19 Mei 2016

19 Mei 1986 : PAS Sabah Ditubuhkan Semula

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1986, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa telah merasmikan penubuhan semula PAS Sabah, setelah Persatuan Islam Seluruh Sabah (PAS Sabah) yang ditubuhkan pada Ogos 1963 lumpuh kerana pelbagai faktor ketika itu. Penubuhan semula PAS di Sabah ini telah membolehkan PAS mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur di bawah pimpinan Haji Hamzah Abdullah selaku Pesuruhjaya PAS Sabah yang dilantik mulai 14 Jun 1986.

Penubuhan semula PAS di Sabah ini adalah bertolak dari isu Kristianisasi yang berkembang di Negeri Bawah Bayu ini setelah parti Berjaya tewas kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 1985. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 28 April 1985 telah memberikan perhatian kepada kedudukan tokoh Kristian, Joseph Pairin Kitingan yang dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah yang baru. Ekoran dari itu, pada 25 Mei 1985, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju supaya PAS dikembangkan semula di Sabah bagi menangani masalah Kristianisasi.

Sejak PAS Sabah ditubuhkan pada Ogos 1963, PAS Sabah telah menjadi badan gabungan PAS, tetapi kerana isu konfrantasi Indonesia dan tuntutan Macapagal, PAS agak sukar bergerak kerana PAS sendiri mempunyai pendirian menentang penubuhan Malaysia. Pada 16 Ogos 1969, Ketua Menteri, Tun Datu Mustapha Harun telah menubuhkan USIA yang memainkan peranan dakwah di Sabah yang sekali gus melemahkan pergerakan PAS. Penglibatan PAS dalam Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973 yang turut disertai oleh Perikatan Sabah kemudiannya melenyapkan PAS di Sabah.

Faktor Kristianisasi yang tercetus melalui kemenangan PBS pada 1985 telah menyebabkan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 13 April 1986 telah menghantar peninjau dan merundingkan penubuhan PAS di Sabah dengan segera. Setelah berjaya mengadakan penaja untuk menubuhkan PAS di Sabah, pada 19 Mei 1986, PAS Sabah berjaya dilancarkan secara rasmi oleh Pak Yusof Rawa. Pembentukan Badan Perhubungan PAS Sabah hanya dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Jun 1986 dengan mengesahkan perlantikan yang dibuat dalam perjumpaan ahli-ahli PAS Sabah pada 19 Mei 1986 ini.

Pada peringkat awal, perkembangan PAS di Sabah lebih tertumpu kepada beberapa kawasan utama seperti Tawau, Sandakan, Kudat dan Gaya, serta banyak digerakkan oleh ahli-ahli PAS dari Semenanjung yang bekerja di Sabah. Selepas 1998, PAS mulai berkembang di tempat-tempat lain di bawah pimpinan beberapa Pesuruhjaya PAS seperti Haji Hamzah Abdullah (1986-1989), Haji Mohamad Abdullah (1989-2001 dan 2004-2011), Dr Datu Bandira Datu Alang (2001-2004) dan Haji Aminuddin Aling sejak 2011.

18 Mei 2016

18 Mei 2015 : PAS Kemuka Usul Rang Undang-undang Persendirian Untuk Perkasakan Syariat Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2015, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan satu usul untuk membolehkan beliau mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355. Pindaan ini bertujuan untuk membolehkan Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah yang wujud di Kelantan sejak 1993. Ini adalah kali kedua Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berbuat demikian setelah percubaan pertamanya dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 Mac hingga 9 April 2015 tidak sempat dibahaskan, walaupun pada 4 April 2015, Presiden PAS itu merayu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membolehkan PAS berbuat demikian.

Tindakan PAS mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 yang bersidang pada 18 Mei hingga 18 Jun 2015 ini adalah sebahagian dari langkah PAS untuk . melaksanakan syariat setelah Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 berjaya dipinda pada 19 Mac 2015. Melalui pindaan Akta 355, Kelantan dapat melaksanakan hukuman bagi empat daripada tujuh kesalahan hudud, manakala bakinya melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan juga Kanun Keseksaan.

Usul untuk membentangkan Rang Undang-undang Persendirian ini telah memberikan beberapa kesan kepada perjuangan PAS, terutama untuk melihat kesungguhan PAS dalam menegakkan syariat, menilai tahaluf siyasi Pakatan Rakyat dan kesetiaan ahli-ahli kepada perjuangan Islam. Antaranya tindakan empat individu - Mansoor Saat, Azie Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin - yang membawa isu ini ke mahkamah. Walau bagaimanapun, pada 9 November 2015, Mahkamah Tinggi telah memutuskan Ahli Parlimen Marang berhak mengemukakannya di Dewan Rakyat.

Berbanding cabaran dari luar, PAS turut menerima tekanan dari rakan Pakatan Rakyat apabila DAP yang berkeras menentang hudud sejak sekian lama, telah membuat keputusan dalam Persidangan Kebangsaan DAP pada 14 Disember 2014 untuk menolak hudud Kelantan sebulat suara. Ekoran itu, pada 8 Februari 2015, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat memutuskan supaya PAS mendapat kebenaran terlebih dahulu sebelum rang undang-undang ini dikemukakan di Parlimen. Sedangkan DAP telah menolaknya dalam siri-siri taklimat yang dibuat oleh PAS. Apabila DUN Kelantan meluluskan pindaan pada 19 Mac 2015, DAP telah bertindak menentangnya.

Bertindak daripada isu ini, sekumpulan ahli PAS telah berpegang bahawa hudud tidak perlu dilaksanakan lagi, dengan sokongan parti tertentu telah bertindak memburuk-burukkan Presiden PAS dalam satu kempen terancang. Akibatnya, berlaku pertembungan dalam kepemimpinan PAS antara kelompok yang bertegas mahu syariat dilaksanakan dengan kelompok yang berdolak-dalih terhadap syariat. Kemuncak pertembungan ini ialah pecahnya PAS selepas Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 di Kuala Selangor.

17 Mei 2016

17 Mei 1953 : PAS Bincang Adakan Kongres Pemuda Islam Bagi Tubuhkan Dewan Pemuda PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, Jawatankuasa Tadbir (sekarang Jawatankuasa Harian) PAS telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan langkah-langkah ke arah mengadakan Kongres Pemuda Islam Se-Malaya bagi menubuhkan Dewan Pemuda PAS. Kongres ini direncanakan untuk diadakan pada 29 Ogos 1953, iaitu sehari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua di Madrasah al-Ulum as-Syar'iyah, Bagan Datoh, Perak, tetapi telah diawalkan ke 25 Ogos 1953 kerana PAS mengawalkan Mesyuarat Agung Tahunannya.

Bagi tujuan mengadakan kongres ini, pada 2 Julai 1953, Jawatankuasa Tadbir PAS telah mengadakan satu perjumpaan pemuda-pemuda Islam di Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena dan membentuk Panitia Kongres yang diketuai oleh Mudir Madrasah al-Ulum as-Syar'iyah, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dengan pemuda-pemuda PAS Cawangan Hilir Perak dan Dewan Penuntut al-Ulum yang diketuai oleh Saim Yunus sebagai ahli-ahli jawatankuasanya. Pada 26 Julai 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan persiapan terakhir kongres ini dan meluluskan Peraturan Dewan Pemuda PAS untuk dibawa ke Kongres.

Sejarah Dewan Pemuda PAS telah bermula apabila Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah Fahim pada 23 Mac 1952 telah membawa usul kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil yang dinamakan sebagai Dewan Pemuda Islam bagi menggerakkan pemuda PAS. Jawatankuasa Kerja Agung PAS dalam mesyuarat pertamanya pada 3 April 1952 telah meluluskan cadangan ini dengan tujuan untuk menggalakkan pemuda Islam mengambil bahagian dalam kemasyarakatan, membentuk kesopanan dan akhlak Islam, menghidupkan kecintaan kepada agama dan menjadikan pemuda sebagai tulang belakang perjuangan PAS. Haji Ahmad Badawi kemudiannya dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda Islam.

Hasrat PAS untuk mewujudkan Dewan Pemuda PAS supaya "Persatuan Islam (PAS) akan dapat bergerak dengan luas dan lebih majunya" telah dimaklumkan kepada media massa pada 10 Disember 1952. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, usul untuk menubuhkan Dewan Pemuda PAS telah diluluskan. Mesyuarat Agung Tahunan PAS itu juga telah memasukkan Dewan Pemuda PAS sebagai jentera penggerak utama perjuangan kemerdekaan negara dalam Program Politik PAS.

Atas asas yang kukuh inilah, Jawatankuasa Tadbir PAS pada 17 Mei 1953 menyusun rancangan untuk menganjurkan Kongres Pemuda Islam Se-Malaya yang berjaya diadakan pada 25 Ogos 1953, di mana pada 13 Julai 1953, Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang telah menghantar pekeliling kepada seluruh Cawangan PAS supaya "menghantar pemuda-pemuda berjiwa Islam" untuk menjayakan kongres yang disertai oleh 300 pemuda ini. Dalam kongres ini, dua agenda telah berjaya diselesaikan iaitu meluluskan Peraturan Dewan Pemuda PAS yang menandakan tertubuhnya Dewan Pemuda PAS secara rasmi dan melantik Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS. Ustaz Othman Abdullah dari Hilir Perak telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama.

16 Mei 2016

16 Mei 1956 : Wakil Rakyat PAS Bahas Penyata Razak Di Majlis Undangan Persekutuan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1956, wakil rakyat PAS Kawasan Krian, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah mengambil bahagian dalam membahaskan Penyata Razak, iaitu sebuah penyata pelajaran di Majlis Undangan Persekutuan. Dalam perbahasan ini, PAS telah menyokong cadangan Penyata Razak untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Selain melihat bahasa Melayu sebagai mekanisme perpaduan nasional, PAS juga mencadangkan supaya semua sekolah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Penyata Razak ialah sebuah penyata pelajaran yang bertujuan untuk menjadikan pendidikan sebagai alat penyatuan rakyat yang bersifat majmuk di negara ini, mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menjaga perkembangan bahasa lain. Jawatankuasa Penyiasat Pelajaran yang ditubuhkan oleh kerajaan ini diketuai oleh Menteri Pelajaran, Datuk Abdul Razak Hussein. Mereka telah membuat kajian semula terhadap Ordinan Pelajaran 1952 ekoran penolakan kaum-kaum terhadap Laporan Barnes 1951 dan Laporan Fenn-Wu 1952. Laporan Barnes 1951 telah ditolak oleh orang Cina dan India kerana mewujudkan satu sistem sekolah kebangsaan sahaja, sedangkan Laporan Fenn-Wu pula ditolak oleh orang Melayu kerana merendahkan kedudukan bahasa Melayu dalam pendidikan. Penyata Razak ini mencari formula untuk meredakan kemarahan semua kaum.

Dalam persidangan Majlis Undangan Persekutuan pada 14 Mac 1956, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah membangkitkan isu laporan kajian pelajaran yang dibuat oleh Jawatankuasa Razak, selain turut membangkitkan bantuan subsidi kepada sekolah agama rakyat. Hasil, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasat Bantuan Sekolah Agama ditubuhkan, diikuti oleh pembentangan Penyata Razak pada 15 Mei 1956 di dewan legislatif itu dengan tujuan untuk menggabungkan penyata ini dalam Sesyen 3, Ordinan Pelajaran 1952 dan membentuk Ordinan Pelajaran 1957.

Ketika membahaskan Penyata Razak ini, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin selaku wakil tunggal pembangkang di Majlis Undangan Persekutuan, tidak lagi membangkitkan isu sekolah agama rakyat yang telah ditangani oleh Jawatankuasa Penyiasat Bantuan Sekolah Agama walaupun wakil Perikatan seperti Raja Musa Raja Mahadi dan Sheikh Ahmad Hashim, sebaliknya wakil PAS itu telah membangkitkan beberapa perkara:

I. Menyokong Penyata Razak dalam mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dan bahasa kebangsaan;
II. Mempertegaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan nasional;
III. Mencadangkan supaya semua sekolah diwajibkan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kerana bangsa imigran tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik; dan
IV. Mempersoalkan kegagalan kerajaan menyediakan bantuan subsidi kepada sekolah-sekolah persendirian terutsmanya yang menghadapi masalah kewangan dan bakal ditutup.

Mengingatkan Kerajaan Malaya tentang masalah pendidikan ini, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin menyebutkan, "we know in a sweet fruit, such as the chiku, they may be worms inside it which may destroy the seed. Here we must be really alert so that we may not suffer defeat in time to come." Setelah PAS menyokong Penyata Razak untuk diluluskan pada 16 Mei 1956, ia telah dikenali sebagai Ordinan Pelajaran 1957 dan terus menjadi dasar pelajaran negara sehingga Penyata Rahman Talib dikemukakan pada 1960. Tarikh 16 Mei ini juga dijadikan asas sembutan Hari Guru di Malaysia kerana memperingati Penyata Razak.

15 Mei 2016

15 Mei 1956 : Permit Akhbar Rasmi PAS 'Suara Islam' Diluluskan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1956, permit penerbitan lidah rasmi PAS, 'Suara Islam' telah diluluskan oleh Kerajaan Malaya untuk membolehkan PAS menyampaikan suara perjuangan Islam kepada rakyat. Sebelum ini, pada 1953, PAS pernah menerbitkan majalah 'PAS' sebanyak dua keluaran bermula 31 Mei 1953, tetapi terhenti kerana krisis kepemimpinan pada akhir 1953. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, satu resolusi supaya PAS menerbitkan suara rasmi telah diluluskan.

Usul ini adalah lanjutan dari keputusan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 yang mahukan PAS menerbitkan 'Suara PAS,' tetapi ekoran terhentinya penerbitan majalah PAS pada akhir 1953, mereka mahu Suara PAS diterbitkan semula. PAS kemudiannya telah beberapa kali memohon permit penerbitan kepada kerajaan, sehingga Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 13-14 Januari 1956 memutuskan nama lidah rasmi PAS ialah 'Suara Islam,' dan akan diterbitkan sebaik sahaja memperolehi permit dari kerajaan.

Setelah permohonan PAS diluluskan oleh Kerajaan Malaya pada 15 Mei 1956, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 30 Jun 1956 telah melantik Mohd Asri Haji Muda sebagai Pengurus merangkap Ketua Pengarang Suara Islam dengan pengawasan Jawatankuasa Penerangan PAS. Turut dilantik ialah Ustaz Amaluddin Darus sebagai Penolong Pengarang, sebelum Jemaah Pentadbir Suara Islam iaitu Ustaz Ishak Lotfi Omar (Bendahari), Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim, Mohd Daud Salleh dan Haji Mohd Nor Yusof (Anggota).

Untuk menerbitkan Suara Islam, Jemaah Pentadbir bukan sahaja menghadapi masalah kewangan yang bergantung kepada sumbangan ahli-ahli PAS, tetapi mereka juga menghadapi masalah percetakan kerana semua syarikat pencetak tidak sanggup mencetaknya. Akhirnya, PAS terpaksa mengadakan percetakannya sendiri. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima, telah diputuskan supaya PAS mendirikan percetakannya sendiri dengan sumbangan wajib setiap ahli PAS. Atas usaha bersungguh-sungguh dan pengalaman dalam dunia penerbitan yang dimiliki oleh Jemaah Pentadbir, akhirnya Suara Islam berjaya diterbitkan pada akhir 1956.

Edisi pertama Suara Islam diterbitkan pada 17 Disember 1956 dengan menyiarkan ucapan Prof Zulkifli Mohamed yang menggariskan dasar-dasar perjuangan PAS. Edisi keduanya diterbitkan pada 15 Januari 1957, manakala edisi ketiga yang diterbitkan pada 15 Februari 1957 telah membuat liputan terhadap Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima pada 23-25 Disember 1956, iaitu yang terakhir bagi Dr Haji Abbas Alias sebagai Yang Dipertua Agung PAS di mana Ucapan Dasar PAS 1956 itu disiarkan sepenuhnya. Akhbar bersaiz majalah telah diterbitkan sehingga 1962.

14 Mei 2016

14 Mei 1954 : Parti Perikatan Bertemu Lyttleton Untuk Segerakan Pilihanraya Dengan Sokongan PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1954, wakil National Convention (tajaan Umno-MCA), Tunku Abdul Rahman Putra, Datuk Abdul Razak Hussein dan T.H Tan telah bertemu dengan Setiausaha Tanah Jajahan British, Oliver Lyttleton di London untuk membincangkan soal pilihan raya segera dengan sokongan kuat daripada PAS. Rombongan Pilihan Raya ke London ini bertujuan untuk menuntut agar Kerajaan British mengadakan pilihan raya segera di Malaya ke arah pembentukan kerajaan sendiri sebelum mencapai kemerdekaan.

Rombongan ini mewakili National Convention yang turut disertai oleh PAS mulai 23 Ogos 1953, sebelum PAS berkecuali pada 25 Disember 1953. Walaupun PAS berkecuali, tetapi PAS mempunyai pendirian untuk menyokong tuntutan pilihan raya segera ini. Perjuangan menuntut pilihan raya segera ini telah menyebabkan PAS menyertai National Conference pada 27 April 1953 dan National Convention pada 23 Ogos 1953, tetapi Mesyuarat Agung Khas PAS pada 26 September 1953 memutuskan PAS bersama National Convention.

Penglibatan PAS bersama National Convention telah mengalami kebuntuan apabila tuntutan PAS tentang penambahan wakil ekonomi Melayu dalam Majlis Undangan Persekutuan dan menentang pemberian hak mengundi secara jus soli telah ditolak oleh National Convention pada 11 Oktober 1953. Ini menyebabkan PAS berkecuali dari National Convention tetapi kekal menyokong perjuangan menuntut pilihan raya segera. Sebagai sokongan kepada tuntutan ini, PAS telah mengemukakan satu memorandum kepada Rombongan ke London.

Menurut Setiausaha Penerangan PAS Pusat, Abdullah Akin pada 3 Mei 1954, walaupun PAS kecewa dengan pendirian National Convention, tetapi PAS menyediakan satu memorandum untuk dikemukakan kepada British. Menurut Pemangku Setiausaha Agung PAS, Mohd Asri Haji Muda, memorandum ini mengingatkan Rombongan ke London tentang hak ketuanan bangsa Melayu ke atas negara ini dan ia mesti dipertimbangkan dalam soal memberi hak kerakyatan dan hak mengundi secara jus soli. Setiausaha Rombongan ke London, T.H Tan mencatatkan bahawa PAS adalah antara parti politik yang menyokong tuntutan yang di bawa ke London ini.

Di sebalik penolakan National Convention terhadap cadangan PAS pada 11 Oktober 1953, apabila Jawatankuasa Khas 46 Anggota yang mengkaji soal pilihan raya segera mengemukakan laporannya (Kertas Putih Bil. 1, 1954) pada 1 Februari 1954 dengan 'persetujuan' Perikatan Umno-MCA, telah menerima tentangan kuat daripada ahli-ahli Umno sehingga Perikatan meminta untuk berunding semula dengan British. Pada 13 April 1954, British telah menolak permintaan Perikatan yang menyebabkan Umno mengadakan Mesyuarat Agung Khas pada 18 April 1954 dan bersetuju menghantar Rombongan ke London untuk berunding tentang pilihan raya segera. PAS mengambil kesempatan ini untuk memberi sokongan kepada rombongan tersebut dan menyerahkan memorandum nya sebelum rombongan ini bertolak ke London pada 21 April 1954 dan bertemu dengan Lyttleton pada 13 Mei 1954.

13 Mei 2016

13 Mei 1984 : PAS Lancar Kutipan Derma Untuk Pembinaan Markaz Tarbiyah PAS Pusat Di Taman Melewar

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1984, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah mengeluarkan senarai derma-derma yang telah berjaya dikumpulkan untuk tujuan pembinaan Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar kepada seluruh Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri, Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Negeri-negeri, PAS Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan PAS di seluruh negara. Bagi tujuan pembinaan Kompleks Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini, PAS menganggarkan akan menelan belanja sebanyak RM75,000 yang akan diperolehi melalui sumbangan ahli-ahli PAS. Namun begitu, sehingga 21 Julai 1985, pembinaan ini telah menelan belanja sebanyak RM85,000 walaupun ia dibina secara gotong-royong oleh ahli-ahli PAS Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Markaz Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar ini telah bermula sejarahnya apabila tanah milik PAS Terengganu yang diperolehi sejak 1976 telah dicadangkan untuk dibangunkan sebagai pusat tarbiyah PAS, sebelum beberapa lot sekiranya dibeli oleh PAS untuk memperkasakan kawasan tersebut. Mengikut rancangan asal PAS sejak 1970-an, PAS bercadang memiliki sebuah Kompleks PAS di ibu kota, tetapi rancangan tersebut tidak dapat dilaksanakan sehingga PAS terpaksa menyewa dan berpindah-randah sekitar Jalan Pahang sejak akhir 1970-an.

Antara bangunan yang pernah dicadangkan untuk dijadikan Kompleks PAS ialah Rumah Awang Alak Betatar milik Kerajaan Brunei di Jalan Ampang, sebelum PAS merancang membina bangunan 17 tingkat berhampiran Pasar Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 1977, tetapi cadangan ini juga dibatalkan kerana PAS memerlukan kawasan yang lebih luas untuk kompleks tersebut. Tanah di Kampung Changkat (Taman Melewar) yang diperolehi serentak dengan tapak bangunan PAS di Chow Kit kemudiannya menjadi pilihan PAS. Untuk tujuan tersebut, tanah yang dimiliki atas nama Ustaz Harun Jusoh bagi pihak PAS Terengganu telah diserahkan kepada PAS Pusat.

Pada 6 November 1983, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah memulakan kutipan derma untuk satu projek pembinaan yang dianggap mustahak dan perlu disegerakan. Pembinaan markaz ini telah dimulakan sejak Jun 1984 secara gotong-royong dengan derma dan sumbangan ahli-ahli PAS serta pemantauan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS sehingga fasa pertama berjaya disiapkan pada awal 1987.

Menurut Ustaz Hassan Shukri, pada peringkat awal iaitu ketika masih dalam pembinaan pada 1984, markaz ini telah menjadi tapak ceramah PAS. Apabila fasa pertama siap, ia telah dijadikan venue Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 pada 11-12 April 1987. Lima bulan kemudian, pada 5 September 1987, Pejabat Agung PAS yang terletak di Jalan Pahang Barat telah dipindahkan ke Markaz Tarbiyah PAS Pusat, diikuti oleh pejabat Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat. Pejabat Agung PAS kekal di markaz ini selama 20 tahun sebelum ia berpindah ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur mulai 23 Mac 2007.

Ekoran rancangan perpindahan Pejabat Agung PAS ini, sejak 2006, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menubuhkan Majlis Pendidikan PAS Peringkat Kebangsaan (MPPPK) yang dipimpin oleh Dato' Ustaz Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat bagi merancang mengambil alih markaz ini untuk dijadikan sebuah pusat pendidikan Tinggi Islam yang dinamakan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamed (KUIZM). Pengubahsuaian markaz yang bermula sebaik sahaja perpindahan ini telah siap pada Jun 2010 dan memulakan pengambilan pelajar pada sesi Julai 2010. Kini Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini menempatkan dua institusi pendidikan PAS iaitu KUIZM dan Institut Latihan Kepemimpinan Dakwah Islamiyah (ILHAM).