagi membantu Usno, tetapi ditangguhkan oleh PAS pada 24 Mac 1976 untuk mengelakkan salah faham parti komponen BN. Pendirian PAS dalam soal Sabah ternyata meletakkan Islam lebih ke hadapan, berbanding kepentingan politik kepartian. Bagi PAS, Kerajaan Perikatan Sabah yang diketuai Tun Datu Mustapha telah memberi kelebihan kepada Islam.

Walau bagaimanapun, ekoran kekalahan Usno dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 14 April 1976, sikap PAS terhadap Berjaya telah berubah untuk menyelamatkan Islam. PAS sedar walaupun dua pemimpin utama Berjaya, Tun Mohd Fuad Stephen (Presiden) dan Datuk Harris Salleh (Timbalan Presiden) beragama Islam, tetapi bekas ahli UPKO yang membentuk Berjaya majoritinya bukan Islam. Ini terbukti daripada 28 kerusi yang dimenangi Berjaya, hanya tiga kerusi sahaja mewakili kawasan Bumiputera Islam iaitu Lahad Datu, Papar dan Kawang. PAS juga bersetuju dengan pendirian Dewan Pemuda PAS Pusat pada 6 Jun 1976 yang melihat peranan Berjaya "menodai Islam" di Sabah. Sebagai jalan tengah untuk menyelesaikan kekusutan ini, pada 6 Jun 1976, PAS telah mencadangkan supaya Berjaya dan Usno membentuk Kerajaan Campuran atau kedua-dua parti diterima sebagai anggota BN dan membentuk Kerajaan BN Sabah bagi membolehkan Usno mengimbangi pengaruh bukan Islam dalam kerajaan.

Disusun oleh: Arkib PAS

06 Jun 2016

06 Jun 1995 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Dicalonkan Sebagai Ketua Pembangkang

Pada hari ini dalam tahun 1995, Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang telah dicalonkan oleh PAS sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen mewakili Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Ini adalah kali pertama pemimpin PAS dicalonkan semula sebagai Ketua Pembangkang selepas PAS menyertai kerajaan pada 1 Januari 1973. Dalam surat Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdul Halim Arshat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail pada 6 Jun 1995, PAS telah menamakan Ahli Parlimen Marang sebagai calon Ketua Pembangkang menggantikan Ahli Parlimen Tanjong, Lim Kit Siang dari DAP.

Kegagalan DAP mempertahankan 20 kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum 1990 telah menjadikan kedudukan parti-parti pembangkang seimbang dengan DAP sembilan, PBS lapan, PMS46 tujuh dan PAS enam. PAS yang mempunyai kerjasama politik dengan PMS46 atas tiket APU menguasai 13 kerusi mengatasi DAP, sedangkan pemimpin PMS46 dilaporkan oleh media pada 6 Jun 1995 telah menarik diri dari jawatan Ketua Pembangkang, manakala PBS pula pada 18 Mei 1995 menyatakan sokongan supaya APU mengetuai pembangkang. PAS sendiri pada 4 Jun 1995, telah memaklumkan kepada Presiden PMS46, Tengku Razaliegh Hamzah tentang cadangan pencalonan ini.

Semenjak pilihan raya diadakan pada 1955, jawatan ketua pembangkang wujud secara tidak rasmi sehingga pasca 13 Mei 1969. Pada mulanya jawatan "Mr Opposition" dipegang oleh Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (1955-1959), kemudian PAS menyerahkan kepada pemimpin Parti Negara (PN), Dato' Sir Onn Jaafar (1959-1962). Setelah kematian Dato' Onn pada 12 Januari 1962, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy mengetuai pembangkang sehingga 1964, sebelum pemimpin Parti Buruh (PB) yang mewakili Sosislis Front (SF), Dr Tan Chee Koon menjadi Mr Opposition sehingga 1969. Selepas tragedi 13 Mei 1969, kerajaan telah mewujudkan jawatan Ketua Pembangkang secara rasmi, dan parti-parti pembangkang bersetuju jawatan tersebut digilirkan antara parti-parti PAS, DAP dan SNAP, manakala Gerakan dan PPP telah menyertai kerajaan melalui Kerajaan Campuran di Pulau Pinang dan Perak.

Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang pertama mulai 23 Februari 1971. Walau bagaimanapun, pada 1 Januari 1973, PAS telah menyertai Kerajaan Campuran PAS-Perikatan yang menyebabkan Dato' Mohd Asri dilantik sebagai menteri. Ekoran itu, mulai 17 April 1973, pemimpin DAP, Lim Kit Siang mengetuai pembangkang sehingga Pilihan Raya Umum 1974. Selepas itu, pemimpin SNAP, James Wong Kim Min menjadi Ketua Pembangkang yang baru, tetapi beliau ditahan ISA pada 30 Oktober 1974 dan diganti oleh seorang lagi pemimpin SNAP, Edmund Langgu anak Saga sehingga 5 November 1975. Sejak itu, Lim Kit Siang kembali menjadi Ketua Pembangkang sehingga Pilihan Raya Umum 1995. Dalam pilihan raya ini, DAP hanya memperoleh sembilan kerusi sahaja yang menyebabkan kedudukan mereka sebagai Ketua Pembangkang tergugat.

