20 Jun 2015

Baitul Muslim : Agenda Tarbiyyah Gerakan Islam

Saya mengambil pendirian bahawa Baitul Muslim adalah sebagai salah satu daripada agenda tarbiyyah bagi mana-mana Gerakan Islam.

Tidak mustahil jika kita pernah terbaca mana-mana artikel yang memperlihatkan agenda ini sebagai sesuatu yang sangat-sangat ditakuti musuh, khususnya di kalangan gerakan kuffar seperti Sekularisme, Freemanson, Yahudi dan juga Kristianisasi kerana sistem ini mampu menggegar Ummah Islam di seluruh dunia!

Baitul muslim bukan sekadar sistem 'cari jodoh' seorang muslim haraki (orang Islam yang bergerak di jalan Allah) sebagaimana yang dipraktik. Ia harus dipupuk seawal penggabungan diri dengan mana-mana gerakan Islam. Bilamana sistem ini dilihat sebahagian daripada TARBIYAH, ada berberapa perkara asas yang perlu difahami oleh kita semua.

Di antaranya adalah seperti berikut:

1. Tarbiyyah harus difahami sebagai proses doktrinisasi fikrah Islam yang meliputi aqidah perjuangan terhadap ahli gerakan Islam. Mana-mana perselisihan pendapat terhadap kefahaman aqidah perjuangan ini tidak harus dilihat sebagai satu ikhtilaf atas perkara-perkara furu' (cabang), tetapi harus dilihat sebagai elemen kegagalan tarbiyyah dalam diri sendiri.

2. Mehnah dan ibtila' (halangan dan ujian) adalah 'penghias' sistem tarbiyyah. Perselisihan suami isteri, masalah zuriat, campurtangan orang luar, dan masalah pengurusan masa adalah sebahagian ujian yang biasanya dialami seorang ahli gerakan Islam mengikut kemampuan dan taraf Iman. Ini sekaligus menjadikan sistem Baitul Muslim itu bukan suatu 'insuran' terhadap keharmonian rumah tangga, tetapi bertujuan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Ta'ala.

3. Baitul Muslim kerana Allah mampu meraih Mardhatillah (Redha Allah). Sistem ini seharusnya dilihat sebagai suatu ibadah, bukan berdasarkan nafsu semata-mata. Nabi SAW juga memuliakan umatnya yang berkahwin lebih daripada mereka yang bujang.

4. Baitul Muslim 'memadukan' isteri (isteri-isteri). Kefahaman mengenai aulawiyat (keutamaan) dan muwazzanah (pertimbangan) memperlihatkan pengurusan masa sesebuah keluarga lebih tertumpu kepada perjuangan agama Allah. Tetapi, ia bukanlah satu perlepasan tanggungjawab terhadap pemberian nafkah dan tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anak), malah kebajikan mereka sepatutnya lebih terjaga dengan kefahaman Fiqh dan kasih sayang yang terpupuk lebih daripada sesiapa yang tidak pernah mengenal/melalui sistem ini.

Oleh itu, sebagai seseorang yang cintakan agama Allah Ta'ala, seluruh kehidupannya haruslah bersandarkan dengan apa yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Moga kita semua mencapai peringkat ketaqwaan yang tertinggi hingga ke hujung nyawa, insha Allah.

-----------
Intipati di atas adalah isi-isi utama yang pernah saya kongsikan bersama sahabat-sahabat di kampus baru-baru ini. Moga kita sentiasa beristiqamah hingga kemenangan.

Tiada ulasan: