18 Mac 2017

Wazirah Tafwidh - Kuasa Pelaksana Dasar Negara Islam

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Sistem pemerintahan negara Islam yang dibangunkan berdasarkan al-Quran dan Sunnah telah meletakkan Khalifah sebagai ketua negara yang menjalankan kuasa pemerintahan, di samping mengamal pengasingan kuasa (separation of power) kepada tiga cabang kuasa. Tiga cabang tersebut ialah Sultah a-Tasyri’iyyah (legislatif), Sultah at-Tanfiziyah (eksekutif) dan Sultan al-Qudha’iyyah (judikatif). Pembahagian kuasa kepada tiga cabang ini wujud sejak zaman Rasulullah SAW, tetapi ia mula ditampilkan secara jelas setelah berakhir zaman kenabian, terutama mulai zaman Khalifah Umar bin al-Khattab (634-644M).

Sultah at-Tanfiziyah adalah sebuah badan atau kuasa yang tanggungjawab melaksanakan segala dasar dan undang-undang yang diputuskan oleh Sultah at-Tasyri’iyyah. Dalam sistem negara demokrasi moden hari ini, badan ini dikenali sebagai kuasa eksekutif. Pada asasnya, dalam negara Islam, wujud pengasingan yang jelas di antara tiga kuasa, di mana anggota eksekutif tidak terlibat dengan legislatif dan judikatif. Dalam negara Islam, kuasa pemerintahan dikenali juga sebagai al-hay’ah al-hakimiyah yang menjalankan urusan pentadbiran negara dengan diketuai oleh perdana menteri dan dianggotai oleh menteri-menteri. Mereka bertanggungjawab kepada Allah, badan legislatif dan rakyat.

Ketua pemerintahan atau eksekutif bagi negara Islam adalah khalifah atau perdana menteri dan dibantu oleh para penasihat, menteri, ketua-ketua wilayah (gabenor / menteri besar) dan pegawai-pegawai. Ia meliputi kuasa pemerintahan dari serendah-rendahnya hingga kuasa tertinggi selaku ketua negara. Ketua negara Islam boleh mewakilkan kuasanya kepada para menteri untuk menjalankan tugas-tugas pemerintahan. Menteri atau wazir adalah terbahagi kepada dua bahagian iaitu kementerian yang berkuasa penuh (wazirah tafwidh) dan kementerian yang tidak berkuasa penuh (wazirah tanfiz). Wazirah atau kementerian tafwidh memiliki kuasa penuh untuk menjalankan kuasa pentadbiran mengikut pandangan dan budi bicara menteri berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Wilayah (kuasa) tafwidh ini boleh dipegang secara langsung oleh Ketua Negara (seperti Yang di-Pertuan Agong) atau diwakil oleh ketua negara kepada ketua eksekutif (perdana menteri) dengan kuasanya meliputi seluruh wilayah negara. Perwakilan kuasa pemerintahan ketua negara kepada perdana menteri atau menteri-menteri tafwidh ini disebut sebagai Mu’awin Tafwidh, di mana mereka terikat dengan dua syarat iaitu tanggungjawab umum (umumum nadzir) yang mencakupi segala urusan negara dan sebagai wakil (niyabah) iaitu mewakili khalifah atau ketua negara. Para menteri tafwidh adalah bertanggungjawab melaksanakan mandat dan melaporkan urusan negara kepada khalifah selaku ketua negara.

Dalam soal perlantikan wazirah tafwidh, para fuqaha sepakat mengatakan bahawa ketua negara yang memegang wilayah ammah atau wilayah tafwidh wajibkan seorang Islam. Ketua negara atau sesiapa yang diberi autoriti atau mandat dari ketua negara sebagai wakil (mu’awin), adalah terlibat dan berkuasa secara langsung dalam pembentukan polisi dan dasar utama untuk seluruh negara dan berkuasa menentukan hala tuju sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia hari ini, wazirah tafwidh adalah melibatkan jawatan ketua kerajaan (perdana menteri dan menteri besar) dan menteri-menteri yang memegang portfolio dasar seperti kewangan, pendidikan, keselamatan, pertahanan dan seumpamanya.

Adapun kuasa atau wilayah tanfiz atau khassah adalah para pelaksana dasar atau melaksanakan arahan ketua negara atau khalifah sahaja, di mana mereka tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir secara budi bicara, dan menurut sesetengah ulamak, jawatan wazirah tanfiz ini boleh diserahkan kepada orang bukan Islam. Kementerian tanfiz adalah mempunyai kedudukan yang lebih rendah kerana mereka hanyalah pelaksana kepada dasar dan arahan ketua negara, dan tidak boleh menggunakan budi bicara dalam melaksanakan pemerintahan, tidak melantik ketua wilayah, tidak boleh mengarahkan tentera dan tidak boleh bertindak ke atas kewangan negara.

Walaupun menteri tafwidh berkuasa menggunakan budi bicara dalam menjalankan pemerintahannya, namun mereka sama sekali tidak boleh melakukan tindakan yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah, perlembagaan negara, dasar dan prinsip negara, serta tertakluk kepada ketua negara. Menteri-menteri tafwidh yang dilantik mestilah seorang Islam yang mempunyai semua sifat dan syarat sebagai ketua negara (khalifah), serta mempunyai kelayakan pengalaman dan pengetahuan dalam bidang tugasnya. Kedudukan menteri atau wazir tafwidh ini sangat penting dalam memastikan Islam kekal sebagai dasar negara dengan al-Quran dan Sunnah menjadi rujukan tertinggi, kerana itu Islam tidak membenarkan orang bukan Islam diberikan jawatan ini.

Tiada ulasan: