01 Mac 2017

Pilihan Raya Kecil Parlimen Bachok 1964 - PAS Pertahan Legasi Prof. Zulkifli Mohamad

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Sebaik sahaja Pilihan Raya Umum 1964 yang berlangsung pada 25 April 1964 berakhir, PAS dikejutkan dengan kematian Timbalan Yang Dipertua Agungnya, Prof Zulkifli Mohamad dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Gambang, Kuantan pada 6 Mei 1964. Prof Zulkifli Mohamad yang juga adalah Ahli Parlimen Bachok semenjak 1959, baru sahaja memenangi pilihan raya tersebut dengan mengalahkan calon Perikatan, Hassan Mohamed dengan majoriti 4,318 undi. Ekoran itu, satu Pilihan Raya Kecil Parlimen Bachok terpaksa diadakan pada 27 Jun 1964.

Kekosongan kerusi Parlimen Bachok ini sangat dirasai oleh PAS kerana ia diwakili oleh Prof Zulkifli Mohamad, seorang pemikir muda yang juga antara ahli Parlimen terbaik ketika itu. PAS telah memutuskan supaya calon PAS yang menggantikan beliau adalah seorang tokoh intelek yang tidak kalah hebatnya, dan akhirnya PAS menamakan Ustaz Abu Bakar Hamzah, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS yang ketika itu sedang berkhidmat sebagai Pengetua Sekolah Izzuddin, Perak dan pernah menjadi pegawai Kolej Islam Malaya dan pengasas Perintis Akademi Islam, Pulau Pinang.

Prof Zulkifli Mohamad yang dilahirkan pada 1927 di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar telah mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar dan American University of Cairo sebelum menjadi Setiausaha Kolej Islam Malaya. Sebagai pensyarah di kolej itu, beliau dianugerahkan gelar profesor oleh Universitas Sawerigading, Makasar pada 1959. Beliau menyertai PAS pada 1954 dan menjadi Ahli Jawatankuasa Politik PAS sebelum dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS sejak 26 Disember 1956. Beliau mewakili PAS dalam Pilihan Raya Umum 1955 di Selangor Tengah, tetapi tewas, sebelum memenangi kerusi Bachok pada 1959 mengalahkan Nik Min Ali.

Pengganti beliau, Ustaz Abu Bakar Hamzah adalah berasal dari Sanglang, Perlis dan dilahir pada 1925. Beliau mendapat pendidikan di Madrasah al-Huda, Pulau Pinang dan Madrasah Alawiyah, Arau, sebelum memasuki Sekolah Pertanian Teluk Chenai, Alor Setar pada zaman Jepun. Beliau juga pernah belajar di Kolej Islam Malaya tetapi tidak menghabiskan pengajian ijazahnya. Sebelum menyertai PAS, beliau pernah menjadi Yang Dipertua Nahdatul Ulamak Malaya dan Ketua Pemuda Umno Perlis. Pada 1956, beliau menyertai PAS dan menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS, Pegawai Penerangan PAS dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Bachok ini diadakan dengan PAS sebagai penyandangnya di mana sejak 1959 Bachok adalah kubu kuat PAS. Pada 1959, Prof Zulkifli Mohamad mendapat 13,880 undi mengalahkan Nik Min Ali (Perikatan) dengan majoriti 10,119 undi. Manakala pada 1964, Prof Zulkifli Mohamad mendapat 12,659 undi sedangkan calon Perikatan, Hassan Mohamed hanya memperoleh 8,278 undi. Pilihan raya kecil ini diadakan dengan penamaan calon dibuat pada 5 Jun 1964 di mana Perikatan telah menurunkan Abdul Ghani Sulaiman, sedangkan PAS menamakan Ustaz Abu Bakar Hamzah. Pengundian diadakan pada 27 Jun 1964.

Pada hari pengundian, calon PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah yang mendapat 11,900 undi berjaya mempertahankan legasi Prof Zulkifli Mohamad setelah calon Perikatan hanya memperolehi 8,661 undi, iaitu perbezaan sebanyak 3,339 undi. Dengan kemenangan ini, PAS bukan dapat mengekalkan kerusi Parlimen Bachok, tetapi juga memiliki seorang ahli Parlimen yang lantang di Dewan Rakyat, seperti mana Prof Zulkifli Mohamad juga. Sejak pilihan raya kecil ini, Bachok kekal menjadi kubu kuat PAS sehingga hari ini.

Dalam sejarah pilihan raya di Bachok, PAS telah mempertahankan kerusi ini dengan bergaya melalui Cikgu Mohd Zain Abdullah yang memenangi pilihan raya umum pada 1969, 1974, 1978 dan 1982. Pada 1983, dalam krisis kepemimpinan PAS, Cikgu Mohd Zain Abdullah menyertai Datuk Mohd Asri Haji Muda, bekas Yang Dipertua Agung PAS untuk menubuhkan Hamim. Bila Hamim menyertai BN pada 1985, Cikgu Mohd Zain Abdullah menjadi calon BN untuk menentang Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1986, di mana calon PAS tewas dengan 207 undi. Dalam Pilihan Raya Umum 1990, kerusi ini kembali kepada PAS menerusi Ustaz Bunyamin Yaakob selama dua penggal, sebelum diganti oleh Cikgu Wan Nik Yusof pada 1999. Namu begitu, Cikgu Wan Nik Yusof telah tewas kepada Datuk Dr Awang Adek Hussein pada 2004 dengan majoriti 6,272 undi. Pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013, PAS merampas semula kerusi Bachok masing-masing menerusi Ustaz Nasharudin Mat Isa (2008) dan Ustaz Ahmad Marzuk Shaary (2013).

Tiada ulasan: