14 Mac 2016

14 Mac 1974 : Gerakan Revolusi 14 Mac Biakkan Fitnah Terhadap Menteri Besar Kelantan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1974, Yang Dipertua PAS Cawangan Pasir Mas, Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah telah melancarkan Gerakan Revolusi 14 Mac 1974 yang kononnya bertujuan untuk mendesak Menteri Besar Kelantan, Dato' Ishak Lotfi Omar supaya meletakkan jawatan atas beberapa tuduhan yang didakwakan. Mereka mendakwa Dato' Ishak Lotfi melakukan penyelewengan dalam urusan balak, lemah dalam mentadbir kerajaan, korup, gagal meningkatkan syiar Islam dan beberapa tuduhan lain berkait penyelewengan, tetapi tidak dapat membuktikannya di mahkamah. Gerakan ini dikatakan tidak bertujuan untuk menumbangkan PAS, tetapi untuk menumbangkan tokoh-tokoh tertentu terutama Menteri Besar dan beberapa individu dalam PAS Kelantan.

Pergolakan dalam politik Kelantan ini mulai berlaku semenjak PAS membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973 dan Dato' Ishak Lotfi menjadi Menteri Besar semula menggantikan Dato' Mohd Asri Haji Muda. Serangan fitnah ini bermula dengan pelancaran Gerakan Revolusi 14 Mac di Pasir Mas, diikuti oleh Gerakan Revolusi 20 Mac di Machang oleh Haji Mohd Yusof Nor serta desakan Dewan Pemuda PAS Kelantan pada 16 Mac 1974 dan PAS Cawangan Pasir Mas Hilir pada 29 Mac 1974 yang bertujuan mendesakkan Dato' Ishak Lotfi meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

PAS Kelantan dalam menangani gerakan ini, pada 30 Mac 1974 telah mengeluarkan satu siaran khas untuk menjawab semua fitnah dan tuduhan terhadap pimpinan PAS Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan yang bertajuk "Menghapuskan Kekeliruan di Sekitar Tuduhan-tuduhan dan Fitnah-fitnah Terhadap Pemimpin dan Tokoh-tokoh PAS di Kelantan." Jawatankuasa Kerja Agung PAS pula pada 30 Mei 1974 telah menggantung PAS Cawangan Pasir Mas Hilir yang menjadi dalang fitnah ini, diikuti tindakan disiplin ke atas Cikgu Ahmad Fakharuddin, Daud Yatimee Ahmad, Hussin Yaakub dan Yusof ISA dengan memecat keahlian mereka pada 9 Jun 1974.

Kesan daripada tindakan tegas PAS ini, Gerakan Revolusi 14 Mac telah mengumpulkan semua pihak dalam PAS yang tidak berpuas hati dengan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda termasuk Ustaz Amaluddin Darus dan Ustaz Abu Bakar Hamzah untuk menentang PAS. Dalam Pilihan Raya Umum Kelima pada 24 Ogos 1974, Gerakan Revolusi 14 Mac telah bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN untuk menentang PAS atas nama Barisan Bebas Bersatu (BBB), tetapi tewas semuanya. Mereka kemudian bergabung membentuk parti Ikatan Muslim Insaf Malaysia (IMAM) pada 1975, sebelum bergabung dengan kumpulan Dato' Mohamed Nasir, Parti Progresif Islam (PPI) bagi menubuhkan Barisan Jamaah Islamiyah Malaysia (Berjasa) pada 1977.

13 Mac 2016

13 Mac 1963 : Usul PAS Tangani Krisis Politik Dengan Indonesia Ditolak Dewan Rakyat

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1963, Dewan Rakyat telah menolak usul yang dikemukakan oleh PAS yang mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) supaya krisis politik antara Malaysia dan Indonesia diselesaikan secara aman, dan jika perlu dirujuk kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Usul yang dibawa oleh Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy (Besut) ini berbunyi "bahawa bagi kepentingan kebijakan politik dan ketenteraman hidup negara dan rakyat PTM, Dewan (Rakyat) ini menetapkan bahawa kerajaan dan rakyat PTM hendaklah menjalankan ikhtiar-ikhtiar yang aman dan damai di dalam perhubungan-perhubungannya dengan negara tetangga dan sekiranya ada ketegangan-ketegangan yang meruncing hendaklah Kerajaan PTM mengadu hal ini kepada PBB bagi penyelesaian secara damai."

