07 November 2016

07 November 1992 : Majlis Syura Ulamak PAS Luluskan Draf Undang-Undang Hudud Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1992, Majlis Syura Ulamak PAS telah meluluskan draf awal rang undang-undang kanun jenayah syariah bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan seperti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kecil Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat di bawah Jawatankuasa Pemandu Kerajaan PAS Kelantan. Perlaksanaan hukum jenayah syariah termasuk hudud adalah salah satu dari janji PAS yang telah dinyatakan dalam Manifesto PAS Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990. Bagi menggubal draf undang-undang ini, Kerajaan PAS Kelantan telah mengambil masa dua tahun untuk membuat kajian, terutama pada aspek perlaksanaan dan kedudukannya dalam Perlembagaan Negeri Kelantan.

Setelah setahun PAS memerintah Kelantan, tumpuan awal yang diberikan oleh PAS adalah mewujudkan sistem pentadbiran Islam, tanpa menumpu kepada perlaksanaan syariat. Dalam soal perlaksanaan syariat, kajian telah dibuat oleh Jawatankuasa Kecil tersebut ke atas Perlembagaan Negeri Kelantan untuk menyelaraskannya dengan prinsip-prinsip Islam, sekali gus memudahkan perlaksanaan syariat. Setelah kajian ke atas Perlembagaan Negeri Kelantan telah selesai pada 17 Mac 1991, kajian untuk menggubal undang-undang syariat mula dibuat terutama mulai 1992. Pada 18 Oktober 1991, Jawatankuasa Pemandu Kerajaan PAS Kelantan telah menerima cadangan daripada Jawatankuasa Semakan dan Perlaksanaan Undang-undang Negeri Kelantan berkait cadangan pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan, yang dianggap langkah awal ke arah perlaksanaan syariat.

Sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Payung, Terengganu antara Mac-April 1992, isu perlaksanaan hudud mula menjadi panas kerana kenyataan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan pada 1 April 1992 bahawa PAS akan meminda Perlembagaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan hudud, telah mendapat reaksi negatif dari pemimpin Umno. Memandangkan PAS bertegas untuk melaksanakan hudud, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 16 April 1992 menyatakan pendirian Kerajaan Pusat untuk tidak menghalangnya, yang menyebabkan ia disambut baik oleh Menteri Besar Kelantan. Kerajaan Pusat kemudiannya berubah pendirian setelah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menentangnya. Bagi menghentikan suara-suara yang menentang hudud ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 10 Mei 1992 telah mengingatkan bahawa perbuatan menolak hukum Allah boleh menyebabkan seseorang itu murtad.

Di sebalik polemik yang berlarutan sepanjang 1992 ini, Jawatankuasa Kecil yang dianggotai oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib, Ustaz Hussin Awang, Wan Abdul Muttalib Embong dan Tun Mohd Salleh Abas telah berjaya menyiapkan draf undang-undang syariat tersebut. Pada 7 November 1992, Majlis Syura Ulamak PAS yang bermesyuarat bersama Lajnah Undang-undang dan Guaman PAS Pusat telah menerima pembentangan draf undang-undang syariat yang dilaksanakan di Kelantan, dan meluluskannya. Pada awalnya Kerajaan PAS Kelantan bercadang untuk membentangkannya di DUN Kelantan pada November 1992, tetapi ia tertangguh beberapa kali kerana masalah teknikal, sehinggalah akhirnya ia berjaya dibentang pada 24 November 1993 dan diluluskan keesokkannya.

06 November 2016

06 November 1996 : Sultan Kelantan Gagal Hadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ekoran Krisis MB Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1996, Sultan Kelantan, Sultan Ismail Perta telah gagal menyertai mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174 di Istana Negara, Kuala Lumpur kerana tidak diiringi oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat atau wakilnya. Menurut peraturan mesyuarat Majlis Raja-raja, seseorang sultan perlu diiringi oleh Menteri Besar atau timbalannya yang diwakilkan secara bertulis untuk membolehkan Baginda menyertai mesyuarat tersebut. Keengganan Menteri Besar Kelantan melantik wakilnya ke mesyuarat Majlis Raja-raja ekoran krisis politik Kelantan ketika itu telah menyebabkan Sultan Kelantan yang menghadiri mesyuarat tersebut bersama Timbalan Menteri Besar II Kelantan, Dato' Mohamed Rozali Isohak telah tidak dibenarkan menyertainya.

Krisis politik Kelantan telah tercetus selepas Pilihan Raya Umum 1995 apabila Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) mula menimbulkan isu-isu yang mengeruhkan hubungan dengan PAS, sehingga akhirnya hubungan kedua-dua parti diputuskan pada 14 Julai 1996. Ekoran itu, PAS cuba memecat empat orang Exco (kemudian menjadi tiga kerana kematian ADUN Pulai Chondong pada 4 Disember 1996), tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana Sultan Kelantan enggan memberikan perkenan. Pada 19 Julai 1996, Menteri Besar Kelantan telah bertindak melucutkan semua portfolio Exco Kerajaan dari PMS46 kerana tidak mahu meletak jawatan setelah menjadi pembangkang. Dalam masa yang sama, beberapa kali permohonan Menteri Besar untuk mengadap Sultan Kelantan bagi menyelesaikan krisis ini telah ditolak oleh Istana.

Di sebalik anggapan umum bahawa Sultan Kelantan telah campur tangan dalam urusan politik, BN telah bertindak mendesak PAS membubarkan DUN Kelantan bagi membolehkan pilihan raya diadakan untuk PAS mendapat baru, kerana kononnya mandat lama diperolehi atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Pada 6 Oktober 1996, PMS46 dibubarkan bagi membolehkan ahli-ahlinya menyertai Umno. Mengambil langkah terhadap tindakan Istana Kelantan serta peranan PMS46 dan Umno dalam krisis ini, pada 24 Ogos 1996, Menteri Besar Kelantan telah berunding dengan Peguam Negara untuk meminda Perlembagaan Negeri Kelantan; serta usaha menggantung keahlian anggota Exco Kerajaan dari PMS46 melalui Jawatankuasa Khas DUN Kelantan, tetapi kedua-duanya telah menemui kegagalan. Sultan Kelantan pula terus memboikot Kerajaan PAS Kelantan dengan tidak menjemput wakil-wakil rakyat PAS dalam majlis-majlis pengurniaan di raja di jajahan-jajahan. Sementara itu, Umno terus menggunakan isu perlantikan Exco Kerajaan adalah hak Sultan Kelantan, dan mendakwa mereka tidak perlu meletak jawatan walaupun telah menyertai Umno.

Bertindak terhadap kedegilan Exco Kerajaan dari PMS46 yang tidak mahu meletak jawatan dan keengganan Sultan Kelantan menerima mengadap Menteri Besar selaku ketua kerajaan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah bertindak untuk tidak menandatangani surat pelepasan untuk membolehkan Sultan Kelantan diiringi oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' Abdul Halim Abdul Rahman ke Mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174. Sultan Kelantan yang enggan diiringi oleh Menteri Besar kerana krisis ini, dan juga gagal diiringi oleh Ustaz Dato' Abdul Halim Abdul Rahman kerana tidak diberi pelepasan oleh Menteri Besar, terpaksa membawa Timbalan Menteri Besar II, Dato' Mohamed Rozali Isohak sebagai pengiring dalam mesyuarat pada 6 November 1996 itu tanpa surat pelepasan Menteri Besar. Oleh kerana kedua-dua Timbalan Menteri Besar tersebut tidak diberikan surat pelepasan untuk mengiringi Sultan Kelantan, Baginda Sultan Kelantan telah 'dimalukan' kerana tidak dibenarkan menyertai mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174 pada 6 November 1996 tanpa diiringi oleh Menteri Besar atau wakilnya.

05 November 2016

05 November 1989 : Majlis Syura Ulamak PAS Putuskan Wanita Tidak Boleh Jadi Wakil Rakyat

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1989, Majlis Syura Ulamak PAS Pusat telah mengambil satu keputusan dasar yang menetapkan bahawa wanita tidak sayugia menjadi ahli Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat dalam sistem perundangan di negara ini. Menurut keputusan Majlis Syura Ulamak PAS itu, wanita hanya dibenarkan menduduki dewan perundangan jika mereka memenuhi syarat-syarat yang ketat seperti yang ditetapkan oleh hukum syarak. Pendirian dasar PAS ini telah menghalang suara-suara yang cuba mendesak supaya wanita menjadi calon dalam pilihan raya, termasuk cadangan yang dibawa oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan (yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat) kepada PAS Kelantan pada 4 Oktober 1989 supaya wanita dipertimbangkan sebagai calon PAS dalam pilihan raya.

Isu calon wanita dalam pilihan raya ini timbul ekoran cadangan sekutu PAS, Semangat 46 yang mahu meletakkan calon wanita di Kelantan. Pada 2 Oktober 1989, pemimpin wanita Semangat 46, Hajah Ilani Dato' Isahak telah mempersoalkan sikap PAS yang dikatakan "masih ditakuk lama" dalam isu calon wanita, sedangkan menurut beliau, Islam mengharuskan perkara tersebut. Ekoran itu, isu calon wanita telah ini dibawa oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan untuk dibincangkan oleh Dewan Harian PAS Kelantan pada 4 Oktober 1989, tetapi mereka menyerahkannya kepada Majlis Syura Ulamak PAS untuk menetapkan dasar PAS dalam perkara ini kerana isu tersebut sedang dikaji oleh badan pembuat dasar PAS itu. Isu calon wanita ini merupakan antara isu kritikal dalam pembentukan kerjasama politik antara PAS dengan Semangat 46 kerana parti tersebut bercadang meletakkan calon wanita di Kelantan. Sebelum itu, pada 30 September 1989, Majlis Syura Ulamak PAS yang meneliti isu-isu berbangkit berkait calon wanita ini, telah membentuk sebuah jawatankuasa kecil untuk mengkajinya.

Jawatankuasa kecil yang dianggotai oleh Ustaz Idris Omar, Ustaz Ibrahim Abdullah dan Ustaz Azizan Abdul Razak ini telah ditugaskan untuk menyediakan sebuah kertas berkait dengan hukum wanita menjadi calon dan menjadi ahli dewan perundangan mengikut hukum syarak. Pada 29 Oktober 1989, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok ketika mengulas isu ini telah memberi pandangan bahawa Islam tidak menggalakkan wanita berbuat demikian. Persoalan ini kemudiannya diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 5 November 1989 dengan ketetapan bahawa wanita tidak boleh menjadi ahli dewan perundangan di negara ini, dengan kekecualian bersyarat. Antara syarat-syarat pengecualian tersebut ialah:

I. Jika dewan perundangan di Malaysia menyerupai atau hampir menyerupai majlis syura Islam;

II. Jika ia mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi melaksanakan segala kebaikan dan mencegah segala kemungkaran;

III. Jika wanita itu mempunyai kelayakan yang diperlukan sebagai ahli majlis syura Islam; dan

IV. Jika tugas itu (sebagai calon dan wakil rakyat) tidak memaksa wanita itu bergaul secara bebas yang boleh menjejaskan agama, maruah dan sama'ahnya.

Bertolak dari pendirian Majlis Syura Ulamak PAS ini, semua perundingan PAS berkaitan dengan calon adalah dengan dasar tiada calon dan wakil rakyat wanita. Yang paling menarik adalah isu calon-calon wanita dari parti sekutu PAS terutama Semangat 46. Oleh kerana Semangat 46 mencadangkan Ketua Wanita Kelantannya, Hajah Ilani Dato' Isahak bertanding di Kota Bharu, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memaklumkan keputusan PAS Kelantan pada 5 Oktober 1990 untuk meletakkan calon PAS di mana-mana kerusi yang ditandingi oleh calon wanita dari Semangat 46. Walau bagaimanapun, kerana menghormati hak sekutunya, PAS tidak berbuat demikian semasa Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990, sebaliknya PAS telah melantik Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Ustazah Kalthum Othman sebagai Ahli Dewan Negara mewakili kaum wanita di dewan perundangan.

04 November 2016

04 November 1982 : Kepimpinan Baru PAS Dibentuk Pasca Pengunduran Asri Muda

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membentuk kepemimpinan baru PAS yang diketuai oleh ulamak bagi memulihkan semula organisasi PAS ekoran perletakan jawatan sekumpulan pimpinannya selepas 23 Oktober 1982. Pembentukan saf kepemimpinan baru PAS secara simboliknya telah memulakan era kepemimpinan ulamak dalam PAS, sekali gus menamatkan krisis kepemimpinan parti yang berlarutan sejak 1980 sehingga membawa kepada pertembungan pengaruh dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-27 pada 17-19 April 1981. Kali terakhir PAS diketuai oleh ulamak ialah di bawah pimpinan Prof Dr Burhanuddin al-Helmy sebelum beliau ditahan ISA pada 28 Januari 1965.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda yang menerima tekanan kuat dari para perwakilan yang mewakili ahli akar rumput PAS telah bertindak meletakkan jawatannya sebagai pemimpin utama PAS pada 23 Oktober 1982. Turut meletakkan jawatan kemudiannya ialah sekutu rapat Dato' Mohd Asri Haji Muda iaitu Ustaz Dato' Abu Bakar Umar (Setiausaha Agung PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah), Haji Hassan Mohamad (Bendahari Agung PAS), Ustazah Datin Sakinah Junid (Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat) dan Wan Ismail Ibrahim (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS). Dengan perletakan jawatan lima orang pemimpin utama PAS ini telah menyebabkan PAS mengalami perpecahan kepemimpinan yang besar untuk kali kedua selepas krisis kepemimpinan pada 1977 yang membawa kepada tertubuhnya Berjasa.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang membincangkan masalah perletakan jawatan mereka dan langkah-langkah penyelesaiannya pada 4 November 1982, telah memutuskan untuk menerima semua perletakan jawatan tersebut dan melantik saf kepemimpinan yang baru. Oleh kerana Setiausaha Agung PAS, Dato' Abu Bakar Umar telah mengisytiharkan dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-28 bahawa Ustaz Haji Yusof Abdullah Rawa menjadi Pemangku Yang Dipertua Agung PAS mengikut Fasal 22(8) Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977, ekoran penerimaan muktamar terhadap perletakan jawatan Dato' Mohd Asri Haji Muda, maka jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS juga turut mengalami kekosongan. Jawatankuasa Kerja Agung PAS kemudiannya melantik Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor sebagai Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah. Bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias pula dilantik sebagai Pemangku Naib Yang Dipertua Agung PAS, manakala bekas Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS yang baru. Seorang lagi bekas Setiausaha Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad dilantik menggantikan Ustaz Haji Hassan Shukri sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat. Ada pun tempat yang dikosongkan oleh Wan Ismail Ibrahim sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah digantikan oleh Ustaz Twahir @ Tahir Daeng Mengati dari Johor. Turut terlibat dalam perlantikan baru ini ialah bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Salmah Sheikh Hussein yang diangkat sebagai Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat menggantikan Datin Sakinah Junid.

Dengan terlantiknya saf kepemimpinan baru yang membentuk asas kepemimpinan ulamak dalam PAS, keseluruhan organisasi PAS telah berjaya dipulih dan diperkukuhkan. Elemen-elemen yang mewujudkan krisis dalam PAS telah tersingkir dari kepemimpinan utama PAS. Walaupun penyokong-penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda cuba melakukan 'kekacauan' dalam PAS melalui siri-siri perletakan jawatan terutama di Kelantan dan Kedah, kemudian diikuti oleh penubuhan sebuah Jawatankuasa Bertindak yang dipimpin oleh Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, semua gerakan ini dapat dibendung apabila Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 23 Januari 1983 telah mengambil tindakan tatatertib terhadap 13 orang penyokong Dato' Mohd Asri Haji Muda sehingga membawa kepada tertubuhnya parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) pada 24 Mac 1983, yang sekali gus menamatkan krisis kepemimpinan tersebut.

03 November 2016

03 November 1990 : PAS Tubuhkan Jawatankuasa Pemandu Awasi Pentadbiran Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) bagi merancang, menasihat dan mengawasi pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan. Jawatankuasa Pemandu ini dibentuk setelah PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) berjaya menguasai Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990 dengan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar. Jawatankuasa Pemandu ini berfungsi untuk membantu Kerajaan Kelantan dalam melaksanakan pentadbiran berasaskan Islam sebagai mana manifesto PAS 'Membangun Bersama Islam.'

Jawatankuasa Pemandu ini dianggotai oleh pemimpin-pemimpin kanan PAS yang terdiri daripada Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor (Yang Dipertua PAS Pusat), Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Timbalan Yang Dipertua PAS Pusat), Dr Daeng Sanusi Mariok (Naib Yang Dipertua PAS Pusat), Haji Mustafa Ali (Bendahari PAS Pusat), Ustaz Abdul Halim Arshad (Setiausaha Agung PAS), Ustaz Azizan Abdul Razak, Haji Wan Abdul Muttalib Embong dan Ustaz Nik Abdullah Arshad (Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat). Peranan utama mereka adalah untuk membantu Kerajaan PAS Kelantan merancang program-program pembangunan, perlaksanaan syariat dan pentadbiran Islam; menasihati dasar-dasar Kerajaan PAS Kelantan agar selari dengan Islam; serta mengawasi dasar dan pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan supaya selari dengan Islam dan dasar parti.

Setelah Jawatankuasa Pemandu ini dibentuk, pada 30 November 1990, mereka telah menubuhkan lima buah jawatankuasa kecil untuk menjalankan peranan Jawatankuasa Pemandu. Lima jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, Hubungan, Bantuan dan Kepakaran; Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat; Jawatankuasa Pengesan Pentadbiran Kerajaan Negeri; Jawatankuasa Pembangunan Sosio-ekonomi; dan Jawatankuasa Perancangan Pendidikan dan Latihan. Pada 29 November 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah menetapkan satu prinsip pentadbiran iaitu parti menguasai kerajaan dan Kerajaan PAS Kelantan dikehendaki melaksanakan semua dasar yang terkandung dalam Manifesto PAS dan Manifesto PAS Kelantan.

Jawatankuasa Pemandu yang dibentuk pada 3 November 1990 ini kemudiannya berjaya memainkan peranan membantu Kerajaan PAS Kelantan terutama dalam proses mewujudkan pentadbiran Islam dan perlaksanaan syariat. PAS pada peringkat awalnya mengambil langkah melaksanakan pentadbiran Islam dengan mewujudkan pentadbiran telus dan bebas rasuah, kerajaan tanpa riba serta kerajaan yang berjimat-cermat dan membudayakan gotong-royong. Kemudian rakyat diperkenalkan dengan budaya hidup Islam dan penghapusan budaya mungkar, sebelum agenda perlaksanaan syariat dikembangkan. Perlaksanaan syariat telah dimulakan dengan penutupan premis judi dan penghapusan riba hinggalah kepada penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993. Kelantan juga turut menjadi model dalam memperkenalkan perumahan tiga bilik, sistem gadaian Islam, cuti dua hari seminggu dan lain-lain, selain berjaya memaksa perlaksanaan sistem perbankan dan kewangan Islam di negara ini mulai 1994.

02 November 2016

02 November 1977 : PAS Diberi Lima Hari Buat Pendirian Terhadap Isu Darurat Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1977, Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn telah memberikan tempoh lima hari kepada PAS, iaitu sehingga 7 November 1977, sama ada menerima keputusan Perdana Menteri untuk mendaruratkan Kelantan, dalam pertemuan antara pemimpin Umno dan Jawatankuasa Perunding PAS. Isu darurat Kelantan timbul ekoran krisis politik Kelantan yang menyebabkan Menteri Besar, Dato' Mohamad Nasir dikenakan undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977. Akibatnya, telah berlaku rusuhan politik di Kota Bharu dan perintah berkurung dikeluarkan pada 19 Oktober 1977.

Untuk menyelesaikan krisis ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan rundingan dengan pemimpin PAS dan mencadangkan 'Formula Dr Mahathir' atau Kelantan didaruratkan jika enggan menerima formula ini. Antara formula yang dikemukakan oleh Dr Mahathir Mohamad ialah perletakan jawatan Menteri Besar dan semua anggota Exco Kerajaan Kelantan dari PAS dan sebuah kerajaan baru yang diketuai oleh Ustaz Nik Abdullah Arshad sebagai Menteri Besar ditubuhkan. Dr Mahathir Mohamad juga mencadangkan sebuah kerajaan sementara yang ditadbir oleh pegawai kanan Malaysian Civil Service (MCS) yang bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri ditubuhkan di bawah undang-undang darurat.

PAS Kelantan pada 29 Oktober 1977 kemudiannya telah menolak cadangan-cadangan Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya mengesyorkan supaya pegawai MCS yang dicadang untuk mentadbir negeri di bawah undang-undang darurat itu dijadikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sahaja. PAS Kelantan juga menolak rombakan seluruh anggota kerajaan dengan Menteri Besar baru yang dicadangkan oleh Dr Mahathir Mohamad kerana menganggapnya sebagai 'kerajaan patung.' PAS Kelantan mahukan sebuah kerajaan yang Menteri Besarnya dikuasai oleh parti, dan tidak mahu menerima calon-calon tajaan Umno untuk mengelakkan kelemahan pentadbiran Dato' Mohamad Nasir berulang. PAS Kelantan juga tidak mahu Kelantan daruratkan kerana ia membolehkan Umno menguasai Kelantan secara tidak demokratik.

Di sebalik pendirian PAS Kelantan ini, pada 2 November 1977, Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn telah menolak syor PAS Kelantan tentang kedudukan pegawai MCS yang dicadangkan oleh Dr Mahathir Mohamad. Beliau yang juga Pengerusi BN telah mengambil sikap untuk bertegas supaya Kelantan didaruratkan setelah Formula Dr Mahathir ditolak. PAS kemudiannya diberikan tempoh sehingga 7 November 1977 untuk memberikan jawapan ke atas keputusan Perdana Menteri itu. Dalam perjumpaan antara Dato' Hussein Onn (yang turut disertai pemimpin Umno iaitu Tengku Razaliegh Hamzah, Dato' Senu Abdul Rahman, Abdul Ghafar Baba, Datuk Aishah Ghani, Datuk Mokhtar Hashim, Datuk Mohd Adib Adam dan Datuk Mohd Ghazali Shafie) dengan pemimpinan PAS yang terdiri daripada Dato' Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Perunding PAS iaitu Dato' Ishak Lotfi Omar, Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, Wan Ismail Ibrahim, Cikgu Mohd Zain Abdullah dan Ustaz Salahuddin Abdullah pada 2 November 1977 ini, Perdana Menteri telah memilih formulanya sendiri iaitu mendaruratkan Kelantan.

Pada 4 November 1977, sebelum PAS memberikan jawapan tentang cadangan Perdana Menteri itu, Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan di Parlimen mengenai cadangan pembentangan rang undang-undang bagi mendaruratkan Kelantan. Pada 6 November 1977, Dato' Hussein Onn telah memaklumkan bahawa rang undang-undang tersebut akan dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat pada 8-9 November 1977. Keadaan ini menyebabkan pendirian PAS diminta oleh Perdana Menteri sebelum 7 November 1977 menjadi tidak bermakna lagi. Pada 7 November 1977, Jawatankuasa Perunding PAS telah menolak cadangan Perdana Menteri yang tidak menghormati PAS, dan sebelum itu, pada 6 November 1977, Jawatankuasa Kerja Agung PAS memutuskan supaya semua Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen PAS meletak jawatan untuk menentang undang-undang ini.

01 November 2016

01 November 1965 : DAP Nyatakan Kesediaan Bekerjasama Dengan PAS

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1985, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ketujuh yang dijangka akan diadakan dalam tahun 1986. Lim Kit Siang membuat kenyataan demikian setelah Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad mempertegaskan bahawa PAS akan menghapuskan sistem kuota kemasukan pelajar ke universiti jika PAS menguasai kerajaan. Kenyataan pemimpin PAS dilihat oleh DAP sebagai selari dengan dasar Malaysian Malaysia yang menekankan soal merit berbanding kuota.

Isu hubungan PAS-DAP telah berbangkit dalam PAS semenjak sebelum Pilihan Raya Umum 1982 lagi. Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 29 Januari 1981 pernah mencadangkan supaya PAS bekerjasama dengan DAP dalam Pilihan Raya Umum tersebut sebagai lanjutan daripada kerja sama PAS dengan MCA dan MIC ketika berada dalam BN. Tetapi pandangan ini ditentang keras oleh pimpinan dan ahli PAS, terutama Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu pada 14 Februari 1981 telah mengugut untuk meletak jawatan jika PAS bekerjasama dengan DAP demi memastikan "pengikut-pengikut PAS tidak terpesong dari aqidah Islam." Di kalangan ahli-ahli PAS di Kelantan dan Terengganu, mereka bukan sahaja membantah, tetapi 53 buah ranting PAS telah diancam dengan pembubaran.

Kegagalan hubungan dengan MCA, MIC dan Gerakan dalam BN, yang diikuti oleh penolakan ahli-ahli PAS terhadap DAP telah mendorong Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 30 April - 1 Mei 1983 mengambil keputusan supaya PAS mendekati orang-orang bukan Islam, dan penegasan Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa dalam Ucapan Dasarnya pada muktamar ini supaya PAS memecahkan tembok pemisah di antara PAS dengan orang bukan Islam, telah membuka langkah baru PAS. Pada awalnya, PAS menawarkan dialog kepada MCA pada 15 Oktober 1984, tetapi tidak mendapat sambutan baik dari parti perkauman Cina itu. Ekoran itu, PAS menganjurkan Simposium Islam dan Persoalan Perpaduan Negara pada 10 Februari 1985, di mana Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menegaskan bahawa orang Cina boleh memimpin negara ini jika dia seorang Islam yang "wara' dan mempunyai kelayakkan sebagai pemimpin Islam.

Pada 10 Oktober 1985, dalam Simposium Negara Islam yang dianjurkan oleh PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menjelaskan bahawa kerajaan Islam yang didukung oleh PAS akan memberikan hak dan perlindungan kepada orang bukan Islam secara adil dalam semua perkara. Dalam pada itu juga, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah menjelaskan bahawa jika PAS memerintah, sistem kuota dalam pengambilan pelajar universiti akan dihapuskan supaya semua kaum mendapat hak secara seimbang. Pandangan-pandangan PAS yang berasaskan keadilan Islam tanpa sentimen perkauman ini telah perhatian para pemimpin DAP.

Memberi respon terhadap keterbukaan dan keadilan sistem pemerintahan Islam yang ditawarkan oleh PAS, pada 1 November 1985, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan kesediaan DAP untuk bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh. Terdahulu, pendirian PAS itu disokong oleh Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin, yang menyebabkan cadangan Lim Kit Siang supaya DAP dan PAS bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh turut didukung oleh Karpal Singh. DAP kemudiannya mengarahkan Timbalan Setiausaha Agungnya, P Patto agar mengaturkan dialog antara DAP dengan PAS dan PSRM bagi mencapai tujuan tersebut. Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa pada 24 Disember 1985 menyatakan kesediaan PAS terhadap kerjasama ini, tetapi ia tidak menjadi kenyataan sehingga tertubuhnya gabungan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) pada 14 Julai 1986.