05 Mei 2016

05 Mei 1957 : Cadangan PAS Mengenai Islam Dalam Perlembagaan Diluluskan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1957, Kongres Kebangsaan Melayu Kedua telah meluluskan cadangan PAS berkaitan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang akan dikemukakan kepada British. Sebelum itu, pada 4 Mei 1957, Kongres Kebangsaan Melayu Kedua ini telah memutuskan lima dasar Perlembagaan Malaya merdeka yang dikemukakan oleh PAS dan Parti Negara (PN).

Lima dasar tersebut ialah:

i. Negara Melayu merdeka dikenali sebagai Persekutuan Negeri-negeri Melayu (cadangan PAS);
ii. Melayu adalah kebangsaan tunggal negara ini (PN);
iii. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tunggal (tidak dinyatakan empunya cadangan);
iv. Islam menjadi agama rasmi (PN); dan
v. Hendaklah memelihara wujudnya keistimewaan baka Melayu sebagai tuan punya negeri ini (PAS).

Kongres Kebangsaan Melayu Kedua adalah kongres anjuran ahli-ahli Umno yang diketuai Yahya Sheikh Ahmad yang kecewa dengan sikap Umno dalam menerima Penyata Reid. Ia diadakan pada 4-7 Mei 1957 dengan menghimpunkan parti politik dan pertubuhan Melayu untuk mengkaji Penyata Reid. Antara pertubuhan yang terlibat ialah PAS, PN, PRM, KRMK, LAIN, KMSB, PEMAS dan 17 lagi pertubuhan Melayu, dengan PRM menarik diri pada hari kedua. Wakil rasmi PAS ialah Dr Burhanuddin al-Helmy, Ustaz Othman Abdullah dan Mohd Asri Haji Muda. Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Kongres.

Dalam sidang pada hari pertama, setelah beberapa pemimpin utama menyampaikan ucapan, Kongres telah meluluskan lima dasar Perlembagaan Malaya, dan memutuskan supaya PAS menyediakan cadangan tentang kedudukan Islam dalam Perlembagaan setelah usul PN diterima. PAS kemudiannya mengemukakan satu kertas pada hari kedua, 5 Mei 1957, berkaitan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan Warta Negara pada 6 Mei 1957 menyiarkan bahawa semua cadangan PAS ini diluluskan oleh Kongres.

Antara cadangan PAS tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi ialah:

I. Bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan Negeri-negeri Melayu;

II. Berdasarkan kedudukan rasmi ini, maka 
a. al-Quran dan Sunnah menjadi pegangan dan pedoman hidup negeri dan pemerintahan
b. Sebuah Majlis Islam Pusat ditubuhkan untuk menyatukan dan menyelaras pentadbiran agama
c. Diwujudkan Mahkamah Syariah di semua negeri dan Mahkamah Tertinggi Syariah di Pusat
d. Membentuk Majlis Fatwa yang dianggotai mufti-mufti negeri dan diketuai oleh Mufti Besar
e. Mewujudkan Sekolah Tinggi (Universiti) Islam dan mewujudkan sistem pendidikan Islam di semua peringkat
f. Perbelanjaan pendidikan Islam dan Mahkamah Syariah dibiayai kerajaan negeri, manakala perbelanjaan Mufti Besar, Majlis Islam Pusat dan Mahkamah Syariah Tertinggi ditanggung oleh Pusat.

III. Kebebasan beragama adalah dijamin kepada penganut bukan Islam.

Kongres Kebangsaan Melayu Kedua ini telah melantik Jawatankuasa Kerja Kongres iaitu Dr Burhanuddin al-Helmy, Ustaz Othman Abdullah, Dato' Onn Jaafar, Ahmad Abdul Rahim, Mohd Yunus Hamidi Yahya Sheikh Ahmad, Hassan Nor, Mohd Dahlan Masod dan Hashim Mahmud. Kongres ini juga bersetuju dengan cadangan PAS supaya dasar Perlembagaan ini akan diperjuangkan terus menerus sehingga ia berhasil secara halal dan damai; supaya Dr Burhanuddin al-Helmy dan Dato' Onn Jaafar mewakili Kongres menemui Tunku Abdul Rahman yang bertolak ke London; dan bersetuju supaya wakil Kongres juga menyertai Rombongan ke London.

04 Mei 2016

04 Mei 1964 : Amanat Terakhir Prof. Zulkifli Mohamad Kepada Wakil Rakyat PAS Di Kota Bharu

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohamad telah menyampaikan amanat terakhir beliau kepada wakil-wakil rakyat PAS di Kota Bharu sebelum dijemput mengadap Ilahi pada Subuh 6 Mei 1964. Beliau berucap di hadapan wakil-wakil rakyat di Dewan Bangunan PAS Kelantan (sekarang Dewan Zulkifli Mohamad), Jalan Dato' Pati, Kota Bharu setelah selesai Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964. Prof Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Bachok mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil rakyat dalam rancangan menyusun semula Kerajaan PAS Kelantan selepas lima tahun memerintah.

Dalam Pilihan Raya Umum 1964 ini, PAS telah berjaya mempertahankan Kerajaan Kelantan dengan memenangi 21 daripada 30 kerusi DUN. PAS telah menamakan bekas Speaker DUN dan bekas ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Asri Haji Muda sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru menggantikan Dato' Ishak Lotfi Omar yang tidak dilantik semula. Isu peralihan kepemimpinan ini telah timbul semenjak 1961 dan PAS Kelantan mengambil kesempatan pilihan raya ini untuk menyusun semula kerajaan.

Bagi menjelaskan isu perubahan kepemimpinan yang akan dibuat ini, satu pertemuan dengan wakil-wakil rakyat telah dibuat pada 4 Mei 1964, di mana Prof Zulkifli telah menyampaikan ucapan yang kemudiannya dikenali sebagai 'Amanat Terakhir Prof Zulkifli Mohamad.' Antara kandungan amanat beliau ialah:

I. Jawatan adalah amanah dan bukan bermakna yang menjadi wakil rakyat adalah orang terbaik;
II. Jangan ada pemimpin PAS menjadi sombong kerana merasa dirinya sudah pandai, lalu menjauhi al-Quran dan Sunnah;
III. Perjuangan Islam dibina atas kesungguhan dan keikhlasan. Orang bodoh yang ikhlas lebih baik daripada orang cerdik yang sombong;
IV. Perjuangan memerlukan pengorbanan. Jika wakil rakyat PAS tidak mahu menegakkan hukum Allah, ia akan digantikan oleh Allah dengan orang lain;
V. Kemenangan dalam pilihan raya bukan atas nama peribadi tetapi kerana dicalonkan oleh parti. Kita tidak menang dengan kekuatan peribadi, tetapi kerana mewakili Islam;
VI. Tujuan sesebuah kerajaan apabila diteguhkan kedudukannya oleh Allah atas muka bumi ialah untuk mendirikan solat (menjaga kedaulatan agama), menunaikan zakat (menjaga perkhidmatan kepada masyarakat) serta menyuruh yang baik dan mencegah mungkar (melaksanakan hukum-hukum syariat); dan
VII. Lima tahun akan datang tidak sama dengan lima tahun dahulu, ujian perjuangan akan bertambah besar dan Kerajaan PAS mesti mencapai sasaran yang lebih besar.

Selepas menyampaikan ucapan ini, Prof Zulkifli telah bertolak ke kampung halamannya di Kuala Kangsar bersama isteri dan anak-anaknya. Ketika berada di Gambang, Kuantan pada malam 5 Mei 1964, telah berlaku kemalangan yang menyebabkan isterinya, Ustazah Asiah Kamaruddin, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat mati di tempat kejadian. Prof Zulkifli pula menghembus nafas terakhirnya pada pagi 6 Mei 1964. Mereka berdua disemadikan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak.

03 Mei 2016

03 Mei 1953 : PAS Tidak Hadiri Muzakarah Ulamak Anjuran Kaum Muda Kerana Gagal Penuhi Syarat

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, Muzakarah Ulamak anjuran kelompok Kaum Muda di Chung Long School, Pulau Pinang berakhir tanpa penyertaan PAS. Muzakarah yang dianjurkan oleh Ketua PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang, Haji Ibrahim Aqibi ini telah bermula 2 Mei 1953 selama dua hari dan turut disertai oleh Ulamak Kaum Muda terkenal, Haji A Hassan Bandung dari Indonesia. Ia telah diadakan sebagai lanjutan daripada Muzakarah Ulamak Se-Malaya anjuran PAS di Kepala Batas pada 4 Januari 1953 yang dikuasai oleh ulamak Kaum Tua.

Isu muzakarah ini timbul apabila beberapa perkara khilafiyah telah dipolemikkan di media massa sepanjang tahun 1952, iaitu sebalik sahaja PAS ditubuhkan yang menyebabkan dua aliran ulamak dalam PAS bergeser. Ulamak Kaum Muda yang dipimpin oleh Haji Ibrahim Aqibi berpolemik dengan ulamak Kaum Tua yang dipimpin oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Sheikh Abdullah Fahim yang juga Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai. Untuk meredakan polemik ini, PAS mengadakan muzakarah pada 4 Januari 1953 tetapi tidak dihadiri oleh ulamak Kaum Muda. Sebaliknya, Sheikh Tahir Jalaluddin menerbitkan satu buku, 'Risalah-risalah Penebas Bid'ah di Kepala Batas,' sebaliknya Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan menerbitkan pula 'Risalah Ketetapan Majlis Muzakarah Se-Malaya.' Selanjutnya, Sheikh Tahir Jalaluddin mengeluarkan buku berikutnya, 'Tazkirat Mattabi'i as-Sunnah fi Radd ala Qa'ili bi Sunnati Raka'atain Qabla al-Jumaat.'

Oleh kerana isu ini berpanjangan, Ketua PAS Bandar Pulau Pinang itu telah menganjurkan muzakarah Kedua di Pulau Pinang. Pemimpin muda PAS dari Hilir Perak, Ustaz Othman Abdullah meminta PAS supaya jangan melayan muzakarah tersebut kerana ia tidak memberi manfaat. Jawatankuasa Kerja Agung PAS walau bagaimanapun pada 6 April 1953 telah bersetuju untuk hadir dengan beberapa syarat yang dikatakan oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol untuk mengelakkan pecah-belah dalam masyarakat. Antara syarat yang ditetapkan oleh PAS ialah:

I. Muzakarah mesti melibatkan semua Mufti, Pengerusi Majmak Sheikhul Islam Kedah, Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Perlis dan Qadhi Besar Singapura;
II. Muzakarah hendaklah diadakan di tempat yang dipersetujui bersama; dan
III. Muzakarah ini hanya melibatkan alim ulamak sahaja.

PAS yang bersetuju menghantar Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Tuan Guru Haji Zabidi Aman sebagai wakil ke muzakarah ini, kemudiannya tidak menghadiri sehingga muzakarah ini berakhir pada 3 Mei 1953 kerana kegagalan pihak penganjur memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Namun, pengasas PAS, Sheikh Fadhlullah Suhaimi dari Singapura hadir mewakili ulamak Kaum Tua.

