03 Mac 2017

Ahli Bersekutu PAS - Gagasan Menghadapi Perubahan Politik Pasca Merdeka

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Perubahan politik yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1955 telah memperlihatkan pertambahan kuasa politik masyarakat imigran apabila National Convention mengemukakan tuntutan supaya orang Cina dan India diberikan hak mengundi secara jus soli. Tuntutan ini walaupun ditentang oleh PAS, telah berjaya meletakkan oranga asing pada komposisi 15 peratus daripada jumlah pengundi. Sedangkan PAS menjangkakan jumlah ini akan bertambah mendadak dalam tempoh 10 tahun lepas merdeka kerana dasar kerakyatan longgar yang diterima oleh British semasa menggubal Perlembangaan Persekutuan. Atas asas ini, PAS telah melihat populasi orang bukan Melayu akan menjadi suatu yang signifikan terhadap politik negara ini.

Berkenaan peranan signifikan orang bukan Islam ini, ia telah dibangkitkan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Pertama pada 3 Januari 1953. Setelah itu, tokoh-tokoh bukan Melayu telah diangkat sebagai pimpinan PAS seperti Haji Mansor Hassan (Timbalan Yang Dipertua Agung PAS) yang bangsa Cina, Hajjah Syarifah Rahmah al-Mashoor (Ketua Dewan Muslimat PAS) berbangsa Arab, peguam Ahmad Mohamad Ibrahim (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) berbangsa India Muslim, Ustaz Amaluddin Darus (Setiausaha PAS Kelantan) berdarah peranakan Bangla, Dr Amanullah al-Khuldi (Ahli Jawatankuasa PAS Perak) berbangsa Pakistan dan lain-lain. Keadaan ini telah meletakkan PAS sebagai parti multi kaum yang berasaskan Islam.

Selepas Pilihan Raya Umum 1955, akhbar Warta Negara pada 3 Oktober 1956 telah menyiarkan pandangan seorang pemimpin PAS yang mencadangkan supaya parti Islam itu mengambil strategi politik dengan membuka keahlian kepada orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu. Ini kerana, dengan adanya keahlian kepada orang bukan Islam, PAS akan mendapat dukungan yang lebih besar memandangkan jumlah mereka semakin bertambah selepas merdeka. Menurut beliau, sebagai parti yang memperjuangkan keadilan Islam, ia akan turut disokong oleh orang bukan Islam. Bahkan PAS tidak perlu bimbang dengan kehadiran mereka kerana untuk menjadi ahli bersekutu PAS, mereka terlebih dahulu perlu mamahami dasar Islam dan menerimanya. Ia bukan sahaja satu strategi yang sesuai dengan perubahan politik yang berlaku, bahkan ia adalah satu pendekatan dakwah yang penting.

Pandangan ini turut didukung oleh Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang. Beliau menjelaskan konsep ahli bersekutu ini adalah aplikasi terhadap konsep “zimmah” dalam sebuah negara Islam. Bahkan menurut beliau PAS patut mengadakan kerjasama politik dengan badan-badan politik bukan Islam sebagai “jemaah muahad (mempunyai perjanjian)” dengan PAS. Namun begitu, beliau mempertegaskan bahawa orang bukan Islam hanya boleh menjadi ahli bersekutu sahaja atas sebab-sebab keagamaan, dan sama sekali tidak bermaksud Islam memusuhi orang bukan Islam. Dalam Pilihan Raya Umum 1955, PAS Pulau Pinang mempunyai pengalaman bertanding di Seberang Perai Selatan yang mempunyai sekitar 50 peratus pengundi bukan Melayu.

Idea membuka keahlian bersekutu ini kemudiannya diketengahkan semula oleh Prof Zulkifli Mohamad, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada 3 Disember 1961, tetapi ditolak oleh ahli-ahli PAS lantaran isu ketuanan Melayu yang hangat ketika itu. Isu ini berbangkit semula selepas 1998 ekoran permohonan orang bukan Islam untuk menyertai PAS selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998. Presiden PAS, Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor telah mengarahkan supaya kajian terhadap hal ini diperhalusi. Setelah melalui pelbagai proses, pada 11 Mac 2004, PAS telah melancarkan secara rasmi Kelab Penyokong PAS (KPP), sebelum ia dinaiktarafkan sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pada 10 Januari 2010.

Tiada ulasan: