21 Jun 2015

Bagaimana Kita Berintima' Dengan PAS ?

Saya merujuk kepada penulisan Yang Berhormat Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi di laman sesawang Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS baru-baru ini berkenaan Penggabungan Diri dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Berikut adalah penulisan beliau yang saya kongsikan kepada para pembaca untuk renungan kita bersama.

BAGAIMANAKAH INTIMA’ YANG KUKUH ?
Oleh : Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hassan at-Tantawi [Ketua Penerangan PAS Pusat]

Definisi Intima’ memberi makna ‘menyertai dengan satu ikatan’. Dalam ertikata yang lain, berintima’ dengan PAS bermaksud: menyertai PAS dengan satu ikatan. Namun, terdapat intima’ yang salah dan rapuh dengan maksud, mereka menyertai PAS dengan intima’ yang tidak kukuh dan mampu terputus bila-bila masa apabila diminta. Hanya terdapat satu sahaja jenis intima’ yang betul-betul benar, kukuh dan utuh.

INTIMA’ YANG SALAH

Intima’ yang rapuh, longgar dan salah ini sekurang-kurangnya ada 4 jenis :

1. Intima’ Syakhsi (إنتماء شخصي)

Menyertai PAS kerana ketokohan individu tertentu. Intima’ ini rapuh kerana hakikat seorang individu atau tokoh tertentu boleh hadir dan pergi. Jika tokoh yang menjadi idolanya meninggalkan PAS, maka ia juga akan turut meninggalkan PAS. Perjuangannya tidak mantap dan utuh. Pendiriannya juga tidak kukuh. Mungkin bertahan beberapa tahun mengikut ketahanan tokoh yang menjadi asbab kenapa ia menyertai PAS. Ada sepanjang hayatnya bersama PAS tetapi penghujung usianya berakhir di luar PAS.

Situasi ini pernah ditegaskan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a.:
“Barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Muhammad SAW maka sesungguhnya Muhammad SAW telah mati, dan barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Allah SWT maka sesungguhnya Allah SWT hidup dan tidak mati.”
Saidina Abu Bakar al-Siddiq ra meneruskan membaca ayat Allah Ta’ala :
“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul. Apakah sekiranya ia mati atau terbunuh, kamu akan berpaling tadah memusing tumit kamu? Sesiapa yang berpaling memusingkan tumitnya, maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur.”
(Surah Aali-Imran: Ayat 144)
2. Intima’ Maslahi (إنتماء مصلحي)

Menyertai PAS kerana kepentingan peribadi atau kelompok, dan ia mempunyai agenda tertentu yang ingin dicapai. Apabila gagal mencapai kepentingan yang diingini dan tidak berjaya melunaskan agenda yang dirancang, mereka akan mencari tapak yang lain untuk pelan ‘B’ dan seterusnya meninggalkan PAS. Ketahanan mereka berdasarkan sejauh mana atau selama manakah mereka perolehi kepentingan dan memiliki peluang menjayakan agenda mereka.

3. Intima’ Irtijaali (إنتماء ارتجالي)

Menyertai PAS secara spontan tanpa asas dan sebab yang kukuh. Ia sendiri tidak mengetahui kenapa ia menyertai PAS. Bakanya adalah baka PAS. Ayah dan ibunya PAS serta persekitaran ia membesar juga PAS. Justeru, ia tidak mempunyai jawapan yang konkrit kenapa ia menyertai PAS selain dari menyedari bahawa ia telah ‘PAS’ sejak awal. Pendirian mereka akan cepat goyang apabila PAS dilanda krisis dan mereka seperti ini tidak mempunyai jawapan yang mantap kenapa ia mesti terus berada dalam PAS yang sedang bergoncang dilanda gelombang. Akhirnya, ia lari meninggalkan PAS kerana tidak sanggup berdepan dengan apa jua kemungkinan.

4. Intima’ A’fawi (إنتماء عفوي) 

Menyertai PAS berasaskan kecenderungan dan simpati terhadap apa yang diperjuangkan oleh PAS yang juga teruk dibelasah oleh musuh. Intima’ jenis ini longgar serta rapuh kerana kecenderungan dan simpatinya akan berakhir terutama apabila didapati PAS tidak lagi menepati kemahuan dan kehendaknya. Tiada lagi simpati malah boleh bertukar menjadi benci. Tatkala benci menguasai diri, maka mereka akan mengangkat kaki meninggalkan PAS.

INTIMA’ YANG BENAR

Intima’ yang benar, kukuh, utuh dan mantap hanya satu iaitu:

Intima’ Aqidi - (إنتماء عقيدي)

Menyertai PAS berdasarkan tuntutan Aqidah al-Islamiyyah. Berdiri atas Iman kepada Allah Ta’ala dan Kitab-Nya yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW. Menunaikan perintah Allah SWT dengan penuh yakin dan optimis supaya berjuang menegakkan Syariat Allah SWT dengan harta dan jiwa raga.

Firman Allah Ta’ala:
“Pergilah kamu segera untuk berjuang pada jalan Allah, sama ada dengan keadaan ringan ataupun berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 44)

Intima’ yang kukuh ialah apabila kita meletakkan diri berjuang hanya untuk meninggikan kalimah Allah swt, menegakkan syariat dan segala syiar-Nya, mencari keredhaan Allah swt di dunia dan di akhirat. Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa terdapat A’rabi datang bertanya Nabi Muhammad SAW:
“Seorang pemuda (tokoh) yang berjuang kerana mahu memiliki harta rampasan, ada tokoh yang berjuang supaya namanya disebut-sebut, ada yang berjuang supaya dirinya berketerampilan dan terpandang. Maka siapa yang diiktiraf berjuang di jalan Allah SWT?”
Dalam riwayat yang lain:
“Ada yang berjuang kerana tunjuk berani, ada yang berjuang kerana mahu mendapatkan pelindungan, ada yang berjuang kerana semata-mata benci kepada musuh, maka siapa yang benar-benar diiktiraf sebagai pejuang dijalan Allah SWT?”
Lalu, Rasulullah SAW menjawab:
“Sesiapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah SWT (mengatasi ideologi ciptaan manusia) maka ia berada pada Jalan Allah SWT (fi Sabilillah).”
(muttafaqun ‘alaihi)

Mereka yang menyertai PAS dengan Intima’ yang rapuh pasti sahaja tidak akan mampu bertahan bersama PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan Kalimah (syariat) Allah SWT. Ujiannya terlalu getir, khasnya ujian dalaman yang boleh membawa kekecewaan dan patah hati. Hanya mereka yang menyertai PAS kerana aqidah sanggup berjuang dan mampu bertahan hingga ke denyut nadi yang terakhir. Sama ada menang atau syahid, namun untuk memalingkan tumit meninggalkan perjuangan adalah tidak sama sekali.

-------------
HARI INI, berikutan krisis yang berlaku kepada PAS dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), seorang aktivitis PAS, telah meninggalkan PAS dan mengumumkan penyertaannya ke parti sosialis itu. Amat malang meninggalkan Jama’ah Islam yang masih berada di atas landasan Al-Quran dan As-Sunnah, kemudian melantik pula orang-orang kafir sebagai pemimpin bagi perjuangan mereka. Moga saya dan keluarga sentiasa thabat bersama Jama’ah Islam PAS yang saya cintai.

Moga Allah sentiasa mengampuni kita atas sifat kejahilan dan kealpaan sebagai seorang manusia.

20 Jun 2015

Baitul Muslim : Agenda Tarbiyyah Gerakan Islam

Saya mengambil pendirian bahawa Baitul Muslim adalah sebagai salah satu daripada agenda tarbiyyah bagi mana-mana Gerakan Islam.

Tidak mustahil jika kita pernah terbaca mana-mana artikel yang memperlihatkan agenda ini sebagai sesuatu yang sangat-sangat ditakuti musuh, khususnya di kalangan gerakan kuffar seperti Sekularisme, Freemanson, Yahudi dan juga Kristianisasi kerana sistem ini mampu menggegar Ummah Islam di seluruh dunia!

Baitul muslim bukan sekadar sistem 'cari jodoh' seorang muslim haraki (orang Islam yang bergerak di jalan Allah) sebagaimana yang dipraktik. Ia harus dipupuk seawal penggabungan diri dengan mana-mana gerakan Islam. Bilamana sistem ini dilihat sebahagian daripada TARBIYAH, ada berberapa perkara asas yang perlu difahami oleh kita semua.

Di antaranya adalah seperti berikut:

1. Tarbiyyah harus difahami sebagai proses doktrinisasi fikrah Islam yang meliputi aqidah perjuangan terhadap ahli gerakan Islam. Mana-mana perselisihan pendapat terhadap kefahaman aqidah perjuangan ini tidak harus dilihat sebagai satu ikhtilaf atas perkara-perkara furu' (cabang), tetapi harus dilihat sebagai elemen kegagalan tarbiyyah dalam diri sendiri.

2. Mehnah dan ibtila' (halangan dan ujian) adalah 'penghias' sistem tarbiyyah. Perselisihan suami isteri, masalah zuriat, campurtangan orang luar, dan masalah pengurusan masa adalah sebahagian ujian yang biasanya dialami seorang ahli gerakan Islam mengikut kemampuan dan taraf Iman. Ini sekaligus menjadikan sistem Baitul Muslim itu bukan suatu 'insuran' terhadap keharmonian rumah tangga, tetapi bertujuan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Ta'ala.

3. Baitul Muslim kerana Allah mampu meraih Mardhatillah (Redha Allah). Sistem ini seharusnya dilihat sebagai suatu ibadah, bukan berdasarkan nafsu semata-mata. Nabi SAW juga memuliakan umatnya yang berkahwin lebih daripada mereka yang bujang.

4. Baitul Muslim 'memadukan' isteri (isteri-isteri). Kefahaman mengenai aulawiyat (keutamaan) dan muwazzanah (pertimbangan) memperlihatkan pengurusan masa sesebuah keluarga lebih tertumpu kepada perjuangan agama Allah. Tetapi, ia bukanlah satu perlepasan tanggungjawab terhadap pemberian nafkah dan tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anak), malah kebajikan mereka sepatutnya lebih terjaga dengan kefahaman Fiqh dan kasih sayang yang terpupuk lebih daripada sesiapa yang tidak pernah mengenal/melalui sistem ini.

Oleh itu, sebagai seseorang yang cintakan agama Allah Ta'ala, seluruh kehidupannya haruslah bersandarkan dengan apa yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Moga kita semua mencapai peringkat ketaqwaan yang tertinggi hingga ke hujung nyawa, insha Allah.

-----------
Intipati di atas adalah isi-isi utama yang pernah saya kongsikan bersama sahabat-sahabat di kampus baru-baru ini. Moga kita sentiasa beristiqamah hingga kemenangan.

10 Januari 2015

Penguasaan Lima Fiqh Temporari Juruaudit Muslim

Segala Puji bagi Allah Ta'ala serta Salawat dan Salam kepada Nabi SAW, saya telah bekerja di Azhar Noriza Zainuddin selama empat (4) tahun. Dalam usaha memastikan setiap perbuatan dan tingkahlaku kerjaya berteraskan syari'at Islam, saya cuba mencerakinkan berberapa kefahaman yang perlu diadaptasi dalam amalan pengauditan kewangan, selaku seorang juruaudit muslim.

Di sini, Terdapat lima kefahaman (Fiqh) yang perlu dihadam oleh seorang juruaudit muslim. 
  1. Juruaudit perlu mahir dalam Fiqh Aulawiyyat (Fiqh Keutamaan). Mereka perlu mengenalpasti tugasan mana yang perlu diselesaikan terlebih dahulu; antara tempoh masa, kehendak klien, dan komplikasi tataurus perakaunan. 
  2. Juruaudit juga perlu mahir dalam Fiqh Muwazzanah (Fiqh Pertimbangan). Mereka perlu mengenalpasti tahap kematanan kewangan (materiality) dan menimbangtara sama ada perlu mencadangkan berberapa pelarasan ataupun tidak. 
  3. Juruaudit juga perlu mahir dalam Fiqh Waqi' (Fiqh Keadaan). Mereka perlu mengenalpasti kaedah dan prosedur audit yang sesuai bagi setiap elemen penyata kewangan yang diuji, kerana tidak semuanya mempunyai tatacara perakaunan yang sama (mengikut aktiviti perniagaan dan industri) dan kadangkala tidak selari dengan piawaian perakaunan yang ditetapkan. 
  4. Juruaudit juga perlu mahir dengan Fiqh Taghyir (Fiqh Perubahan). Mereka perlu bersedia dengan sebarang pelarasan lewat klien (CLA) andaikata isu-isu yang timbul dalam penyata kewangan yang telah diaudit tidak dipersetujui dan perlu diubah. 
  5. Juruaudit juga perlu mahir dengan Fiqh Nusus (Fiqh Pembuktian). Mereka perlu mengenalpasti dokumen sokongan yang thawabit (tidak boleh diubah) dan sesuai terhadap angka-angka di dalam penyata kewangan dan kurang mengambilkira dokumen sokongan berbentuk mutaghayyirat (boleh berubah) dalam mengendalikan prosedur pengauditan.
Insha Allah, moga sedikit perkongsian ini dapat membawa kita semua ke arah satu tatacara sistematik dan efisien seorang akauntan muslim bertauliah.

04 Julai 2014

Kumpulan Militan ISIL : Bukan Cara Islam Berjihad !

KUMPULAN militan Negara Islam (IS) adalah kumpulan militan radikal yang menggunakan nama Islam untuk berjihad, dan kini telah menguasai sebahagian besar kawasan di timur Syria, di utara serta barat Iraq.

Kumpulan ini menggunakan taktik ganas termasuk pembunuhan beramai-ramai musuh yang ditangkap, penculikan, dan memenggal kepala petugas media dari negara luar sehingga menyebabkan campur tangan tentera Amerika Syarikat (AS) yang menyerang kubu kumpulan itu di Iraq.

Matlamat IS adalah untuk mewujudkan sistem pemerintahan khalifah, iaitu negara yang diperintah oleh seorang pemimpin politik dan agama.

Walaupun pada masa ini IS masih beroperasi di Iraq dan Syria, kumpulan itu telah berjanji akan memperluaskan jajahan ke Jordan dan Lebanon serta membebaskan Palestin. Ia menerima sokongan militan Islam dari seluruh dunia dan menuntut semua ahlinya bersumpah setia kepada ketuanya, Ibrahim Awad Ibrahim Ali al-Badri al-Samarrai, atau lebih dikenali sebagai Abu Bakr al-Baghdadi. 

Penubuhan IS boleh dikaitkan dengan kumpulan Tawhid wa al-Jihad yang diwujudkan oleh seorang lelaki Jordan, Abu Musab al-Zarqawi pada 2002. Setahun selepas pencerobohan AS di Iraq, Zarqawi menyokong Osama Laden, ketua kumpulan pejuang Al-Qaeda di Afghanistan.

Zarqawi kemudian menubuhkan kumpulan Al-Qaeda di Iraq (AQI) yang menjadi kumpulan utama dalam pemberontakan terhadap pencerobohan AS. Selepas kematian Zarqawi pada 2006, AQI mewujudkan pertubuhan penaung, Negara Islam di Iraq (ISI). Kumpulan ini bagaimanapun berjaya dilemahkan oleh serangan AS dan penubuhan Majlis Sahwa oleh pemimpin puak Arab Sunni yang menolak keganasan ISI. Selepas menjadi pemimpin kumpulan itu pada 2010, al-Baghdadi membina semula keupayaan ISI. Menjelang 2013, ia sekali lagi melancarkan puluhan serangan dalam tempoh sebulan di Iraq. Ia juga menyertai pemberontakan terhadap Presiden Syria, Bashar al-Assad dengan menubuhkan Barisan al-Nusra.

Pada April 2013, al-Baghdadi mengumumkan penggabungan tenteranya di Iraq dan Syria serta penubuhan Negara Islam di Iraq dan Jajahannya (ISIL). Pada 2014, ISIL berjaya menakluki bandar Mosul di Iraq dan menuju ke arah Baghdad. Akhir bulan itu, selepas menggabungkan pegangannya terhadap puluhan bandar dan pekan, ISIL mengisytiharkan pembentukan negara khalifah dan menukar namanya kepada Negara Islam (IS).

ISIL : Kumpulan Militan Paling Kaya ?

Beberapa anggaran menyebut IS dan sekutunya mengawal kira-kira 40,000 kilometer persegi tanah di Iraq dan Syria, hampir sama dengan keluasan Belgium. Ada juga yang percaya IS mengawal hampir 90,000 kilometer persegi kawasan, sama seperti keluasan Jordan. Kawasan jajahan IS termasuk bandar Mosul, Tikrit, Falluja dan Tal Afar di Iraq, bandar Raqqa di Syria dan medan minyak, empangan, jalan utama serta pintu sempadan.

Sementara itu, seramai lapan juta orang dipercayai hidup di bawah kawalan penuh atau kawalan separa IS, dengan kumpulan itu melaksanakan undang-undang syariah tegas seperti memaksa wanita memakai purdah, orang bukan Islam perlu membayar cukai khas (jizyah) atau memeluk Islam dan melaksanakan hukum hudud. Dipercayai sehingga kini, ada seramai 31,000 anggota IS di Iraq dan Syria. Menurut satu rekod, lebih 12,000 orang luar dari sekurang-kurangnya 81 negara, termasuk 2,500 orang dari negara Barat ke Syria untuk berperang sejak tiga tahun lalu.

Pejuang IS mempunyai akses dan berkeupayaan menggunakan pelbagai jenis senjata berat termasuk pelancar roket, senjata antipesawat dan sistem peluru berpandu darat-ke-udara mudah alih. Mereka memiliki kereta kebal dan kenderaan berperisai yang dirampas daripada tentera Syria dan Iraq. IS dipercayai mempunyai rantaian bekalan fleksibel bagi memastikan bekalan peluru dan senjata kecil. IS dilaporkan mempunyai AS$2 bilion (RM6.5 bilion) wang tunai dan aset, menjadikannya kumpulan militan terkaya di dunia. Pada peringkat awal, kebanyakan sokongan kewangannya datang daripada orang perseorangan di negara Teluk Arab.

IS adalah pertubuhan yang mempunyai sumber kewangan sendiri, dengan mengumpul jutaan ringgit setiap bulan daripada medan minyak dan gas yang dikawalnya, selain cukai, tol, penyeludupan, ugutan dan penculikan. Pencerobohannya di Iraq memberikan kumpulan itu akses kepada wang tunai yang disimpan di bank utama di bandar yang ditaklukinya.

SANGGAHAN KESATUAN ULAMA' ISLAM ANTARABANGSA TERHADAP ISIL

Kesatuan Ulama Islam Sedunia - The International Union for Muslim Scholars (IUMS) menyatakan bahawa deklarasi “Khilafah Islamiyyah” yang dikumandangkan oleh kelompok Daulah Islamiyah Iraq dan Syria - State in Iraq and the Levant (ISIL) beberapa hari lalu adalah “deklarasi yang terbatal dan menyimpang daripada dasar ilmu syariah”.

Kesatuan Ulama Islam Sedunia menyenaraikan sebab untuk menolak pegisytiharan tersebut di mana langkah yang dilakukan oleh kumpulan itu dilihat tidak berdasarkan kepada perundingan dan konsensus umat Islam di negara tersebut. Kerana pincangnya kesepakatan, maka umat Islam sewajarnya mengabaikan penabalan Khilafah Islamiyah yang batil daripada sudut penegakan syariatnya. Berikut adalah kenyataan penuh sikap Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa terhadap Kekhilafahan ISIL yang dikeluarkan oleh Syeikh Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi, presiden IUMS dan setiausahanya, Syeikh Prof Dr. Ali al-Qarra Daghi.

Pada awalnya, Kesatuan Ulama Islam Sedunia melihat pengisytiharan “Daulah Islamiyah” yang dilaungkan oleh gabungan organisasi-organisasi jihad dengan kumpulan-kumpulan tentera pembebasan di Iraq adalah satu usaha murni untuk mempertahankan kestabilan masyarakat Sunni di Iraq dan mereka yang tertindas di negara tersebut. Kami mengalu-alukan gerakan jihad seumpama itu dan melihat kewajaran mobilisasi tersebut dilaksanakan untuk menolak ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku di Iraq.

Namun, tidak lama kemudian gabungan kumpulan jihad ini berpecah apabila timbulnya pembentukan Khilafah Islamiyah yang dilakukan ISIL. Mereka mengisytiharkan pertabalan “Khalifah bagi sekalian umat Islam” dan menuntut masyarakat Islam di seluruh dunia berikrar untuk menyatakan kesetiaan (baiah) kepadanya dalam setiap arahan yang dikemukakan. Kesatuan Ulama Islam Sedunia menilai enigma ini sebagai salah satu bentuk kejahilan terhadap neraca syariah dan realiti yang menimpa keseluruhan rakyat di Iraq. Pengisytiharan tersebut menimbulkan lebih banyak kemudharatan daripada manfaat.

Mengenai isu ini, Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa menegaskan perkara-perkara berikut: 

Pertama:

Semua umat Islam mengimpikan terbentuknya semula institusi Khalifah Islam, iaitu kriteria kepimpinan yang mengikuti petunjuk Nabi, di mana hasrat tersebut begitu sarat dan berkobar-kobar agar ia dapat dibentuk secepat mungkin. Namun, Islam secara gradual - menerusi kematangan sejarahnya - mengajar kita bahawa pembinaan projek sebesar ini perlu didahului oleh mekanisme dan rangka perancangan yang panjang terutamanya dalam menyediakan plan bagi mendepani risiko dan perlumbaan dengan kuasa-kuasa besar, memandangkan keupayaan kita sekarang jika dibandingkan keupayaan musuh-musuh, sekutu kita dan mereka, kita begitu ketinggalan jauh.

Tidak dinafikan kita wajib mewujudkan negara yang memerintah berlandaskan syariat Islam, dalam masa yang sama negara itu mestilah berjaya mengekalkan perpaduan di kalangan penduduknya, serta menguasai sumber-sumber pemilikannya, meraih kemuliaan dan moral penduduknya yang secara tidak langsung akan melindungi integriti dalamannya dan menjaga negara daripada campur tangan asing. Pembinaan ini berupaya mengasaskan pencerahan kepada masyarakat dunia terhadap hakikat Islam, memperkenalkan gagasan, objektif, dan pendiriannya secara umum termasuk kepada orang Islam, bukan Islam dan mereka yang memusuhi Islam.

Khilafah daripada sudut perspektif syariat bermakna pengutusan, dan Khalifah secara literal dan teknikalnya adalah ejen yang dipersetujui oleh Ummah dinobatkan melalui ikrar taat setia (baiah) mereka kepadanya. Lantikan ini secara rasional dan lazimnya tidak akan sah (terbatal) kecuali apabila keseluruhan Ummah menyatakan kesetiaan (menyerahkan baiah) kepada Khalifah, sama ada secara representatif (perwakilan) atau melalui wakil-wakil yang diistilahkan sejak dahulu sebagai Ahl al-Hal wa al-Aqdi di kalangan Ulul Amri terdiri daripada para ulama, orang yang kompeten dalam urusan audit, para pemimpin, penggubal undang-undang dan kumpulan-kumpulan Islam (jamaah Islam yang tinggal di negara tersebut).

Oleh kerana itu, deklarasi Khalifah yang semata-mata dilakukan oleh sekumpulan tunggal (ISIL) tidak memadai dan ia sekaligus membelakangi perundangan serta bercanggah dengan kehendak syariat.

Kedua:

Segala hal ehwal negera dan politik yang berlandaskan syarak menurut Islam mestilah berdasarkan syura (perundingan). Allah berfirman:
 وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ 
Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; (Syura: 38)
Allah juga berfirman:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ
Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. (Aali-Imran: 159)

Sekalipun dalam masalah penyusuan bayi, Islam meletakkan syarat bahawa ia perlu diputuskan melalui konsultansi (perundingan). Bagaimanakah pula masalah dalam menguruskan pentadbiran di sebuah negara yang besar dan institusi khalifah yang unggul?!

Sirah Rasulullah s.a.w membuktikan kepentingan syura (perundingan) sebagai resam kepimpinan baginda. Begitu juga ketika pemilihan khalifah sewaktu pemerintahan Khalifah al-Rasyidin berlangsung, ia diselesaikan melalui meja rundingan. Apabila kaum Muhajirin dan Ansar saling bercanggah dalam urusan mencari pengganti (khalifah), masing-masing berkumpul melakukan rundingan di Saqifah Bani Sa'idah sehingga mereka berjaya mencapai kata sepakat untuk memilih Abu Bakar al-Siddiq r.a. Kemudian mereka pergi Masjid mengusulkan persetujuan kepada rakyat, serta Ahl al-Hal wa al-Aqdi menyatakan taat setia (baiah) kepada Abu Bakar r.a. Setelah itu baharulah institusi kekhalifahan berjaya ditubuhkan sepenuhnya.

Khalifah berikutnya seperti Umar al-Khattab r.a, Uthman ibn Affan r.a dan Ali ibn Abi Talib r.a turut melalui sistem pelantikan khalifah mengikut kaedah yang sama. Dinaqalkan di dalam Sahih Bukhari bahawa ketika pemilihan Uthman ibn Affan r.a sebagai khalifah, Abd al-Rahman ibn Auf mendekati jamaah kaum lelaki dan berunding bersama mereka di tempat-tempat perhimpunan, manakala jamaah kaum wanita melalui bilik-bilik mereka.

Oleh itu, apabila kumpulan tertentu mengisytiharkan kebangkitan khalifah, pengisytiharan itu nyata sekali terbatal, tidak sah, dan ia membelakangi perakuan ijtihad semasa terhadap konteks syariat. Bahkan ia memberikan kesan yang lebih dahsyat kepada masyarakat Islam Sunni di Iraq, dan menguburkan revolusi di Syria. Sebaliknya, kesan itu akan membawa kepada penyatuan kuasa-kuasa musuh yang masing-masing berbeza latar belakang untuk menggagalkan kedua-dua revolusi sah untuk mengembalikan hak rakyat di Syria dan Iraq. Oleh kerana itu, kami menyeru agar masyarakat Islam lebih bersikap realistik dan mengambil kira kesan pengisytiharan itu terhadap rakyat di kedua-dua negara ini.

Ketiga:

Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa menegaskan:

(1)- Pengisytiharan Khalifah Islam yang di dakwa ISIL menunjukkan kurangnya pengetahuan mereka terhadap fekah berasaskan realiti itu. Perbuatan mereka ini sebenarnya adalah rampasan terhadap revolusi rakyat yang terdiri daripada masyarakat Islam Sunni, termasuklah suku-suku yang berbeza puak di beberapa kawasan di Iraq. Sekarang, mengapa tiba-tiba muncul sebuah organisasi (ISIL) mengisytiharkan pemerintahan Khilafah Islamiyah dengan memilih salah seorang pengikut di dalam organisasi tersebut sebagai khalifah, dalam ketiadaan institusi umat Islam melengkapi Ahl al-Hal wa al-Aqdi di kalangan ulama, individu-individu yang kompeten, para pemimpin, penggubal undang-undang dan komuniti jamaah Islam?

(2)- Perbuatan ISIL sama sekali tidak boleh diterima dan wajib ditolak sepenuhnya oleh seluruh organisasi Islam di seluruh dunia akibat daripada pengisytiharan “Khilafah Islamiyyah” dan “Khalifah” oleh organisasi tunggal (ISIL) yang membelakangi kepentingan rundingan dan persetujuan ummah.

(3)- Pengisytiharan ini membuka lebih banyak lagi pintu huru-hara, ia membolehkan mana-mana organisasi mendakwa sebagai Khalifah, iaitu sebagai penjaga hal ehwal umat Islam, tanpa persediaan yang rapi, keseragaman koordinasi dan penyelarasan matlamat. Dengan cara ini, konsep Khalifah Islam dilihat sebagai institusi yang gagal di kalangan rakyat, sekaligus memberikan ancaman yang lebih serius kepada penduduk di negara tersebut, dalam masa yang sama musuh-musuh Islam yang akan meraih manfaatnya.

(4)- Konsep Khilafah Islamiyah tidak seharusnya dihubungkan kepada organisasi-organisasi tertentu yang dikenali sebagai kumpulan yang berorientasikan kekerasan (tasyaddud). Ini kerana imej negatif tersebut selamanya tidak mungkin dapat membina projek Islam yang hebat ini dan melakar generasinya dengan baik.

(5)- Mengembalikan kegemilangan Khilafah Islamiyah adalah satu projek yang besar dan ia memerlukan usaha berlipat kali ganda melibatkan seluruh umat Islam. Kita semua merindui dan berhasrat menikmati zaman kegemilangan tersebut dan bercita-cita untuk menegakkannya. Namun, ia memerlukan pemahaman terhadap peraturan syarak di semua peringkat terhadap bentuk, model dan kandungan yang berasaskan kepada persetujuan sebulat suara di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Khilafah Islamiyah bukanlah boleh ditegakkan hanya pada deklarasi yang dilaungkan di sana sini tanpa mempunyai apa-apa asas yang berpijak pada dunia nyata dan undang-undang yang mengukuhkannya.

اللهم هب لنا عقولا راشدة لا تضل السبيل، وضمائر حية لا تتبع الهوى 

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami fikiran yang dipandu (kebenaran-Mu) dan tidak sesat dari jalan (Islam), (berikanlah kepada kami) suara hati yang benar dan tidak mengikut hawa nafsu.

 وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ 

Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (lantaran sikap tergesa-gesa atau putus asa). (Yusuf :21)

31 Januari 2014

Telefon Pintar Samsung Galaxy Note 3 : Phablet Terbaik Bagi Penghasilan Media Mobil

Artikel asal oleh : Effi Saharudin (Amanz Media)

Galaxy Note ialah peranti yang memulakan kegilaan phablet apabila ia muncul di pasaran tiga tahun yang lalu. Pada awal kemunculannya ramai yang mengatakan peranti phablet hanyalah gimik dan penggunaan stylus tidak lagi relevan. Tetapi jelas sekali Note mempunyai pasarannya tersendiri dengan jualan mencecah 40 juta unit setakat ini. Note 3 yang muncul bulan lalu dengan tujuan meneruskan kejayaan Samsung sebagai pengeluar phablet terbaik di pasaran. Adakah pembaharuan yang dibawa membuatkan anda harus membeli peranti ni ataupun tunggu sahaja versi tahun hadapan? Teruskan membaca untuk mengetahui pendapat kami.

Untuk generasi ketiga phablet ini, Samsung melakukan beberapa perubahan drastik bagi membuatkan rekaan Note 3 berbeza dari Note 2. Pertama sekali Note 3 kelihatan seperti sebuah Galaxy S2 yang dibesarkan dan tidak lagi mempunyai sisi yang bulat seperti sebuah Galaxy S3. Sebenarnya kami sudah agak bosan dengan rekaan peranti Galaxy Samsung yang menggunakan S3 sebagai acuan rekaan mereka. Ini membuatkan peranti keluarga Galaxy tidak mempunyai variasi yang ketara. Selain mempunyai bentuk yang lebih angular ,bahagian belakang Note 3 kini kelihatan seperti diperbuat daripada kulit lengkap dengan jahitan pada bahagian tepi. Berita baik disini ialah tekstur seakan kulit membuatkan peranti ini sedap dipegang di samping membuatkan menyukarkan peranti untuk tergelincir dari genggaman. Berita buruknya pula ialah panel belakang Note 3 ini tidak diperbuat daripada kulit asli tetapi sebenarnya masih diperbuat daripada plastik. Kami juga menyedari panel belakang ini agak mudah tercalar jadi jika anda membeli Note 3 adalah digalakkan untuk anda segera membeli sebuah casing.

Secara keseluruhan estetik baru yang digunakan pada Note 3 adalah jauh lebih baik dari mana-mana peranti Samsung Galaxy yang ada di pasaran sebelum ini. Kedudukan butang Note 3 masih mengekalkan rekaan lama Samsung. butang home fizikal masih lagi dikekalkan dan ianya dihimpit oleh butang kapasitif menu pada bahagian kiri dan butang kapasitif back pada bahagian kanan. Butang kuasa terletak pada bahagian kanan, butang suara pada bahagian kiri manakala port pengecas terletak pada bahagian bawah. Turun terletak pada bahagian bawah ialah pembesar suara mono peranti ini. Note 3 menggunakan port USB 3.0 dan akibatnya lubang port pada bahagian bawah peranti adalah agak besar. USB 3.0 digunakan kerana keperluan kelajuan pemindahan data yang besar dengan lebih pantas. Akhir sekali pada bahagian atas terdapat lubang jack fon kepala dan pemancar infra merah.

ANTARA MUKA

Sekali pandang tidak terdapat banyak perubahan pada antaramuka TouchWiz Samsung peranti ini. Ianya tidak banyak berbeza dari apa yang kami lihat digunakan pada Galaxy Mega.

Fungsi S Health, Air View, Smart Stay. Smart Pause, Smart Scroll, Air Gesture, Palm Motion, Group yang baru yang diperkenalkan oleh Samsung pada peranti ini boleh dilihat dengan melakukan tatalan dari bawah skrin ke atas. Secara automatik skrin My Magazine Samsung akan memenuhi ruang skrin Note 3. My Magazine bolehlah dikatakan sebagai jawapan Samsung kepada HTC Blinkfeed. Antaramuka My Magazine kelihatan seperti gabungan HTC Blinkfeed dan Flipboard. Terdapat tiga skrin utama pada My Magazine iaitu berita, media sosial dan peribadi. Tiga skrin ini boleh diakses denga melakukan tatalan ke kiri atau ke kanan. Dari My Magazine anda masih boleh mengakses butang telefon, khidmat pesanan ringkas, emel, kamera, Google Now, pelayar Internet dan talam aplikasi. Pada bila-bila masa anda boleh kembali kepada antaramuka telefon yang asal dengan menekan butang home.

FUNGSI KAWALAN SEBELAH TANGAN

Tahun ini skrin Note 3 dibesarkan dari 5.5″ kepada 5.7“. Pengguna phablet bersaiz melangkaui 5.5” sudah cukup arif dengan masalah kesukaran menggunakan peranti mereka menggunakan sebelah tangan. Pada Note 2 Samsung memperkenalkan papan kekunci mini yang boleh diaktifkan bagi memudah proses menaip. Tetapi fungsi ini masih belum sempurna bagi memudahkan penggunaan Note 2 dengan hanya menggunakan sebelah tangan secara menyeluruh. Untuk Note 3 fungsi baru “all screen use” pula diperkenalkan keseluruhan antaramuka peranti mengecil kepada saiz sebuah peranti 4″. Ini pada hemat kami ialah penyelesaian yang kreatif untuk masalah menggunakan peranti bersaiz besar dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Jika saiz 4″ adalah terlalu kecil anda boleh mengubah saiz skrin ini mengikut kehendak anda dengan menekan skrin pensaizan manual.

'AIR COMMAND' DAN STYLUS BAHARU

Air Command pula ialah pintasan untuk 5 fungsi menggunakan stylus setiap kali ianya dikeluarkan dari ruang penyimpanannya. Pintasan tersebut ialah S Finder, Action Memo, Scrap Booker, Screen Write dan Pen Window. S Finder memudahkan anda mencari semula nota, aplikasi, lakaran, emel ataupun gambar yang disimpan di dalam Note 3. Ia berfungsi seperti pencari fail yang ada pada PC ataupun Mac anda. S Finder juga boleh dilancarkan dengan menekan butang menu kapasitif selama beberapa saat. Action Memo berfungsi seperti sebuah stick it note yang boleh membaca tulisan anda. Dari apa yang ditulis anda boleh melakukan carian Google, menyimpan nombor ke dalam telefon atau melancarkan aplikasi Waze untuk mendapatkan panduan ke nama tempat yang ditulis. Scrap Booker mengambil gambar bahagian skrin yang anda tetapkan menggunakan stylus. Gambar tersebut kemudian diletakkan di dalam aplikasi S Memo secara automatik untuk kegunaan anda. Screen Write pula mengambil keseluruhan paparan skrin dan kemudian membenarkan anda menulis di atas screenshot ini secara terus. Akhir sekali ialah Pen Window dimana aplikasi mini boleh dibuka dengan melukis segi empat tepat pada skrin Note 3. Dalam kelima-lima fungsi di atas kami merasakan fungsi pen window adalah yang paling kurang kami gunakan kerana melancarkan aplikasi mini sepatutnya lebih mudah dari terpaksa melakar segi empat. Cara aplikasi mini dilancarkan pada peranti Sony Xperia adalah lebih mesra pengguna.

Kami menyedari stylus berteknologi Wacom Note 3 kali ini lebih sensitif berbanding versi tahun lalu. Lakaran dapat dilakukan dengan lebih tepat dan masalah sela masa yang dialami Note 2 berjaya dikurangkan. Aplikasi S Memo mengekalkan kesemua berus dan pen yang ada sebelum ini dan ini sedikit mengecewakan. Masih tiada sokongan melakar berdasarkan lapisan (layer) pada S Memo tetapi Samsung membenarkan anda memuat turun aplikasi Sketchbook oleh Autodesk secara percuma jika anda mahu melakar dengan sokongan lapisan.

Di akhir hari tiada peranti lain yang mempunyai sokongan stylus yang lebih baik dari Note 3 di pasaran buat masa ini. Ianya stylus yang paling jitu dengan pelbagai fungsi yang memudahkan urusan kerja dan melakukan lakaran. Fungsi-fungsi inilah yang membuatkan Note 3 raja segala phablet di pasaran buat masa ini.

KAMERA

Note 3 dilengkapi kamera sebesar 13 MP pada bahagian belakang lengkap dengan flash dan 2 MP pada bahagian hadapan. Kedua-dua kamera ini mampu mengambil video pada format HD penuh. Kamera utama Note 3 juga mempu mengambil video beresolusi 4K. Video yang diambil mempunyai keperincian yang tinggi dan amat jelas. Masalahnya sekarang tidak ramai pengguna mempunyai televisyen ataupun monitor komputer yang menyokong resolusi UHD ini. Kami juga perasan seperti majoriti video yang diambil menggunakan peranti mobil, masalah rolling shutter jelas kelihatan sekiranya anda melakukan gerakan yang pantas ketika video di ambil. Saiz video 4K yang diambil amat besar, oleh sebab itu Samsung membekalkan port dan kabel USB 3.0 pada peranti ini.

Dari segi fungsi pula Note 3 mempunyai kesemua fungsi kamera yang diperkenalkan pada Galaxy S4 sebelum ini. Antaramuka kamera peranti ini amat mudah digunakan dan mesra pengguna. Fungsi baru yang kami sedari adalah fungsi Surround Shot yang merupakan fungsi Photo Sphere peranti Nexus versi Samsung. Fungsi ini menarik tetapi harus diakui sukar untuk mendapatkan gambar surround shot yang sempurna.

Kami membezakan gambar yang diambil menggunakan Sony Xperia Z1 dengan gambar yang diambil menggunakan Note 3. Dari segi keperincian jelas kelihatan tidak banyak beza di antara gambar yang diambil kamera bersensor 13 MP dan 20.3 MP Sony. Perbezaan paling ketara hanyalah dari segi dedahan dimana gambar yang diambil menggunakan Note 3 adalah jauh lebih terang. Kepulan awan pada bahagian langit hilang apabila diambil menggunakan Note 3 berbanding pada Z1. Tetapi secara keseluruhan kami secara peribadi lebih menyukai gambar yang diambil menggunakan Note 3 kerana tidak banyak suntingan perlu dilakukan selepas gambar diambil. Bagi mereka yang memang mahukan sebuah kamera point and shoot pelbagai guna, kami rasakan kamera Note 3 adalah lebih baik secara keseluruhan berbanding Z1.

PENANDA ARAS

Kami menjalankan 3 ujian standard yang biasa kami lakukan bagi melihat kemampuan Note 3 berbanding peranti-peranti lain. Pada ujian Quadrant, Note 3 mencatatkan 14070 markah. Ini adalah lebih rendah dari 19795 yang dicatatkan oleh Xperia Z Ultra tetapi lebih tinggi dari 6850 yang dicatatkan Galaxy Mega .Pada ujian Antutu pula ia mencatat 29464 markah berbanding 33546 pada Z Ultra. Markah penanda aras yang secara konsisten jauh lebih rendah ini agak mengejutkan kerana Note 3 mempunyai pemproses yang lebih pantas (2.3 GHz Empat Teras Snapdragon 800) berbanding Z Ultra (2.2 GhzE mpat teras Snapdragon 800). Jumlah RAM pada Note 3 juga lebih besar iaitu 3 GB berbanding hanya 2 GB pada Z Ultra.

Tetapi dalam ujian Futuremark sebaliknya pula berlaku dengan Note 3 mencatatkan 18312 markah berbanding 17599 untuk Z Ultra.

Apa yang boleh kami simpulkan disini ialah ujian penanda aras bukan penentu sebenar kemampuan sesuatu peranti. Sepanjang penggunaan Note 3 kami gembira menyatakan kami tidak mengalami sebarang masalah kecil maupun besar. Kelajuan tatalan adalah pantas dan lancar. Penukaran aplikasi juga dapat dilakukan dengan mudah. Kemampuan 3D juga memuaskan. Kami menghabiskan banyak masa bermain Dead Trigger 2 pada peranti ini tanpa masalah sela masa ataupun program membeku secara tiba-tiba.

BATERI

Note 3 dibekalkan dengan bateri berkapasiti 3200 mAh. Ini adalah saiz bateri yang sama yang digunakan pada Samsung Galaxy Mega. Jangka hayat purata bateri apabila digunakan dengan kerap ialah sekitar 8 setengah jam. Pada penggunaan sederhana ia mencecah sehingga 13 jam. Ini bermakna jangka hayat bateri Note 3 hanya sedikit lebih baik dari Galaxy Mega. Prestasi bateri akan berkurangan sehingga 2 jam apabila Note 3 digunakan secara serentak dengan sebuah Galaxy Gear. Ketahanan bateri berkadar terus dengan jumlah notifikasi dan aplikasi yang memerlukan maklumat dihantar kepada Gear oleh Note 3.

KESIMPULAN

Pasaran sekarang semakin dipenuhi peranti dengan saiz skrin melebihi 5.5″. Kejayaan Samsung menjual peranti dari keluarga Note sejak 2011 menunjukkan ada permintaan untuk peranti phablet. Note 3 membawakan pelbagai pembaharuan yang memastikan ia kekal sebagai phablet yang terbaik yang ada di pasaran. Antaramuka tidak diberikan perubahan drastik dengan hanya fungsi baru My Magazine diperkenalkan. Kepada mereka yang mahukan fungsi seperti BlinkFeed pada peranti Samsung mereka, My Magazine memenuhi keperluan membaca berita dan kemaskini laman sosial dengan lebih mudah. Sebuah lagi fungsi baru yang kami rasakan sangat bagus pada Note 3 ialah moda penggunaan sebelah tangannya. Skrin 5.7″ peranti ini memang terlalu besar untuk digunakan dengan sebelah tangan dan penyelesaian elegan yang diperkenalkan Samsung berfungsi dengan cukup sempurna. Kami berharap fungsi sebegini akan muncul pada peranti-peranti lain dan bukan hanya terhad kepada Samsung.

Kemampuan kamera 13 Megapixel juga cukup mengagumkan kerana ia mampu mengambil video pada resolusi 4K. Fungsi ini memang menarik namun kami yakin tidak ramai pengguna di luar sana memiliki televisyen 4K untuk melihat hasilnya dengan sempurna. Gambar yang diambil jelas dengan tajam. Gambar yang diambil dalam keadaan gelap juga nampak jelas. Masalah yang ada hanyalah dari segi dedahan di mana keperincian sesetengah bahagian gambar hilang kerana dedahan yang terlalu tinggi. Fungsi -fungsi pratetapan yang diperkenalkan pada Galaxy S4 ditambah lagi dengan surround shot, animated photo dan golf. Sungguhpun begitu fungsi light trace yang diperkenalkan pada Galaxy Camera masih tidak kelihatan.

Tidak lengkap ulasan sebuah Note jika kami tidak membincangkan fungsi stylusnya. Keperincian stylus yang dibekalkan bersama peranti Note semakin baik dengan setiap model baru. Sela masa di antara penghasilan lakaran pada skrin dengan pergerakan stylus itu masih wujud tetapi ianya terlalu minima sehingga boleh dikatakan hampir tidak disedari. Fungsi Air Command diperkenalkan bagi melicinkan pengguna memilih fungsi stylus apa yang ingin mereka gunakan dengan mudah. Sungguhpun begitu pada pendapat kami fungsi pen window tidak mesra pengguna. Melancarkan aplikasi dengan melakar empat segi tidak semudah hanya menekan logo aplikasi seperti yang digunakan pada peranti Sony Xperia.

Dari sudut spesifikasi memang peranti ini mempunyai cukup kuasa untuk melakukan tugasan dan memainkan aplikasi permainan tanpa masalah. Ujian tanda aras menunjukkan ia mampu bersaing dengan Z1 dan Z Ultra yang pada ketika artikel ditulis mengungguli carta penanda aras. Jumlah RAM yang besar turut memastikan masalah sela masa tidak akan menghantui anda sepanjang tempoh pemilikan. Mungkin Samsung menyedari antaramuka Touchwiz mereka memang “berat” dan penambahan RAM sehingga 3 Gigabyte dapat menyelesaikan masalah sela masa yang sudah wujud sejak bertahun lamanya.

Kemampuan bateri adalah sepadan dengan majoriti peranti empat teras di luar sana. Ia mampu bertahan secara purata selama 8 setengah jam sebelum perlu dicas pada penggunaan berat. Harus dinyatakan hayat bateri akan berkurangan sekiranya Note 3 digunakan secara serentak dengan sebuah Galaxy Gear. 

Sebagai kesimpulan Samsung Galaxy Note mencipta pasaran untuk peranti Android berskrin besar dan dilengkapi stylus. Pada awal kewujudannya Samsung ditertawakan oleh laman web di negara barat kerana dikatakan peranti tanpa pasaran. Selepas 3 tahun kita kini melihat peranti keluarga Note semakin popular dan mengungguli carta jualan phablet dunia. Note 3 pada hemat kami ialah phablet paling berkuasa, mesra pengguna, mempunyai pelbagai fungsi unik dan terbaik untuk penghasilan media mobil. Tidak ada phablet sebaiknya di luar sana dan jika adapun ia mungkin sebuah Samsung Galaxy Note 4. Kami mengesyorkan anda membeli peranti ini kerana ianya masih raja segala phablet.

RINGKASAN: KELEBIHAN

1. Binaan yang kemas dengan bahagian belakang kelihatan seperti diperbuat daripada kulit. Ini jauh lebih baik dari panel plastik yang sebelum ini sinonim dengan kesemua produk peranti Android Samsung.

2. Pelbagai fungsi baru untuk mengambil nota, menghasilkan carta, melakukan lakaran dan stylus yang semakin responsif. Galaxy Note 3 ialah telefon pintar yang pada hemat kami mempunyai paling banyak fungsi yang berguna.

3. Spesifikasi pemproses dan RAM yang tinggi memastikan peranti berfungsi dengan amat lancar tanpa sebarang lengah masa. Markah dari penanda aras menunjukkan Note 3 ialah peranti paling berkuasa untuk masa ini.

4. Fungsi sebelah tangan mengecilkan antaramuka peranti kepada saiz skrin sebesar 4.5″. Akhirnya fungsi one handed yang benar-benar praktikal untuk sebuah phablet.

RINGKASAN: KEKURANGAN

1. Gambar yang diambil terang tetapi mengalami masalah dedahan berlebihan. Jika gambar awan di langit diambil, ianya tidak boleh dilihat pada gambar kerana masalah ini.

2. Slot sim dan mikroSD yang tidak berspring. Agak sukar untuk mengeluarkan SIM dan kad mikroSD.

07 Januari 2014

Perkembangan Bayi Berusia Dua Belas (12) Bulan

Menurut pembacaan saya terhadap perkembangan bayi yang berusia dua belas (12) bulan di laman web BabyCenter.Com, berikut adalah berberapa perkara yang perlu anda tahu :

Langkah-langkah pertama bayi

Pencapaian bayi yang paling utama sudah hampir tiba – pada bila-bila masa di bulan ini bayi anda mungkin akan mula mengambil langkah-langkah pertamanya (sesetengah bayi tidak akan berjalan untuk beberapa minggu atau bulan lagi). Kebanyakan kanak-kanak mengambil langkah awal mereka dengan berjengket sambil mengarah kaki mereka ke luar. Sudah tentu anda tidak mahu terlepas peluang untuk mencatatkan saat ini, jadi bersedialah dengan kamera anda.

Pada waktu ini juga, bayi anda sudah pandai makan sendiri dan menggunakan sudu, walaupun belum begitu cekap dan makanan seringkali tidak sampai ke mulutnya.

Permainan baru bayi

Pada masa ini, permainan bayi anda mula berubah dari permainan yang membangunkan kemahiran motor halus (dia sudah mahir mencengkam dengan ibu jari dan jari telunjuknya) dan mula beralih kepada permainan yang melatih otot-otot yang lebih besar. Sesetengah kanak-kanak pada umur ini sudah boleh menumpukan perhatian kepada aktiviti-aktiviti yang senyap selama dua hingga lima minit – walaupun bayi anda mungkin lebih gemarkan permainan yang bukan jenis senyap.

Memang, bagi bayi anda, perbuatan menolak, membaling dan melanggar semua benda dan membuatnya jatuh merupakan satu perkara yang menyeronokkan.

Dia suka memberikan anda alat mainan tapi dia juga akan mengambil alat mainan daripada anda, dan dia juga suka meletakkan barang seperti bongkah ke dalam bekas dan mengeluarkan semuanya semula. Periuk dan kuali juga boleh digunakan untuk ini – dia pandai meletakkan periuk yang kecil ke dalam periuk yang lebih besar dan akan seronok mendengar bunyi bising yang terhasil apabila periuk dan kuali berlaga-laga.

Memudahkan waktu tidur

Salah satu perkara yang menyenangkan semasa membesarkan bayi ialah apabila sampai waktu untuk tidur - masa yang anda boleh gunakan untuk berehat dan mengembalikan tenaga anda. Tetapi, apabila bayi anda menghampiri hari jadi pertamanya dia akan semakin enggan untuk tidur di siang hari¸ dan kemahuan berdikari ini akan membuatkan bayi anda meragam semasa waktu tidur.

Mengikuti rutin tidur yang tetap, seperti mandian atau membaca buku cerita sebelum tidur, mungkin boleh membantu bayi anda tidur. Elok jika diadakan "urutan" yang konsisten bagi rutin tidur ini. Berikan bayi makan, mandikan dia, pakaikan pakaian tidur, bermainlah dengannya, atau bacakan buku cerita, atau nyanyikan lagu, mainkan muzik dan kemudian barulah baringkan dia di katilnya.

Apa sahaja langkah yang diambil, jadikan ia satu rutin yang tetap, yang juga memberikan anda dan bayi anda masa yang lebih panjang untuk bermesra dan berehat. Anda juga boleh bersilih ganti menjalankan rutin tidur ini bersama suami anda (anda mandikan bayi, suami anda membacakan buku cerita dan lain-lain cara) pada setiap malam, atau, untuk meringankan tugas dan membenarkan anda berdua berehat beberapa kali seminggu, cuba menidurkan bayi anda secara bergilir-gilir.

Sukar berpisah

Beberapa bulan kebelakangan ini, anak anda mungkin menunjukkan perangai meragam disebabkan bimbang berpisah. Ini perkara biasa: dia menyayangi anda dan memerlukan anda, jadi dia akan berasa tertekan apabila anda meninggalkannya. Untuk memudahkan proses pemisahan, cuba minta pengasuh datang lebih awal supaya bayi anda mempunyai masa untuk membiasakan diri dengannya. Tinggalkan dia secara bersahaja saja dan jangan menyulitkan keadaan dengan memanjangkan ucapan selamat tinggal anda; lakukannya dengan cepat, iaitu hanya dengan satu ciuman. Bayi anda akan berhenti menangis apabila anda hilang dari pandangannya.

Anda boleh membantu bayi anda untuk lebih berdikari dengan tidak menunggu dekatnya setiap masa. Jika dia bertatih ke bilik yang lain, tunggulah beberapa minit sebelum mengikutinya. Jika anda pergi ke bahagian lain dalam rumah anda, panggil bayi anda datang kepada anda apabila anda sudah berada di bilik itu – dan jangan bekejar-kejar kepadanya setiap kali dia menjerit.

Bukanlah perkara yang terbaik untuk bayi anda untuk mendapat kebebasan sepenuh daripada ayah dan ibu; anda tentu mahu dia memahami yang dia boleh bergantung kepada anda bila-bila masa, dan, walaupun dia menyedari kehadiran dan pemergian anda, ini tidak begitu mengganggukan dia.

Lebih memahami bahasa

Walaupun pada tahap ini bayi hanya boleh bertutur beberapa perkataan selain "mama" dan "dada", didapati kebanyakan bayi yang berusia satu tahun boleh menyebut ayat pendek dengan menggunakan nada yang betul walaupun kedengaran seperti bahasa asing.

Pada masa ini, bayi anda sudah boleh memberi respon kepada soalan dan arahan yang mudah, terutamanya jika anda membantunya dengan menggunakan pelbagai isyarat tangan. Contohnya, tanyalah "Di mana mulut kamu?" dan tunjukkan ke arah mulutnya. Atau cuba, "Tolong ambilkan cawan" dan tunjukkan ke arah objek itu. Bayi anda mungkin menjawab dengan caranya tersendiri, dengan menggunakan isyarat juga, seperti menggelengkan kepala untuk menyatakan "tidak".

