07 Mei 2013

Perkembangan Bayi Berusia Empat (4) Bulan

Menurut pembacaan saya terhadap perkembangan bayi yang berusia empat (4) bulan di laman web BabyCenter.Com, berikut adalah berberapa perkara yang perlu anda tahu :

Makan kurang kerap

Apabila bayi anda mencapai usia empat bulan, perutnya sudah membesar jadi dia tidak lagi perlukan makanan begitu kerap – hanya empat atau lima kali sehari. Namun begitu, berat badannya masih bertambah – keperluannya untuk mengambil makanan menurun apabila dia menjadi lebih besar, lebih mirip kepada kekerapan kanak-kanak yang lebih tua atau orang dewasa. 

Sekarang di waktu makan, perhatiannya mula beralih kepada orang dan benda-benda, justeru, walaupun anda seronok apabila melihat dia sedar dan responsif terhadap benda-benda baru, anda mendapati bahawa memberinya makan menjadi satu perkara yang sulit. Sekiranya bayi anda mudah ralit dan tidak menumpukan kepada makanannya, carilah satu tempat yang lebih sunyi untuk memberikan dia makan.

Bakat baru pusing meniarap dan menelentang

Apabila bayi anda dibaringkan atas perutnya, dia akan mengangkatkan kepala dan bahunya seberapa tinggi dan menggunakan lengannya untuk mengampu dan menahan. Tekan tubi mininya ini membantu bayi mengukuhkan otot-otot dan dia juga akan mendapat pandangan yang baik tentang perkara-perkara yang sedang berlaku di sekitarnya.

Dia mungkin juga mengangumkan anda (dan diri sendiri!) dengan berpusing dari baring telungkup kepada telentang, atau sebaliknya. Anda boleh menggalakkan ini melalui mainan: goyang-goyangkan patung mainan di tempat ke mana dia akan pusing untuk menggalakkan dia mencuba lagi. Beri tepukan dan senyuman apabila dia melakukan ini; dia memerlukan sokongan anda sebab perbuatan-perbuatan barunya ini agak menakutkan baginya.
 
Masa ini untuk makanan pepejal? 

Bagi empat ke enam bulan pertama dalam hidupnya, bayi anda memperolehi semua nutrien yang diperlukan dari susu badan atau susu formula.

Namun begitu, didapati bahawa ibubapa sudah mahu mula memberi makanan pepejal. Berbincanglah dengan doktor anda sebelum mencuba pepejal. Anda boleh mulakan dengan memberinya sedikit pepejal (iaitu makanan lembik seperti makanan bayi yang dipuri atau bijirin bayi) memandangkan saluran pencernaannya sudah agak matang dan refleks menjolok lidah keluar semakin lenyap.

Walau bagaimanapun, kebanyakan doktor menggalakkan ibubapa agar menunggu sampai bayi berusia enam bulan. Dengan tidak memberikan pepejal terlalu awal, anda boleh mengurangkan reaksi alergik dan menjaminkan yang susu ibu dan formula dalam diet bayi anda tidak dikurangkan.
 
Memanjangkan tangan dan memasukkan objek ke dalam mulut

Bayi anda sekarang sudah boleh memanjangkan tangannya dan merampas sesuatu objek, walaupun lazimnya pertama kali dia mencuba dia terlepas sasarnya. Apabila dia dapat memegang sesuatu, dia akan mengkajinya untuk seketika dan kemudian cuba memasukkannya ke dalam mulut.

Anda juga akan memerhatikan air liur banyak meleleh sekarang. Setengah bayi sudah mula tumbuh gigi ada seawal usia empat bulan, tetapi gigi pertama bayi selalunya tidak keluar sebelum usia lima atau enam bulan. 

Galakkan bayi anda mencuba dan bermain dengan pelbagai jenis objek. Umpamanya, lampin kain yang bersih boleh mengasyikkan bayi untuk beberapa minit. Perhatikan dia menghisap sesuatu objek, memegangnya, dan ketahuilah apa yang akan berlaku apabila dia merenyukkannya. Berikan dia kelentong ringan dan perhatikan betapa seronoknya dia mendengar kelentong itu berbunyi jika digoncang. Menyediakan tempat aktiviti bayi atau gim buaian adalah baik di peringkat ini, iaitu di ketika bayi anda mempelajari tentang sebab dan akibat - umpamanya, dia mendapati bahawa apabila dia mengerakkan tuil atau butang, dia mendengar loceng berbunyi.
 
Kini mampu bermain sendiri

Pada masa ini, bayi anda sudah pandai bermain dengan tangan dan kakinya untuk beberapa minit setiap kali. Sungguh ajaib! Pada satu ketika, anda tiba-tiba sedar bahawa tiada kedengaran apa-apa dari dalam bilik, jadi, anda jengok ke dalam dan melihat bayi anda yang sebelum ini memerlukan perhatian dan jagaan anda hampir setiap detik dia berjaga, sekarang boleh bermain dengan sendiri. Mungkin sekarang anda boleh kembali membaca surat akhbar seperti dulu kala.

Mula memahami peranan bahasa

Para penyelidik percaya bahawa menjelang usia empat bulan, bayi anda sudah boleh memahami semua bunyi-bunyi asas dalam bahasa ibundanya.

Antara usia empat dan enam bulan, dia menguasai kemahiran membuat bunyi vokal, seperti "ma-ma" atau "da-da." Walau bagaimanapun, dia tidak mengaitkan bunyi itu dengan ibu atau bapanya. Sekarang, dia juga boleh menyertai mainan tiru-meniru bunyi – anda sebut "bu", dan dia akan cuba menyebutnya juga.

Anda boleh mengembangkan kebolehan komunikasinya dengan meniru ekspresi muka dan bunyi yang disebutnya – dalam kata lain, men"cermin"kan perlakuan dia. Oleh sebab anda memberi reaksi terhadap sesuatu bunyi yang disebut olehnya dan bereaksi apabila dia cuba menyatakan sesuatu, bayi anda mula mempelajari tentang kepentingan bahasa dan mula memahami konsep sebab dan akibat. Dia mula sedar bahawa apa yang diperkatakan olehnya akan membawa kesan tertentu.

Memahami rampaisari warna yang pelbagai

Bayi boleh mengecam warna dari dia mula lahir, tetapi mempunyai kesukaran menbezakan nada terang-gelap dan corak warna seperti oren dan merah. Sebab itu, mereka lebih gemar hitam dan putih atau warna yang berkontras tinggi.

Antara usia dua dan empat bulan, perbezaan warna menjadi lebih jelas, dan bayi anda mula dapat membezakan nada dan corak yang berlainan bagi sesuatu warna. Bayi anda akan menunjukkan kegemaran bagi warna primer yang terang. Dia akan tertarik kepada mobil tergantung yang berwarna cerah (digantung supaya tak dapat dicapainya), poster-poster terang dan buku-buku keras yang berwarna menarik.

Lebih memilih orang

Menjelang empat bulan, bayi anda mungkin sudah boleh menunjukkan respon terhadap kehadiran anda, suara anda dan juga ekspresi muka anda dengan menendang-nendang dan melambai-lambai tangannya. 

Sekitar masa ini juga, bayi anda, yang setakat ini cenderung memberi senyuman kepada semua orang yang dijumpainya, mula memilih orang-orang yang dia mahu berdekat dengannya. Jika dia berada dalam kumpulan ramai atau dengan orang yang tidak dikenalinya, dia mungkin memerlukan sedikit masa untuk menjadi selesa. Sediakan sedikit masa untuk bayi membuat transisi apabila berjumpa dengan orang yang tak dikenalinya atau apabila bayi ditinggalkan dengan penjaga.

Anda akan juga mendapati bahawa apabila dia berada dalam dukungan anda, dia lebih berminat untuk berinteraksi dengan orang lain – terutama sekali kanak-kanak yang lebih tua yang bising dan riang riuh.

KESIMPULAN

Harus diingat bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai peringkat-peringkat pencapaian sosial mengikut masa dan jadual mereka tersendiri. Semua di atas hanya merupakan garis panduan am mengenai potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda -- jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan sekiranya bayi anda dilahirkan pramatang, anda mungkin mendapati bahawa dia memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan sesuatu yang telah dapat dilakukan oleh bayi sama usia dengannya. Jangan bimbang. Kebanyakan doktor menilai perkembangan bayi pramatang berpandukan tarikh dia sepatutnya dilahirkan dan menilai tahap pencapaian kemahirannya dari tarikh itu.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkembangan bayi anda, sila bertanya dengan doktor anda.

07 April 2013

Perkembangan Bayi Berusia Tiga (3) Bulan

Menurut pembacaan saya terhadap perkembangan bayi yang berusia tiga (3) bulan di laman web BabyCenter.Com, berikut adalah berberapa perkara yang perlu anda tahu :

Menegakkan kepala dengan stabil

Pada bulan ini, bayi anda mungkin sudah boleh mengangkatkan kepalanya semasa berbaring dan menegakkannya untuk beberapa minit. Jika diampu untuk duduk, dia mungkin boleh menegakkan kepalanya secara mantap dan lurus. Ketika dia meniarap, anda akan memerhatikan dia mengangkatkan kepala dan dada seakan-akan membuat tekan tubi ringan. Duduklah di hadapannya dan hayunkan mainan untuk menggalaknya.
 
Koordinasi lengan, kaki dan tangan lebih baik

Bayi anda sekarang boleh melambai-melambai tangan dan menendang kakinya. Sendi paha dan lututnya menjadi lebih lentur menyebabkan tendangannya menjadi lebih kuat. Dan jika anda mendirikannya dengan kaki terletak di lantai, dia akan menolak badannya turun dengan menggunakan kakinya. Dia boleh merapatkan kedua tangan dan membuka jari-jarinya, tapi dia akan menggunakan tangan yang digenggam rapi untuk memukul barang yang tergantung. Usaha memukul mainan atau sesuatu objek merupakan satu pencapaian yang penting! Galakkan perkembangan kemahiran tangannya dengan menghulurkan mainan dan perhatikan sama ada dia mengambilnya.
 
Pola tidur lebih terkawal

Mulai dari sekarang, ibubapa yang dahulu-nya tidak dapat tidur dengan sempurna, mula merasa lega sedikit. Menjelang tiga atau empat bulan, pola tidur anak anda mula menjadi stabil. Kebanyakan bayi pada usia ini tidak lagi bangun malam untuk menyusu, walaupun sekali sekala mereka bangun juga dan mahukan makan. Ada juga kanak-kanak yang tidak tidur terus sepanjang malam untuk tempoh tiga atau enam bulan (bagi tahun pertama, ini bermakna mereka boleh tidur terus hanya selama enam jam setiap kali), jadi, usahlah bimbang jika anak anda masih menyebabkan anda berjaga di waktu malam.
 
Jelas mengenali emak dan ayah

Menjelang tiga bulan, dan kadangkala lebih awal, bayi anda sudah menjalin hubungan rapat dengan anda dan mengenali muka anda. Dia masih suka bersenyum dengan orang yang tidak dikenali, terutama sekali jika orang itu bertentang mata dengannya dan bersuara mesra atau bercakap dengannya. Namun begitu, dia sudah mula mengetahui siapakah orang-orang dalam hidupnya dan sudah boleh menentukan siapa yang lebih disukainya antara mereka. 

Lobus parietal, bahagian otak yang mengawal koordinasi tangan-mata serta membolehkan seseorang itu mengenali objek, kini mula berkembang dengan pantas. Dan lobus temporal, yang membolehkan pendengaran, bahasa dan bau-bauan, juga lebih responsif dan aktif. Oleh itu, apabila bayi mendengar suara anda, dia akan memandang terus kepada anda dan mula bersuara gembira atau cuba bercakap dengan anda.

Mulalah membaca kepada dia sekarang

Membaca kepada anak, tidak kira usia muda, akan mendatangkan hasil. Ia membantu anak anda menguasai kemahiran mendengar lagu naik turun bahasa – sebenarnya, adalah baik jika anda selalu mengubah nada suara anda, menggunakan loghat berlainan, menanyi, dan menyuarakan apa yang anda sedang lakukan ketika itu supaya hubungan suara dan bunyi antara anda dan bayi menjadi sesuatu yang menarik baginya.

Jangan bimbang jika dia melihat ke arah lain atau hilang perhatian – dapatkan semula perhatiannya dengan mencuba sesuatu yang lain, atau berikan dia masa untuk berehat. Sesuaikan interaksi anda dengan respon dan minatnya. Terdapat banyak buku-buku yang baik untuk dibacakan kepada bayi. Pilihlah buku yang mempunyai gambar-gambar yang besar dan berwarna-warni dengan perkataan-perkataan yang mudah -- atau buku tanpa teks yang mempunyai gambar untuk anda menceritakan.

Sebenarnya, buat masa ini anda tidak perlu berpegang ketat kepada panduan menyesuaikan buku dengan usia tertentu. Buku yang dikhaskan untuk kanak-kanak yang lebih tua jika mempunyai imej yang jelas dan kemas, dan warna-warna terang boleh memikat bayi. Selain itu, anda juga boleh membaca puisi yang disasarkan telinga orang dewasa. Bahan bacaan yang tidak difahami bayi masih boleh menyeronokkan dia jika nada dan aspek musiknya menarik (dan anda juga akan terhibur).
 
Perkembangan awal bahasa

Ini merupakan masa yang sensitif di mana rangsangan lisan adalah amat penting untuk bayi anda. Ambillah kesempatan ini untuk mendedahkan dia kepada pelbagai variasi perkataan dan bunyian. Penyelidikan terbaru mengaitkan tahap kepintaran yang tinggi kepada berapa banyak perkataan seorang kanak-kanak itu mendengar pada tahun pertama hidupnya.

Inilah masanya unuk menubuhkan asas yang kukuh. Berjalan ke pasar malam pun memberi peluang untuk merangsang kanak-kanak anda – semasa berjalan, tunjukkan dia objek-objek dan berikan nama barang-barang itu. Bayi anda belum boleh mengulang perkataan-perkataan itu lagi, tetapi dia sedia menyimpan semua informasi ke dalam memorinya yang kian ini berkembang pantas. Bayi dalam keluarga dwi-bahasa akan memperoleh latihan bahasa yang berganda jika dia sering mendengar kedua-dua bahasa dituturkan. 

Jika anda mahukan dia belajar kedua-dua bahasa, pastikan ibu dan bapa bercakap dengannya dalam bahasa yang berlainan.
 
Sentuhan menjadi lebih sensitif 

Hidupkan deria sentuhan bayi dengan bahan seperti kain bulu, tisu, kain felt, dan kain tuala atau carilah buku yang boleh membantu membuatkan sentuhan sebagai sebahagian daripada pengalaman membaca bersama. Menyentuh, mendukung dan mengurut bayi, sama dengan mengangkatnya melalui dan merentasi udara sekeliling adalah cara-cara yang berkesan untuk menenangkan dia dan mungkin dapat meningkatkan kepekaannya dan memanjangkan tempoh konsentrasiya.

Mula berinteraksi dengan orang lain

Anak anda diprogram untuk "menerima", serta membuat kesimpulan tentang dunia kelilingnya. Kini, dia mungkin dapat memberi respon kepada bayangnya sendiri dalam cermin dengan senyuman (bayi gemar melihat diri sendiri), dan dia mungkin berhenti menghisap jari atau botol untuk mendengar suara anda. Dengan bersuara mesra dan membuat bunyi-bunyian, dan dengan berceritakan tentang tugas rumah remeh yang sedang diuruskan, anda bukan saja menjalin hubungan dengannya, tetapi juga mengalakkannya melahirkan perasaan sendiri.

KESIMPULAN

Harus diingat bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai peringkat-peringkat pencapaian sosial mengikut masa dan jadual mereka tersendiri. Semua di atas hanya merupakan garis panduan am mengenai potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda -- jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan sekiranya bayi anda dilahirkan pramatang, anda mungkin mendapati bahawa dia memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan sesuatu yang telah dapat dilakukan oleh bayi sama usia dengannya. Jangan bimbang. Kebanyakan doktor menilai perkembangan bayi pramatang berpandukan tarikh dia sepatutnya dilahirkan dan menilai tahap pencapaian kemahirannya dari tarikh itu.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkembangan bayi anda, sila bertanya dengan doktor anda.

07 Mac 2013

Perkembangan Bayi Berusia Dua (2) Bulan

Menurut pembacaan saya terhadap perkembangan bayi yang berusia dua (2) bulan di laman web BabyCenter.Com, berikut adalah berberapa perkara yang perlu anda tahu :

Senyuman awalan yang sebenar

Pada bulan ini, kesemua usaha anda akan dibalas dalam bentuk senyuman yang berseri-seri, namun tiada bergigi. Senyuman pertama yang sebenar adalah satu-satu pencapaian bayi yang menyeronokkan hati ibubapa.

Dari satu segi, ini merupakan ganjaran yang wajar. Anda sudah lama menukar lampin, menyusukan, memandikan, mencium dan memeluknya tanpa mendapat sebarang respon dari bayi anda yang sebelum ini dikatakan bungkusan kecil yang menggembirakan. Namun, suatu hari, ianya terjadi. Bayi anda senyum, dan anda pasti itu senyuman sebenar, bukan ekspresi melepaskan angin. Ini akan menggembirakan anda walaupun malam sebelumnya anda tak berapa dapat tidur.

Bagi sesetengah ibubapa, senyum pertama dari anaknya yang berumur enam minggu menyebabkan air matanya bergenang. "Hari itu banyak masalah di tempat kerja," Ali (bukan nama sebenar) mengimbas kembali. "Saya tak cukup tidur dan keadaan di jalanraya amat teruk. Apabila saya sampai ke rumah dan isteri saya menghulurkan bayi, bayi saya memandang terus kepada saya dan memberi senyuman yang hebat, menampakkan semua gusinya, dan terlintas di fikiran saya, 'Dia mengenali aku' – dan semua yang telah berlalu tidak lagi penting."

Minat berkembang terhadap 'design' yang kompleks

Menjelang usia dua bulan, bayi mula mengubah kegemarannya terhadap objek dwi-warna kepada yang lebih rumit dan halus dari segi desain, warna dan bentuk. Biarkan bayi anda melihat dan menyentuh objek yang lebih bervariasi – pilihan yang baik ialah mainan lembut dan bola gebu.

Tidur bagi tempoh yang lebih panjang

Jika bayi anda kini sudah mula tidur sepanjang malam, anda merupakan antara bilangan kecil yang bernasib baik. Kebanyakan bayi pada usia dua bulan masih mahukan penyusuan di tengah malam, atau mungkin dua penyusuan. Tapi apa yang merupakan berita baik ialah, dia sudah boleh tidur untuk jangka masa yang lebih panjang dan berjaga bagi masa yang panjang juga. Kebanyakan bayi berusia dua bulan tidur antara dua hingga empat kali sehari dan berjaga untuk sejumlah 10 jam sehari.

Pergerakan yang kurang janggal

Dia kini sudah boleh mengawal pergerakannya dengan lebih baik. Anda akan dapat melihat pergerakan lengan dan kaki bayi yang tersangkut-sangkut semasa dia bayi baru lahir kini sudah menjadi lebih lancar, dan lebih membulat. Bayi dua bulan anda kini juga sudah boleh menyambar objek dengan sedar, walaupun melepaskan objek itu belum lagi dipelajari. Semasa hari-hari awal dahulu, bayi menyambar dengan didorongkan oleh naluri.

KESIMPULAN

Harus diingat bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai peringkat-peringkat pencapaian kognitifnya mengikut masa dan jadual mereka tersendiri. Semua di atas hanya merupakan garis panduan am mengenai potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda -- jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan sekiranya bayi anda dilahirkan pramatang, anda mungkin mendapati bahawa dia memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan sesuatu yang telah dapat dilakukan oleh bayi sama usia dengannya. Sebab itu, kebanyakan bayi yang dilahir pramatang diberi dua kiraan usia oleh pakar pediatrik – usia mengikut kronologi (dikira dari tarikh lahir) dan usia yang diubahsuai (dikira dari tarikh dia dijangka lahir). Anda harus mengukur perkembangan bayi anda berdasarkan usia yang telah diubahsuai, bukan usia kronologinya. Jangan bimbang. Kebanyakan doktor menilai perkembangan bayi pramatang berpandukan tarikh dia sepatutnya dilahirkan dan menilai tahap pencapaian kemahirannya dari tarikh itu.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkembangan bayi anda, sila bertanya dengan doktor anda.

07 Februari 2013

Perkembangan Bayi Berusia Satu (1) Bulan

Menurut pembacaan saya terhadap perkembangan bayi yang berusia satu (1) bulan di laman web BabyCenter.Com, berikut adalah berberapa perkara yang perlu anda tahu :

Bayi anda menegakkan kepalanya

Sekarang, otot leher bayi anda semakin kuat sehingga membolehkan dia menegakkan kepalanya untuk masa-masa yang singkat. Dia juga boleh mengangkatkan kepala untuk beberapa saat apabila meniarap dan mungkin boleh menoleh dari sisi ke sisi. Dia mungkin juga boleh menegakkan kepala semasa berada dalam kerusi bayi di dalam kereta atau semasa dibawa berjalan dengan alat pembawa bayi, pada bahagian hadapan maupun belakang.

Dia boleh melakukan semua ini terutama sekali jika mendapat banyak galakan dari anda dan anda ada menyediakan tempat baginya merehatkan lehernya yang direka khas untuk membantunya bagi tujuan ini.

Meneroka tangan dan kaki

Semasa kelahiran, bayi anda tidak memahami yang lengan dan kakinya adalah sebahagian daripada tubuh badannya. Sekarang perubahan akan berlaku apabila bayi mula meneroka badannya. Bahagian yang mula dijumpainya ialah tangan dan kakinya. Anda boleh menggalakkan sifat ingin tahu bayi anda dengan mengangkatkan tangannya tinggi atas kepalanya dan menanyakan dia ‘Besar manakah bayi ini?’ atau dengan mengulangkan puisi berima dan membilang-bilang jari kakinya.

Belajar menenangkan diri

Bayi amat gemar menghisap. Mereka perlu menghisap. Sebenarnya, anda akan mendapati bahawa puting berkesan untuk membantu bayi menenangkan dirinya sendiri. Sekiranya tak ada puting, bayi mungkin mendapatkan ibu jari atau jari-jari lain untuk dihisap. Lihat siapa yang bercakap pelat sekarang Bayi anda yang berumur satu bulan mungkin sudah boleh membuat bunyi berdeguk, bunyi-bunyi manja, berdengus dan berlagu untuk melahirkan perasaannya. Pastikan anda juga membuat bunyi-bunyian manja dan berdeguk bersama-sama, sambil bercakap berhadapan dengannya. Setengah bayi juga sudah mula ketawa berdekah-dekah seawal ini.

Walaupun anda sedang membuat kerja, dia tetap gembira mendengar suara anda dari seberang bilik. Dia akan merenong muka anda lebih lama sekarang.

Walaupun bayi anda sudah boleh mengecam muka anda dari usia beberapa hari lagi, pada penghujung bulan pertama ini dia mungkin akan dapat menunjukkan kebolehan ini. Sebanyak separuh daripada bayi pada usia ini mula menunjukkan kebolehan mengenali ibubapa mereka secara jelas: mereka menunjukkan reaksi yang berlainan kepada mak and ayah daripada orang yang tidak dikenali. Bayi anda akan berhenti menangis dan terus bertentang mata dengan anda; setengah bayi di usia ini sudah mula senyum apabila mereka melihat ibubapa mereka.

Bayi mendengar dan sukakan musik

Memandangkan bayi anda berjaga untuk masa yang lebih panjang di siang hari, anda boleh menggunakan masa-masa ini untuk merangsang perkembangan derianya. Cuba nyanyikan puisi beritma atau mainkan musik untuknya. Bunyi loceng angin atau detikan jam juga akan menghiburkan bayi. Lebih bervariasi hidangan anda, lebih kaya akan impaknya.

Dengan tidak disengajakan, anda akan memerhatikan anak anda menunjukkan keseronokan yang lebih terhadap satu seleksi berbanding yang lain sebaik sahaja dia memperoleh kemahiran untuk membezakan kegemarannya.

Mata boleh mengesan pergerakan objek sekarang

Apabila sudah pandai berfokus dengan kedua-dua belah mata, bayi anda sudah boleh mengikuti objek yang bergerak, iaitu satu perkara yang dia sudah melakukan untuk masa-masa yang singkat dari kelahiran lagi. Kelentong biasa yang digerakkan di depan mukanya akan selalu memegunkannya. Atau anda boleh bermain mata-ke-mata dengan menghampirinya dengan dekat dan mengerakkan kepala anda dari sisi ke sisi; selalunya pandangan matanya akan tetap tertumpu kepada mata anda. 

Kedai penuh dengan mainan khusus untuk perkembangan bayi, namun begitu anda juga akan berjaya dengan hanya menggunakan objek harian yang terdapat di rumah. Lalukan keranjang berkilat atau senduk plastik yang berwarna terang dari sisi ke sisi di depannya. Kemudian lalukannya dari atas ke bawah. Ini harus menarik perhatian bayi anda, walaupun dia belum lagi boleh mengikuti pergerakan dari atas ke bawah dengan baik untuk tiga bulan lagi. 

KESIMPULAN

Harus diingat bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai peringkat-peringkat pencapaian kognitifnya mengikut masa dan jadual mereka tersendiri. Ini semua hanya merupakan garis panduan am mengenai potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda -- jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan sekiranya bayi anda dilahirkan pramatang, anda mungkin mendapati bahawa dia memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan sesuatu yang telah dapat dilakukan oleh bayi sama usia dengannya. Sebab itu, anda harus mengukur bayi anda berdasarkan usia yang telah diubahsuai, bukan usianya mengikut kronologi. Jangan bimbang. Kebanyakan doktor menilai perkembangan bayi pramatang berpandukan tarikh dia sepatutnya dilahirkan dan menilai tahap pencapaian kemahirannya dari tarikh itu.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkembangan bayi anda, sila bertanya dengan doktor anda.

07 Januari 2013

Perkembangan Bayi Pada Awal Kelahiran

Segala Puji bagi Allah Ta'ala serta Salawat dan Salam kepada Nabi SAW, mujahid kami telah selamat dilahirkan sebentar tadi. Terima kasih yang tidak terhingga kepada isteri tercinta, Nur Hazirah binti Tarmizi atas penat lelah 'mengendong' bayi ini sehingga sampai kepada tempoh kelahirannya ke dunia. Moga Allah mengurniakan pahala yang berlipat ganda kepadamu dan kebaikan yang memenuhi seluruh isi bumi dan langit, Insha Allah.

Menurut pembacaan saya terhadap perkembangan bayi yang baru lahir di laman web BabyCenter.Com, ada berberapa perkara yang perlu saya tahu.

Bayi saya mungkin kelihatan "mengerekot" dengan tangan dan kakinya belum betul-betul lurus. Berdasarkan pembacaan di laman web tersebut, ini adalah sesuatu yang normal, dan tangan dan kakinya akan melurus apabila dia bertambah selesa dengan keadaan di luar perut ibunya. Jika kakinya kelihatan melengkung bengkok, saya tidak seharusnya bimbang. Ini adalah sebahagian proses meregang dan akan membetul dengan sendirinya apabila dia berusia lima atau enam bulan.

Menjelang akhir bulan, bayi saya akan dapat mengangkat kepalanya untuk seketika apabila dia berbaring atas perut ibunya. Mungkin juga bayi saya boleh memusingkan kepala dari sisi ke sisi. Pergerakan yang tersentak-sentak akan menjadi lebih lancar apabila sistem urat sarafnya menjadi lebih matang. Namun begitu, refleksnya yang masih primitif, seperti menghisap dan mengunyahkan tangannya akan memperlihatkan bayi saya bersifat dominan.

Bayi baru lahir masih sedang mengubahsuaikan diri kepada dunia baru yang sangat berbeza daripada keadaan dalam rahim yang selesa, hangat dan selamat, dan inilah sebabnya kebanyakan bayi amat gemarkan bedungan atau dibalut selamat dalam kain bedungnya.

BAYI 'DIKUASAI' KELAPARAN

Mungkin boleh saya katakan bahawa, makanan adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan bayi saya, dan tidur adalah yang kedua terpenting. Bayi saya akan menyusu dua atau tiga jam sekali siang dan malam. Pola tidurnya juga seperti itu. Difahamkan, kebanyakan bayi baru lahir tidur sejumlah 16 hingga 17 jam dalam masa 24 jam, tetapi ini meliputi jumlah tidur yang tidak panjang masanya, iaitu sebanyak lebih kurang lapan kali. Menjelang akhir bulan nanti, bayi saya mungkin akan dapat menunjukkan satu pola menyusu dan tidur yang agak tetap. Namun begitu, saya juga mungkin tidak mendapati sebarang pola yang tetap sehingga beberapa bulan lagi.

MENANGIS: KOMUNIKASI UTAMA

Setakat ini, bayi saya belum lagi menunjukkan sebarang personaliti, atau apa-apa yang kita boleh kenali sebagai personaliti. Tetapi dia giat mengekspresikan dirinya dengan cara yang paling diketahuinya, iaitu menangis. Dia menghabiskan masanya dengan melalui dan merentasi beberapa alam mengantuk, berjaga senyap dan berjaga aktif. Sesudah melalui trauma kelahiran, dia sekarang sedang cuba menguruskan kebanjiran pelbagai rangsangan.

Pada bulan ini bayi saya juga kadangkala akan menjadi senyap dan tenang apabila saya bercakap dengannya dengan suara lembut dan apabila saya menegakkan badannya. Dia mungkin juga mengeluarkan bunyi "ah" apabila dia mendengar suara atau melihat muka saya. Kebanyakan bayi suka dipeluk, dibelai, dicium, diusap, diurut dan didukung. Mungkin sentuhan adalah cara penting bagi anda berkomunikasi dengan bayi.

PENGLIHATANNYA YANG TERBATAS

Penglihatan bayi saya dikatakan masih kabur dan samar-samar. Muka saya dan zaujah adalah yang paling menarik baginya pada masa ini, selain dari objek yang berkontras. Mungkin inilah sebabnya mengapakah mainan hitam dan putih, dan mainan gantungan diperkenalkan. Menurut pembacaan saya, jangkauan penglihatan bayi baru lahir hanya dalam lebih kurang 30 sentimeter. Dalam erti kata lain, bayi saya hanya dapat melihat muka orang yang mendukungnya dengan jelas, tetapi tak boleh nampak lebih jauh dari itu.

Kajian juga ada menunjukkan bahawa bayi lebih suka melihat muka orang daripada lain-lain pola atau warnaan. Oleh itu, saya dan zaujah selalu menghampirinya supaya dia boleh mengkaji raut muka, hidung, mata dan mulut kami, selain daripada bercakap-cakap dengannya.

PEMBELAJARAN BERMULA

Saya mungkin akan memerhati pada masa-masa tertentu, di mana bayi saya yang baru lahir itu senyap dan berjaga. Ini adalah masa yang prima untuk pembelajaran. Insha Allah, masa-masa ini akan digunakan untuk bermain dan bercakap dengannya. Tetapi, jika sayacuba berinteraksi dengannya dan dia tidak begitu responsif, saya difahamkan bahawa dia mungkin terlalu mengantuk atau telah berganjak masuk ke alam berjaga aktifnya.

Saya difahamkan juga bahawa dari saat awal ini lagi, bayi saya telah boleh mengecam muka dan gerak isyarat secara intuitif, dan ada kalanya dia mengajuk gerak-geri saya. Insha Allah, saya akan berikannya peluang untuk meniru dan mencontohi ekspresi muka saya dengan meletakkan muka saya dekat dengan mukanya, atau menjelir lidah, atau meninggikan alis mata saya beberapa kali secara ulangan. Mungkin dia perlukan masa untuk meniru ekspresi saya. Saya difahamkan bahawa dia mungkin tidak memberi respon dengan serta merta, atau mungkin dia tidak berbuat apa-apa, tetapi, saya tak perlu ragu sebab dia pasti akan melihat apa yang telah saya ekspresikan.

BERMAIN DENGAN BAYI YANG BARU LAHIR

Mainan gantungan yang mempunyai pola berkontras tinggi dan buku-buku bergambar yang mempunyai lukisan berlakar terang dilihat mengujakan bayi saya. Tetapi, saya diingatkan agar sentiasa berwaspada mengenai reaksi bayi saya terhadap rangsangan dan interaksi. Walaupun memang baik bagi kita untuk membantunya mempelajari tentang dunianya sendiri, setengah bayi hanya boleh menmanfaatkan interaksi untuk masa yang pendek sahaja, atau rangsangan terhadap satu deria sahaja pada sesuatu masa.

Bayi saya akan menunjukkan yang dia dirangsang berlebihan dengan menguap, mengalih pandangannya, melengkuk badannya, memusing kepalanya, meragam atau menangis. Dia juga akan memberitahu saya apa yang disukainya, dan percayalah, anda akan memahami isyarat-isyaratnya dalam sedikit masa sahaja.

Seseorang bayi kebiasaannya akan kagum akan refleksi mereka sendiri. Saya kadangkala menghiburkannya dengan meletakkan cermin yang tidak boleh pecah di katilnya untuk ditatapi. Bayi saya mungkin belum lagi dapat mengenali dirinya sendiri tetapi, dia akan memerhatikan pergerakannya di dalam cermin pada masa-masa tertentu. Gim mainan yang dilengkapi dengan barang yang mampu menambat minat, barang yang boleh dipukul dan mengeluarkan bunyi membolehkan bayi saya melatih kemahiran mengkoordinasikan lengan, tangan dan jarinya -- dan dapat mengurangkan kebosanan berbaring.

Pada bulan-bulan pertama, dia mungkin belum lagi boleh mengerakkan tangannya secara sedar untuk mencapai objek tertentu – pergerakan seperti ini datangnya kemudian, pada usia empat atau lima bulan.

KESIMPULAN

Harus diingat bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai peringkat-peringkat pencapaian fizikalnya mengikut masa dan jadual mereka tersendiri. Semua di atas hanya merupakan garis panduan am mengenai potensi yang boleh dicapai oleh seseorang bayi -- jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan sekiranya bayi kita dilahirkan dalam keadaan pramatang, kita mungkin mendapati bahawa dia memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan sesuatu yang telah dapat dilakukan oleh bayi sama usia dengannya. Sebab itu, kebanyakan bayi yang dilahir pramatang diberi dua kiraan usia oleh pakar pediatrik – usia mengikut kronologi (dikira dari tarikh lahir) dan usia yang diubahsuai (dikira dari tarikh dia dijangka lahir). Anda harus mengukur perkembangan bayi anda berdasarkan usia yang telah diubahsuai, bukan usia kronologinya. Jangan bimbang, kebanyakan doktor menilai perkembangan bayi pramatang berpandukan tarikh dia sepatutnya dilahirkan dan menilai tahap pencapaian kemahirannya dari tarikh itu.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkembangan bayi, sila bertanya dengan doktor.

01 Julai 2012

PAS: Perlukah Pemisahan Identiti Parti Dan Jama'ah?

Segala Puji bagi Allah Ta'ala, berikutan Revolusi Rakyat Mesir bermula 25 Januari tahun lepas, Parti Kebebasan dan Keadilan (Freedom and Justice Party, FJP) telah memenangi Pilihanraya Parlimen pada 28 November 2011 dan juga Pilihanraya Presiden pada 24 Jun yang lepas. Pilihanraya tersebut sekaligus menjadi pilihanraya terbersih dan bebas yang pertama sejak daripada zaman Firaun. Dengan kemenangan itu, Dr. Mursi yang merupakan ahli Ikhwanul Muslimin telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir semalam.

Saya mengikuti perkembangan Mesir melalui siri Usrah bersama sahabat-sahabat, ada berberapa persoalan timbul berikutan penubuhan FJP sebagai 'proksi' kepada gerakan Islam Ikhwanul Muslimin di sana. Mereka tidak secara langsung menggunakan Ikhwan sebagai Parti, tetapi membentuk suatu organisasi tambahan (yang memisahkan) dalam usaha memperbaiki politik di tanah air mereka. Barangkali, nama Ikhwan dilihat agak ekstrimis bagi sebilangan rakyat Mesir, lantaran itu, mereka menubuhkan FJP sebagai satu nama yang lebih sejahtera.

GERAKAN ISLAM: PERLUKAH JAMA'AH DAN PARTI DIPISAHKAN?
Oleh: Dr. Abdul Fattah Yusof [Koordinator Kluster Perundangan, Pusat Penyelidikan PAS Pusat]

Ada pandangan bahawa model gerakan Islam yang bergerak atas identiti parti politik seperti PAS adalah tidak sesuai. Mereka berpandangan model pengasingan antara jamaah atau gerakan Islam dan parti politik adalah lebih mantap dan praktikal. Contoh yang diberi ialah Ikhwan dan sayap politiknya Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Alasannya, model penggabungan akan menyebabkan berlaku pertembungan antara bahasa dakwah dan bahasa siasah, lantas ia boleh menjejaskan sokongan politik. Selain itu wujud pertembungan antara keperluan untuk mempelopori kebebasan bersuara dalam jamaah melalui konsep demokrasi dengan keperluan untuk patuh kepada parti mengikut konsep amal jamai. Pandangan ini mempunyai asas dan hujah yang perlu ditelitikan.

Namun persoalan pokok yang perlu dilihat ialah: Apakah model gerakan Islam yang paling sesuai dari aspek entiti dan identity gerakan itu? Adakah gerakan Islam perlu wujud sebagai payung kepada organisasi-organisasi dalam bidang pelbagai seperti parti politik, badan pendidikan, badan kebajikan dan lain-lain? Atau lebih baik gerakan Islam itu sediri wujud sebagai satu organisasi yang menggabungkan semua urusan di dalam satu organisasi. Dalam konteks perbincangan ini persoalan lebih menjurus kepada entiti gerakan Islam dan entiti politik yang dinaunginya, adalah perlu berasingan atau bergabung.

Perlu diingat setiap model ada kebaikan dan kelemahan. Dan sesuatu model mungkin sesuai di sesebuah negara, tetapi tidak sesuai di nagara lain. Selain itu tidak ada model yang sesuai sepanjang zaman. Masa dan persekitaran boleh mengubah fakta kesesuaian model gerakan Islam dalam menerajui gerakan siasah. Namun dalam konteks Malaysia, saya berpandangan model yang diamalkan oleh PAS sekarang iaitu penggabungan entiti antara gerakan Islam dan badan siasah adalah model yang paling praktikal untuk mendepani politik semasa. Konsep pengasingan memang satu konsep yang ideal. Nampak cantik dan lancar. Namun ia mendatangkan masalah yang lain. Misalnya konflik yang lebih dahsyat akan timbul dalam menentukan tahap kawalan gerakan Islam ke atas parti itu. Jika terlalu longgar, ia membawa risiko pemisahan mutlak. Jika terlalu ketat, ia akan dianggap tidak demokratik.

Saya percaya Ikhwan dan FJP sedang berdepan dengan masalah ini. Bukan itu sahaja, rakyat pun boleh mempertikaikan ketelusan parti yang dibawah kawalan gerakan Islam itu. Jika parti terikat dengan sebuah organisasi lain yang lebih induk, tergambar kepada rakyat bahawa terdapat satu kuasa luar yang tidak tertakluk kepada pentas politik yang mengawal segala-galanya. Tentunya parti ini tidak digemari. Lebih teruk lagi jika parti itu memimpin kerajaan. Entiti yang mengawal parti akan dianggap campur tangan dalam urusan pemerintahan, dalam keadaan mereka tidak pernah terjun dalam pentas politik. Melihat kepada hipotesis ini, maka kewujudan gerakan Islam dan parti politik secara tercantum seperti PAS adalah lebih meyakinkan rakyat dan lebih telus dari sudut pandangan demokrasi.

Selain itu, pemisahan entiti gerakan Islam dan parti politik juga mendatangkan risiko masalah dan konflik dalam konteks pengurusan bakat dan kepimpinan pelapis. Gerakan Islam tentunya diberi berperanan untuk melahirkan pelapis kepada parti politik, namun pemimpin parti pula tentunya mempunyai kecenderungan tersendiri dalam menentukan pelapis mereka. Keadaan akan menjadi lebih kompleks jika ditetapkan bahawa anggota parti dilatih dan dilahirkan melalui satu entiti yang berasingan pula. Perlu diingat bahawa setiap entiti atau organisasi mempunyai budaya atau sub-budaya masing-masing.

Setiap peneraju dalam entiti yang berbeza pula mempunyai kecenderungan dan penilaian yang berbeza-beza. Hal ini akan membawa kepada konflik berpanjangan dalam menguruskan pertalian antara gerakan Islam selaku entiti induk dan parti politik serta badan latihan selaku entiti khusus. Walau pun kelihatan cantik di atas kertas, namun hakikat sebenar tidak lah seindah yang disangkakan. Selain itu penglibatan petugas Islam dalam demokrasi merupakan satu cabaran dunaiwi yang hebat. Orientasi demokrasi yang kadang-kadang boleh menyebabkan petugas Islam terpesong dari cita-cita perjuangan sebenar. Antara cabaran demokrasi yang boleh membawa pemesongan ialah:
  1. Orientasi pertembungan (adversarial) yang boleh menghakis jatidiri petugas Islam sebagai pendakwah;
  2. Orientasi mengejar kuasa yang boleh menggalakkan penyakit hub riyasah;
  3. Orientasi mengutamakan kebebasan dalam demokrasi boleh mendorong kepada perjuangan kebebasan yang melampau sehingga mengenepikan citra Islam dalam falsafah hak dan kebebasan;
  4. Orientasi propaganda politik yang boleh mengikis sikap mengakui kelemahan sendiri dan menghargai kebaikan pihak lawan; dan
  5. Orientasi mengejar populariti yang boleh menjejaskan kejernihan hati.
Oleh yang demikian, saya tidak bayangkan jika entiti politik dalam gerakan Islam dipisahkan dari gerakan Islam induk. Petugas Islam yang menggerakkan politik sepatutnya tidak boleh diasingkan. Mereka perlu berada dalam pelukan jamaah, melalui proses tarbawi yang secukupnya dan membina peribadi muslih seutuhnya.

Oleh itu model penggabungan seperti yang diamalkan PAS tentunya lebih bulat, utuh dan senang untuk mencapai muafakat. Dua kelemahan iaitu konflik antara bahasa dakwah dan bahasa siasah, serta masalah konflik antara demokrasi dan ketaatan, tidak dinafikan wujud. Namun kedua-dua kelemahan ini adalah cabaran yang perlu ditangani, bukannya penyebab untuk meninggalkan perjuangan PAS. Secara peribadi kunci kepada penyelesaian masalah ini ialah kejujuran. Politik Islam berasaskan kejujuran—iaitu tidak bercakap semata-mata untuk meraih sokongan, tetapi bercakap untuk menyatakan kebenaran disamping untuk mendidik rakyat. Memang terkadang gerak politik Islam kelihatan janggal dari kaca mata pertimbangan politik sekular, kerana politik sekular berpusatkan undi dan populariti.

Pendirian dan kenyataan pemimpin gerakan Islam dibuat berasaskan prinsip Islam, untuk tujuan dakwah dan siasah jangka panjang, kadang kala mendatangkan kesan buruk kepada undi dan populariti. Namun, inilah sebahagian dari pada cabaran yang perlu ditangani. Hakikat ini tidak bermakna undi dan populariti langsung tidak diambil peduli. Undi dan populariti penting dalam penglibatan demokrasi, namun ia tidak boleh mengatasi agenda besar perjuangan Islam untuk menyebarkan rahmat Islam kepada seluruh manusia. Selain itu pertembungan antara kebebasan bersuara dalam sesebuah organisasi yang menjadi teras kepada fahaman demokrasi, dan ketaatan kepada organisasi serta kepimpinan mengikut fahaman amal jamaie bukanlah satu pertentangan yang serius.

Asas kepada penyelesaian pertembungan ini ialah kebijaksanaan dalam menentukan garis ketaatan yang sesuai dengan prinsip Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Apabila gerakan Islam menerima demokrasi, ia tidak bermakna fahaman demokrasi itu yang mengatasi prinsip berorganisasi secara Islam. Bahkan demokrasi itu sendiri terlalu longgar untuk dianggap satu ‘prinsip’. Garis ketaatan dan kebebasan yang ada dalam sistem organisasi Islam sudah cukup untuk dijadikan sandaran dalam menentukan akhlak dan tatacara ahli serta pemimpin gerakan Islam. Tentunya kita yakin, prinsip Islam ini lebih adil, lebih tepat dan lebih berkesan berbanding apa sahaja sistem yang diberi nama oleh manusia.

Masalah yang wujud hari ini ialah kewujudan individu yang cenderung kepada pendekatan melampau yang menjejaskan keindahan sistem kepimpinan dan ketaatan dalam Islam. Masalah sikap yang melampau ini bukan sahaja wujud dalam kelompok Islam, bahkan juga ada di mana-mana organisasi termasuk yang dianggap sebagai badan demokratik. Ringkasnya, masalah sebenar bukanlah pertembungan antara pendekatan demokrasi dan prinsip amal jamaie, tetapi ia berkaitan dengan sikap dan kelemahan manusia yang memerlukan usaha pembetulan yang berterusan.

Kesimpulannya, kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam sekaligus berdaftar sebagai sebuah parti politik dan terlibat secara langsung dengan pilihan raya merupakan satu pilihan yang terbaik dalam realiti yang ada ini. Model ini mempunyai kelemahan dan cabaran yang tersendiri, namun ia tetap menjadi model yang paling berkesan dan mudah untuk ditangani. Bahkan model ini lebih serasi dengan sifat Islam yang bersifat syumul apabila kesyumulan Islam itu diterjemahkan dalam bentuk kesyumulan tanzim.

Mungkin juga perbahasan dari sudut sirah perjuangan Rasulullah juga dapat menyokong kebaikan model penggabungan ini. Rasulullah sallallahualaihi wasallam – begitu juga khulafa’ al-rasyidin selepasnya – adalah pemimpin politik, dan dalam masa yang sama menjadi pemimpin utama umat Islam. Namun demikian, penilaian berterusan, pembaharuan dan penambahbaikan model gerakan Islam ini tetap perlu bagi memastikan gerakan Islam sentiasa dapat bersaing mengikut perubahan zaman dan suasana.

01 Januari 2012

Mutaba'ah Amal : Sistem Pengurusan Ibadah Muslim

Mutaba’ah Amal adalah satu sistem penghitungan amal ibadah seseorang Muslim yang telah direncanakan dalam tempoh tertentu. Kebiasaannya, bulan Ramadhan Al-Mubarak dipilih sebagai tempoh pelaksanaan.

Istilah ‘Mutaba’ah’ diambil daripada perkataan ta-ba-’a. Kata ini memiliki beberapa pengertian. Di antaranya adalah “ta-tab-ba-’a” yang membawa maksud ‘mengikuti’, dan ia juga dikenali dengan ‘ra-qa-ba’ yang bermaksud ‘mengawasi’. Pendek kata, Mutaba’ah Amal bererti pengikutan amal ibadah selari dengan kehendak Nabi SAW dan pengawasan amal Islami terhadap batas-batas syariat yang telah ditetapkan. Dalam erti kata yang lain, ia bertujuan untuk mengikuti dan mengawasi sesebuah ibadah agar berjalan sesuai dengan apa yang direncanakan.

Mutaba’ah Amal merupakan satu perkara yang sangat penting dan perlu dititikberatkan. Ia mampu meningkatkan kefahaman ibadah seorang Muslim serta mendekatkan lagi diri kita kepada Maha Pencipta. Walau sesibuk mana pun kita sehari-hari, menjadi tanggungjawab kita untuk terus berusaha menyusun masa sebaiknya supaya perencanaan yang telah dibuat berjalan dengan lancar dan istiqamah.

MUTABA’AH AMAL MEMBAWA RIYA’?

Sebahagian daripada kita menolak Mutaba’ah Amal atas alasan riya’ (suka menunjuk-nunjuk amal ibadah). Mereka merasakan, pelaporan yang dibuat dalam sistem yang direncana mampu mengubah niat asal sesuatu ibadah, yakni tidak kepada Allah Ta’ala, walhal, setiap ibadah yang dijalankan sememangnya untuk Tuhan Yang Esa kerana tiada tuhan lain yang disembah melainkan Allah semata-mata.

Di dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabatnya: “Siapa di antara kalian yang hari ini berpuasa?”. Abu Bakar r.a. menjawab: “Saya.”. Rasulullah SAW bertanya lagi: “Siapa di antara kalian yang hari ini menziarahi orang mati?”. Abu Bakar r.a. menjawab: “Saya.”. Rasulullah SAW bertanya lagi: “Siapa di antara kalian yang hari ini memberi makan orang miskin?”. Abu Bakar r.a. menjawab: “Saya.”. Rasulullah SAW bertanya lagi: “Siapa di antara kalian yang hari ini menjenguk orang sakit?”. Abu Bakar r.a. menjawab: “Saya.”. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda:
Tidak berkumpul hal-hal ini di dalam diri seseorang kecuali dia akan masuk syurga.
[Hadith di atas diriwayatkan oleh Muslim (1/421-422 dan 2/382) dan Al Bukhari di dalam kitabnya, Al Adabul Mufrad (halaman 157) dari sanad Marwan, iaitu Al Fazari, dari Yazid, iaitu Ibnu Kaisan, dari Abu Hazim Al Asyja’I, dari Abu Hurairah. Al Albani di dalam kitabnya juga,As-Silisilatush Shahiihah (1/133) juga ada menyebutkan bahawa hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir di dalam Taarikh-nya (juz 9/288/I) dari jalan itu.]

Apakah dengan menjawab pertanyaan-pertanyaan Rasulullah SAW itu bererti Abu Bakar r.a. telah riya’? Tentu sekali tidak, apatah lagi bila hadith yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tidak mempunyai unsur-unsur teguran terhadap Abu Bakar r.a. atas pengakuannya terhadap amal ibadah yang dilakukan beliau. Beliau hanya sekadar menjawab pertanyaan-pertanyaan itu, dan tidak bermaksud riya’ dengannya.

Demikian pula, kita tidak riya’ hanya kerana kita menjawab pertanyaan-pertanyaan di dalam Mutaba’ah Amal kerana sistem ini diadakan tidak dengan maksud agar kita bersifat riya’, melainkan agar dapat diketahui, apakah kita dengan baik telah menjalankan program-program yang telah direncanakan. Sekiranya masih ada unsur-unsur riya’ dalam melaksanakan perencanaan ini (apabila menjawab pertanyaan-pertanyaan Mutaba’ah Amal), tidaklah seharusnya seseorang itu menyalahkan sistem yang tidak bernafsu ini, tetapi yakinilah bahawa ia datang daripada sikap seorang muslim itu sendiri.

KESIMPULAN

Jika diteliti hadith yang dibicarakan di atas, hadith itu sememangnya bukan mengenai perencanaan Mutaba’ah Amal secara langsung dari Rasulullah SAW terhadap para sahabat baginda r.a, tetapi, ia lebih kepada ajaran baginda SAW bahawa hal-hal itu dapat menjadikan mereka sebahagian daripada ahli syurga. Akan tetapi, di dalam hadith tersebut telah terdapat sebuah dalil bahawa, menjawab pertanyaan-pertanyaan tentang amal-amal ‘ibadah sebagaimana di dalam Mutaba’ah Amal tidaklah bererti riya’ sebagaimana yang dipercayai oleh sesetengah muslim.

Sebagaimana ia sebagai salah satu konsep pengurusan Ibadah, Mutaba’ah Amal sememangnya adalah satu keperluan penting setiap Muslim. Ini adalah kerana tanpa Mutaba’ah Amal, pengurusan amal ibadah seharian mungkin tidak sempurna dan konsisten. Padahal di dalam kaedah fiqh ada dikatakan,
“Apa yang tanpanya sesuatu yang wajib tidak sempurna, (maka hukumnya) adalah wajib.”
Kesempurnaan fungsi-fungsi pengurusan amal adalah bergantung kepada perencanaan, pengorganisasian, kepemimpinan, dan pengendalian ibadah itu sendiri. Oleh itu, saya meyakini bahawa Mutaba’ah Amal adalah sistem pengendalian ibadah seharian yang efisien setakat ini bagi golongan Muslim temporari, insha Allah.

------------------
Segala Puji bagi Allah Ta'ala serta Salawat dan Salam kepada Nabi SAW, saya telah berkesempatan merencanakan sistem Mutaba'ah Amal tersendiri dan interaktif menggunakan Microsoft Excel, boleh membuat penilaian secara bulanan dengan sistem graf dan peratusan. Sesiapa yang menginginkannya, sila hubungi saya melalui ruangan komen atau klik di sini.