12 Mei 2016

12 Mei 1990 : PAS Kaji Isu Tahalluf Dengan Orang Bukan Islam Ekoran Hubungan PAS Dengan DAP

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1990, Jawatankuasa Khas PAS untuk mengkaji hukum tahaluf dengan bukan Islam telah mengadakan perbincangan (muzakarah) untuk menentukan hubungan politik atau tahaluf siasi PAS dengan DAP. Jawatankuasa Pengkaji Tahaluf Siasi yang dipengerusikan oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri ini turut dianggotai oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Azizan Abdul Razak, Ustaz Harun Taib, Ustaz Mohd Akhir Yaakub dan Ustaz Ahmad Zaki Ibrahim. Jawatankuasa ini ditubuhkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS untuk mengkaji dengan teliti perkara tersebut.

Isu tahaluf dengan bukan Islam telah timbul ekoran pendirian PAS untuk membentuk kerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46, dan juga serpihan PAS, Berjasa dan Hamim melalui kerjasama PAS-APU sejak April 1989. Ketika proses pembentukan kerjasama ini sedang berjalan, Semangat 46 pada 9 Disember 1989 telah mengumumkan kerjasama mereka dengan DAP yang menyebabkan timbul polemik politik yang baru, bahawa PAS mempunyai hubungan politik tidak langsung dengan DAP. Keadaan ini memaksa Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 17 Februari 1990 untuk menganjurkan muzakarah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat berkait isu hubungan PAS-DAP ini pada 19-20 Mac 1990. Satu kertas akan dibentangkan bersama oleh ahli-ahli Majlis Syura Ulamak PAS iaitu Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Azizan Abdul Razak, Ustaz Harun Taib, Ustaz Idris Omar dan Ustaz Mohd Akhir Yaakub. Muzakarah ini walau bagaimanapun gagal dilaksanakan kerana berlakunya Pilihan Raya Kecil DUN Pantai Merdeka pada 24 Mac 1990.

Kegagalan mengadakan muzakarah ini, telah menyebabkan Jawatankuasa Khas Pengkaji Tahaluf Siasi dibentuk untuk menentukan pendirian PAS. Pendirian asal PAS adalah menolak kerjasama atau dikaitkan dengan DAP termasuk dalam kerjasama dengan APU, tetapi Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan bahawa kerjasama dengan APU diteruskan. Ekoran konflik kerjasama Semangat 46-DAP dan PAS-APU ini, maka Jawatankuasa Khas Pengkaji Tahaluf Siasi telah mengadakan muzakarah pada 12 Mei 1990 di mana beberapa kertas kerja telah dibentangkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Mohd Akhir Yaakub, Ustaz Azizan Abdul Razak dan Ustaz Ahmad Zaki Ibrahim, sebelum dibuat komentar oleh Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib. Seluruh perbincangan dan resolusi muzakarah ini kemudiannya telah dikemukakan secara bertulis kepada Majlis Syura Ulamak PAS oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas, Ustaz Hassan Shukri.

Di antara rumusan penting tentang hukum mengadakan tahaluf siasi dengan orang bukan Islam, termasuk DAP ialah:

I. PAS diharuskan bekerjasama dengan mana-mana orang bukan Islam dalam mempertahankan kebenaran, menolong orang-orang yang dianiaya, menjatuhkan sistem yang zalim dan mewujudkan keamanan dalam negara;

II. Tahaluf PAS dalam pilihan raya dengan bukan Islam dibolehkan dengan syarat berikut:
a. Orang bukan Islam tidak diberi hak membuat dasar,
b. PAS tidak boleh bertolak ansur dalam soal aqidah dan dasar,
c. PAS diberi peluang untuk menerangkan tentang Islam dan pemerintahan Islam,
d. Mereka (bukan Islam) akan menyokong calon PAS, dan
e. Kerjasama tidak boleh menimbulkan perpecahan dalaman PAS; serta

III. Tahaluf tidak langsung (halifulhalif) juga diharuskan bagi menjadikan mereka tidak bermusuhan dengan PAS dan membolehkan PAS memusatkan gerak kerja kepada musuh yang sama.

Ketika Laporan Jawatankuasa Khas Pengkaji Tahaluf Siasi ini dikemukakan kepada Majlis Syura Ulamak PAS, ia telah diterima sebagai dasar kerjasama PAS dengan tambahan syarat yang dibuat oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa sebarang kumpulan atau parti politik yang tidak bersedia menerima penubuhan negara Islam tidak boleh diterima sebagai rakan tahaluf sama ada halif atau halifulhalif.

11 Mei 2016

11 Mei 1952 : Aktivis UMNO Taja Parti Islam Baru Sekat Perkembangan PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1952, aktivis-aktivis Bahagian Agama Umno telah menaja penubuhan sebuah parti Islam yang baru di Selangor dalam rangka untuk membendung pengaruh PAS di Lembah Kelang. Orang Kaya Haji Pateh Akhir bin Dato' Penggawa Mohd Shah yang pada masa ini adalah Ketua Pejabat Agama Islam Selangor yang juga aktivis Bahagian Agama Umno telah memainkan peranan utama dalam usaha ini. Bahagian Agama Umno merancang untuk mewujudkan sebuah badan agama yang dikuasai Umno setelah gagal menguasai PAS yang ditubuhkan oleh para ulamak dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya anjuran Umno pada 23 Ogos 1951.

Sejak PAS mengadakan persidangannya di Bagan Tuan Kechil pada 24 November 1951, PAS mulai berkembang terutama setelah PAS membentuk hubungan dengan Persatuan Ulamak Kedah (PUK) pada 2 Februari 1952, diikuti oleh penubuhan PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang pada 9 Mac 1952. Apabila Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 3 April 1952 memutuskan supaya PAS segera menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh Malaya sebelum 31 Mei 1952, PAS telah berjaya menubuhkan PAS Cawangan Bukit Mertajam pada 20 April 1952 dan PAS Cawangan Perak di Kuala Kangsar pada 26 April 1952. Cawangan PAS kelima di Perlis telah ditubuhkan pada 8 Mei 1952.

Perkembangan pesat PAS ini telah membimbangkan Umno terutama di Kuala Lumpur kerana di sana terdapat beberapa tokoh agama Umno yang aktif bersama PAS. Antaranya termasuklah Faqih Haji Mohd Nor Mohd Zain (Naib Yang Dipertua Agung PAS), Tuan Guru Haji Mohd Nor Mahyudin (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS), Ustaz Abdul Wahab Mohd Nor (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) dan Haji Mas'ud Hayati, seorang aktivis politik kiri. Untuk menyekat perkembangan ini, Haji Pateh Akhir telah menaja satu perjumpaan pada 11 Mei 1952 untuk menubuhkan sebuah parti Islam yang baru, dinamakan sebagai Pertubuhan Kebajikan Islam Selangor.

Walau bagaimanapun, dalam pertemuan pada 11 Mei 1952 ini, seorang wakil umat Islam, Raja Yaakub telah membangkitkan isu perpecahan umat Islam dan mencadangkan supaya pertubuhan kebajikan Islam ini bergabung dengan PAS dan membentuk PAS Cawangan Selangor. Setelah dibahas panjang, usul ini telah ditolak kerana penganjur bermaksud untuk menyekat pengaruh PAS. Ketika mengulas penubuhan badan Islam yang baru ini, Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan mengatakan bahawa ia ditubuhkan dengan tujuan menyekat pengaruh PAS dari berkembang.

Walaupun Umno berusaha menyekat pengaruh PAS dari berkembang di Lembah Kelang, pada 13 Julai 1952, Faqih Mohd Nor telah menganjurkan satu pertemuan umat Islam di Kuala Lumpur dan berjaya menubuhkan PAS Cawangan Kuala Lumpur dengan diketuai oleh Haji Mas'ud Hayati. Bahkan, usaha Umno ini terus gagal apabila PAS berjaya menambahkan cawangannya di Kuala Lumpur dengan menubuhkan PAS Cawangan Sentul dan PAS Cawangan Sungai Penchala sebelum berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953.

10 Mei 2016

10 Mei 1964 : Mohd Asri Haji Muda Dilantik Sebagai Menteri Besar Kelantan Kedua

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Asri Haji Muda telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang kedua selepas merdeka menggantikan Ustaz Dato' Ishak Lotfi Omar. Badan Perhubungan PAS Kelantan yang bermesyuarat bersama Adun-adun PAS Kelantan pada 3 Mei 1964 telah bersetuju menamakan Mohd Asri sebagai Ketua Kerajaan Negeri Kelantan yang baru untuk menyelesaikan krisis kepemimpinan yang timbul sejak 1961. Dalam Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964, PAS berjaya mempertahankan Kerajaan Kelantan dengan menguasai 21 daripada 30 kerusi DUN.

Mohd Asri yang menyertai PAS sejak 1953 telah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja di Pejabat Agung PAS, Bukit Mertajam sebelum dipilih sebagai Setiausaha Kewangan PAS oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953 dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Tadbir (sekarang Jawatankuasa Harian) PAS pada 11 September 1953. Mulai 27 November 1954, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, kemudiannya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu mulai 14 Januari 1956 dan Pesuruhjaya PAS Kelantan bermula 28 Disember 1957 hingga 8 Januari 1962. Beliau juga merupakan Pengerusi Tetap PAS mulai 27 Disember 1958 sehingga dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 6 Januari 1962.

Mohd Asri yang menggantikan anak saudaranya, Dato' Ishak Lotfi Omar (ibu Dato' Ishak Lotfi, Che Minah Haji Muda ialah kakak Mohd Asri) sebagai Menteri Besar Kelantan merupakan cucu kepada Dato' Maha Menteri Che Saad (Che Ha') bin Penghulu Che Ngah bin Che Tila Derasa, Perdana Menteri Kelantan (1890-1894) di sebelah ibunya, Che Puteh binti Dato' Che Ha'. Penghulu Che Ngah Penambang pula adalah cucu dari sebelah ibunya, Wan Bulat, kepada Dato' Wan Mahmud (Dato' Panglima Perang Lundang) bin Tuan Khamis (Mandur Mis, yang bergelar Engku Mendahari Seri Maharaja Wangsa). Tuan Khamis yang terlibat mengasaskan Dinasti Long Yunus sebagai pemerintah Kelantan pada 1762 telah dilantik sebagai Dato' Lundang, iaitu raja pemerintah Daerah Lundang oleh Sultan Long Yunus. Tuan Khamis sendiri adalah sepupu kepada Long Yunus bin Long Sulaiman bin Long Bahar, kerana ayahnya Tuan Kundur bin Long Bahar bin Wan Daim adalah anak Tuan Besar Long Bahar (Sultan Kelantan 1721-1733) menerusi isterinya, Raja Pah binti Sultan Omar, Sultan Dinasti Jembal terakhir (1675-1721).

Mohd Asri yang dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu pada 10 Oktober 1923 telah menerima didikan agama yang awal di kawasan Pondok Masjid Muhammadi kerana ayahnya, Haji Abdul Samad bin Mohd Salleh (terkenal sebagai Haji Muda) tinggal di sana, sebelum beliau memasuki Sekolah Majlis Ugama Islam Kelantan dan Sekolah Melayu Padang Garong. Setelah berkhidmat sebagai guru di Kota Bharu, pada zaman Jepun, beliau terpilih belajar di Marai Koa Kunrensyo, Melaka. Selepas Perang, beliau belajar agama dengan Sheikh Junid Thola di Kampung Lalang, Perak sebelum menjadi guru di Maahad Il Ihya as- Syariff, Gunung Semonggol. Setelah keadaan politik tenang akibat darurat 1948, beliau berkhidmat di Pejabat Agung PAS mulai 1953.

Kemunculan Mohd Asri dalam politik telah bermula sejak sebelum zaman Jepun di mana beliau terlibat dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) Kelantan yang dipimpin abangnya, As'ad Shukri Haji Muda, sebelum menyertai BSPK ketika pendudukan Jepun, kemudiannya aktif dalam Persatuan Melayu Kelantan (PMK) pada 1946 sebagai Penolong Setiausaha, selain menjadi pengarang majalah Penyedar dan wartawan akhbar Majlis. Beliau juga menyertai Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan mengetuai Angkatan Pemuda Insaf (API) Kelantan pada 1946-1947. Penglibatan dalam API membawa beliau berhijrah ke Perak dan aktif dalam Hizbul Muslimin selalu Setiausaha Dewan Pimpinan Hizbul Muslimin pada 1948. Kerana keadaan politik yang tegang, beliau aktif pula dalam bidang persuratan dan bahasa menerusi Lembaga Pembangunan Sastera Perak (LEPAS) mulai 1951.

Dengan latar belakang keluarga dan penglibatan politik yang begitu cemerlang, Mohd Asri yang mendaki kepemimpinan PAS sehingga dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 6 Januari 1962, telah dinamakan oleh PAS pada 3 Mei 1962 sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang baru. Sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, dalam Pilihan Raya Umum 1955, Mohd Asri telah bertanding di kerusi Majlis Undangan Persekutuan kawasan Kelantan Timor, tetapi tewas. Pada Pilihan Raya Umum 1959, beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Pasir Puteh dan Adun Kota Bharu Tengah, iaitu jawatan-jawatan yang kemudiannya berjaya dipertahankan dalam Pilihan Raya Umum 1964. Berikutan itu, pada 9 Julai 1959, beliau dilantik sebagai Speaker DUN Kelantan, sebelum PAS Kelantan pada 2 Julai 1961 menamakan beliau sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan sehingga 1964. Beliau kemudiannya mulai 10 Mei 1964 berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan hingga 31 Disember 1972, di mana pada awal 1973, beliau dilantik sebagai Menteri Pusat.

09 Mei 2016

09 Mei 2012 : PAS Tidak Bahas Cadangan Pilihanraya Kerajaan Tempatan Oleh DAP

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2012, PAS telah mengambil sikap untuk tidak membahaskan Rang Undang-undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yang dikemukakan oleh Ahli Exco Pulau Pinang dari DAP, Chow Kon Yeow di DUN Pulau Pinang kerana menjaga keharmonian Pakatan Rakyat (PR). ADUN tunggal PAS di DUN Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man (ADUN Permatang Pasir) yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang telah diarahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali supaya tidak menyertai perbahasan untuk tidak menyokong atau menentang rang undang-undang tersebut kerana ia boleh menjelaskan hubungan PAS dengan rakan PR. PAS tidak mengambil pendirian untuk menyokong undang-undang tersebut di DUN Pulau Pinang kerana Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak terlebih dahulu memaklumkan perkara tersebut kepada PAS untuk mendapat persetujuan.

Isu pilihan raya kerajaan tempatan telah dibangkitkan oleh DAP sejak 1968. Pada awalnya, sejak 1 Disember 1951 telah diadakan pilihan raya kerajaan tempatan bermula di Georgetown City, Pulau Pinang dan ia mula ditangguhkan sementara pada Mac 1963 kerana Konfrantasi Indonesia, dan dimansuhkan melalui Peraturan Kecemasan (Penggantungan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan) 1965. Pada Jun 1965, Kerajaan Pusat telah menubuhkan Suruhanjaya Athi Nahappan untuk mengkaji kedudukan pilihan raya kerajaan tempatan, dan akhirnya pada 1970, Akta Kerajaan Tempatan 1960 dimansuhkan, diganti dengan Akta Kerajaan Tempatan 1973. Kerajaan kemudiannya telah menghapuskan Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan yang menandakan Kerajaan Negeri tidak lagi berkuasa mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, sebaliknya hendaklah melantik ahli-ahli majlis tempatan. Antara faktor utama penghapusan ini ialah konflik antara Dewan Bandaraya Georgetown yang dikuasai Sosialis Front dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam isu Hari Bebas Darurat 1960, diikuti isi rusuhan kaum di bandar pada 13 Mei 1969.

DAP yang menguasai undi orang Cina di bandar-bandar utama telah memperjuangkan isu ini setelah Singapura berpisah dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965. DAP yang mewarisi perjuangan PAP pada 15 Oktober 1968 telah menuntut pilihan raya kerajaan tempatan diadakan semula ketika kempen Pilihan Raya Kecil Segamat Utara. Kemudiannya pada 1 November 2006, Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh menimbulkan semula tuntutan pilihan raya ini sehingga ia dijadikan Manifesto DAP pada 2008. Ekoran pembentukan PR pada 1 April 2008, DAP pada 28 Oktober 2008 telah mengemukakan usul di DUN Selangor supaya diadakan pilihan raya kerajaan tempatan. Pada 23 Mac 2010, SPR telah membuat penjelasan kepada Kerajaan Selangor berkait isu ini. Akhirnya, pada 9 Mei 2012, tanpa mendapat persetujuan PAS sebagai rakan PR, DAP telah mengemukakan Rang Undang-undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012, yang kemudiannya pada 14 Ogos 2014, Mahkamah Persekutuan memutuskan enakmen ini tidak sah.

PAS walau bagaimanapun, pada 9 Mei 2012 telah mengambil sikap untuk tidak membantah rang undang-undang tersebut kerana menjaga keharmonian PR atas prinsip 'bersetuju untuk tidak bersetuju.' PAS sebenarnya semenjak awal tidak bersetuju dengan pilihan raya kerajaan tempatan kerana ia boleh menimbulkan perbalahan kaum, tetapi kerana menghormati perjuangan DAP, walaupun ia tidak dibincangkan bagi mendapatkan persetujuan PAS, PAS telah mengambil sikap berdiam diri. PAS tidak mahu isu ini menjadi sebab yang memecahkan PR, kerana beranggapan DAP berhak memperjuangkan agendanya dalam kerajaan yang ditadbir oleh mereka, sebagai sebahagian makna 'bersetuju untuk tidak bersetuju.'

Pendirian PAS dalam mempertahankan PR akhirnya tercabar pada hujung 2015 apabila DAP yang menolak hudud menentang secara terbuka Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan (Pindaan) 2015 walaupun telah beberapa kali diberi taklimat oleh PAS. Ekoran itu pada 15 November 2015, Presiden PAS telah membangkitkan sikap PAS yang menghormati DAP dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan, tetapi DAP tidak menghormati PAS dalam isu hudud. Berlanjutan daripada dua isu ini, akhirnya PAS dan DAP tidak persefahaman lagi sehingga DAP mengisytiharkan pembubaran PR pada September 2015.

08 Mei 2016

08 Mei 1964 : Pendaftaran PAS Singapura Ditolak

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1954, Pendaftar Pertubuhan Singapura telah menolak permohonan PAS untuk mendaftarkan PAS Cawangan Singapura yang dibuat sejak 1952. PAS Singapura adalah antara yang terawal berkembang kerana kedudukan Pulau Jajahan Mahkota British ini lebih bebas dan terbuka untuk perkembangan Islam. Beberapa pemimpin awal PAS adalah tokoh politik terkenal di Singapura seperti Ustaz Abdul Rahman Jamaluddin al-Jampuli yang merupakan Naib Yang Dipertua Agung PAS 1951-1953, Peguam Ahmed Mohamed Ibrahim (Tan Sri Prof Emeritus Ahmed Ibrahim), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS 1953-1954 dan Sheikh Fadhlullah Suhaimi, pengasas PAS.

Mereka yang menjadi penggerak awal PAS di Singapura telah memohon pendaftaran PAS Cawangan Singapura pada 1952 mengikut Ordinance of Society Singapore, tetapi kelulusannya tertangguh. Antara faktor yang menangguhkan kelulusan ini ialah kerana rusuhan isu Natrah di Singapura pada Disember 1950 yang menyebabkan dua tokoh utamanya, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Karim Ghani ditahan. Dr Burhanuddin al-Helmy adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Isu Natrah yang dibebaskan pada pertengahan 1952, telah dilantik sebagai ahli kehormat PAS Cawangan Johor Bahru pada 23 April 1954. Faktor ini dilihat mengancam kedudukan British di Singapura yang mengakibatkan British menolak permohonan PAS mendaftarkan cawangannya di Singapura pada 8 Mei 1954.

Tidak mengalah dengan keputusan British ini, ahli-ahli PAS Singapura, setelah dibentuk kerajaan rakyat melalui Pilihan Raya Umum Singapura 1955 dengan melantik David Paul Marshall sebagai Ketua Menteri, telah mengadakan pertemuan di rumah Ustaz Mohd Taha Suhaimi, anak Sheikh Fadhlullah Suhaimi pada 24 Februari 1957. Dalam pertemuan yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy ini, mereka telah bersetuju menubuhkan semula PAS Cawangan Singapura dan melantik Ustaz Mohd Taha sebagai Ketua PAS Cawangan Singapura. Pada 8 Ogos 1958, pendaftaran PAS Cawangan Singapura telah diluluskan oleh Kerajaan Singapura.

PAS Cawangan Singapura telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama pada 20 November 1958. Bekas Setiausaha Agung Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Singapura, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah telah dilantik sebagai Ketua PAS Cawangan Singapura. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh pada 25-27 Disember 1958, PAS Cawangan Singapura telah mendapat status autonomi dan PAS Cawangan Singapura diperakui setaraf dengan Perhubungan PAS Negeri di mana ketuanya adalah dengan sendiri menjadi Pesuruhjaya PAS Singapura.

Sepanjang sejarah PAS Singapura, ia telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Taha Suhaimi (1957-1958), diikuti oleh Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah (1958-1962). Setelah Ustaz Abdullah Zawawi dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS pada 1962, Ustaz Mohd Taha Suhaimi kembali memimpin PAS Singapura sehingga 1966. Ekoran pemisahan Singapura dari Malaysia pada 1965, Ordinance of Society Singapore telah menetapkan semua pertubuhan berdaftar di Singapura dilarang mempunyai hubungan dengan pertubuhan di luar dari negara Singapura. Ini menyebabkan PAS Cawangan Singapura terpaksa berpisah dengan PAS dan mula dikenali sebagai Angkatan Islam (AIS) yang dipimpin oleh Wan Jo Abu Bakar. Pada tahun 2011, AIS telah dikenali dengan nama baru Angkatan Islam Singapura (Angkasa).

07 Mei 2016

07 Mei 1960 : Ustaz Ahmad Azzam Dilantik Semula Sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu Selesaikan Krisis

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1960, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah melantik semula bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu "bagi tahun 1960" setelah Badan Perhubungan PAS Terengganu ditadbir oleh Jawatankuasa Darurat sejak 23 Oktober 1959. Perlantikan semula Ustaz Ahmad Azzam ini adalah langkah Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk menyelesaikan krisis kepemimpinan yang berlaku dalam Kerajaan PAS Terengganu selepas pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum 1959.

Dalam krisis kepemimpinan ini, telah berbangkit isu ekoran kegagalan Menteri Besar Terengganu, Mohd Daud Samad untuk melantik Ustaz Ahmad Azzam yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu sebagai Timbalan Menteri Besar. Sebelumnya, Badan Perhubungan PAS Terengganu pada 24 Jun 1959 telah bersetuju supaya Ustaz Ahmad Azzam dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Terengganu jika beliau tidak terpilih sebagai Menteri Besar, dan kemudiannya hendaklah mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar. Menteri Besar Terengganu sendiri dalam ucapan pertamanya pada 29 Jun 1959 telah berjanji untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar yang akan diperuntukkan kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu itu.

Berlarutan dari isu tersebut, setelah selesai Pilihan Raya Umum Parlimen yang diadakan kemudian daripada Pilihan Raya Umum Negeri pada 1959, beberapa Cawangan PAS telah menentang kepemimpinan Ustaz Ahmad Azzam kerana masalah pemilihan calon Parlimen. PAS Cawangan Kuala Terengganu, Kemamang dan Dungun secara terbuka menentang Pesuruhjaya PAS itu. Pada 16 Oktober 1959, Badan Perhubungan PAS Terengganu telah mencadangkan supaya Ustaz Ahmad Azzam dilucutkan jawatan dan dibentuk Jawatankuasa Darurat. Cadangan ini kemudiannya disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Oktober 1959.

Jawatankuasa Darurat PAS Terengganu yang bentuk adalah terdiri daripada Wan Hussein Azmi Wan Abdul Kadir (Pengerusi), Da Abdul Jalil Awang (Timbalan Pengerusi), Tengku Bijaya Sura (Bendahari), Syed Abdullah Alwi (Setiausaha), Ngah Muhammad, Ustaz Omar Shukri Embong, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar, Syed Noah dan Wan Azizah sebagai Ahli-ahli Jawatankuasa, selain Yang Dipertua PAS Cawangan-cawangan. Bertindak balas terhadap tindakan tiga Cawangan PAS ini, Ustaz Ahmad Azzam telah memberi amaran kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS bahawa kegagalan menyelesaikan masalah ini boleh menyebabkan Kerajaan PAS Terengganu tumbang.

Ustaz Ahmad Azzam pada masa ini adalah ADUN Jeram merangkap anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 1958 menggantikan Mohd Asri Haji Muda, setelah sebelumnya beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sejak 1954. Disebabkan ancaman beliau kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS, pada 30 Januari 1960, Badan Perhubungan PAS Terengganu telah bersetuju supaya beliau dilantik semula sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu untuk mengelakkan krisis yang boleh menumbangkan Kerajaan PAS di negeri tersebut. Pada 7 Mei 1960 telah bersetuju melantik semula beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu tanpa sebarang syarat, namun krisis yang berlanjutan ini akhirnya menumbangkan Kerajaan PAS Terengganu pada 30 Oktober 1961.

06 Mei 2016

06 Mei 1965 : Berita ADUN PAS Kota Bharu Timur Keluar Parti Tersebar Dalam Media Massa

Pada hari ini dalam tahun 1965, media massa telah menyiarkan berita desas-desus ADUN PAS Kota Bharu Timur, Saufi Idris telah keluar dari PAS setelah beliau bersama dua lagi ADUN, Ustaz Nik Abdullah Arshad dan Tuan Guru Che Hassan Ismail ditahan ISA sejak 24 Februari 1965 atas tuduhan "menimbulkan huru-hara di kalangan orang ramai" iaitu berkait isu kafir-mengkafir. Saufi Idris adalah bekas ahli Umno yang menyertai PAS, kemudian menjadi ADUN sejak 1959, sebelum ditahan ISA.

Dalam Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964, beliau yang masih dalam tahanan tanpa bicara bersama dua lagi ADUN tersebut telah dicalonkan semula oleh PAS untuk mempertahankan kerusi masing-masing yang masyhur dengan cerita "calon Perikatan lawan songkok PAS" kerana calon berada dalam tahanan. Kerana dalam tahanan juga, beliau tidak menghadiri perjumpaan wakil-wakil rakyat PAS pada 4 Mei 1964 dan tidak mendengar 'Amanat Terakhir Prof Zulkifli Mohamad.' Dalam pilihan raya ini, beliau berjaya mengalahkan calon Perikatan, Wan Aziz Wan Umar dengan majoriti 1,884 undi. Pada 1959, beliau memenangi kerusi ini dengan majoriti 3,704 mengalahkan Mat Haji Ali (Perikatan), Ismail Daud (Negara) dan Tuan Man Tuan Salleh (Sosialis Front).

Menjelang Pilihan Raya Umum 1964, untuk melemahkan PAS, beberapa ADUN telah ditahan ISA, termasuk Saufi Idris. Beliau dikatakan telah dipujuk untuk diberikan jawatan penting jika berjaya menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan semasa berada dalam tahanan tanpa bicara itu. Pendekatan politik di luar batas demokrasi ini dilakukan dengan harapan untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan seperti yang dilakukan di Terengganu pada 30 Oktober 1961, terutama setelah PAS mempertahankan Kerajaan Kelantan hanya dengan 21 daripada 30 kerusi. Perikatan selepas kes ini, telah menahan beberapa lagi ADUN, diikuti oleh penculikan beberapa ADUN lain yang hampir menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan pada Ogos 1968.

Dalaman PAS sendiri ketika ini menjadi agak tegang kerana media massa sejak April 1965 telah menimbulkan kononnya berlaku krisis kepemimpinan dengan mendakwa beberapa ADUN PAS termasuk Tuan Guru Haji Che Hassan Ismail dan Dato' Ishak Lotfi Omar akan keluar parti. Dengan tekanan mental dan tawaran jawatan tinggi serta strategi media menimbulkan krisis dalaman PAS ini, telah menyebabkan ADUN Kota Bharu Timur ini telah memohon untuk keluar parti pada 28 April 1965. Permohonan beliau kemudiannya diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 4 Mei 1965. Setiausaha Agung PAS kemudiannya membuat pemakluman kepada seluruh peringkat organisasi dan kepemimpinan PAS pada 5 Mei 1965. Keputusan Jawatankuasa Kerja Agung PAS ini mempunyai kaitan dengan latar belakang Saufi Idris yang dahulunya merajuk dari Umno pada 1959 kerana tidak dapat menjadi calon Perikatan, dan mula mensabotaj PAS setelah keluar ISA kerana mahu menjadi Timbalan Menteri Besar.

Pada 6 Mei 1965, akhbar-akhbar mulai menyiarkan berita tentang kedudukan Saufi Idris yang bertukar menjadi wakil Bebas. Untuk menjelaskan perkara sebenar, Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 10 Mei 1965 telah membuat pengumuman rasmi bahawa Saufi Idris bukan lagi ahli PAS. Saufi Idris yang tidak segera menyertai Umno kekal sebagai ADUN Bebas sehingga peristiwa Turn About About Turn pada Ogos 1968, di mana beliau bersama beberapa ADUN PAS telah menyertai Umno. Selepas menyertai semula Umno dan menjadi dalang kepada penculikan wakil rakyat PAS dalam usaha menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan, beliau telah tewas dalam Pilihan Raya Umum 1969 di tangan calon PAS, Wan Hashim Wan Ahmad dengan majoriti 1,086 undi.

Disusun oleh: Arkib PAS