Gunakan potensi penerimaan yang ada pada bayi anda sekarang untuk mula mengajarnya bersopan santun dan membina sikap suka membantu. Tekankan pentingnya kata-kata "sila" atau "boleh ke?" dan "terima kasih". Di samping itu, jadikan waktu mengemas alat mainan bayi anda satu masa yang menyeronokkan dengan menjadikannya satu aktiviti mainan. Walaupun bayi anda mungkin kurang faham akan maksud anda, bukanlah terlalu awal untuk membentuk tabiat ini.

Memberi nama kepada benda-benda

Anda memainkan peranan penting dalam membantu bayi anda menghubung kaitkan objek dan nama sesuatu objek itu - semakin kerap anda melakukannya, semakin cepat perbendaharaan kata bayi anda akan berkembang. Sentiasalah bercakap dengan bayi anda dan menamakan benda. Apabila menaiki tangga, kira bilangan tangga satu persatu dan jika berada di pasar raya tunjukkan nama dan warna buah-buahan dan sayur-sayuran yang ada. Bacakan buku bergambar dan minta dia tunjukkan atau namakan objek yang dikenalinya.

Pastikan anda memberikan dia pilihan sekali-sekala. Tanya bayi anda sama ada dia mahu memakai stoking berwarna merah atau biru; dia hendak bermain dengan bongkah atau gegelung bertingkatnya. Dia mungkin tidak akan menjawab, tetapi kemungkinan juga dia akan menggembirakan anda dengan menjawab apabila tidak dijangka.

KESIMPULAN

Ingatlah bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai tahap-tahap perkembangan fizikal yang utama mengikut masanya sendiri. Kemahiran-kemahiran yang ditetapkan merupakan panduan yang menunjukkan potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda - jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan jika bayi anda dilahirkan pramatang, anda akan mendapati yang dia akan lambat untuk mencapai perkembangan tertentu tidak seperti kanak-kanak lain. Jangan risau, kebanyakan doktor akan menilai pembesaran bayi pramatang dari waktu yang dia sepatutnya dilahirkan dan menentukan pencapaiannya sewajarnya.

07 Disember 2013

Perkembangan Bayi Berusia Sebelas (11) Bulan

Menurut pembacaan saya terhadap perkembangan bayi yang berusia sebelas (11) bulan di laman web BabyCenter.Com, berikut adalah berberapa perkara yang perlu anda tahu :

Berdikari secara fizikal

Sekarang, cuma tinggal satu bulan saja sebelum harijadi pertama bayi anda dan anda harus sedar yang dia bukan lagi seorang yang tidak boleh bertindak sendiri tanpa anda. Walaupun dia masih memerlukan banyak jagaan dan bantuan, tetapi tahap berdikarinya kian meningkat – jelas apabila melihat dia berdiri, membongkok dan mencangkung – yang semakin menonjol.

Dia mungkin boleh berjalan dengan memegang tangan anda dan dia akan mengulurkan lengan atau kakinya untuk membantu anda memakaikan pakaiannya.

Pada waktu makan, dia mungkin boleh memegang cawan dan minum sendiri (walaupun sesetengah kanak-kanak tidak boleh membuat ini untuk beberapa bulan lagi) dan boleh menyuap dan menghabiskan makanannya dengan sendiri. Apa yang menarik ialah, apabila anak anda pandai memegang cawan dan minum sendiri, masa inilah anda mesti belajar bagaimana nak mengelak, sebab sudah tentu dia akan melontarkan saja cawan itu apabila selesai walaupun ada kalanya dia meletakkan cawan secara lembut.

Dia juga akan menjatuhkan objek dengan sengaja untuk dikutip oleh orang lain, barangkali mengharapkan anda juga.

Buku untuk si pembaca kecil

Bayi anda seronok melihat buku, walaupun dia tidak akan membukakannya sehelai demi sehelai. Dia juga akan mempunyai buku kegemarannya yang dia akan mahu mengulangi berulang-kali.

Membentuk peribadinya sendiri

Pada usia ini, bayi anda mula menjadi asertif dengan adik-beradiknya dan mula menyertai permainan secara selari – bermain hanya di sampingan (tetapi bukan bersama) kanak-kanak yang lain.

Dia juga akan memilih sesuatu selimut atau anak patung lembut sebagai objek sekuriti untuk mendampinginya.

Tiba masanya untuk menetapkan batasan

Bayi anda mungkin sudah boleh memahami arahan mudah dan dengan sengaja akan memilih untuk tidak mendengar cakap anda apabila anda mengatakan "tak boleh." (Untuk menegaskan ungkapan tersebut, hanya gunakannya untuk perkara-perkara yang betul-betul merbahaya.) Walaupun pada keesokan harinya, bayi anda tidak akan ingat lagi apa yang anda katakan pada hari ini, namun, bukanlah terlalu awal untuk anda menetapkan batasan-batasan dan mula mengajarnya apa yang betul dan apa yang tidak.

Anda bukannya bersikap kejam jika anda tidak membenarkannya makan satu keping kek lagi; anda hanya menetapkan batasan. Jika dia menarik ekor anak kucing, alihkan tangannya, pandang mukanya dengan serius dan katakan, "Jangan, itu menyakitkan kucing." Kemudian, ambil tangannya dan tunjuklah dia bagaimana untuk membelai kucing dengan lembut.

Dia lebih suka meneroka daripada mendengar amaran anda, jadi anda mesti bijak mencari jalan untuk melindungi dan mengajarnya. Apa yang anda terlihat seakan-akan bantahan, sebenarnya bukan begitu; ia hanyalah perasaan semulajadinya untuk mengetahui bagaimana dunia sekelilingnya bergerak dan wujud.

Bercakap tak terhingga

Bunyi-bunyi perkataan dan bunyi yang mirip perkataan akan diungkapkan oleh bayi anda – dan digunakan secara bermakna. Apabila lobus frontal otak bayi anda bertumbesar, serentak dengan keupayaan kognitif tinggi seperti penaakulan dan pertuturan, adalah baik jika anda dapat menggalakkan minatnya terhadap bahasa dengan mendengar bersungguh-sungguh dan membalas kata-kata dan celotehnya. Interaksi seperti ini adalah penting untuk membiasakannya dengan komunikasi dua hala. Bermain permainan bertepuk-tepuk tangan dan permainan sekejap-nampak, sekejap-tidak atau peek-a-boo akan membantunya menajamkan daya ingatannya.

Pada usia ini, bayi anda mungkin boleh mengajuk bunyi perkatan serta infleksi bunyi dan juga tingkah-laku tertentu. Dia juga mungkin boleh mematuhi arahan mudah seperti "Tolong ambilkan saya bola itu" atau "Angkat sudu itu." Bantu dia belajar dengan memberi arahan secara mudah, langkah demi langkah supaya senang diikuti.

Hargailah masa yang singkat tetapi istimewa ini, iaitu semasa kemahiran komunikasi bayi anda sedang berkembang. Ini boleh dikatakan kebolehan yang paling penting yang diperolehi olehnya.

KESIMPULAN

Ingatlah bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai tahap-tahap perkembangan fizikal yang utama mengikut masanya sendiri. Kemahiran-kemahiran yang ditetapkan merupakan panduan yang menunjukkan potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda - jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan jika bayi anda dilahirkan pramatang, anda akan mendapati yang dia akan lambat untuk mencapai perkembangan tertentu tidak seperti kanak-kanak lain. Jangan risau, kebanyakan doktor akan menilai pembesaran bayi pramatang dari waktu yang dia sepatutnya dilahirkan dan menentukan pencapaiannya sewajarnya.