07 Februari 2016

07 Februari 1996 : UMNO Dedah Pengkhianatan Kerjasama Semangat 46 Terhadap PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1996, PAS telah dikejutkan oleh pengesahan yang dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Mohamed Rahmat bahawa beberapa pemimpin utama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) telah bertemu dengan beliau dalam rangka mencari jalan untuk parti itu kembali bersatu dengan Umno. Pengesahan Setiausaha Agung Umno ini membuktikan PMS46 telah mengkhianati kerjasama yang dibentuk dengan PAS semenjak 1988.

Hubungan PAS-PMS46 telah mulai tergugat selepas Pilihan Raya Kecil Gua Musang pada 29 Ogos 1995 yang berlangsung serentak dengan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-41 pada 25-27 Ogos 1995. Beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang diikuti oleh konflik dengan istana dan tindakan Timbalan Menteri Besar II, Dato' Mohd Rozali Isohak yang telah mengkritik Kerajaan Kelantan, telah menyebabkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Abdullah Arshad mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 14 Oktober 1995 supaya hubungan dengan PMS46 dibuat kajian secara menyeluruh kerana ia telah merugikan PAS.

Dalam pada itu juga, PMS46 terus memberi tekanan kepada PAS, termasuk bertindak memboikot majlis angkat sumpah Ahli Majlis MPKB pada 30 Januari 1996. Pada 5 Februari 1996, PMS46 telah menghantar wakil mereka berunding dengan Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mendesak PAS supaya sentiasa berunding dengan PMS46 dalam menyusun dasar-dasar baru kerajaan, menandatangani perjanjian rasmi dengan PMS46, mengagihkan kuota jawatan 60:40, melaksanakan hudud dan melantik mufti sebagai Exco Kerajaan.

PAS walau bagaimanapun melihat desakan PMS46 ini tidak berasas kerana mereka juga berasa dalam barisan Exco Kerajaan Kelantan yang sama-sama berunding dan memutuskan dasar-dasar kerajaan. Semua pandangan PMS46 kepada kerajaan boleh disalurkan melalui Mesyuarat Exco.

Presiden PMS46, Tengku Razaliegh Hamzah pula pada 10 Februari 1996 telah menyatakan kesediaan mereka untuk kembali kepada Umno ekoran kenyataan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamed pada 8 Februari 1996 bahawa Umno bersedia menerima semula PMS46. Dengan pengakuan Setiausaha Agung Umno pada 7 Februari 1996 bahawa PMS46 berhasrat untuk kembali kepada Umno, Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS pada 12 Februari 1996 telah mengkaji semula hubungan dengan PMS46 dan memutuskan untuk mengukuhkan Kerajaan Kelantan dengan meningkatkan Perlaksanaan Islam, membuka pintu keahlian kepada ahli-ahli PMS46, menyerahkan kerjasama dengan Berjasa dan Hamim. PAS kemudiannya, pada 14 Julai 1996 memutuskan secara rasmi hubungan dengan PMS46.

06 Februari 2016

06 Februari 1983 : PAS Kelantan Beri Taklimat Tentang Isu Disiplin Dato' Asri Haji Muda

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1983, PAS Kelantan telah mengadakan majlis taklimat khusus kepada semua peringkat pimpinan PAS di Kelantan untuk memperjelaskan isu perletakan jawatan Dato' Mohd Asri Haji Muda sebagai Yang Dipertua Agung PAS bersama beberapa pemimpin PAS yang lain, dan juga isu tindakan disiplin yang dikenakan ke atas Dato' Mohd Asri dan 12 orang pengikutnya. Taklimat ini telah dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat merangkap Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Taklimat ini adalah rentetan daripada perletakan jawatan Mohd Asri pada 23 Oktober 1982, diikuti oleh beberapa tindakan kumpulan pengikutnya yang merugikan kepentingan parti. Pada 23 Januari 1983, Jawatankuasa Tatatertib PAS telah memecat keahlian Dato' Ishak Lotfi Omar dan Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, di samping menggantung keahlian lapan orang yang lain iaitu Mohd Asri, Cikgu Mohd Fakharuddin Abdullah, Haji Hassan Mohamad, Abdul Hamid Saleh, Wan Ismail Ibrahim, Mohd Zahari Awang, Shaari Awang Ali dan Solahuddin Abdullah. Tiga orang lagi diberi amaran iaitu Cikgu Mohd Zain Abdullah, Wan Ibrahim Wan Abdullah dan Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim.

Dalam taklimatnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan sebab-sebab mereka dikenakan tindakan. Mohd Asri antaranya telah menimbulkan kemarahan ahli-ahli PAS dengan melantik pimpinan yang tidak disukai ahli, membayangkan PAS akan bekerjasama dengan DAP dan BN, membentangkan Ucapan Dasar yang bercanggah dengan hasrat parti yang membawa kepada perpecahan dalam PAS. Selain itu, faktor gerakan kumpulan haram yang dibentuk oleh penyokong Mohd Asri telah memecahkan PAS dengan menuduh adanya konspirasi bertopengkan ulamak, mendakwa PAS dipengaruhi oleh Syiah dan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak sebagai organisasi haram dalam PAS.

Sebagai langkah untuk membendung kerosakan yang lebih besar, PAS telah mengambil tindakan disiplin ke atas mereka, walaupun ada usaha-usaha penyokong Mohd Asri untuk bersemuka dengan pimpinan baru PAS, selain cubaan untuk mendamaikan kedua-dua pihak.

Taklimat yang dibuat oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 6 Februari 1983 ini telah melegakan ahli-ahli PAS yang selama ini dikelirukan oleh dakyah-dakyah yang dibuat oleh kumpulan serpihan ini, sedangkan mereka tidak memahami mengapa PAS bertindak sedemikian. Ucapan taklimat Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini kemudiannya telah sebarkan kepada ahli-ahli PAS dengan judul 'Kemuncup Dalam Perjuangan'.

05 Februari 2016

05 Februari 2009 : Kerajaan PR Perak Tumbang Kerana Rampasan Kuasa Yang Tidak Demokratik

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2009, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak yang dipimpin oleh PAS telah tumbang dalam satu rampasan kuasa secara tidak demokratik oleh BN dengan menculik dan membeli Adun-adun PR untuk mendapatkan kuasa seperti yang pernah dilakukan di Terengganu dan Sabah sebelum ini. Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin telah dijatuhkan dari kerusinya apabila Sultan Perak, Paduka Sri Sultan Azlan Muhibuddin Shah menerima permohonan 27 Adun BN untuk membentuk kerajaan.

Kerajaan PR Perak mula tergugat apabila dua anggota Exco dari PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah berpihak kepada BN setelah mereka dituduh mengambil rasuah sebanyak RM180 juta di Mahkamah Sesyen pada 25 Ogos 2008. Ekoran tindakan mereka menyokong BN pada akhir Januari 2009, Speaker DUN Perak, V. Sivakumar pada 1 Februari 2009 mengisytihar dua kerusi tersebut kosong berdasarkan surat akujanji mereka, tetapi SPR pada 3 Februari 2009 mengumumkan sebaliknya.

Dalam konflik politik ini, pada 25 Januari 2009, Adun Bota dari BN, Dato' Nasharuddin Hashim telah menyertai PKR, tetapi pada 4 Februari 2009, beliau muncul bersama-sama Adun Behrang dan Adun Changkat Jering dan Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Fong di Kuala Lumpur bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menyatakan sokongan kepada BN. Dengan pengkhianatan empat Adun dari PKR dan DAP ini, BN kembali mendapat majoriti mudah dan memohon kepada Sultan Perak untuk menubuhkan kerajaan.

Permohonan Mohd Nizar untuk membubarkan DUN Perak pada 5 Februari 2009 telah ditolak oleh Sultan Perak, sebaliknya Baginda menitahkan supaya Menteri Besar Perak dan exconya meletakkan jawatan pada hari tersebut atau dianggap telah meletakkan jawatan. Keesokkannya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar perak yang baru dari BN.

Mohd Nizar kemudiannya membawa kes ini ke mahkamah pada 13 Februari 2009 untuk menghalang Dr Zambry menjadi Menteri Besar Perak dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 April memberi laluan kepada Nizar untuk mencabar Zambry. Dalam tempoh ini, berlaku Sidang DUN di bawah pokok pada 3 Mac 2009 dan kekecohan di DUN Perak pada 7 Mac 2009 selepas sidang dirasmikan oleh Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak.

Pada 11 Mei 2009, Nizar diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai Menteri Besar yang sah, tetapi Zambry mengemukakan kes ini ke Mahkamah Rayuan pada 12 Mei 2009 dan dibenarkan kekal sebagai ketua kerajaan sehingga keputusan rayuan dibuat pada 22 Mei 2009. Dalam penghakiman pada 22 Mei 2009 itu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Dr Zambry adalah Menteri Besar yang sah dan mengikut Perlembagaan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Nizar telah membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan pada 5 November 2009 di mana Panel Lima Hakim telah mendengar penghujahan dan kes ditangguh pada 5 Februari 2010. Kes ini berakhir dengan keputusan yang memihak kepada Dr Zambry pada 9 Februari 2010.

04 Februari 2016

04 Februari 1990 : PAS Bersama Semangat 46 Tetapi Tidak Pada DAP

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1990, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan bahawa PAS tidak terbabit dalam kerjasama politik yang dibentuk antara S46 dengan DAP menjelang Pilihan Raya Umum 1990. Tindakan S46 mengadakan hubungan serentak dengan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan DAP menerusi Gagasan Rakyat (GR) adalah strategi presidennya, Tengku Razaliegh Hamzah untuk membolehkan pembangkang menguasai Malaysia dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan.

Isu kerjasama PAS-DAP telah timbul ekoran kenyataan Tengku Razaliegh pada 9 Disember 1989 tentang hubungan antara S46 dengan DAP sehingga memungkinkan PAS memutuskan hubungan dengan S46 atas sebab perbezaan dasar, terutama DAP yang menolak Negara Islam. Ekoran itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin S46 dan membayangkan bahawa PAS mengkaji semula hubungan kedua-dua parti jika S46 meneruskan hasrat membentuk pakatan politik dengan DAP.

Di pihak PAS sendiri wujud tentangan hebat terhadap S46 kerana bekerjasama dengan DAP, terutama Kumpulan Islah di Kelantan, PAS Kuala Selangor dan PAS Parit Buntar di Perak. Pihak Umno pula mengambil kesempatan menuduh PAS bekerjasama dengan DAP melalui S46 semasa Pilihan Raya Kecil DUN Pantai Merdeka pada 24 Mac 1990. Bendahari PAS Pusat, Cikgu Mustafa Ali sebaliknya menyatakan bahawa PAS akan membuat kajian hukum dan implikasi politik berkait kerjasama PAS-DAP ini, kerana PAS tidak mahu dikaitkan dengan DAP.

Menyedari konflik yang timbul inilah, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 10 Januari 1990 memutuskan untuk tidak mengkaji semula hubungan dengan S46 atas alasan parti itu berhak berkawan dengan sesiapa sahaja, tetapi PAS menasihati S46 supaya tidak terlalu terbuka dalam hubungan dengan DAP demi menjaga sensitiviti orang Melayu.

Ustaz Fadzil Mohd Noor pada 4 Februari 1990 telah mempertegaskan pendirian PAS ini kepada umum bahawa PAS tiada hubungan dengan DAP, sebaliknya S46 berhak terhadap dalam hubungan tersebut. Berlanjutan daripada itu, pada 12 Mei 1990, sebuah jawatankuasa yang dibentuk oleh PAS untuk mengkaji tahaluf siasi telah merumuskan keharusan hukum untuk PAS bertahaluf dengan DAP dalam isu kemanusiaan dan memberikan fokus kepada musuh yang sama.

03 Februari 2016

03 Februari 1982 : PAS Gubal Peraturan Pemilihan Calon PAS 1982

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menggubal dan meluluskan sebuah undang-undang kecil di bawah Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 yang dikenali sebagai Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS 1982 yang bertujuan untuk mengawal pemilihan calon-calon PAS dalam pilihan raya, khususnya Pilihan Raya Umum Keenam yang dijangka berlangsung pada Mac atau April 1982. Aturan dan peraturan ini pada asalnya dikemukakan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat ekoran daripada masalah disiplin calon-calon dan wakil rakyat PAS yang berbangkit semenjak 1969.

Isu disiplin wakil rakyat yang tidak menghormati tatatertib parti ini berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1969 di mana ada wakil rakyat PAS yang melompat parti dengan menyertai parti lain selepas memenangi pilihan raya. Dalam Pilihan Raya Umum 1974, terdapat pimpinan PAS yang bertanding sebagai calon Bebas. Selepas 1974 pula, terdapat wakil rakyat PAS yang memberi walak kepada rakan pakatan PAS dalam BN. Tidak kurang juga terdapat wakil rakyat yang mengkritik parti sendiri dalam krisis politiknya Kelantan pada 1977.

Sedangkan, dalam pilihan raya 1978, terdapat pemimpin PAS yang telah digugurkan sebagai calon telah bertindak menggunakan kedudukan dalam parti dan hubungan peribadi dengan pemimpin tertentu untuk terus menjadi calon walaupun ditolak oleh parti dan juga rakyat. Di Kelantan, faktor ini dikatakan menjadi sebab utama kekalahan PAS pada 1978 sehingga kehilangan kerajaan, selain kerana perpecahan dengan Berjasa.

Bertolak daripada masalah ini, Dewan Ulamak PAS Kelantan telah membuat satu memorandum berkait masalah calon, manakala Dewan Ulamak PAS Kedah pula menyediakan satu kertas kerja berkait isu yang sama pada 1981. Kedua-dua dokumen ini menjadi asas kepada Dewan Ulamak PAS Pusat yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengangkat memorandum kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS dengan sokongan Dewan Pemuda PAS Pusat. Sesetengah pemerhati politik berpendapat bahawa isu pemilihan calon ini timbul kerana adanya usaha untuk menyekat pengaruh Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda setelah beliau membuat lantikan parti untuk sesi 1981-1983 tanpa disyurakan dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Ekoran daripada memorandum Dewan Ulamak PAS Pusat ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 November 1981 telah bergeser kerana Dato' Mohd Asri tidak bersetuju dan mahu menyerahkan urusan calon kepada Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pilihan Raya PAS Pusat. Namun begitu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membuat keputusan untuk membentuk Jawatankuasa Kecil bagi mengkaji memorandum Dewan Ulamak PAS Pusat supaya ia dijadikan Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS.

Jawatankuasa Kecil ini dianggotai oleh Pak Yusof Rawa (Pengerusi), Ustaz Fadzil Mohd Noor (Timbalan Pengerusi), Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Syed Ibrahim Abdul Rahman, Wan Ismail Ibrahim dan Dato' Abu Bakar Umar sebagai ahli-ahli. Setelah memorandum ini disusun semula dan digubal sebagai Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS 1982, ia telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS Pusat pada 3 Februari 1982 dan menjadi panduan pemilihan calon-calon PAS dalam Pilihan Raya Umum pada 22 April 1982. PAS meletakkan 82 calon daripada 114 kerusi Parlimen dan 223 calon daripada 278 kerusi DUN di Semenanjung.

02 Februari 2016

02 Februari 1991 : PAS Tegaskan Hudud Di Kelantan Dilaksana Secara Berperingkat

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1991, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempertegaskan bahawa Kelantan tidak akan melaksanakan hukum hudud secara serta-merta, sebaliknya undang-undang syariat itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan hal demikian ekoran kritikan daripada pemimpin Umno dan juga oleh sesetengah pemimpin PAS yang mengatakan bahawa Kerajaan PAS Kelantan lebih mengutamakan perkara-perkara remeh dan PAS tidak mampu mentadbir.

Beberapa pemimpin PAS seperti Cikgu Musa Saleh, Yang Dipertua PAS Pasir Puteh dan Ustaz Omar Khalid, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Besut telah mengkritik Kerajaan PAS Kelantan yang didakwa mereka sebagai gagal melaksanakan syariat Islam dalam pentadbiran, mengutamakan hal-hal yang kecil dan tidak mampu mentadbir kerajaan. Bagi mereka perlaksanaan Undang-undang jenayah syariah mesti diberikan keutamaan berbanding perkara lain yang mereka anggap remeh.

Bertolak dari kritikan-kritikan ini, kedua-dua pemimpin PAS ini telah keluar parti di mana Ustaz Omar Khalid telah menyertai Umno, manakala Cikgu Musa Saleh pula menubuhkan parti serpihan PAS, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) pada 1994.

Di sebalik kritikan-kritikan ini, Kerajaan PAS Kelantan telah bertindak sebagai mana yang diputuskan oleh Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat Kelantan pada 6 April 1991, supaya syariat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dengan undang-undang keluarga, diikuti oleh undang-undang pusaka, kontak dan tanah sehinggalah undang-undang jenayah. Untuk maksud inilah, Kerajaan PAS Kelantan telah bertindak melarang wanita bekerja malam dan menyertai musabaqah al-Quran, mengharamkan premis judi, memanjangkan tempoh cuti bersalin untuk wanita, arahan menutup aurat, memperkenalkan pinjaman tanpa faedah untuk kakitangan kerajaan, mengharamkan makyong, menora dan wayang kulit, memindahkan wang kerajaan ke Bank Islam dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, PAS menerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyediakan draf pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan pada 17 Mac 1991 sebagai persiapan melaksanakan undang-undang jenayah syariah. Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam Ucapan Dasarnya pada 31 Mei 1991 sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-37 telah mempertegaskan bahawa perlaksanaan syariat di Kelantan akan dibuat secara tersusun dan berperingkat-peringkat mengikut perancangan dengan tidak mengenepikan aspek pembangunan, prinsip keadilan dan program-program yang dijanjikan dalam manifesto PAS.

Untuk maksud tersebut juga, draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 7 November 1992, sebelum ia diseminarkan dalam satu seminar anjuran Semangat 46 di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada 17 Oktober 1993. Pada 24 November 1993 ia dibentangkan di DUN Kelantan dan diluluskan sebagai undang-undang pada 25 November 1993. Pendekatan pentadbiran dan Perlaksanaan Islam yang diamalkan di Kelantan inilah yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 2 Februari 1991 sebagai melaksanakan syariat secara berperingkat-peringkat.

01 Februari 2016

01 Februari 1995 : PAS Serah Kepada Mahkamah Tentang Kes Khalwat Mohamad Sabu

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1995, PAS telah menegaskan bahawa mereka tidak akan campur tangan, bahkan akan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan kedudukan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Nilam Puri, Mohamad Sabu. Mohamad Sabu yang terkenal sebagai Mat Sabu yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah ditangkap khalwat dengan isteri pemandunya, Norma Abdul Halim di bilik 121, Hotel Perdana, Kota Bharu, pada pagi 31 Januari 1995.

Di sebalik serangan bertubi-tubi media massa dan pemimpin BN dalam isu khalwat ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyifatkan isu ini sebagai satu konspirasi politik, sedangkan Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor mempertegaskan bahawa tindakan disiplin akan diambil ke atas Mat Sabu.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) bagaimanapun telah menafikan wujudnya konspirasi dalam isu ini, sedangkan para pemimpin Umno mempersoalkan tindakan PAS mempertahankan pemimpin mereka yang terlibat dal isu moral seperti ini.

Di pihak PAS, walaupun telah menyerahkan kes ini kepada mahkamah, tetapi pada 21 Februari 1995, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil tindakan politik dengan menerima perletakan semua jawatan parti oleh Mat Sabu sebagai mengambil tanggungjawab dalam isu ini. Bahkan, PAS Pusat telah memutuskan untuk mengambil tindakan lanjut ke atas Mat Sabu setelah mahkamah membuat keputusan.

Kes ini kemudiannya disebut dalam Mahkamah Syariah Kota Bharu pada 21 Februari 1995, sebelum didengar oleh Kadi Besar Kelantan, Dato' Daud Mohamad pada 25-28 Mac 1995. Dalam penghakimannya pada 4-6 April 1995, Kadi Besar Kelantan itu telah membebaskan Mat Sabu tanpa dipanggil membela diri setelah pihak pendakwa gagal mengemukakan prima facie ekoran percanggahan ketegangan saksi.

Selain tindakan disiplin yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat terhadap Mat Sabu, keputusan PAS pada 1 Februari 1995 yang menyerahkan kes ini ke mahkamah telah berjaya menyelamatkan imej PAS yang cuba dicalarkan oleh musuh-musuh politiknya menjelang Pilihan Raya Umum 1995 di mana parlimen telah dibubarkan pada 5 April 1995.