14 Januari 2019

Kesultanan Perlak : Konflik & Keruntuhan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani

SEBAGAI daulah Islam yang pertama di Nusantara dan berdiri selama 452 tahun, Perlak terpaksa juga melalui perit dan getir dalam mempertahankan kelangsungannya. Seperti mana runtuhnya beberapa daulah Islam yang besar ketika itu seperti Daulah Ummayah (750M), Fatimiyah (1179M), Ayubiyyah (1250M) dan Abbasiyah Baghdad (1258M), akhirnya Perlak turut mengalami nasib yang sama. Salah satu faktor utama kelemahan dan keruntuhan Perlak ialah akibat serangan besar-besaran yang dilakukan oleh Sriwijaya dalam perluasan pengaruh mereka. Namun begitu, keruntuhan Perlak bukanlah dalam erti kata runtuh yang sebenar, tetapi kerajaannya diserap masuk dalam Kerajaan Samudera-Pasai kerana ketiadaan waris takhta. Percantuman Perlak ke dalam Samudera-Pasai telah menamatkan sejarahnya yang berusia hampir setengah abad itu.

13 Januari 2019

Kesultanan Perlak : Perkembangan & Pembaharuan Pentadbiran

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kerajaan Perlak telah berkembang menjadi sebuah kerajaan yang kukuh dalam tempoh 452 (840-1292M) tahun. Namun begitu, dalam tempoh kewujudannya, Perlak terpaksa berhadapan dengan beberapa kuasa besar yang menghalang ia dari berkembang pesat. Antara kuasa besar tersebut ialah Sriwijaya yang berpusat di Palembang, Langkasuka di utara Semenanjung dan juga Kerajaan Chola (300-1279M) yang berpusat di pantai timur India. Ketiga-tiga kuasa politik ini berada di sekeliling Perlak, sedangkan Sriwijaya dan Langkasuka beragama Buddha, manakala Chola pula beragama Hindu. Halangan besar yang dihadapi oleh Perlak untuk berkembang ialah penduduknya beragama Hindu-Buddha, sedangkan kerajaannya telah Islam. Laporan Marco Polo pada 1292M jelas menunjukkan hakikat ini. Kerana itu, dalam tempoh 452 tahun itu, kerajaan Perlak lebih memberikan fokus kepada dakwah daripada perluasan wilayah.

12 Januari 2019

Kesultanan Perlak : Perkembangan Dakwah Dan Perlaksanaan Syariat

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pembentukan daulah Islam di Perlak yang berlaku pada 1 Muharram 225H (840M) telah menunjukkan bahawa kewujudan daulah Islam di Nusantara adalah sezaman dengan berdirinya Daulah Abbasiyah (750-1258M) di Baghdad dan Daulah Umayyah Andalusia (756-1031M) di Cardova. Para pendakwah dan ulamak di Perlak telah bekerjasama dengan istana Perlak dalam mengembangkan dakwah dan menjadikan Perlak sebuah daulah Islam, sekali gus menjadi pusat penyebaran Islam di Nusantara. Walaupun terdapat perbezaan tarikh penubuhan kerajaan ini berdasarkan saranan Teungku M Yunus pada 1958M, bahawa ia ditubuhkan pada 1161M (520H), tetapi bukti terkini berdasarkan sumber Arab seperti Akhbar as-Sin wa al-Hind, Silsilat at-Tawarikh dan al-Buldan yang ditulis antara abad kesembilan dan 10M, menunjukkan sebelum tahun 1000M telah ada kerajaan Islam di Perlak. Pada 1980, berdasarkan naskhah kronik Idharul Haq fi Mamlakatil Perlak karangan Abu Ishak al-Makarani, sebahagian sejawaran mengakui Islam berdiri di Perlak pada 840M.

11 Januari 2019

Kesultanan Perlak : Negara Islam Pertama Di Tanah Melayu

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kemasukan Islam ke Nusantara sejak abad ketujuh Masehi akhirnya membuahkan hasil apabila daulah Islam yang pertama dapat didirikan di Perlak, utara Sumatera (dalam provinsi Aceh sekarang). Kerajaan Islam Perlak dikatakan berdiri selepas 40 tahun kedatangan Islam ke wilayah itu. Kerajaan Perlak yang terletak di pantai timur Aceh, mengadap Selat Melaka muncul ketika Empayar Sriwijaya yang berpusat di Palembang dan beragama Buddha menjadi kerajaan terbesar di Nusantara. Islam yang masuk ke Perlak dikatakan berasal dari Teluk Kambey, Gujerat, India dan pada awalnya bermazhab Syiah. Ada pengkaji mengatakan rombongan pendakwah tersebut dikirimkan oleh Abdullah bin Muawiyah bin Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib (m. 747M), pemimpin yang memberontak di Kufah terhadap Daulah Umayyah bersama Abu Muslim untuk mengasaskan Daulah Abbasiyah pada 750M. Rombongan pendakwah yang dikirimnya ini telah berjaya meng-Islamkan Perlak pada awal 800M, sebelum dapat menegakkan daulah Islam.

10 Januari 2019

Islam & Tamadun Melayu : Hubungan Islam Di Nusantara Dengan Khilafah Islam

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Khalifah adalah ketua bagi orang beriman atau disebut amirul mukminin yang menggantikan tugas-tugas kenabian dalam memimpin umat untuk menegakkan hukum agama dan mentadbir urusan dunia dengan Islam. Dalam sejarah Islam, selepas kewafatan Nabi SAW pada 632M, kepemimpinan umat digantikan oleh Khulafa’ ar-Rasyidin (632-661M), Daulah Umayyah (661-750M), Daulah Abbasiyah (750-1517M) dan Daulah Othmaniyah (1517-1924M). Pada zaman Abbasiyah, muncul beberapa kerajaan yang penting termasuklah Daulah Saljuk (1037-1194M) dan Daulah Mamalik (1250-1517M) yang merupakan nadi Daulah Abbasiyah. Pada masa yang sama, muncul pula beberapa daulah yang mengisytiharkan mereka sebagai khalifah berasingan iaitu Daulah Fatimiyah (909-1171M), Daulah Umayyah Andalusia (929-1031M) dan Daulah Muwahidun (1143-1269M). Kebangkitan Daulah Islamiyah Melayuwiyah meliputi era Daulah Abasiyah di Baghdad (750-1258M) hinggalah munculnya Daulah Fatimiyah, Umayyah Andalus, Saljuk dan Mamalik, sebelum kebangkitan Daulah Othmaniyah pada 1299M.

09 Januari 2019

Islam & Tamadun Melayu : Ulamak Di Nusantara Sebelum Abad Ke-15 Masihi

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kemasukan Islam ke Nusantara sehingga membawa kepada berdirinya daulah-daulah Islam adalah berhubung rapat dengan peranan dan gerakan para ulamak. Pergerakan ulamak di Nusantara sejak abad kesembilan hingga abad ke-15M adalah dakwah secara damai seperti yang telah dibahaskan sebelum ini. Setelah berjaya meng-Islamkan beberapa raja Melayu, pengukuhan Islam dibuat dengan membina para pendakwah tempatan dan memupuk kehidupan beragama dalam masyarakat. Proses ini mengambil masa yang agak panjang, tetapi dapat membina kekuatan dalaman bagi orang Melayu. Tempoh 500 tahun untuk mengembangkan Islam telah memperlihatkan hasil apabila Kerajaan Melaka menutup tirai sejarahnya pada 1511M dengan menyaksikan kewujudan kerajaan-kerajaan Islam di seluruh Nusantara dan kemasukan orang Melayu secara besar-besaran ke dalam Islam. Tinggal lagi proses ini dibantutkan oleh kejatuhan Granada di Eropah pada 1492M dan juga Melaka pada 1511M.

08 Januari 2019

Islam & Tamadun Melayu : Peranan Ulamak Dalam Pemupukan Kehidupan Beragama

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Selain berjaya meng-Islamkan raja-raja Melayu dan melahirkan para ulamak tempatan sebagai kader dakwah, salah satu sumbangan besar para ulamak adalah pemupukan kehidupan beragama dalam masyarakat. Budaya orang Melayu pra Islam adalah berteraskan pengaruh Hindu-Buddha yang berasal dari India. Sebarang bentuk pemupukan kehidupan beragama dalam masyarakat Melayu, harus mempertimbangkan latar belakang ini untuk mengelakkan orang Melayu yang mulai terbuka terhadap Islam beralih arah. Pendekatan yang keras akan menyebabkan orang Melayu menjauhi Islam dan melemahkan rancangan membangunkan daulah Islam di Alam Melayu. Inilah perbezaan pendekatan dakwah ulamak di Alam Melayu, berbanding Arab, Afrika, Parsi dan India, yang mana Islam masuk melalui pedang dan perang. Sedangkan, pendekatan dakwah ulamak yang bercorak sufi ini, menurut Dr Burhanuddin al-Helmy telah membolehkan Islam berkembang secara aman dan diterima secara menyeluruh oleh orang Melayu.