Isu ini telah merebak ekoran cadangan penubuhan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pada 27 Mei 1961. PAS yang menentang penubuhan Malaysia dan mencadangkan Melayu Raya telah menerima pelbagai tuduhan yang berbau anti Malaysia. Dalam masa yang sama, Indonesia telah melancarkan konfrantasi sehingga memaksa Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 3 September 1964 berakhir dengan perjanjian antara kedua-dua negara pada 11 Ogos 1966.

PAS yang mengambil sikap menolak sebarang bentuk kekerasan dalam hubungan dengan negara jiran, mahukan semua pertikaian kedua-dua negara diselesaikan secara damai. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 15-16 Februari 1963 telah mengambil pendirian supaya satu usul dikemukakan kepada Dewan Rakyat agar pertikaian ini diselesaikan secara damai dan sekiranya ia tidak dapat diselesaikan, ia harus dirujuk ke PBB sebagai jalan penyelesaian damai.

Dr Burhanuddin al-Helmy telah mengemukakan usul ini di Dewan Rakyat pada 11 Mac 1963 dan dibahas sebagai sokongan oleh lima ahli Parlimen PAS iaitu Dato' Mohd Asri Haji Muda (Pasir Puteh), Khadijah Sidek (Dungun), Ahmad Abdullah (Kelantan Hilir), Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani (Pasir Mas Hulu) dan Tuan Guru Haji Hussein Rahimin Mat Saman (Kota Bharu Hulu) pada 12-13 Mac 1963. Oleh kerana Perikatan mahu memanipulasikan isu konfrantasi ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1964 dengan menuduh pemimpin PAS sebagai pengkhianat negara, melakukan kegiatan subversif yang ditaja Indonesia dan bekerjasama dengan Indonesia untuk melancarkan konfrantasi terhadap negara, maka pada 13 Mac 1963, Dewan Rakyat telah menolak usul ini dengan undian yang menyebabkan isu ini berpanjangan sehingga selepas Pilihan Raya Umum 1964. Ia hanya berakhir dengan perjanjian pada 11 Ogos 1966 antara kedua-dua negara.

12 Mac 2016

12 Mac 1966 : PAS Menggugat Dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Krian Laut

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1966, telah berlangsung Pilihan Raya Kecil Parlimen Krian Laut, Perak ekoran kematian Ahli Parlimennya, Abdul Rauf Abdul Rahman pada 19 Januari 1966. PAS telah meletakkan Ahli Jawatankuasa Agungnya, Ustaz Baharuddin Abdul Latif untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Krian Laut yang merupakan salah satu kubu kuat PAS semenjak awal 1950-an lagi. Perikatan pula meletakkan calon baru, Sulaiman Haji Taib untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Kawasan Parlimen Krian Laut menjadi tumpuan kerana kawasan ini adalah kubu terawal PAS di mana cawangan PAS keempat, PAS Cawangan Krian ditubuhkan di sini pada 6 Julai 1952, selain PAS pernah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketiga di sini pada 12-14 Ogos 1954. Dalam Pilihan Raya Umum 1955, Bendahari Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah menjadi calon tunggal PAS yang memenangi kerusi Majlis Undangan Persekutuan bagi kerusi Krian, manakala calon Majlis Undangan Negeri Perak di kawasan Krian Barat, Mohd Kamal Ahmad menjadi calon tunggal PAS yang menang di peringkat negeri. Kawasan Krian dipecah dua pada 1959 iaitu Krian Laut yang kini dikenali sebagai Parit Buntar, dan Krian Darat, yang kini dikenali sebagai Bagan Serai.

Dalam Pilihan Raya Umum 1959, calon Perikatan yang juga Ketua Umno Krian, Abdul Rauf Abdul Rahman berjaya memenangi kerusi Parlimen Krian Laut dan dapat dipertahankan oleh beliau pada 1964 dengan majoriti sebanyak 2,657 undi. Dalam pilihan raya kecil ini, Krian Laut mempunyai 26,954 pengundi dengan 18,634 pengundi Melayu, 6,801 pengundi Cina dan 1,518 pengundi India. Persaingan dianggap sangat sengit kerana kedua-dua parti pernah memenangi kerusi Parlimen dan DUN dalam kawasan ini, lebih-lebih lagi calon PAS adalah bekas Adun Gunung Semanggol (1959-1964). Populasi pengundi Melayu keturunan Banjar yang ramai di sini telah memberi kelebihan kepada PAS, tetapi diimbangi oleh pengundi bukan Melayu yang berjumlah melebihi 30 peratus. Berita Harian pada 10 Mac 1966 melaporkan bahawa kedua-dua parti telah membawa "bala bantuan" untuk merebut kerusi tersebut.

Pilihan Raya Kecil yang berlangsung pada 12 Mac 1966 ini akhirnya memberikan kemenangan kepada calon Perikatan yang memperoleh sebanyak 11,206 undi, manakala calon PAS mendapat 8,484 undi dengan 546 undi rosak. Perikatan mempertahankan kerusi Parlimen Krian Laut ini dengan majoriti 2,722 undi. Walaupun PAS kalah dalam pilihan raya kecil ini, Krian Laut yang kini dikenali sebagai Parit Buntar kekal menjadi kubu PAS sehingga PAS berjaya merampas semula kerusi ini melalui Dato' Hassan Mohd Ali pada 1999, kemudian PAS memenanginya lagi pada 2008 dan 2013 melalui Dato' Dr Mujahid Yusof, sebelum beliau menyertai Parti Amanah Negara (PAN) pada 2015.

11 Mac 2016

11 Mac 1978 : PAS Hilang Kerajaan Kelantan Kerana Sabotaj Parti Serpihan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1978, PAS telah mencatat pengalaman terburuk dalam sejarahnya apabila Kerajaan Kelantan yang dipegang semenjak 1959 telah jatuh ke tangan BN ekoran krisis kepemimpinan yang tercetus dalam PAS semenjak Pilihan Raya Umum 1974. Sebelum ini PAS telah diberi mandat untuk memerintah semenjak Pilihan Raya Umum Pertama pada 1959, diikuti oleh siri-siri pilihan paya pada 1964, 1969 dan 1974, sebelum tewas pada 1978 setelah 18 tahun usia kerajaannya.

Krisis kepemimpinan PAS bermula sejak 1974 kerana PAS menyertai BN sehingga terdapat ahli PAS menubuhkan serpihan seperti Revolusi 14 Mac dan parti Ikatan Muslim Insaf Malaysia (IMAM) sebelum Pilihan Raya Umum 1974. Selepas pilihan raya ini, konflik beralih kepada isu perlantikan Menteri Besar Kelantan di mana PAS memilih Wan Ismail Ibrahim sebagai calon, tetapi ditolak oleh Umno sehingga akhirnya Dato' Mohamed Nasir menjadi Menteri Besar. Isu Dato' Mohamed Nasir membarah pada 1977 yang membawa kepada pemecatan beliau daripada PAS pada 10 Oktober 1977.

Kesan dari pemecatan ini, PAS telah berpecah di mana penyokong Dato' Mohamed Nasir dengan kerjasama Umno telah menubuhkan Parti Progresif Islam (PPI) pada 25 September 1977, dan setelah beliau dikenakan undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977, PPI yang bergabung dengan IMAM telah membentuk Barisan Jamaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA). Penyokong-penyokong Dato' Mohamed Nasir yang diketuai oleh Ketua Pemuda BERJASA, Ibrahim Ali telah melakukan demonstrasi dan rusuhan di Kota Bharu sehingga ia menjadi alasan Kerajaan Pusat mendaruratkan Kelantan melalui akta parlimen pada 8 November 1977. Akta Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 ini menjadi punca PAS dipecat daripada BN pada 13 Disember 1977.

Dalam suasana politik yang gawat ini, Kelantan ditadbir secara MAGERAN dengan Hashim Aman sebagai pengarah. Pada 12 Februari 1978, MAGERAN dimansuhkan dan darurat ditamatkan, diikuti oleh pembubaran DUN Kelantan pada 13 Februari 1978. Pilihan Raya Negeri Kelantan yang diadakan berasingan ditetapkan pada 11 Mac 1978. PAS meletakkan calon di semua 36 kerusi dan mengeluarkan manifesto bertajuk 'Undilah Bulan Purnama untuk Menjamin Kedaulatan Agama, Bangsa dan Negara' pada 6 Mac 1978.

Dalam Pilihan Raya Negeri pada 11 Mac 1978 ini, 34 orang calon PAS telah tewas kepada calon Umno (22 kerusi), BERJASA (11 kerusi) dan MCA (1 kerusi). PAS hanya menang dua kerusi iaitu Sering (Ustaz Nik Abdullah Arshad) dan Manik Urai (Wan Abdullah Wan Su) yang menyebabkan Kerajaan PAS yang berusia 18 tahun ini tumbang dan diganti oleh Kerajaan BN yang dipimpin oleh Dato' Mohamed Yaacob sebagai Menteri Besar. Faktor utama kekalahan PAS ini ialah peranan BERJASA yang memecahkan undi melalui strategi susunan Umno iaitu pertandingan tiga penjuru di kerusi marginal.

10 Mac 2016

10 Mac 1980 : Dr. Mahathir Terancam Dengan Teori Domino Yang Dibangkitkan Dato' Asri Muda

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1980, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed telah mempersoalkan teori domino yang dibangkitkan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dalam Ucapan Dasar Muktamar Khas PAS pada 2 Mac 1980. Dr Mahathir berpandangan bahawa teori domino boleh melemahkan semangat rakyat negara ini, sedangkan Dato' Mohd Asri mempersoalkan salah guna ISA yang sepatutnya digunakan terhadap komunis, tetapi disalah gunakan untuk menyekat kebangkitan Islam.

Teori domino ialah teori spekulasi tentang perluasan pengaruh komunis di mana apabila satu negara terkena pengaruh komunis, negara sekitarnya juga akan dijangkiti oleh komunis melalui kesan domino. Teori yang terkenal sejak dekad 1950-an ini menurut Presiden Amerika Syariat, Dwight D Eisenhower, bahawa pengaruh komunis boleh berkembang mengikut prinsip "domino jatuh," di mana apabila kita memiliki sebaris domino, dengan menjatuhkan domino pertama, semua domino lain akan jatuh satu persatu sehingga domino terakhirnya. Teori perkembangan komunis ini menakutkan Barat sekiranya ada negara Asia Tenggara yang jatuh ke tangan komunis.

Ketika menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Khas PAS itu, Yang Dipertua Agung PAS telah mengkritik tindakan zalim Kerajaan BN yang menahan 13 ahli PAS kerana terlibat dalam demonstrasi isu padi di Alor Setar pada 19 Januari 1980. Dato' Mohd Asri menjelaskan hakikat Malaysia sedang diancam oleh perluasan pengaruh komunis kerana kedudukan Hanoi yang menguasai Phnom Penh dan mulai mengancam Thailand dengan kawalan Moscow ketika itu. Sempadan Malaysia sendiri sedang diancam oleh Parti Komunis Malaya (PKM) melalui radio sulit, Suara Revolusi Malaya (SRM) yang kemudiannya dikenali sebagai Suara Demokratik Malaya (SDM). PKM turut terbabit menubuhkan Parti Persaudaraan Islam (PAPERI) pada 1965, selain Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM) untuk meluaskan pengaruh komunis.

Inilah yang dimaksudkan sebagai teori domino oleh pemimpin tertinggi PAS itu. Tetapi menurut Dato' Mohd Asri, ISA yang digubal pada 1960 untuk membendung pengaruh komunis disalahgunakan untuk menyekat kebangkitan Islam dengan menahan pimpinan dan ahli PAS, terutama setelah berlakunya Revolusi Iran pada 1979.

Dr Mahathir yang memberikan respon negatif terhadap teori domino ini diketahui umum peranan pengaruh komunis dalam menonjolkan Dr Mahathir sebagai pemimpin besar Umno. Pada 1976, lima orang yang dikaitkan dengan komunis ditahan ISA oleh Dato' Hussein Onn iaitu Abdullah Ahmad, Abdullah Majid dan Abdul Samad Ismail yang terkenal sebagai Tiga Abdul, selain Kassim Ahmad dan Dr Syed Husin Ali. Abdullah Ahmad atau Dolah Kok Lanas (DKL) sebagai Setiausaha Politik Tun Abdul Razak Hussein diketahui umum telah menggunakan ucapan Tun Razak yang ditulisnya untuk membolehkan Dr Mahathir disokong oleh Tun Razak sebagai salah seorang Naib Presiden Umno pada 1975. Kerana itu, dalam isu ini, Dr Mahathir telah menuduh PAS berat sebelah iaitu menentang ISA apabila ahli PAS ditangkap, tetapi berdiam diri bila ahli Umno (DKL) ditangkap. Sedangkan PAS berpegang ISA digubal untuk menghapuskan komunis.

09 Mac 2016

09 Mac 1952 : PAS Tubuh Cawangan Pertama Di Pulau Pinang

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1952, PAS telah menubuhkan Cawangan pertamanya, iaitu PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang yang berpusat di Bandar Raya Georgetown. Cawangan ini telah ditubuhkan dalam usaha PAS untuk mengembangkan pengaruhnya di seluruh Tanah Melayu. PAS telah memulakan pergerakannya semenjak ia ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS dibentuk pada 24 November 1951 dengan berpusat di Kepala Batas, Sebarang Perai. Dengan tertubuhnya Cawangan PAS di Pulau Pinang, sayap PAS mulai berkembang keluar.

Usaha memperluaskan pengaruh PAS telah dimulakan semenjak awal 1952, di mana pada 2 Februari 1952, PAS telah mengadakan taklimat tentang tujuan perjuangannya kepada Persatuan Ulamak Kedah (PUK), sehingga ada syor supaya PUK menjadi anggota gabungan PAS. Pada 3 April 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya PAS menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh Tanah Melayu bagi merealisasikan tujuan PAS untuk merapatkan hubungan umat Islam di negara ini.

PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang yang ditubuhkan pada 9 Mac 1952 sebagai cawangan yang pertama PAS telah dipimpin oleh ulamak reformis terkenal, Sheikh Haji Ibrahim Mohd Akib atau lebih terkenal dengan gelaran Haji Ibrahim Aqibi sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan. Pimpinan pengasas yang lain ialah Haji Ahmad Mokhtar (Setiausaha), Din Chik (Penolong Setiausaha), S.A Rahman (Bendahari) serta M.Y Merican, Mohd Shariff Mohd Ali, B.D Merican, Kassim Baba, Sheikh Abdul Latif Jalaluddin, Abdullah Mohd Mia Ibrahim, Abdul Hamid Amin, Abdullah Ishak, Mohd Rejab Yunus K.P, Haji Hussein Daik Sawi, Ahmad Zakaria, Jaafar Abdul Samad, Kassim Ali Hashim Ali, Mohd Sulaiman Babachan Khan, Syed Abbas al-Habsyi, Haji Ahmad Din, Anwar Hashim, Dasimah Dasir, Jah Said dan Syarifah Rahmah Syed Ahmad al-Mashoor.

Setelah tertubuhnya PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang ini, cawangan-cawangan PAS mulai berkembang dengan penubuhan Cawangan PAS Bukit Mertajam (20 April 1952), Perak (26 April 1952), Bukit Besar (April 1952), Perlis (8 Mei 1952), Kerian (6 Julai 1952) dan Kuala Lumpur (13 Julai 1952). PAS mula berkembang di Pantai Timur apabila Naib Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol membuat taklimat tentang PAS di Pasir Puteh, Kelantan pada 9 September 1952. Sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua pada 26 Ogos 1953, PAS berjaya menubuhkan 13 lagi cawangan menjadi 20 buah. Cawangan tersebut ialah Bayan Lepas, Pokok Sena, Kubang Semang (Pulau Pinang), Titi Serong, Hilir Perak (Perak), Sentul, Sungai Penchala (Selangor), Rembau, Johol (Negeri Sembilan), Bukit Aping, Sungai Korok (Kedah) dan Pasir Mas (Kelantan).

PAS Cawangan Singapura yang juga ditubuhkan dalam tahun 1952 pula gagal mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan Singapura. Di samping itu, PAS turut melantik Wakil Tetap PAS di beberapa bandar untuk mengembangkan PAS iaitu di Machang, Gerik, Ipoh, Kuala Kangsar, Parit, Manong, Tanjung Karang dan Melaka. PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang walau bagaimanapun lumpuh ekoran pergeseran Kaum Muda - Kaum Tua antara pemimpin reformis, Haji Ibrahim Aqibi (Yang Dipertua PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang) dengan Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Sheikh Abdullah Fahim (Ketua Dewan Ulamak PAS) pada 1953. Antara tokoh ternama dalam cawangan ini selain Haji Ibrahim Aqibi ialah Haji Ahmad Mokhtar (Pemeriksa Kira-kira PAS) dan Syarifah Rahmah Syed Ahmad al-Mashoor (Ketua Dewan Muslimat PAS).

08 Mac 2016

08 Mac 1988 : Nakhaie Syor Barisan Islamiyah Sebagai Gabungan Pembangkang Islam Dan UMNO Era Mahathir

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1988, Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah mengemukakan satu cadangan kepada Majlis Syura Ulamak PAS supaya ditubuhkan Barisan Islamiah, iaitu sebuah badan gabungan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, termasuk Umno untuk menyatukan umat Islam. Idea penubuhan Barisan Islamiah ini telah dilontarkan oleh Ustaz Nakhaie semenjak akhir November 1987 lagi, dan beliau yang juga Naib Yang Dipertua Agung PAS kemudiannya mengemukakan secara rasmi kepada Majlis Syura Ulamak PAS.

Gagasan ini ketika dilontarkan oleh Ustaz Nakhaie telah mendapat respon positif daripada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed, Presiden Umno dan Pak Yusof Rawa, Yang Dipertua Agung PAS. PAS bersikap positif kerana perpaduan adalah tuntutan Islam, sedangkan Umno pada 24 November 1987 dilaporkan bersetuju jika ia bertujuan untuk Islam. Usulan Ustaz Nakhaie ini telah dibincangkan secara dasar pada 8 Mac 1988, tetapi ia ditarik balik oleh pencadangnya dalam mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 4 Julai 1988 kerana didakwa tidak mendapat perhatian serius pimpinan PAS.

Dalam Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat pada 21 Ogos 1988, Ustaz Nakhaie mencadangkan supaya sebuah panitia ditubuhkan untuk menganjurkan Perhimpunan Umat Melayu Kedua bagi membincangkan pendekatan baru politik umat Islam setelah Umno diharamkan pada 4 Februari 1988. Cadangan-cadangan Ustaz Nakhaie yang dilihat oleh pimpinan PAS sebagai satu usaha menghidupkan semua Team A Umno yang dipimpin oleh Dr Mahathir dengan membuat pakatan parti-parti pembangkang dan NGO Islam + Umno Mahathir atas nama perpaduan umat, sedangkan ketika itu Umno sedang melakukan tangkapan ISA sejak Oktober 1987, di mana nama Ustaz Nakhaie dikatakan turut tersenarai. Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang dijangka mengendalikan kes Umno telah digantung tugas pada 26 Mei 1988 yang menyebabkan usaha memulihkan Umno terbengkalai.

Di sebalik kedinginan sikap pimpinan PAS terhadap cadangan Ustaz Nakhaie yang juga Ketua Penerangan PAS itu, PAS turut menerima usulan daripada Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri pada 9 Oktober 1988 dalam kertasnya, 'Tinjauan Ringkas Politik Semasa dan Sikap Yang Perlu Diambil Oleh PAS' yang mencadangkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990. PAS bersikap positif terhadap cadangan Setiausaha Agungnya, tetapi dilihat tidak berminat dengan usulan Naib Yang Dipertua Agungnya.

Kecewa dengan pendirian PAS yang tidak mahu memberi nafas baru bagi menghidupkan semula Umno (Baru), Ustaz Nakhaie telah meletakkan semua jawatan beliau dalam PAS pada 20 Ogos 1988 atas alasan berkecil hati dengan satu kenyataan Pak Yusof Rawa, yang kemudiannya diterima oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 9 September 1988, manakala kedudukan beliau dalam Majlis Syura Ulamak PAS berakhir pada 30 Oktober 1988. Pada 2 Januari 1989, Ustaz Nakhaie membuat kenyataan bahawa tindakan PAS bekerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46 merugikan umat, dan pada 27 April 1989, Ustaz Nakhaie yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Biro Agama Umno dan pimpinan ABIM sebelum aktif dalam PAS telah mengumumkan penyertaannya ke dalam Umno (Baru) pimpinan Dr Mahathir.