Ekoran adanya dua calon Ketua Pembangkang iaitu Tuan Guru Haji Abdul Hadi (PAS) dan Lim Kit Siang (DAP), pada 7 Jun 1995, Speaker Dewan Rakyat telah mengarahkan 30 Ahli Parlimen Pembangkang membuat undian sulit sehingga 14 Jun 1995. Pada 15 Jun 1995, Lim Kit Siang diumumkan sebagai Ketua Pembangkang bagi penggal 1995-1999 setelah wakil rakyat PMS46 dan PBS turut mengundi calon DAP. Kegagalan PMS46 menyokong calon PAS merupakan detik awal perpecahan PAS-PMS46. PAS walau bagaimanapun berjaya mengambil semula jawatan Ketua Pembangkang apabila Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor dilantik ke jawatan itu pada 1999, sebelum diganti oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi mulai 23 Jun 2002 hingga Pilihan Raya Umum 2004.

Disusun oleh: Arkib PAS

05 Jun 2016

05 Jun 1975 : Dato' Muhammad Nasir Jawab Kecaman Pemuda PAS Dalam Isu Menteri Besar

Pada hari ini dalam tahun 1975, Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohamad Nasir telah mengemukakan sebuah kertas kerja untuk menjawab kecaman Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan berkaitan isu Menteri Besar yang tersiar dalam beberapa media massa. Kertas kerja yang bertajuk "Jawapan Dato' Haji Mohamad Nasir Atas Kecaman Dewan Pemuda PAS Kelantan Terhadap Wawancara Beliau Kepada Wartawan BERNAMA Seperti Yang Tersiar Dalam Beberapa Akhbar Tanggal 8 Mei 1975," ini bertujuan menjawab isu yang dibangkitkan oleh Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Isu ini timbul ekoran satu temuramah antara Menteri Besar Kelantan itu dengan Abdul Ghani Ismail, wartawan BERNAMA pada 8 Mei 1975. Dalam temuramahnya, Dato' Mohamad Nasir telah membuat beberapa kenyataan yang merugikan Kerajaan PAS Kelantan dan parti sendiri seperti masalah pengurusan balak, rasuah, pembangunan Ulu Kelantan dan sokongan PAS kepada beliau sebagai Menteri Besar. Ekoran itu, pada 10 Mei 1975, Dewan Pemuda PAS Kelantan telah menyediakan memorandum yang menyenaraikan tujuh kenyataan yang mengelirukan dan merugikan parti dalam temuramah tersebut. Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kenyataan Dato' Mohamad Nasir itu akan mempengaruhi keputusan mahkamah, mendedahkan rahsia kerajaan, membolehkan kerajaan diheret ke mahkamah dan menakutkan pelabur ke Kelantan, selain turut meretakkan hubungan PAS dengan Umno, menuduh pemimpin PAS mengamalkan rasuah dan menunjukkan beliau tidak percaya kepada dasar perjuangan PAS.

Memorandum ini kemudiannya dikemukakan kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 15 Mei 1975. Dalam Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Kelantan itu, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Halim Isa mendakwa Dato' Mohamad Nasir menganggap dirinya dilantik oleh Umno, sedangkan semua pimpinan PAS mahu menyingkirkannya. Hal ini dijangka akan merosakkan hubungan PAS-Umno dan merugikan perjuangan Islam di Malaysi. Dewan Pemuda PAS Kelantan mengusulkan supaya Menteri Besar Kelantan memberikan jawapan bertulis tentang perkara ini dan meletakkan jawatan sebagai ketua kerajaan.

Bertolak daripada keputusan Badan Perhubungan PAS Kelantan ini, Dato' Mohamad Nasir membuat kenyataan tentang kesediaannya untuk meletak jawatan dan akan menyediakan jawapan terhadap isu tersebut. Pada 27 Mei 1975, Menteri Besar Kelantan itu telah menerima surat daripada Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan berkait itu tersebut, sedangkan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Ishak Lotfi Omar pula, pada 31 Mei 1975 telah mengemukakan laporan kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri berhubungan konflik ini.

Kegagalan Menteri Besar Kelantan itu membuat penjelasan kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan pads 29 Mei 1975, telah menyebabkan Badan Perhubungan PAS Kelantan mengambil pendirian bahawa beliau tidak layak memimpin kerajaan dan perlu diganti dengan segera. Tiga sebab yang dikemukakan oleh PAS Kelantan untuk menggugurkan Dato' Mohamad Nasir ialah suka membuat janji yang menyusahkan wakil rakyat, menyalahgunakan kuasa Menteri Besar untuk membekukan kawasan balak dan melakukan tindakan yang merugikan BN termasuk bersekongkol dengan Kumpulan Revolusi 14 Mac 1974.

Ekoran tekanan yang memuncak ini, pada 5 Jun 1975, Dato' Mohamad Nasir telah mengemukakan jawapan bertulis kepada Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, di samping turut menyediakan kertas kerja untuk menjawab dakwaan Dewan Pemuda PAS Kelantan. Dalam kertas kerjanya, Dato' Mohamad Nasir menyifatkan Dewan Pemuda PAS Kelantan terlalu berprasangka, melulu dan melampau, selain mendakwa Dewan Pemuda PAS tidak matang dalam membuat gugatan dan PAS Kelantan tidak bijaksana dalam mengambil tindakan terhadap ahli-ahli. Selain mengharapkan usaha pengislahan, beliau juga mahukan tindakan ruhama dalam menyelesaikan isu ini.

Disusun oleh: Arkib PAS