02 Mei 2016

Teknik Asas Dalam Memanah

Artikel asal oleh : Zairol Daud (Pengasas Ar-Rouha Archery)

Memanah adalah salah satu dari tiga jenis sukan yang digalakkan oleh Nabi SAW (selain daripada aktiviti berkuda dan aktiviti berenang). Memanah juga merupakan sukan yang terkenal di kalangan agamawan dan para ulamak. Terdapat banyak kelab memanah yang telah ditubuhkan oleh para asatizah di Malaysia. Aktiviti memanah juga bukanlah suatu yang mudah dipelajari dalam waktu yang singkat, ia memerlukan satu waktu khusus untuk kita mendalaminya agar benar-benar menjadi seorang pemanah Islam yang berbakat.

Berdasarkan buku karangan Mc Kinney (1917), terdapat berberapa prinsip mekanikal yang harus diketahui oleh para pemanah. Ini adalah bertujuan untuk memastikan kaedah memanah dapat dipraktikkan secara konsisten. Secara ringkasnya, terdapat sembilan (9) teknik yang perlu dipraktikkan oleh pemanah menurut penulis, iaitu sebagaimana berikut:

1. Stance (sikap atau cara berdiri);
2. Nocking (memasang ekor panah);
3. Extend (mengangkat lengan);
4. Drawing (menarik tali busur);
5. Anchoring (menegangkan tali penarik);
6. Tighten/Hold (menahan tali penarik);
7. Aiming (membidik dengan fokus);
8. Release (melepaskan anak panah); dan
9. After hold (menahan sikap memanah).

Manakala di dalam buku karangan Kesik Lee (2007) pula, terdapat dua belas (12) teknik yang perlu dipraktikkan di dalam aktiviti memanah. Langkah-langkah memanah ini akan saya perincikan sebagaimana berikut:

Langkah #1:
Stance (Sikap atau Cara Berdiri)

Stance adalah sikap atau posisi kaki di saat berdiri di atas lantai atau tanah sewaktu memanah. Posisi kaki yang baik pada saat berdiri memiliki dua (2) syarat, sebagaimana berikut:

1. Titik berat badan ketika berdiri hendaklah ditampung oleh kedua-dua kaki secara seimbang, dengan peratusan 60% hingga 70% daripada berat badan tertumpu kepada hujung kaki, manakala selebihnya tertumpu kepada tumit; dan

2. Posisi tubuh harus seimbang dan berdiri tegak. Pemanah tidak boleh membongkok ke hadapan, atau mendada ke belakang atau berada di posisi menyenget di sebelah kiri atau kanan.
Dalam usaha untuk memastikan tubuh kita mencapai kedudukan yang seimbang dan berada di dalam posisi berdiri yang betul, terdapat tiga (3) perkara yang harus diperhatikan oleh pemanah, sebagaimana berikut:

1. Jarak antara kedua-dua belah kaki haruslah selebar bahu pemanah;

2. Hujung kaki haruslah seolah-olah menghadap garis khayalan di bahagian tengah sasaran panah; dan

3. Kedua-dua lutut berada di dalam keadaan yang tidak tegang.

Terdapat empat (4) cara kedudukan kaki seorang pemanah, sebagaimana berikut:

Square/Parallel stance: Kedudukan kaki sejajar dengan lantai. Kedudukan dada ke sasaran haruslah membentuk sudut 90°.

Open stance: Kedudukan kaki ke atas lantai sedikit terbuka lebar. Dalam erti kata yang lain, posisi kaki kanan dihadapankan dari kedudukan kaki kiri selari dengan sasaran, tetapi sedikit serong ke arah kiri. Posisi badan pula membentuk sudut 60°.

Close stance: Kedudukan kaki ke atas lantai sedikit tertutup. Dalam erti kata yang lain, bahagian hujung kaki kanan menyentuh garis khayalan dan bahagian tumit kaki kiri bersentuhan juga dengan garis khayalan atau selari dengan kaki kanan. Kedudukan dada pula membentuk sudut 120°.

Oblique stance: Sebagaimana kaedah Close Stance, tetapi bahagian hujung kaki kanan sejajar dengan bahagian hujung kaki kiri dengan arah menyerong menuju ke arah sasaran. Kedudukan dada membentuk sudut 45°.

Langkah #2:
Nocking (Memasang Ekor Panah)

Nocking adalah gerakan memanah dengan menempatkan atau memasukkan ekor atau hujung panah ke tempat anak panah (nocking point) pada tali busur serta meletakkan gandar (shaft) pada sandaran yang telah disediakan.

Dalam usaha untuk memastikan langkah ini dibuat secara baik, ada tiga (3) perkara yang perlu diberi perhatian:

1. Bulu indeks pada bahagian ekor panah haruslah menjauhi sisi jendela busur;
2. Ekor panah haruslah tepat masuk ke tali panah; dan
3. Anak panah haruslah bertepatan untuk dimasukkan ke nock.

Apabila anak panah terlalu besar dan longgar, ia akan menganggu pergerakan anak panah menuju ke sasaran.

Langkah #3:
Hooking & Gripping The Bow (Memposisikan Jari Pada Busur)

Hooking and Gripping the Bow ialah gerakan memanah dengan menempatkan atau mengaitkan jari di tali setelah anak panah atau nocking point terpasang dengan tepat. Posisi jari harus ditempatkan pada tali dan tali harus diposisikan di sendi pertama, atau lebih tepatnya adalah pada bahagian sendi atas jari telunjuk, di bawah jari tengah dan di belakang sendiri jari manis. Perlu diingatkan agar tidak cuba meletakkan tali pada sendi pertama di bagian jari atas dan bawah. Hal ini boleh membahayakan perkembangan sendi.

Sebelum membidik anak panah, seorang pemanah harus mengecek terlebih dahulu tab tali antara nocking point dengan posisi jari di tab. Dalam memastikan proses bidikan anak panah bergerak dengan lancar, maka adalah lebih baik para pemanah menggunakan pembatas jari sehingga jari akan berada pada posisinya dengan betul dan lebih merehatkan. Sekiranya tidak menggunakan pembatas jari, maka jari akan terasa cenderung melebar sehingga boleh menggangu proses bidikan.

Langkah #4:
Mindset (Ketetapan Hati)

Mindset adalah aspek yang harus dipenuhi oleh seorang pemanah yang hebat, baik dalam keadaan fizikal mahupun taktikal. Ia adalah langkah yang paling penting berbanding langkah-langkah memanah yang lain. Ini adalah kerana seorang pemanah harus bersifat tenang dan tidak tergopoh-gapah ketika membidik panahannya ke sasaran.

Seorang pemanah juga harus melatih dirinya untuk fokus terhadap sebarang aktiviti memanah yang dilaksanakan kerana ini akan menjadikan dirinya seorang pemanah yang lebih baik dan mampu menepati sasaran yang dikehendaki.

Langkah #5:
Set Up (Persediaan Tetapan Tarikan Tali Busur)

Set-up adalah istilah yang hampir sama dengan pre-draw, iaitu gerakan tarikan awal. Ia merujuk kepada kekuatan tekanan jari tangan pada tali sewaktu tarikan penuh (full-draw) dibuat, kira-kira 30% tekanan jari, manakala pada jari tengah pula adalah sekitar 50% hingga 60%, dan jari manis pula adalah sekitar 20%.

Posisi yang tepat bagi langkah set up ini adalah posisi yang tungkai lurus, tidak memaksa, dan berat badan pula ditumpu dengan kedua-dua belah kaki, di mana permukaan kaki dan tumit masing-masing adalah di antara 60% hingga 70% atau 30% hingga 40%.

Postur tubuh pada bahagian atas badan (upper body) harus dimulai dari pinggul, kemudian bahu hendaklah diluruskan dengan tepat mengenai sasaran. Pinggul pula sedikit dipusingkan agar selari dengan sasaran panah di hadapannya.

Jika pemanah mengggunakan kaedah open stance, pinggul dengan sendirinya akan terbuka ke arah sasaran. Dalam masa yang sama, para pemanah harus menghindari dari menyelarikan pinggul sebaris dengan bahu kerana ia akan menyebabkan ketegangan otot.

Untuk menghasilkan kestabilan yang baik, tulang dada (stenum) hendaklah ditekan manakala otot pula perlulah ditahan. Beberapa kesalahan yang sering terjadi oleh pemanah adalah: badan terlalu condong ke arah sasaran yang mengakibatkan bahagian leher bahu menjadi terlalu tegang. Apabila ini dilakukan terus menerus, maka ia akan mengakibatkan kepala selalu menengadah ke belakang.

Langkah #6:
Drawing (Menarik Tali Busur)

Drawing adalah teknik memanah dengan melakukan gerakan menarik tali busur sehingga menyentuh bahagian dagu, bibir dan hidung serta dilanjutkan dengan menjangkarkan tangan penarik tali ke dagu. Ada sembilan (9) perkara yang perlu diambil perhatian apabila menggunakan teknik drawing, sebagaimana berikut:

1. Menarik nafas ketika melakukan drawing. Ketika busur diangkat, tarik nafas dengan teknik diafragma.

2. Menarik dengan lurus bersesuaian dengan lintasan tali, hingga menyentuh dagu sebagaimana teknik set-up sekitar 2 hingga 3 inci di bawah anchor point. Pastikan kekal tenang sehingga anak panah dilepaskan ke sasaran.

3. Untuk mendapatkan perasaan tenang, tarik nafas secara perlahan-lahan ketika menarik tali busur.

4. Sudut tangan kanan di bahagian belakang haruslah berada di dalam keadaan stabil. Pemanah diingatkan supaya tidak memusingkan tangan sewaktu melakukan bidikan kerana ia boleh membuatkan torque tali menjadi lebar.

5. Dua perkara perlu diperhatikan, iaitu lengan penarik dan jari penarik. Dua perkara ini harus dilakukan secara optimum sewaktu menarik tali busur. Jika tidak, ia akan menyebabkan ketidakselesaan kepada pemanah.

6. Sewaktu melakukan bidikan, pandangan sasaran harus dilihat tepat di atas garisan lurus. Ini bertujuan untuk menaikkan lengan panahan busur sebagai tanda bidikan.

7. Sewaktu menarik busur, bahu tetap berada pada posisinya, tidak terlalu rendah dan menonjol.

8. Sewaktu lengan panahan busur diluruskan, hujung bahu berada di dalam keadaan membentuk huruf 'V'. Hal ini dapat dibentuk sekiranya otot trisep pada lengan panahan busur dikeraskan agar membantu bahu busur tidak terlalu menonjol.

9. Gunakan otot bahu sewaktu menarik busur, iaitu otot deltoideus posterior, tere major, rhomboideus dan travezius.

Langkah #7:
Achoring (Menegangkan Tarikan Tali Busur)

Anchoring adalah gerakan teknik memanah dengan menjangkarkan tangan penarik pada bahagian dagu atau rahang.

Langkah #8:
Loading / Transfer to holding (Menahan Tarikan Tali Busur)

Langkah #9:
Aiming and Expansion (Membidik Dengan Fokus)

Aiming and Expension adalah suatu gerakan teknik memanah untuk meletakkan pandangan sasaran secara tepat berada pada titik sasaran. Ada tiga (3) perkara yang perlu diperhatikan sewaktu membidik, iaitu: teknik memanah yang konsisten, string alignment yang konsisten dan tidak membidik sasaran terlalu lama.

Aiming baru boleh dibuat semula sekiranya fasa Transfer to holding berjaya dicapai. Tempoh idealnya adalah antara 1 hingga 3 saat bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Langkah #10:
Release (Melepaskan Tarikan Busur)

Release adalah gerakan memanah untuk melepaskan jari-jari daripada penarik tali agar anak panah dapat diterbangkan dengan jitu. Teknik ini juga memainkan peranan yang penting bagi memastikan anak panah tepat mengenai sasaran di hadapan.

Ada dua (2) model teknik release yang dapat digunakan dalam teknik memanah, di antaranya:

1. Dead release: Suatu teknik memanah di saat tali lepas meninggalkan anchoring. Akan tetapi, tangan penarik tetap menempel pada dagu sebagaimana sebelum tali busur dilepaskan.

2. Action/active release: Suatu teknik memanah di mana ketika busur dilepaskan, posisi tangan melewati atau menelusuri dagu dan leher pemanah.

Dari dua model teknik release di atas, kebanyakan para pemanah akan menggunakan teknik active release kerana mudah dan iramanya dapat diterapkan dengan baik.

Langkah #11:
Follow-through (Mengawal Sikap Panahan)

Follow through adalah sebahagian daripada teknik release kerana ia boleh digunakan secara semula jadi dan tidak berlebihan. Follow through yang berlebihan akan menyebabkan gangguan kepada bidikan. Seorang pemanah harus mengawal panahan dan fokusnya sewaktu bidikan dibuat.

Langkah #12:
Feedback (Menganalisis Panahan)

Feedback adalah suatu teknik di mana pemanah tidak bersikap emosi dalam menganalisis suatu masalah yang datang dari aktiviti memanah yang dilaksanakan. Pemanah juga dilatih untuk bertanggungjawab terhadap hasil panahannya dan memastikan panduan serta teknik-teknik yang dipelajari telah dititikberatkan semasa aktiviti memanah dilakukan.

KESIMPULAN

Seorang pemanah harus mempunyai disiplin yang tinggi dalam mengaplikasi teknik-teknik tersebut sewaktu aktiviti memanah dilaksanakan. Maka, tidak hairanlah apabila Nabi SAW sangat menggalakkan umatnya melibatkan diri dalam aktiviti ini; kerana aktiviti ini mengajar umat Islam menjadi seorang yang sangat berdisiplin!

02 Mei 1957 : Mesyuarat Agung Khas PAS Bincang Mengenai Penyata Reid

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1957, PAS telah mengadakan satu Mesyuarat Agung Khas untuk membincangkan Penyata Reid sebelum Ketua Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman Putra ke London pada 9 Mei 1957 untuk mengadakan rundingan terakhir dengan Kerajaan British. Mesyuarat Agung Khas ini telah membahas dan memutuskan pendirian PAS berkait dengan Penyata Reid setelah PAS sendiri mengemukakan Memorandum Maklumat Jus Soli pada 22 April 1956 dan Memorandum PAS Kepada Suruhanjaya Reid pada 14 Julai 1956 terhadap perkara berkait masalah kerakyatan, ketuanan bangsa Melayu dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan.

Suruhanjaya Reid yang telah membuat kajian antara Januari hingga Oktober 1956, telah mendedahkan penyatanya kepada awam mulai Februari 1957 di mana 80 peratus daripada kandungannya adalah Hasil cadangan Perikatan, termasuk menerima kerakyatan jus soli, memberikan hak istimewa kepada orang Melayu menggantikan hak ketuanan dan meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, bukannya agama rasmi Persekutuan. Penyata awal ini yang didedahkan oleh media pada awal Februari 1957 ini telah mendapat tentangan hebat dari ahli-ahli Umno di seluruh negara, selain parti-parti pembangkang termasuk PAS. Desakan ahli-ahli Umno telah merebak hingga Mesyuarat Agung Umno pada 28 Mac 1957 telah mengambil keputusan untuk tidak menerima bulat-bulat Penyata Reid.

Di pihak PAS di pelbagai peringkat telah bersepakat mengambil pendirian untuk menolak Penyata Reid sehingga akhirnya Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 18 April 1957 telah membuat pendirian rasmi untuk menolak Penyata Reid. Mereka memutuskan untuk menghantar bantahan kepada Raja-raja Melayu dan Ketua Menteri berkait ketuanan Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan kebangsaan tunggal. PAS juga akan mengadakan Mesyuarat Agung Khas pada 2 Mei 1958, diikuti oleh Kongres Kebangsaan Melayu Kedua pada 4-7 Mei 1957 dan pada 8 Mei 1957, PAS akan menemui Ketua Menteri untuk memaklumkan pendirian dan tuntutan PAS, sebelum Tunku Abdul Rahman Putra bertolak ke London pads 9 Mei 1957.

Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 2 Mei 1957, iaitu Hari Raya Aidil Fitri Kedua, ia berlangsung dalam keadaan kehadiran yang gagal memenuhi korum kerana bertembung dengan Hari Raya, tetapi terpaksa diteruskan juga. Setelah mendengar Ucapan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy, satu kertas kerja bertajuk 'Ulasan Terhadap Penyata Perlembagaan Reid.' Yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Othman Abdullah. Sebanyak 10 perkara berkait penyata ini telah dipersoalkan oleh PAS yang menganggap ia adalah "berlawanan dengan tertib politik negara ini" dan mahu "meruntuhkan terwujudnya sebuah negara yang merdeka," kerana suruhanjaya ini "masih berbau penjajah, (yang) bekerja untuk melanjutkan penjajahan di negara ini."

Mesyuarat Agung Khas PAS ini kemudiannya mengambil pendirian untuk bersetuju:

I. Menolak Penyata Reid;
II. Menerima Penyata Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang mengulas Penyata Reid;
III. Menghantar rombongan menemui Raja-raja Melayu dan Ketua Menteri sebelum beliau bertolak ke London; dan
IV. Menghantar memorandum PAS kepada Raja-raja Melayu, Pesuruhjaya Tinggi British dan Setiausaha Tanah Jajahan di London.

Setelah Mesyuarat Agung Khas ini, PAS membawa pendirian ini ke Kongres Kebangsaan Melayu Kedua dan akhirnya dibawa kepada Ketua Menteri pada 8 Mei 1957.

01 Mei 2016

01 Mei 1983 : Muktamar PAS Mengasaskan Era Kepimpinan Ulamak Melalui Majlis Syura Ulamak PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1983, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS yang bertujuan untuk menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai institusi tertinggi dalam PAS, sekali gus menandakan bermula era kepemimpinan ulamak dalam PAS. Muktamar yang berlangsung pada 30 April hingga 1 Mei 1983 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ini adalah yang pertama setelah perletakan jawatan oleh Dato' Mohd Asri Haji Muda sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982. Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982, satu resolusi supaya PAS mempelopori dan mengamalkan konsep kepemimpinan ulamak telah diluluskan, termasuk cadangan menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS.

Bertolak dari keputusan Muktamar Tahunan PAS 1982 ini, pada 4 November 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri untuk mengkaji Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977. Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh Ustaz Yahya Othman, Haji Wan Mutalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Haji Hassan Ishak. Mereka telah mengemukakan laporan hasil kajian ini kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 12 April 1983 yang secara umumnya telah diterima oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS itu, kecuali perkara berkait perubahan nama jawatan-jawatan parti.

Antara perubahan penting yang dicadangkan ialah perubahan fungsi Dewan Ulamak PAS dari menjadi penasihat hukum kepada penggerak tarbiyah, mengubah kuasa melantik Setiausaha, Bendahari dan Ahli Jawatankuasa Kerja Lantikan dari Yang Dipertua kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS di semua peringkat, dan yang terpenting adalah untuk mewujudkan Majlis Syura Ulamak PAS. Majlis yang dianggotai oleh 12 orang ulamak ini diketuai oleh Mursyidul Am PAS dan mempunyai peranan untuk mengawal dasar PAS, mentafsirkan Perlembagaan PAS dan mengawal tatatertib ahli PAS. Secara umum, Majlis Syura Ulamak PAS berfungsi sebagai badan penasihat yang bersifat judikatif, sedangkan kuasa eksekutif kekal dipegang oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Yang Dipertua Agung PAS dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS adalah tertakluk kepada dasar parti yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS.

Kejayaan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 meluluskan pindaan ke atas Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 pada 1 Mei 1983 ini adalah batu tanda bermulanya perlaksanaan konsep kepemimpinan ulamak dalam PAS, selaras dengan tajuk Ucapan Dasar PAS 1983, Ke Arah Pembebasan Ummah. Menurut Kertas Cadangan Pindaan Perlembagaan PAS yang diluluskan ini, "mereka (golongan ulamak akan) memainkan peranan memandu, memimpin dan membimbing ummah dan gerakan Islam di dalam melaksanakan kehendak-kehendak syariat kerana hanya mereka yang mengetahui kehendak syariat itu" dengan tidak meminggirkan golongan bukan ulamak sebagai "pimpinan di peringkat perlaksanaan" yang "berpandukan kepada huraian dan ketetapan Majlis Syura Ulamak PAS."

Pindaan Perlembagaan PAS ini secara umumnya turut memperjelaskan tujuan perjuangan PAS untuk mempertahankan kesucian Islam, memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat, sekali gus menjadi panduan dalam berpolitik dan bernegara. Pindaan ini walau bagaimanapun hanya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 15 Mac 1987, dan Majlis Syura Ulamak PAS telah bermesyuarat kali pertama pada 20 Oktober 1987 setelah ia ditubuhkan. Dalam mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 16 November 1987, Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa telah dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama.

Kepelbagaian Busur Tradisional

Sejak kebelakangan ini, saya telah 'jatuh cinta' dengan aktiviti memanah tradisional. Sebenarnya, saya memang menginginkan suatu hobi (atau aktiviti sukan) yang memerlukan kemahiran yang tinggi sejak dari kecil. Bermula dengan sukan badminton, bola sepak, bowling dan sukan-sukan lain, semuanya tidak 'menambat' hati saya dalam tempoh yang lama. Oleh kerana itu, saya telah memilih aktiviti memanah ini sebagai hobi saya, lantas saya telah mengambil peluang untuk membeli peralatan-peralatan yang berkaitan bagi memenuhi kehendak ini.

Aktiviti memanah tradisional dilihat memerlukan kemahiran yang tinggi dan tersendiri (perlu dituntut). Ia agak mencabar (kerana menguji fokus dan kekuatan), tetapi agak menarik (berdasarkan ciri-ciri yang diketahui). Saya mengambil peluang ini dengan membeli sebuah busur Turki sebagai permulaan.

Terdapat banyak reka bentuk busur tradisional yang diberi nama mengikut negara, bangsa dan puak tertentu; seperti Turki, Monggol, Han, Avar, Assyria, Parsi, Mesir, Tartar, Cina, Manchu, Rum, Hungary (Magyar), Skitia, India, Bashkir, Korea (Hwarang), Jepun (Yumi) dan sebagainya. Sukar untuk membuat penilaian ke atas busur-busur ini berdasarkan nama mereka sahaja melainkan dengan melihat kepada bahan-bahan dan kaedah pembuatan busur-busur itu sendiri.

Semua busur tradisional yang dihasilkan pada hari ini, adalah satu bentuk interpretasi oleh tukang-tukang busur terhadap bentuk-bentuk busur zaman lampau, melalui bahan-bahan bertulis dan arkib sejarah, untuk menghasilkan semula busur-busur rekabentuk tertentu dengan bahan dan kaedah baru, atau lama, atau gabungan kedua-duanya. Misalnya, busur Monggol buatan Toth Zoltan berbeza kaedah pembuatan, bahan-bahan, kemasan dan rupa luarannya berbanding yang dibuat oleh Grozer Csaba, apatah lagi kalau dibandingkan dengan buatan tukang di Mongolia.

Dengan pembahagian kepada kategori-kategori berikut, perbezaan dapat dilihat dengan lebih ketara, dan seterusnya dapat dibuat penilaian lanjut tentang pro dan kontra sesuatu busur itu, dari segi kualiti pembuatan (bahan-bahan, ketahanan, kemasan), kualiti panahan (rasa tarikan; di permulaan dan tarikan maksimum (stacking)), prestasi (kelajuan anak panah, panjang tarikan maksimum), berat dan saiz, rupa-bentuk dan keaslian sesuatu busur yang terhasil.

Busur Asas (Self Bow)

Binaannya hanya dari sekeping kayu atau buluh. Pembuatan melibatkan proses memotong, mengetam dan mengikis, di samping proses membentuk dan meluruskan secara rawatan haba/api. Biasanya bahan dipilih dari jenis kayu tumpat/teras (heartwood). Busur paling terkenal adalah busur Nabi Muhammad SAW yang tersimpan di Muzium Topkapi di Turki yang diperbuat dari buluh. Kerana memerlukan saiz yang panjang, maka ia tidak sesuai digunakan untuk memanah berkuda. Selain itu, ia juga adalah sejenis busur lurus, dan tidak termasuk ke dalam kategori busur refleks yang lebih canggih.

Busur PVC (PVC Bow)

Secara rekabentuk busur ini adalah busur tradisional instinktif, walaupun bahan asasnya adalah sejenis plastik. PVC adalah sejenis termo-plastik resin, yang lembut apabila dipanaskan. Cara pembuatan adalah dengan mengambil paip PVC yang boleh dibeli di kedai-kedai logam dan dipanaskan menggunakan pistol haba (heat gun), seterusnya dibentuk kepada bentuk yang diingini apabila bahan telah menjadi lembut. Busur ini biasanya dipasarkan sebagai busur murah untuk bermula memanah, walaubagaimanapun, ia mempunyai kekurangan yang sangat ketara, iaitu jangka-hayat yang terhad disebabkan kelemahan bahan PVC. PVC adalah reaktif kepada ulangan regangan dan tekanan semasa memanah. Secara progresif, ia melemahkan ikatan molekul PVC sehingga akhirnya menyebabkan retakan mikroskopik dan menghasilkan kepanasan pada titik paling regang. Ini dikenali sebagai ‘material fatigue’ di dalam ilmu sains bahan dan akan menyebabkan busur mudah patah.

Busur Logam (Metal Bow)

Sejarah busur logam adalah sangat pendek, ianya bermula apabila teknologi pembuatan busur refleks bio-komposit tradisional telah mencapai kemuncaknya dan sehingga datangnya era senjata api. Hari ini, boleh dikatakan tiada tukang busur yang masih membuat busur logam dan ianya adalah ilmu yang telah pupus. Karakteristik unik busur jenis ini adalah ia mempunyai profil yang hampir sama sebelum dan selepas tali busur dipasang, kerana sifat daya lentur bahan logam yang tinggi.

Bahan asas busur logam adalah besi, tembaga atau campuran aloi. Busur jenis ini muncul di sekitar rantau Indo-Parsi dan jarang-jarang ditemui. Disebabkan ia diperbuat dari bahan logam, busur yang asal masih terpelihara dalam keadaan baik dan mempunyai harga yang tinggi dalam pasaran barangan antik.

Busur Resin Gentian Kaca (Resin Fibre Glass Bow)

Untuk busur jenis ini, tukang-tukang busur menggunakan E-fiberglass yang dibentuk di dalam acuan dan resin sintetik sebagai gam, untuk menghasilkan keseluruhan badan busur (bahagian pemegang, lengan atas dan bawah) secara tunggal. Subjektif kepada rekabentuk, ia kemudiannya disambung dengan siyah dari kayu pada kedua-dua hujung. Bahagian yang diperbuat dari gentian-kaca kemudiannya ditutupi dengan lapisan kulit dan dihias. Kerana pembuatannya lebih mudah, kebiasaannya, busur dari jenis ini dijual dengan harga yang paling murah berbanding lain-lain jenis busur tradisional komersil. Busur jenis ini agak lasak dan mempunyai prestasi panahan yang baik.

Walaupun begitu sesetengah tukang busur seperti Grozer membuat busur resin gentian-kaca dengan tarikan yang agak ketat, menjadikannya kurang sesuai untuk yang baru bermula memanah. Busur jenis ini kebiasaannya mempunyai panjang tarikan maksimum sehingga 29 inci atau kurang sahaja. Lengan-lengan busur kompaun yang berprestasi tinggi adalah diperbuat menggunakan kaedah ini, jadi ia tidak boleh dikatakan sebagai teknik pembuatan yang tidak bermutu. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Toth Zoltan, busur Toth Istvan, busur Tamas Kovacs dan juga busur asas Grozer (basebow).

Busur Kayu Berlapis (Wooden Laminated Bow)

Kebanyakan busur tradisional dengan kualiti yang lebih baik adalah terdiri dari jenis ini. Bahan asas adalah lapisan-lapisan kayu sebagai teras utama yang digamkan di bawah tekanan berselang-seli dengan bahan gentian-kaca. Jenis kemasan selalunya mengikut jenis kayu pada lapisan paling luar; seperti Ash, Zebrano, Mahogany, Yew, Black Poplar, Indian Cherry dan sebagainya, manakala teras utama hanya dari jenis kayu tertentu sahaja. Selain kemasan kayu semula-jadi, ada juga kemasan cat atau disudahi dengan elemen dekoratif dan motif tradisional.

Di samping itu, ia dilengkapi dengan aksesori tambahan pada busur menggunakan bahan dari kulit dan tanduk binatang. Busur kayu berlapis dikenali kerana mempunyai tarikan lembut dan lancar. Walaupun berada di tangga kedua pada hirarki harga, ia sebenarnya sangat disarankan untuk bermula dalam memanah. Terdapat busur jenis ini, seperti busur Oszkar dari Hungary yang dijual lebih murah berbanding busur resin gentian-kaca. Busur kayu berlapis boleh mempunyai panjang tarikan maksimum antara 30-33 inci, bergantung kepada teknik pembuatan dan rekabentuk. Ratio campuran dan jenis bahan gentian-kaca dan resin sintetik yang digunakan adalah rahsia utama tukang-tukang busur yang dijaga rapi kerana ia mempengaruhi kelembutan tarikan busur. Disebabkan faktor ini, busur Saluki mendapat perhatian ramai dan dijual dengan harga yang sangat tinggi.

Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Oszkar, Kassai, Grozer, Szaloki, Saluki, Vegh, Akos, Tarvei dan lain-lain. Busur Kaya dari Korea berada di dalam kategori yang sedikit terasing dan boleh diletakkan di dalam kategori hibrid moden kerana meletakkan bahan karbon di lapisan dalaman, iaitu pada perut busur. Ia juga satu-satunya jenis busur yang menggunakan bahan fabrik sebagai kemasan luar. Busur tradisional barat; seperti busur Panjang (Long bow) dan busur tradisional Amerika (American traditional bow) juga adalah dari busur jenis kayu berlapis ini.

Busur Tanduk Bio-Komposit (Bio-Composite Horn Bow)

Busur jenis ini adalah lebih mahal dan baik dari jenis sebelumnya, dengan karakteristik tarikan yanng sangat lembut dan lancar. Ia pada asasnya adalah juga sejenis busur kayu berlapis. Ia terdiri dari bahan kayu sebagai teras utama (middle core layer), sinew termampat (tendon binatang) pada lapisan luar (outer layer) dan tanduk termampat pada lapisan dalaman (inner layer) iaitu bahagian perut busur. Lapisan tanduk ini adalah sama ada dari tanduk kerbau air, biri-biri liar (Bighorn), kambing gunung (Ibex) dan juga lembu Kelabu Hungary (Steppe cattle). Kesemua lapisan ini dilekatkan di bawah tekanan, menggunakan gam epoxy atau resin sintetik yang diperkuat dengan gentian-kaca yang fleksibel. Kemasan akhir boleh jadi lapisan sinew di luar lengan dan tanduk di perut busur sahaja, atau ditutupi dengan lapisan kulit (ikan, ular atau lembu) dengan atau tanpa diberikan dekorasi motif tradisional.

Lain- lain komponen busur pada bahagian pemegang dan siyah adalah diperbuat dari tanduk, kayu, kulit dan tulang. Kadang-kadang lapisan sinew digantikan dengan lain-lain bahan sintetik moden, menjadikannya di bawah jenis sub-kategori busur tanduk komposit sintetik. Kerana penggunaan tanduk pada lapisan dalaman, busur jenis ini juga dipanggil busur tanduk (horn bow). Sesetengah busur kayu berlapis biasa ada meletakkan lapisan hiasan/pelindung dari tanduk pada bahagian siyah, ini tidak menjadikannya sejenis busur tanduk. Busur tanduk bio-komposit boleh mempunyai panjang tarikan maksimum antara 31-35 inci, bergantung kepada teknik pembuatan dan rekabentuk. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur buatan Kassai, Grozer dan Saluki, di samping tukang-tukang tradisional yang lain.

Busur Tanduk Replika Sejarah (Historical Replica Horn Bow)

Busur ini adalah busur tanduk bio-komposit yang menggunakan 100% bahan pembuatan klasik semula-jadi. Bahan-bahan utama adalah kayu, sinew dan tanduk. Kemasan selalunya adalah dengan lapisan kulit (ikan, ular atau lembu) yang dihiaskan dengan elemen dekoratif tradisional mengikut tema rekabentuk busur, sementara lain-lain komponen busur diperbuat daripada tanduk, kayu dan tulang. Lapisan-lapisan kayu, sinew dan plat tanduk dilekatkan dengan kaedah lama melalui pulasan tali menggunakan gam yang hanya boleh direbus atau diekstrak dari perut ikan sturgeon, yang kini diklasifikasikan sebagai hidupan yang terancam. Tukang-tukang yang mahir dengan kaedah lama ini amat sedikit, sekaligus membataskan pengeluaran busur ini.

Kalau di Korea dan di Jepun, tukang-tukang lama ini diberikan status “National Living Treasure” untuk mengiktiraf kemahiran dan pengetahuan mereka di dalam seni pembuatan busur. Busur tanduk replika sejarah menggunakan bahan pembuatan klasik semula-jadi ditambah kaedah pembuatan yang asli. Teknik pembuatan adalah menggunakan kaedah atau olahan kaedah dari abad dahulu-kala berdasarkan kajian kepada sejarah dan rekod penulisan lampau. Disebabkan itu, proses pembuatan busur ini boleh mengambil masa yang panjang (antara 10-12 bulan) dan menjadi mahal. Busur tradisional dari jenis ini adalah busur Grozer dan Saluki, di samping busur buatan tukang-tukang tradisional Turki, China, Mongolia, Korea dan lain-lain.

* Sumber asal mengenai jenis-jenis busur tradisional: Arramy.com