24 Mac 2017

“Bersatulah” - Sejarah Dan Perubahan Lagu Rasmi PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Lagu rasmi pada asasnya bertujuan untuk menaikkan semangat patriotik atau semangat perjuangan bagi sesebuah negara atau pertubuhan. Sebagai sebuah badan politik yang terlibat dengan gerakan kemerdekaan dan perjuangan menegakkan Islam semenjak 1951, PAS juga turut menggubah sebuah lagu rasmi untuk merangsang semangat perjuangan ahli-ahlinya. Lagu PAS pertama kali dinyanyikan di khalayak pada 26 September 1953, dalam Mesyuarat Agung Khas PAS oleh Ustaz Othman Abdullah, Mohd Asri Haji Muda dan Ahmad Haji Ali. Lagu ini bernama “Lagu Bendera PAS” telah digubah oleh Ustaz Othman Abdullah. Walau bagaimanapun lagu ini tidak dianggap laru rasmi parti kerana ia tidak pernah disahkan oleh mana-mana mesyuarat agung PAS atau Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Tetapi nyanyian Lagu Bendera PAS itu telah memberikan idea kepada pengwujudan lagu rasmi PAS. Dalam Mesyuarat Agung PAS Ketiga di Parit Buntar, Perak pada 12-14 Ogos 1954, satu usul yang berbunyi “Bahawa Majlis Mesyuarat Agung PAS yang bersidang pada hari ini bersetuju mengadakan lagu rasmi untuk PAS Se-Malaya” telah diluluskan. Untuk melaksanakan usul ini, satu usaha untuk menggubah sebuah lagu telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Dua tahun kemudian, dalam Mesyuarat Agung PAS Kelima pada 23-25 Disember 1956, satu usul telah dikemukakan oleh PAS Cawangan Kota Bharu untuk mengesahkan lagu rasmi PAS. Sebuah lagu yang hanya dikenali sebagai “Lagu Rasmi PAS” telah diperdengarkan buat pertama kali ketika usul tersebut dibentangkan, dan Mesyuarat Agung telah bersetuju untuk menerima lagu ini sebagai lagu rasmi PAS. Lagu ini adalah hasil gubahan Abdullah Bukhari dari Kota Bharu dan liriknya ditulis oleh Mohd Asri Haji Muda.

Lagu ini kemudian menjadi lagu rasmi PAS dan sentiasa diperdengarkan dalam majlis-majlis rasmi PAS, khususnya Mesyuarat Agung sehingga pertengahan 1970-an. Selepas itu, lagu ini tidak lagi dimainkan sehingga ahli-ahli PAS pada dekad 1980-an dan 1990-an tidak mengetahui tentang kewujudannya.

Hasil usaha Unit Media Dewan Pemuda PAS Pusat, skor (not) Lagu PAS yang asal telah diserahkan kepada Pengarah Unit Amal pada 2000 untuk dinyanyikan semula oleh kumpulan nasyid Shoutul Amal, sebuah kumpulan nasyid di bawah Unit Amal. Lagu ini pertama kali diperdengarkan semula dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Ke-42 di Taman Melewar pada 31 Mei 2001. Selepas itu, atas usaha Shoutul Amal, lagu ini telah dirakamkan sebagai salah satu daripada lagu dalam album Shoutul Amal, “Gema Perjuangan” yang diterbitkan pada 2001.

Perubahan Lagu

Walau bagaimanapun, Shoutul Amal telah mengubah rentak lagu tersebut untuk disesuaikan dengan tempo muzik kontemporari. Turut mengalami perubahan ialah beberapa seni kata yang cuba diselaraskan dengan keadaan semasa dengan nama “Lagu Tema PAS”. Pada 2002, lagu rasmi PAS mula dinyanyikan semula dengan nama “Lagu PAS” dalam Muktamar Tahunan PAS sehingga hari ini.

Oleh kerana lagu PAS telah digubah sebelum merdeka dan telah lama tidak diperdengarkan kepada ahli-ahli PAS, iaitu semenjak pertengahan 1970-an, maka telah timbul masalah kesesuaian seni kata dan liriknya. Atas usaha Shoutul Amal, perubahan telah dibuat pada 2001, yang sebenarnya belum mendapat pengesahan atau kebenaran rasmi daripada PAS. Dan “Lagu Tema PAS” yang dirakamkan dalam album “Gema Perjuangan” juga adalah tidak mengikut rentak asal.

Selain itu, lagu rasmi ini tidak pernah diberikan satu nama yang rasmi. Pada 1950-an, ia hanya dikenali sebagai “Lagu Rasmi PAS”, kemudian sebagai “Lagu Perjuangan PAS” pada akhir 1960-an, dan kini sebagai “Lagu Tema PAS” atau “Lagu PAS” sahaja. Pihak pimpinan PAS sewajarnya menetapkan secara rasmi tentang lirik dan lagu bagi lagu rasmi PAS, sesuai dengan kedudukannya sebagai lagu rasmi. Dan pimpinan PAS juga perlu menetapkan apakah nama bagi lagu ini, bukan lagi menamakannya sebagai “Lagu Rasmi PAS” tanpa sebarang nama yang menggambarkan sebuah ekspresi perjuangan Islam di negara ini.

Antara nama yang sesuai untuk diberikan kepada lagu ini adalah seperti “Berjihadlah,” atau “Selamatlah Parti Islam” atau “Semangat Perjuangan”.

Tiada ulasan: