19 Mac 2017

Presiden PAS - Ketua Eksekutif Yang Melaksanakan Dasar PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Ketua pentadbir atau eksekutif yang menjalankan dasar-dasar PAS dikenali sebagai Presiden PAS. Dalam organisasi PAS, terdapat dua jawatan utama dan tertinggi iaitu Mursyidul Am PAS dan Presiden PAS. Mursyidul Am adalah ketua Majlis Syura Ulamak PAS, badan pembuat dan pengawal dasar bagi PAS, sekali gus tugas utama Mursyidul Am PAS adalah untuk membuat dan mengawal dasar PAS, sedangkan Presiden PAS mengetuai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, iaitu jawatankuasa eksekutif yang tertinggi dalam, di mana PAS mempunyai jawatankuasa eksekutif di peringkat negeri, kawasan dan cawangan, selain stuktur eksekutif yang wujud di peringkat dewan-dewan ulamak, pemuda, muslimat dan himpunan penyokong.

Sebagai pemimpin utama parti, Presiden PAS memainkan peranan terpenting sebagai penggerak, teras, sumber ilham dan ideologi, sekaligus sentiasa memberi nafas baru terhadap kemajuan dan perkembangan PAS. Antara tugas umum sebagai ketua organisasi termasuklah menjalan seluruh aktiviti parti dan memastikan jentera parti di semua peringkat bergerak, mempengerusikan semua mesyuarat jawatankuasa yang diketuainya, membuat penilaian dan perancangan dalam melaksanakan dasar-dasar PAS. Semua Presiden PAS bertanggungjawab secara umum dalam soal ini, tetapi Perlembagaan PAS sendiri telah menggariskan secara jelas apakah fungsi dan peranan Presiden PAS sebagai ketua.

Menurut Fasal 26(1) Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011, Presiden PAS mempunyai lima peranan dan tanggungjawab utama dalam memimpin PAS, iaitu:

i) Bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan PAS mengikut dasar yang diperuntukkannya dan diputuskan oleh mana-mana badan yang diberi kuasa oleh Perlembagaan PAS bagi menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS serta membuat ketetapan-ketetapan mengenainya;

ii) Bertanggungjawab ke atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaras tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat;

iii) Melantik Setiausaha Agung, Penolong-penolong Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua Pengarah Pilihan Raya, Ahli-ahli Jawatankuasa yang dilantik di peringkat Pusat serta Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan menurut peruntukan-peruntukan Perlembagaan di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat;

iv) Mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing; dan

v) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

Presiden PAS juga bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan PAS mengikut Fasal 76(2)(a) Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011.

Dari segi sejarah, jawatan ketua eksekutif PAS ini pada awal dikenali sebagai “Yang Dipertua PAS” sejak penubuhan PAS pada 1951, tetapi ekoran tumbuhnya Cawangan-cawangan PAS mulai 1952, di mana ketua cawangan (sekarang kawasan) juga dikenali sebagai Yang Dipertua PAS. Maka Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua pada 26-27 Ogos 1953 telah memutuskan bahawa jawatan ini dikenali sebagai “Yang Dipertua Agung PAS.” Pada 1971, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad pernah mencadangkan jawatan Yang Dipertua Agung PAS ditukar kepada “Ketua Pimpinan PAS,” tetapi ditolak oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan PAS 1971, yang menyebabkan nama asal terus digunakan sehingga 1987. Pindaan Perlembagaan PAS pada 1987 telah mengubah nama jawatan Yang Dipertua Agung PAS kepada “Yang Dipertua PAS Pusat,” sebelum ia dikenali sebagai “Presiden PAS” mulai 1993.

Antara tokoh yang pernah menduduki jawatan ini ialah Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Prof Dr Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor (1956-1969), Dato’ Mohd Asri Haji Muda (1969-1982), Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi (1982-1989), Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor (1989-2002) dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Dalam sejarah PAS juga, pernah berlaku dalam tahun 1954, sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS dibentuk dengan dianggotai oleh Cikgu Ahmad Awang (Setiauusaha Agung PAS), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Bendahari Agung PAS) dan Tuan Guru Haji Mansur Hassan (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) beberapa bulan kerana Dr Haji Abbas Alias bertugas di luar negara.

Tiada ulasan: