19 September 2010

Mencari Pelengkap Agama

Segala Puji bagi Allah Ta’ala, Nur Hazirah binti Tarmizi menerima taqdim saya sebagai bakal imam dan cintanya selepas Allah dan Rasulullah SAW pada hari ini. Segalanya bermula lebih kurang 8 minggu yang lalu.

22 Julai 2010 : Pra-Taqdim

22 Julai 2010, saya nekad. Pada waktu itu, saya baru sahaja selesai mengulangkaji subjek 'Strategic Management' yang diajar oleh Prof. Madya Azizah memandangkan peperiksaan pertengahan semester hampir bermula. Lantas, saya mengambil telefon bimbit dan terus menghubungi Nurul Iman untuk menyatakan hasrat.

"Enta serius ke?" nada Nurul Iman sewaktu itu antara tidak percaya dan adakalanya seperti sudah mengagak apa yang berlaku. Ternyata, jangkaannya tepat terhadap rakan baiknya itu yang bakal berbaitul muslim seperti dirinya. Saya mengangguk melalui talian walaupun panggilan yang dibuat bukanlah panggilan melalui video, tetapi sekadar mendengar suara menghela nafas. "Nanti enti tolong bagi tahu dia, ana tunggu tarikh".

Nurul Iman memang seorang yang boleh dipercayai. Saya yakin, petang itu juga, pasti mesej daripada saya ini akan sampai ke telinga beliau. Apatah lagi isu ini berkaitan jodoh pertemuan, sudah pasti ia tidak akan dilewat-lewatkan oleh seorang sahabat yang mengharap. Silap haribulan, jika saya lewat atau apabila Nurul Iman terlupa, "Maaf Iman, saya baru selesai taaruf dengan muslimin semalam dan saya terima seadanya". Melepas.

9 Ogos 2010 : Persiapan Majlis Ta'aruf

Pada 9 Ogos 2010, saya dihubungi semula oleh Nurul Iman mengenai proses Baitul Muslim saya dan muslimat itu. Pihak muslimat bersetuju untuk diadakan satu Majlis Taaruf secara ‘sirr’ (rahsia), asalkan tidak menganggu jadual kerja Jamaah. Sempat juga Nurul Iman berseloroh kepada saya, memberitahu keadaan muslimat sewaktu memaklumkan taqdim saya terhadapnya. Sedikit ketawa mengiringi penceritaan beliau apabila dia mengenangkan ‘keterkejutan’ sahabat baiknya itu. Bukan terkejut kerana soalan terlalu awal dan tidak sesuai untuk ditanya, tetapi ketidaksangkaan beliau tentang orang yang bakal ‘memetik bunga’ Puan Hashimah dan Encik Tarmizi adalah datang daripada saya, ‘rakan gaduh’ di dalam mesyuarat pimpinan persatuannya sendiri.

Kadang-kadang betul juga kata sesetengah cendiakawan, “Jika kita membenci seseorang secara berlebihan, boleh jadi orang yang dibenci itu akan disayangi suatu hari nanti, jika kita mencintai seseorang secara berlebihan pula, boleh jadi orang yang dicintai itu akan dibenci juga suatu hari nanti”. Walau apapun, sayanglah sahabat itu adalah semata-mata kerana Allah, bukan berlebih-lebihan kasih terhadap makhluk-Nya. Bagi saya, itulah sahaja jalan yang tidak membolak-balikkan hati dari membenci orang yang dicintai.

15 Ogos 2010 : Majlis Ta'aruf

15 Ogos 2010 adalah tarikh yang diberi untuk Majlis Ta'aruf. Beliau mencadangkan melalui Nurul Iman untuk menjadikan Ustaz Ahmad Fathi dan isterinya sebagai panel. Saya setuju. Lagipun, kredibiliti ustaz dalam menguruskan baitul muslim sahabat-sahabat kampus memang telah lama kami sedia maklum. Pasangan ustaz-ustazah dari Kelantan ini sebelum ini juga telah berjaya disatukan tanpa percintaan sebelum nikah melalui panel mereka (juga pasangan ustaz-ustazah), dan mereka berjaya membuktikan kebahagiaan rumahtangga mereka sehingga hari ini. Ini menambahkan keyakinan dan thiqah kami terhadap panel yang dilantik.

Majlis dicadang untuk diadakan di rumah Ustaz Fathi, Lubuk China, Melaka. Sepanjang majlis berjalan, soalan yang diajukan beliau lebih banyak kepada persediaan majlis perkahwinan berbanding sesi suaikenal yang biasanya ditanya bagi mana-mana pasangan yang menyertai Majlis Taa’ruf pertama kali. Ustaz Fathi tersenyum, barangkali dia dapat melihat tanda-tanda awal penerimaan pihak muslimat sebagaimana yang disedari oleh saya melalui gerak hati.

Saya seperti biasa, menganggap seolah-olah tidak menyedari apa-apa yang belaku terhadap apa-apa soalan yang diajukan. Tujuan saya satu, memastikan akses maklumat pihak muslimat terhadap saya telus, tidak ada unsur-unsur ‘bias’ yang biasa orang kata, "Semua lelaki itu berlakon sewaktu bercinta, nak tahu lelaki sebenar adalah dengan melihatnya selepas berkahwin".

Mungkin bagi beliau, seorang muslimin mempunyai berberapa ta’adib dan peraturan ikhtilat yang perlu dijaga, bukan lelaki biasa. Entah, ini sekadar sangkaan saya pada waktu itu. Saya tak pasti jika istilah lelaki dan muslimin memang ada beza dari sudut pandangan seorang muslimat.

“Ana tak ada apa-apa nak tanya dah, kak..” sapa beliau kepada Kak Zainu, isteri Ustaz Fathi. Ustaz Fathi mengajukan soalan kepada saya jika ada apa-apa soalan tambahan yang hendak diajukan. “Tak ada”, jawab saya secara ringkas.

Kebiasaannya, sekiranya tiada apa-apa soalan yang hendak diajukan, pihak panel akan meminta cadangan tarikh untuk memberi keputusan ta’aruf. "Dua bulan, boleh?"

Akal merenung jauh dari satu sudut, memikirkan kebarangkalian masa yang merubah fikiran. Saya yakin, masalah tidak timbul atas kepercayaan saya pada istisyarah dan pra-istikharah yang telah saya lakukan sebelum ini, apatah lagi bilamana sayalah yang memulakan. Hati sedikit gentar memerhati beliau dengan penuh berhati-hati terhadap ikhtilat yang terbatas. Mimik mukanya tenang, tidak ada tanda girang atau ‘hati berbunga’ seperti kebiasaan wanita yang ada bibit-bibit cinta. Mungkinlah itu sikap mujahidah yang sebenar. Mampu menahan mimik muka dari ditafsir pemuda yang mentaqdim. Setahu saya, bukan semua tulang kiri Adam mampu beradab sebegitu, apatah lagi di hadapan bakal suaminya.

Sebelum Majlis Taaruf kami berakhir, berberapa perjanjian dimeterai secara sukarela serta tanpa makluman. Kami seolah-olah telah meletakkan satu kesepakatan untuk mengikuti peraturan-peraturan baitul muslim sahabat-sahabat yang terdahulu. Tidak boleh meletakkan tanda ‘smiley’ pada sebarang mesej pesanan ringkas, tiada panggilan suara, dan had masa berkomunikasi tentang baitul muslim melalui mesej dengan sistem 7-7 (yang bermaksud ; had berkomunikasi terhad dari pukul 7.00 pagi hingga ke pukul 7.00 malam).

17 September 2010 : Natijah Ta'aruf

Pagi yang indah, angin Pantai Kundur, Melaka pada 17 September 2010 betiup-tiup sepoi bahasa, seolah-olah melayan jiwa-jiwa mutmai’nnah kami pada waktu itu. Lajnah Kebajikan dibawah kendalian Fatma Haniza dan Nur Shahidah telah mengadakan Rehlah bagi meraikan bakal-bakal graduan seperti kami. Pelbagai aktiviti dijalankan dengan lancar tanpa sebarang permasalahan rumit. Pada waktu itu juga, Ustaz Fathi dan isterinya, selaku tetamu jemputan turut hadir bagi meraikan. “Rasanya, masih belum 2 bulan, terlalu awal untuk di‘follow up’ keputusan”, saya bermonolog tak berbunyi. Mengharap tidak ada yang perasan jelingan saya waktu itu, saya merenung si muslimat itu dari jauh berhampiran sahabat baiknya,Iman. Rupanya, beliau juga sekali-sekala menjeling, tetapi terus berpaling malu-malu muslimah ‘syadid’, lantas menyorok senyuman dari pandangan saya. Taujihat ustaz Fathi berkenaan 'Alumni Jama'ah & Alam Rumahtangga’ pada waktu itu, “Mungkin segan bila mengingat diri dah ‘dipetik’ ”, saya mengagak.

Seusai program tamat, semua muslimin ditugaskan mengemas barang-barang perkhemahan dan mengutip sampah sarap. Ustaz Fathi sangat baik orangnya, sudi bersama kami menyelesaikan tugas. Semasa mengutip longgokan sampah terakhir di suatu sudut pokok, Ustaz Fathi menegur dengan senyuman, “ Fariq, bila enta nak belanja ana ni?”. Entah kenapa maksud ‘belanja’ Ustaz Fathi itu, seolah-olah dapat mengagak apakah maqasid sebenar bagi pertanyaan itu. “Akhi, bukan lagi sebulan ke?”, saya tersengih menafsir perkataan ‘belanja’ dengan berlapik.

Positif. Itu maksud Ustaz Fathi yang sebenar ingin disampaikan. “Tak semestinya, syeikh. Bergantung pada muslimat. Ana tak tanya enta sebab bukan ana yang ‘matching’kan entum, tapi enta yang taqdim. Jadi tunggu jawapan beliau je pun dah cukup”.

Alhamdulillah. Moga perancangan Baitul Muslim kami diredhai Allah untuk selamanya.

22 Julai 2010

Ta'adib dan Peraturan Baitul Muslim Dalam Tempoh Ikatan

BAITUL MUSLIM (Rumah tangga Muslim) merupakan tangga ke-2 dalam Kaedah Sulbah (atau dikenali sebagai 'kaedah kek gulung') ke arah pembentukan Khilafah Islam. Mana-mana amilin haraki yang bergerak di dalam sesuatu Jama'ah Islam mengetahui akan hal ini dan sedikit 'teruja' untuk berbincang mengenainya.

Biarpun ia antara agenda Lajnah Tarbiyah sesebuah Jama'ah (kebiasaannya) atau secara langsung terletak di bawah pimpinan sesuatu Jama'ah Islam, topik ini ada 'pengaruhnya' tersendiri. Atas sifat alamiyyah sesebuah gerakan Islam yang mempunyai ahli bebagai umur, topik ini kebiasaannya rancak dibincangkan di peringkat kampus atau Dewan Pemuda.

Bagi mana-mana amilin harakah Islam yang sedang berada di dalam tempoh ikatan Baitul Muslim, saya difahamkan ada berberapa perkara yang perlu diambil perhatian, sepertimana berikut:-

1. Meletakkan pengharapan dalam redha Allah S.W.T. terhadap ikatan yang terjalin untuk selama-lamanya.

Calon dikehendaki sentiasa berdoa kepada Allah agar dikurniakan pasangan yang soleh dan sihat, serta mampu membentuk keluarga bahagia dalam rumah tangga. Sekiranya berlaku masalah sesama pasangan dalam tempoh ikatan, calon dikehendaki kembali kepada Allah dan Rasul-Nya agar beroleh hidayah dalam menyelesaikan masalah yang berlaku.

2. Meraikan kekurangan dan kelemahan pasangan terhadap fizikal dan tindakan dalam mengendalikan bahtera rumah tangga.

Calon dikehendaki untuk meredhai segala kekurangan dan kelemahan pasangan seadanya tanpa menyatakan penyesalan terhadap pemilihan yang dibuat. Percayalah kepada setiap kekurangan, pasti akan ada hikmah yang telah dijanjikan Allah.

3. Menyediakan tubuh badan yang sihat untuk pasangan sebagai usaha dalam memenuhi kehendak fitrah.

Calon dikehendaki menjaga kesihatan diri untuk memenuhi naluri fitrah pasangannya. Pemakanan yang seimbang dan akal yang sejahtera menjadikan diri sentiasa di minati pasangan dan mampu mengekalkan perhubungan yang baik sehinggalah berumah tangga.

4. Melatih diri bersikap matang dan bertanggungjawab terhadap pengurusan diri seolah-olah sudah berumah tangga.

Calon dikehendaki mendidik diri agar bersikap optimis dan memenuhi ciri-ciri keibubapaan terhadap diri dengan ikhlas tanpa meletakkan pasangan yang dipilih sebagai asbab. Sebaliknya, sikap ini wujud kerana terasa seperti memikul satu bebanan mendidik keluarga ke arah cintakan Allah dan Rasul-Nya.

5. Menjauhkan diri dari meletakkan sesuatu keistimewaan terhadap pasangan sehingga akad nikah. Calon dikehendaki untuk tidak memberikan layanan ‘istimewa’ terhadap pasangan sehinggalah ke tempoh akad nikah.

Pasangannya akan dilihat sama seperti sahabat-sahabat lain, bahkan sekiranya pasangannya itu melakukan gerak kerja jamaah, maka beliau adalah seorang A’milin yang tertakluk kepada arahan pimpinan. Pasangan itu juga perlu dihukum sekiranya melakukan kesalahan, begitu juga sebaliknya.

6. Merahsiakan ikatan daripada orang lain sehingga tempoh yang hampir dengan akad nikah.

Calon dikehendaki tidak memaklumkan pertunangan kepada orang lain sehinggalah kepada suatu tempoh yang sangat hampir dengan perkahwinan, kecuali pimpinan dan Panel Baitul Muslim yang ditaklifkan. Ini bertepatan dengan Hadith Nabi SAW yang menyuruh umatnya merahsiakan pertunangan dan menyebarkan perkahwinan.

7. Gerak kerja Jamaah di kampus menjadi keutamaan berbanding pengurusan Baitul Muslim walaupun kedua-duanya adalah agenda Jamaah.

Memandangkan kedua-dua pasangan merupakan A’milin peringkat kampus, calon dikehendaki menumpukan perhatian kepada gerak kerja jamaah kampus lebih daripada agenda Baitul Muslim yang telah diaturkan. Ini bertepatan dengan kaedah Fiqh Aulawiyat yang meletakkan maslahat umum lebih utama daripada maslahat individu atau kelompok kecil.

8. Membezakan mua’malat pasangan dengan mua’malat sesama sahabat dan rakan sehingga akad nikah.

Calon dikehendaki mengelakkan pertemuan dengan lebih kerap, mengurangkan perbincangan sesama pasangan dalam isu-isu yang tidak mendatangkan maslahat khusus. Bahkan, adalah lebih baik sekiranya langsung tidak timbul prasangka sahabat terhadap pasangan sehingga tempoh akad nikah.

9. Memelihara tindakan dalam perkara-perkara yang mampu mendatangkan kecemburuan, walaupun ikatan tidak pernah menjanjikan apa-apa pada pasangan.

Calon dikehendaki tidak melakukan apa-apa perbuatan yang harus dan mendatangkan kecemburuan terhadap pasangan. Ini adalah kerana fitrah manusia itu cemburu terhadap sesuatu yang disukainya. Biarkan dia seorang a’milin, dia tetap manusia yang mempunyai perasaan.

10. Berusaha memudahkan perkahwinan dan membincangkan hal-hal berkaitan dengannya secara serius selepas bergelar graduan.

Calon dikehendaki berusaha memenuhi kehendak keluarga dalam memastikan tempoh ikatan pertunangan hanya berada dalam tempoh yang singkat bagi mengelakkan masalah hati yang wujud kerana fitrah. Sekiranya perlu kepada perbincangan secara langsung, maka hendaklah calon atau pasangannya mengemukakan penyelesaian secara terus agar tidak wujud sebarang masalah selepas bernikah.

11. Memenuhi kehendak pentarbiyahan diri dari segi individu, keluarga mahupun jamaah secara umum.

Calon dikehendaki menghadiri program-program tarbiyyah yang diatur oleh jamaah sebagai persediaan diri menghadapi masyaqqah dan mehnah (halangan dan ujian) yang tidak menentu.

12. Menundukkan pandangan mata dan hati terhadap ajnabi lain.

Calon dikehendaki mengelak daripada memerhatikan mana-mana lelaki atau perempuan ajnabi yang lain bagi memelihara ikatan pertunangan di samping membersihkan hati daripada melakukan dosa-dosa kecil. Perkara ini adalah merupakan hikmah kepada pekahwinan itu di mana perkahwinan itu mampu menundukkan pandangan.

13. Membina dan mengeratkan hubungan yang baik antara dua keluarga.

Calon dari pihak lelaki dikehendaki untuk mengambil peluang yang diberikan oleh keluarganya bagi membina hubungan yang baik dan erat.

Pasangan dari pihak perempuan pula tidaklah perlu untuk mengambil tindakan yang sama seperti calon dari pihak lelaki kerana dirinya masih lagi kepunyaan wali (bapanya) sehingga tempoh perkahwinan.

14. Memahirkan ilmu rumah tangga dan berkongsi hanya dengan individu sehaluan.

Calon dikehendaki untuk tidak bercerita mengenai ilmu rumah tangga kepada individu yang masih belum melalui haluan yang sama. Penceritaan itu mampu menjatuhkan thiqah calon sekiranya mereka tidak tahu mengenai status empunya diri.

15. Tidak mengambil kesempatan terhadap kemampuan pasangan dari kelebihan yang dipunyai.

Calon dikehendaki untuk tidak mengambil peluang untuk menggunakan kelebihan yang ada pada pasangan dari segi harta, ilmu, dan sebarang kelebihan yang ada padanya. Ini dikhuatiri calon terhutang budi di atas bantuan yang diberikan, bukan menikahi atas asbab cinta kepada Allah dan seseorang yang mencintai Allah.

KESIMPULAN

BAITUL MUSLIM HARUS DILIHAT SEBAGAI AGENDA TARBIYYAH. Bukan jalan alternatif bagi pasangan muslim bercinta secara halal. Tidak semestinya permulaan yang baik akan diakhiri dengan perkara kebaikan. Ada yang sampai ke penghujung, dan ada yang berhenti di pertengahan. Oleh itu, bersedialah bagi mereka yang sedang dan bakal melalui proses ini.

Apakah kita mengakui bahawa kita telah ditarbiyyah dengan hebat untuk berbaitul muslim dengan suami / isteri ahli Syurga, walhal tidak ada satu ujian pun menimpa ke atas 'survival' Baitul Muslim ini?

09 Ogos 2009

PAS: Parti Tarbiyyah, Dakwah & Siyasah

Segala Puji bagi Allah Ta'ala serta Salawat dan Salam kepada Nabi SAW, saya telah berintima' dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) secara rasmi sebagai ahli ke 886,684 pada hari ini. Mungkin ada di antara rakan-rakan saya yang tertanya; Bukankah politik itu sesuatu yang kotor? Bagaimana perjuangan PAS sebenarnya?

Sebelum itu, marilah sama-sama kita berlapang dada dan cuba menyelusuri penulisan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi. Moga ada sedikit manfaat bagi mereka yang cuba mencari kebenaran:

BAGAIMANA PAS MEMPERJUANGKAN ISLAM DI MEDAN POLITIK ?
Oleh : Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hassan At-Tantawi [Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat]

Masih ada mereka yang gagal memahami, bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah, bida'ah, sesat, tidak mengikut sunnah, bercanggah dengan syariat, hanya mementingkan politik, meragukan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS.

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi daripada kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke ‘gaung dalam’ yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam .

Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku, bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya (matlamat). Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syara’.

Kepimpinan Ulama’, Jawatan Kuasa Disiplin Parti, Muktamar Tahunan, Majlis Syura Ulama’, Mesyuarat Dewan Harian, Mesyuarat Bulanan, Mesyuarat Khas, Liqa’ Fikri, Tamrin, Mukhayyam, Kuliah Haraki, Usrah Mingguan, Konvensyen PAS Negeri, Ijtimak Pilihanraya, Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan sunnah an Nabawi.

Jika terdapat perbezaan dalam approach atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain, ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan sunnah. Secara umumnya, wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada 3 ruang utama iaitu :
  1. Tarbiyyah dan Pengkaderan (pembinaan dan pembentukan);
  2. Dakwah (penerangan); dan
  3. Lapangan Siasah (politik)

Asas Pertama: Tarbiyah dan Pengkaderan

Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS. Tarbiyah digerak dan diaktifkan untuk membina :
  • Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah;
  • Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri;
  • Syakhsiyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah S.A.W.

Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina :
  • Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa;
  • Organisasi yang mantap dan hebat;
  • Tindakan yang strategik dan berkesan.

Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS, Lajnah Tarbiyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS, bermula dari peringkat Pusat, Negeri, Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan-dewan seperti Dewan Ulama’, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama.

Aktiviti asas bagi melaksanakan cita-cita tarbiyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah di pelbagai peringkat (kepimpinan atau ahli), tamrin, liqa fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach.

Asas Kedua: Dakwah (Penerangan)

Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu muslim menyampai dan menyebarkan Islam, dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat prinsipal sifatnya. Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman yang menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat, dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan.

Ada dikalangan pemimpin PAS yang dibunuh, dipenjara, dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka. Namun, segalanya tidak menghalang PAS daripada terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah.

Tugas dakwah ini digalas oleh semua, dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing-masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing-masing.

Maudhu' (kandungan) dakwah PAS sangat jelas, menepati apa yang diajar oleh Allah Taala. Perkara ini dapat dipastikan pada Fasal 6 Perlembagaan PAS. PAS menggariskan usaha-usaha dakwah sebagai aktiviti teras dalam dalam perlembagaannya;
  • Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan; dan
  • Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
PAS mendekati semua lapisan masyarakat. Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah pemimpin yang menindas dan ummat yang lesu hinggalah ulama' yang bisu. Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan.

Dewan Pemuda PAS membawa pendekatan Pemuda sebagai Duta Kasih Sayang dan Penyelamat. Pendekatan dakwah PAS melengkapi 2 kategori utama :
  • Dakwah Ammah (umum); dan
  • Dakwah Fardiyah (khas)

Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik. Biarpun nanti selepas tamatnya pilihanraya, PAS tetap meneruskan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat, demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya. Inilah cita-cita PAS.

Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit daripada pelbagai pihak, PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam itu.

Asas Ketiga : Lapangan Siasah (politik)

Islam adalah agama yang syumul, merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan. Kini kuasa politik berada ditangan UMNO dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam.

PAS berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik dari golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah, dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut.

Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ia sah untuk bergerak di sisi undang-undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksanakan tanpa kuasa politik. Justeru itu, penglibatan di bidang politik (siasah) adalah kewajipan besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci.

KESIMPULAN

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak dan meragui hala tuju perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS, tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil.

Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan atau meragui perjuangan sucinya memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti, bukan beralaskan emosi dan sentimen perbezaan ideologi. Saya selalu menegaskan kepada umum, jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan sunnah, sila nyatakan! Jika ia berbentuk dakwaan, sila kemukakan bukti!

Kita mencari kebenaran. Andai benar atau ada PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat atau terkeluar dari manhaj perjuangan Islam sehingga menimbulkan keraguan, saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu, janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti, dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.

12 Januari 2009

Ciri-ciri Khusus Harakah Islamiyyah

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah meletakkan berberapa ciri khusus Harakah Islamiyah. Diantaranya adalah seperti berikut: 

1. Menjauhi Pengaruh Pemerintahan dan Ahli-ahli Politik

Adalah menjadi kebiasaan bahawa sebahagian dari anggota Harakah Islamiyah adalah terdiri dari pegawai pemerintah dan ahli-ahli politik. Dengan keanggotaan seperti ini mestilah dijaga supaya Harakah Islamiyah tidak diperalat dan diperdagang oleh dua golongan di atas, agar ia kekal dengan sifat bersih, benar dan ikhlas dalam perjuangan.

2. Beransur-ansur Dalam Setiap Gerak Langkah

Harakah Islamiyah mestilah beransur-ansur dalam gerak kerjanya kerana ia menyedari bahawa jalan yang akan dilalui adalah hebat dan jauh manakala matlamatnya pula adalah besar dan mulia. Sebenarnya beransur-ansur di dalam langkah-langkah kerja dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja tertentu mengikut keperluan akan membawa jama'ah kepada matlamat sebagaimana yang dikehendaki.

Al-Imam Hassan Al-Banna telah menetapkan bahawa dakwah ini mempunyai tiga marhalah iaitu:

a. Marhalah Ta'rif (Pengenalan)

Marhalah ini dimulakan dengan menyiarkan fikrah secara umum tentang Islam kepada orang ramai. Cara yang dijalankan diperingkat ini ialah dengan menimbulkan kesedaran, memberi pengajaran, mendirikan institusi yang memberi faedah dan lain-lain cara yang praktikal.

b. Marhalah At-Takwin (Pembentukan)

Marhalah ini dilaksanakan dengan cara memilih anasir-anasir yang baik (dari marhalah pertama) dan sanggup untuk memikul beban jihad dengan cara menggembleng tenaga mereka dalam kerja-kerja dakwah. Susunan kerja dakwah dalam marhalah ini adalah bersifat kesufian dari sudut kerohanian dan bersifat ketenteraan dari sudut gerak kerja. Dakwah pada peringkat ini tidak dapat dilaksanakan kecuali oleh orang yang benar-benar mempunyai kesediaan untuk memikul bebanan jihad yang berat dan memakan waktu yang amat panjang. Persediaan paling awal di peringkat ini ialah "Ketaatan yang tidak berbelah bagi" (kepada perjuangan Islam).

c. Marhalah At-Tanfiz (Perlaksanaan)

Dakwah pada peringkat ini adalah jihad yang tidak mengenal penat lelah dan kerehatan malah amal yang tidak mengenal putus asa demi mencapai matlamat yang diperjuangkan. Ujian dan cabaran tidak dapat dihadapi melainkan oleh orang-orang yang benar keimanannya. Kejayaan di peringkat ini tidak akan dapat dicapai kecuali dengan cara memberi ketaatan yang sempurna dan mutlak.

3. Mengutamakan Kerja dan Hasil Dari Propaganda

Sebenarnya Harakah Islamiyah mengambil pendirian demikian adalah kerana beberapa perkara yang di antaranya ialah:

a. Ajaran Islam itu sendiri menyebut soal amal ini secara khusus kerana takut (khuatir) kalau-kalau amal berkenaan diresapi oleh sifat riya' yang akibatnya membawa kepada kebinasaan kepada amal yang dilakukan.

b. Adalah menjadi tabiat amal Islami, di mana ia tidaklah berlandaskan propaganda yang berlebihan dan tidak pula membangkitkan semangat yang tidak dihiasi dengan amal.

c. Harakah Islamiyah tidak membuang tenaga dan masa kecuali kepada kerja-kerja yang membawa hasil dan pembinaan.

d. Islam juga mewajibkan supaya Harakah Islamiyah dan anggotanya melaksanakan kerja-kerja Islam secara berstrategi. Pernah suatu ketika dahulu, sewaktu umat Islam berada di dalam kesulitan dan memerlukan kerahsiaan, Rasulullah S.A.W bersabda: "Mintalah pertolongan dalam melaksanakan hajat-hajat kamu dengan (cara) rahsia".

4. Siasah Nafas Panjang

Tanggungjawab yang besar dan berat yang dibebankan ke atas bahu para petugas di medan dakwah membuktikan betapa perjalanan dakwah ini adalah panjang dan jauh, gerak kerjanya terlalu sukar dan jihadnya adalah sengit. Oleh itu mereka yang mengikuti jalan ini wajib mempunyai persediaan untuk menghadapi segala bentuk kekerasan, kesukaran dan pengorbanan. 

Allah Berfirman, yang bermaksud:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."
(Surah Al-'Ankabut 29: Ayat 2-3)
Orang-orang yang menggabungkan diri dengan Harakah Islamiyah mestilah berpegang teguh kepada siasah nafas panjang, supaya dengan cara ini dakwah ke jalan Allah dapat dilakukan dengan pandangan yang jelas dan dengan niat menuntut keredaan Allah s.w.t. Mereka tidak akan mundur di tengah perjalanan dan tidak tergesa-gesa hendak merasai hasil kerja sebelum tiba waktunya. Ini semua tidak akan berlaku kecuali setelah mereka memahami bahawa kerajaan Islam adalah wasilah untuk mencapai matlamat perjuangan.

Kalaulah sekiranya mereka berjaya melaksanakan pemerintahan Islam, mereka bersyukur kepada Allah. Jika mereka tidak berjaya, tidak pula berputus asa, tidak kecewa dan tidak akan merasa takut. Dengan usaha kerja tersebut bermakna mereka telah menunaikan amanah dan telah melaksanakan kewajipan dakwah, firman Allah, yang bermaksud: 
"Dan kemenangan itu hanya dari Allah".
(Surah Al-Anfal 8: ayat 10)
Boleh jadi ada orang berkata: "Bagaimanakah keadaannya dengan parti-parti politik yang bertindak secara kotor dan menjadi talibarut penjajah telah berjaya menubuhkan kerajaan dan mendapat kekuasaan di sana-sini dalam waktu yang begitu singkat dengan cara yang begitu mudah?"

Untuk menjawab persoalan tersebut kita mengatakan bahawa kedua-dua jalan (jalan perjuangan Islam dan jalan parti-parti politik) itu adalah berbeza kerana Harakah Islamiyah tidak akan sampai kepada matlamatnya kecuali dengan cara yang berbeza dan bersih. Sekiranya anda rela ditunggangi oleh kekuatan seperti ini atau diperalat oleh penjajah atau yang seumpamanya anda akan mencapai tujuan seperti yang mereka sampai.

5. Amal: Terus-terang dan Tanzim Rahsia

Seterusnya beramal untuk Islam tidak sepatutnya dijadikan sebagai suatu rahsia yang dijalankan oleh para pendakwah di belakang tabir, semata-mata kerana takut mereka ditangkap atau menganggap apa ymereka lakukan sebagai satu hikmah atau maslahah. Ini adalah kerana seruan Islam mestilah dilakukan secara lantang dan kalimah kebenaran mestilah diucapkan kerana orang yang berdiam diri dari memperkatakan kebenaran adalah syaitan yang bisu.

Rasulullah s.a.w memperingatkan: 
"Barangsiapa dari kalangan kamu melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangan, jika ia tidak mampu maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya, jika ia tidak mampu cegahlah dengan hatinya. Jika demikian itu adalah selemah-lemah iman".
(Hadith riwayat Muslim)
Oleh yang demikian seorang pendakwah itu mestilah memperkatakan tentang kalimah kebenaran di mana saja ia bekerja dan di mana saja beliau berada, sama ada kebenaran itu disuarakannya melalui perkataan yang mampu beliau ucapkan atau melalui perkataan yang mampu beliau ucapkan atau melalui tulisan yang mampu beliau sebarkan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, yang bermaksud:
"Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan pengajaran yang baik".
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 125)
Namun demikian kenyataan di atas tidaklah bermakna Harakah Islamiyah perlu mendedahkan segala perkara seperti taktik (khittah) dan penyusunan (tanzim). Secara mutlak dapatlah dikatakan bahawa pendedahan seperti ini tidaklah membawa apa-apa kebaikan bahkan perbuatan demikian menunjukkan kejahilan tentang Islam itu sendiri dan ini adalah mendedahkan harakah dan anggotanya kepada tipu daya jahat dan penyeksaan oleh musuh-musuh Islam.

Kaedah yang mesti menjadi pegangan dalam hal ini ialah "Amal secara terus terang dan kerahsiaan tanzim". Ini berdasarkan amal yang ditujukan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sabdanya:
"Mintalah pertolongan dalam memenuhi hajat kamu (dengan cara) rahsia".
Sabdanya lagi:
"Peperangan itu adalah tipu daya".
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
6. Pengasingan Jiwa Bukan Jasad

Sejak akhir-akhir ini banyak diperkatakan tentang Uzlah Syu'uriyyah (pengasingan jiwa) yang diutarakan oleh Al-Syahid Sayyid Qutb di mana beliau berkata: "Sesungguhnya menjadi satu kemestian supaya wujud satu barisan hadapan yang berazam mencapai cita-cita ini, terus mara di jalan ini, mara terus dalam menghancurkan jahiliyyah yang bermaharajalela di serata pelusuk bumi, mara terus dalam usaha mengasingkan jiwa dari satu sudut di samping mengadakan hubungan (jasadiyah) dengan jahiliyyah di sudut yang lain.”

Pengertian Uzlah yang dimaksudkan oleh Al-Syahid Sayyid Qutb di sini ialah 'uzlah syu'uriyyah' (pengasingan jiwa) dari dikotori atau dijangkiti oleh noda-noda masyarakat jahiliyyah, memisahkan jiwa dengan cara merasai ketinggian iman di samping terus mara dalam gerak kerja menghapuskan jahiliyyah dengan mendedahkan kepalsuan, mencabar kebatilan, terus berkorban dan berjihad tanpa takut kepada celaan orang-orang yang suka mencela. 'Uzlah di sini adalah bermakna perbezaan, yakni perbezaan di antara golongan yang beriman dengan golongan yang kufur, perbezaan dari sudut pemikiran dan pandangan, perbezaan dari sudut akhlak dan tatasusila hidup, perbezaan dari sudut perasaan dan kepekaan. Inilah bentuk 'uzlah yang diseru oleh Islam dan inilah ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w yang terdapat dalam banyak hadis.

Antaranya yang bermaksud:
"Jadilah kamu orang yang kuat daya ciumannya di kalangan manusia".
Sabda Rasulullah s.a.w lagi, maksudnya:
"Jangan seseorang dari kamu menjadi orang yang tidak punya pendirian dengan berkata: "Aku bersama orang ramai, jika sekiranya mereka berbuat baik aku pun berbuat baik, jika mereka melakukan kejahatan akupun turut melakukan kejahatan...tetapi hendaklah kamu menetapkan pendirian kamu, maka jika sekiranya manusia berbuat baik, maka hendaklah kamu berbuat baik, tetapi jika mereka berbuat jahat maka hendaklah kamu menjauhkan diri dari berbuat jahat terhadap mereka".
(Hadith riwayat Tirmizi)

Inilah pengertian 'uzlah yang dimaksudkan manakala dari sudut gerak kerja, harakah, pergaulan dan dakwah tidak ada 'uzlah sama sekali dan tidak ada pengasingan diri. Sekiranya berlaku pengasingan diri nescaya terhentilah gerak kerja, harakah, pergaulan dan dakwah. Dan ingatlah para petugas amal Islami hari ini berhadapan dengan berbagai kumpulan dan golongan manusia. Oleh itu mereka tidak harus berpegang kepada satu hukum atau satu cara sahaja dalam pergaulan dengan mereka. 

Setiap petugas Amal Islami juga haruslah menyedari beberapa jenis manusia yang perlu dihadapi oleh seoran pendakwah. Diantaranya adalah : 

1. Di kalangan orang ramai terdapat orang-orang yang telah beriman dan telah berpegang teguh dengan hukum-hakam Islam dalam kehidupan peribadi tetapi tidak melaksanakan kewajipan-kewajipan amal haraki (dalam sebuah jama'ah). Dalam hal ini para pendakwah tidak boleh menyamakan mereka dengan orang atau golongan lain.

2. Selain dari golongan di atas terdapat orang-orang yang menganut agama dan berbangga dengan Islam dalam keadaan mereka sendiri jahil. Mereka ini tidak berpegang dengan hukum-hakam Islam dan mereka ini adalah golongan umat Islam yang terbesar pada hari ini. Para pendakwah tidak seharusnya menyamakan kedudukan mereka dengan kedudukan orang-orang kafir.

3. Ada pula dari kalangan manusia yang menjadi musuh ketat kepada Islam, mereka ini memusuhi Allah dan rasulNya sama ada secara peribadi atau bersama dalam parti-parti politik atau pemimpin-pemimpin kerajaan. Sikap dan pendirian para pendakwah terhadap golongan di atas semestinya berbeza di antara satu sama lain.

Perbezaan ini adalah atas perkiraan dekat atau jauhnya mereka dengan Islam, sejajar dengan penerimaan dan penolakan mereka terhadap Islam, yakni bergantung kepada sikap kepatuhan atau permusuhan mereka terhadap Islam. Ada di kalangan mereka perlu diberi bimbingan dan asuhan, ada pula yang perlu diberi kesedaran dan ilmu pengetahuan tentang Islam, ada juga yang tidak boleh dihadapi kecuali dengan pedang sementara golongan yang lain pula menjadi penyakit yang sangat berbahaya. Kesemua ini menuntut para pendakwah mempunyai hubungan yang mendalam dan meluas dengan masyarakat, kerana masyarakat adalah bumi tempat mereka beramal dan berjihad.

7. Matlamat Tidak Menghalalkan Cara

Kuman-kuman kerosakan yang dibawa oleh aliran-aliran pemikiran dan sistemsistem yang bukan Islam iaitu teori Micheaveli (yang berpegang kepada kaedah matlamat menghalalkan cara) atau dengan kata lain mengutamakan diri sendiri dengan cara melanggar prinsip-prinsip dan teori-teori yang mereka sendiri laungkan dan serukan. Berapa banyak dari doktrin dan keyakinan aliran pemikiran Micheaveli ini yang telah terkeluar dari landasannya apabila cuba dilaksanakan secara praktikal sama ada di peringkat pemerintahan ataupun di dalam peringkat perlaksanaan sistem parlimen.

Pada hakikatnya aliran-aliran pemikiran ini tidak dapat menentukan untuk dirinya dan para penganutnya satu keyakinan yang dapat memelihara mereka dari melakukan penyelewengan dan sikap pura-pura. Mereka tidak membezakan sifat-sifat ini dengan apa yang mengambil tempat dalam kancah pertarungan politik dan pemikiran, mereka juga tidak dapat membezakan secara jelas dalam tindak tanduk ahli-ahli politik tradisional dan para pemimpin akidah. Oleh yang demikian maslahah atau kepentingan rakyat telah berubah menjadi kepentingan parti. Kepentingan parti pula bertukar menjadi kepentingan peribadi bagi pemimpin-pemimpin parti.

Oleh yang demikian isu-isu yang berhubung dengan persoalan umat telah menjadi kertas kerja-kertas kerja yang membawa keuntungan, menjadi barang yang diperdagangkan, bolah ditawar-menawar di pasaran. Musuh di masa lampau, kini menjadi teman rapat, temanteman rapat hari ini esoknya menjadi musuh ketat. Beginilah keadaannya hinggalah ideologi atau fahaman-fahaman ini tidak membawa sebarang erti lagi, yang tinggal hanayalah nama, slogan-slogan yang dusta lagi palsu. Inilah keadaan yang berlaku dalam kancah perebutan kuasa dan ideologiideologi ciptaan manusia dan pertarungan inilah yang menjelaskan dan mendedahkan rahsia pergolakan yang tersembunyi dalam ideologi-ideologi tersebut dan inilah sebab yang membolehkannya berkembang dan mendapat kekuasaan dalam masa yang singkat.

Pada hakikatnya ideologi-ideologi ini tidaklah terikat dengan akidah dan akhlak dalam erti kata yang sebenarnya malah ia juga tidak mempunyai sikap dan pendirian yang jelas. Yang ada pada mereka hanyalah strategi yang digunakan untuk menindas yang lain dan pertarungan yang sengit untuk mendapat ruang mempergunakan keadaan-keadaan tertentu dan memperniagakan persoalan-persoalan umat walaupun dengan harga yang murah, sekalipun terpaksa mengorbankan ummah itu sendiri atau bangsa seluruhnya.

Tetapi apa yang berlaku dalam Islam dan apa yang diandaikan berlaku adalah berbeza sama-sekali dengan apa yang berlaku dalam ideologi-ideologi tersebut kerana Harakah Islamiyah tidak memisahkan dalam tindakan mereka di antara matlamat dan cara mencapainya, sama ada dari kewajipan syarak, akidah mahupun akhlak. Para petugas yang bekerja untuk Islam pula tidak bekerja kerana kepentingan diri atau menurut keinginan mereka sendiri, malahan mereka terikat dengan panduan-panduan tertentu, terikat dengan tuntutan akidah dan akhlak. Mereka sendiri tidak boleh melepaskan diri dari tuntutan-tuntutan tersebut atau bertindak merobohnya.

11 Januari 2009

Ciri-ciri Prinsip Harakah Islamiyyah

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menjelaskan bahawa terdapat berberapa ciri-ciri prinsip sesuatu gerakan Islam. Diantaranya adalah:

1. Gerakan Yang Bersifat Rabbaniyyah (Ketuhanan)

Harakah Islamiyah adalah bersifat Rabbani kerana keseluruhan konsep, hukum-hakam, akhlak, tata-tusila dan pemikirannya adalah bersumber dari agama Allah yang kekal abadi dan risalah yang terakhir. Harakah Islamiyah adalah satu gerakan menyeru manusia kepada Allah bukannya kepada kepentingan para petugas di dalamnya atau orang-orang yang memikul tanggungjawab.

Allah berfirman yang bermaksud:
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."
(Surah Al-An'am 6: Ayat 162)
Harakah Islamiyah bukanlah sebuah organisasi sebagaimana sebuah parti politik biasa pada masa sekarang. Harakah Islamiyah juga bukanlah sebuah organisasi yang menjadi tempat perebutan kuasa untuk menjadi pemimpin bagi mencapai tujuan-tujuan atau kepentingan peribadi sebagaimana yang berlaku dalam organisasi-organisasi lain pada hari ini. Tetapi yang lebih penting dalam Harakah Islamiyah ialah pemimpin atasan atau orang besar terlebih dahulu mematuhi syariat Allah sebelum diikuti oleh para pengikut bawahan dan anggota biasa.

2. Gerakan Yang Bersifat Tersendiri

Harakah Islamiyah bersifat tersendiri dengan maksud kelahirannya di tengah-tengah (umat Islam), (di atas dasar kesedaran mereka sendiri) bukan diimpot atau ditiru dari timur mahupun dari barat sebagaimana lahirnya organisasi dan persatuan-persatuan yang lain. Ini adalah kerana dakwah kita (yang dibawa oleh Harakah Islamiyah) adalah dakwah kepada Allah manakala perasaan berhajat kepada agama pula merupakan satu ciri yang sangat kuat bagi umat ini.

Melalui cara inilah juga umat Islam dikenali untuk jangka waktu yang amat penting. Umat Islam di zaman akhir ini tidaklah dapat diperbaiki melainkan oleh sesuatu yang telah memperbaiki dan memperelokkan umat Islam sebelumnya, iaitu ajaran Islam itu sendiri.

3. Gerakan Bersifat Tajdid (Pembawa Kemajuan)

Dengan segala kendungan bawaannya sama ada dari sudut akidah, syariat dan pandangannya terhadap 'alam, manusia dan kehidupan menjadikan Harakah Islamiyah gerakan yang paling cekap dan paling mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah manusia dan kehidupan dibandingkan dengan undang-undang ciptaan manusia yang bersifat serba lemah dan serba kekurangan. Namun demikian kemajuan dalam Islam bukanlah sebagaimana yang dikehendaki dan difahami oleh golongan yang mendakwakan diri sebagai pejuang kemajuan, kerana kemajuan mengikut pengertian golongan ini adalah palsu lagi merosakkan, kemajuan yang terlepas dari ikatan akhlak dan kesusilaan yang luhur.

Kemajuan dalam Islam dalam erti kata yang sebenar ialah kemajuan dalam memurnikan perasaan manusia, pemikiran mereka dan akhlak mereka, kemajuan dalam memperdalamkan ilmu pengetahuan dan menerokai atau menyingkap rahsia-rahsia di sebalik kejadian alam yang agung ini, yang bukan bertujuan semata-mata untuk menciptakan satu pencapaian baru dalam bidang ilmu. Tetapi tujuan sebenar kemajuan tersebut ialah demi untuk demi untuk menambahkan lagi makrifat manusia terhadap kebesaran, keindahan, kekuatan dan keagungan Allah, Tuhan Semesta Alam ini.

Kemajuan dalam Islam menyuruh manusia supaya mengambil segala alat-alat ciptaan sesuai dengan penerimaan 'akal-fikiran dengan syarat barang-barang tersebut hendaklah digunakan kepada perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada umum.

4. Gerakan Yang Syumul

Harakah Islamiyah mestilah gerakan yang syumul dengan pengertian dakwah dan usaha kerjanya tidaklah dibataskan untuk memperbaiki satu sudut atau sudut-sudut tertentu sahaja dari kehidupan ini, dengan membiarkan sudut-sudut yang lain kerana sifat-sifat keIslaman Harakah Islamiyah itu sendiri menunjukkan kesempurnaan dan kesyumulannya.

Oleh yang demikian gerakannya adalah dakwah salafiyyah kerana ia menyeru manusia supaya kembali berpegang kepada sumber Islam yang asli iaitu Al-Qur'an dan Sunnah rasulullah s.a.w. Ia juga adalah dakwah dan tarikat sunnah kerana ia bekerja menghidupkan sunnah yang mulia di dalam kehidupan individu dan masyarakat. Ia juga adalah dakwah yang mempunyai ikatan Rabbaniah (Rabitah Rabbaniah) kerana ia yakin bahawa asas kebaikan itu ialah kebersihan jiwa, kesucian hati dan adanya ikatan hubungan yang mantap dengan Allah s.w.t.

Ia juga merupakan Harakah Siasah (politik) kerana ia bekerja serta bertanggungjawab kepada urusan umat Islam disetiap bidang.

5. Harakah Yang Menjauhi Perselisihan Masalah Fekah

Harakah Islamiyah meyakini bahawa perbezaan dalam perkara-perkara cabang (furu'iyyah) dalam bidang fekah, adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Oleh yang demikian Harakah Islamiyah berusaha menyeru umat Islam supaya bersatu di atas dasar-dasar pokok (usul) ajaran Islam serta kaedah-kaedah yang telah disepakati. Berhubung dengan pendirian ini Al-Imam Hasan Al-Banna Rahimahullah merumuskan:

"Kita bukanlah sebuah parti politik, sekalipun politik (siasah) yang berasaskan kaedah-kaedah Islam adalah intisari fikrah kita. Kita bukanlah pertubuhan kebajikan sekalipun amal kebajikan dan khairat adalah di antara tujuan gerakan kita yang sangat besar. Kita juga bukan perkumpulan riadah sekalipun riadah atau rekreasi dan riadah ruhiyyah adalah di antara wasilah-wasilah yang kita amalkan.

Kita bukanlah sebuah jama'ah dalam pengertian seperti pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana kelahiran pertubuhan tersebut adalah untuk matlamat-matlamat tertentu dan untuk jangka waktu yang tertentu pula. Boleh jadi pertubuhan-pertubuhan berkenaan ditubuhkan semata-mata kerana ingin mengadakan persatuan dan cita-cita inginkan gelaran dan kedudukan dalam pentadbiran dan organisasi tersebut. Tetapi perjuangan kita adalah perjuangan yang berdasarkan fikrah dan 'akidah, nizam dan manhaj yang tidak membataskan tujuan dan matlamat hanya kepada bangsa tertentu dan kawasan atau wilayah tertentu sahaja.

Perjuangan kita tidak akan berhenti dengan penyelesaian masalah tertentu malah ia akan berterusan hingga ke hari Kiamat kerana Islam adalah sistem ciptaan Tuhan alam semesta ini dan manhaj Rasul-Nya yang paling dipercayai. Kita menyatakan kepada manusia secara tidak bermegah-megah bahawa kita adalah para pengikut angkatan sahabat Rasulullah s.a.w yang menjadi pembawa panji-panji Islam selepas kewafatan Baginda s.a.w.

Kita adalah angkatan yang menjulang kembali bendera Rasulullah s.a.w sebagaimana para sahabat r.a telah melakukannya. Kita akan menyiarkan dakwah baginda sebagaimana yang telah disiarkan oleh mereka. Kita akan memelihara kandungan kitab suci Al-Quran sebagaimana para sahabat telah memeliharanya. Kita adalah pembawa berita gembira melalui dakwah baginda sebagaimana para sahabat telah melakukannya dan ia akan menjadi rahmat ke seluruh alam. Anda pasti akan mengetahui perkhabaran-perkhabarannya dalam sedikit masa lagi."

10 Januari 2009

Peranan Terperinci Harakah Islamiyyah

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menjelaskan bahawa peranan Harakah Islamiyah (Gerakan Islam) secara terperincinya adalah untuk:

1. Mewujudkan Sistem Pemerintahan Dalam Negeri

Dengan wujudnya sistem ini akan terlaksanalah hukum-hakam sebagaimana yang dituntut dalam firman Allah yang bermaksud:
"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanya sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq."
(Surah Al-Maidah 5: Ayat 49)
2. Mewujudkan Sistem Hubungan Antarabangsa

Dengan wujudnya sistem ini akan terlaksanalah bentuk perhubungan sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud:
"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu."
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 143)
3. Mewujudkan Sistem Amali Dalam Kehakiman

Sistem ini adalah bersumber dari firman Allah yang bermaksud:
"Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya." 
(Surah Al-Nisa' 4: Ayat 65)
4. Mewujudkan Sistem Pertahanan Dan Ketenteraan

Dengan perlaksanaan sistem ini dapat digerakkan rakyat umum sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah yang bermaksud:
"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam)."
(Surah At- Taubah 9: Ayat 41)
5. Mewujudkan Sistem Ekonomi (Iqtisad)

Sistem ini bertujuan membebaskan kekayaan, harta-benda, negara dan individu-individu berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kamu."
(Surah Al-Nisa' 4: Ayat 5)
6. Mewujudkan Sistem Kebudayaan Dan Pelajaran

Sistem ini adalah untuk menghapuskan kejahilan dan kebodohan selaras dengan perintah wahyu yang pertama dari Al-Quran yang bermaksud:
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan."
(Surah Al-'Alaq 96: Ayat 1)
7. Mewujudkan Sistem Kekeluargaan dan Rumah-tangga

Sistem adalah untuk membentuk putera-puteri yang Muslim dan golongan dewasa Muslim yang melaksanakan perintah Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala)."
(Surah At-Tahrim 66: Ayat 6)
8. Mewujudkan Sistem Hidup Perseorangan

Sistem ini adalah bertujuan menjadi pedoman hidup bagi individu secara khusus supaya kehidupannya berjaya mencapai maksud firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya beruntunglah (berjayalah) sesiapa yang membersihkan dirinya."
(Surah Asy-Syams 30: Ayat 9)
9. Menghidupkan roh atau semangat kejiwaan secara keseluruhan

Ia harus wujud dalam setiap diri individu di kalangan ummah sama ada pemerintah ataupun rakyat kerana melaksanakan tuntutan Allah Taala sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan."
(Surah Al-Qasas 28; Ayat 77)
10. Melahirkan individu muslim, rumah tangga muslim, rakyat muslim dan pemerintahan Islam

Kita ingin membina sebuah negara (daulah) yang mampu memimpin negara-negara Islam yang lain, sebuah negara merangkumi seluruh umat Islam, sebuah negara yang dapat mengembalikan keagungan mereka, mengembalikan tanah air mereka yang telah hilang dan mengembalikan tanah air mereka yang dirampas dan di tawan. Selain dari peranan dan tanggungjawab tadi, kita mahu supaya Daulah Islamiyah ini mengepalai pembawa panji-panji jihad dan dakwah ke seluruh alam sehingga dunia ini dapat mengecap kebahagiaan dari ajaran Islam.

09 Januari 2009

Peranan Umum Harakah Islamiyyah

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menjelaskan bahawa peranan Harakah Islamiyah (Gerakan Islam) ialah membawa manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah sama ada secara individu atau jama'ah dengan berusaha dan bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam yang menjadikan Kitabullah (Al- Qur'an) dan Sunnah Rasulullah s.a.w sebagai sumber hukum dan pengajarannya.

Harakah Islamiyah ialah satu tanzim 'alami yang merangkumi para petugas dalam arena dakwah di seluruh pelosok muka bumi. Untuk mencapai matlamat di atas, Harakah Islamiyah menggunakan dakwah Islamiyah yang bersih lagi murni, sesuai dengan permasalahan dan tuntutan masa kini dan akan datang. Termasuk dalam cara ini ialah mengajak masyarakat supaya turut serta di dalam gerakan Islam dan menyusun mereka dalam gerakan tersebut. Dalam persediaannya pula mereka mestilah dididik supaya meyakini perjuangan ini supaya dengan keyakinan itu mereka akan bekerja untuk Islam dan berjihad di dalamnya.

Di antara tuntutan yang dimaksudkan ialah menghapuskan penjajahan dan saki baki pemikiran dan falsafahnya, sama ada penjajah timur mahupun barat, sehingga umat Islam kembali semula kepada keperibadiannya yang asal dan bebas. Sejak hari-hari awalnya Harakah Islamiyah telah memberi perhatian berat dalam urusan membersihkan ajaran Islam dari saki baki bidaah dan khurafat dan mengemukakan Islam kepada orang ramai dalam bentuknya yang murni sesuai dengan keagungannya dan ketinggiannya.

Harakah Islamiyah meyakini bahawa hukum-hukum Islam dan ajarannya bersifat sempurna dan menyeluruh, mampu menyusun seluruh urusan manusia di segala bidang. Harakah Islamiyah menganggap bahawa kaedah asasi yang menjadi tapak tertegaknya Islam di sepanjang sejarah manusia ialah kaedah "Lailaha illah" (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) iaitu mengesakan Allah dalam uluhiyyah (ketundukan dan kepatuhan) dan hakimiyah (kehakiman dan perundangan) dengan pengertian mengesakan Allah di sudut 'akidah di dalam hati, di sudut ibadah terjelma di dalam syiar-syiar dan di sudut syariat pula terjelma di dalam realiti kehidupan.

Harakah Islamyiah juga meyakini bahawa Islam adalah kekuatan asasi untuk membangunkan umat Islam, kekuatan asasi untuk menyelamatkan seluruh dunia, kekuatan asasi untuk membebaskan manusia dari belenggu penindasan taghut dan para pelaku kezaliman sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama seluruhnya hanya untuk Allah. Harakah Islamyiah berpendapat bahawa menerima dan mengamalkan sistem kapitalis, sosialisme, komunisme dan lain-lain sistem ciptaan manusia merupakan satu kekufuran terhadap Islam yang agung, menderhakai Allah pemilik alam semesta, perjalanan hidup yang tidak dipandukan oleh petunjuk Ilahi, meraba-raba dalam keadaan yang tidak memberikan apa-apa faedah, menghabiskan tenaga-upaya dan masa.

Allah berfirman, yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi."
(Surah Al-'Imran 3: Ayat 85)
KESIMPULAN UMUM

Sebenarnya Al-Imam Hasan Al-Banna rahimahullah (semoga Allah meredainya) telah menyimpulkan tentang peranan Harakah Islamiyah dengan berkata: 

"Peranan kita secara umum ialah tegak berdiri menghadapi serangan arus taghut yang terdiri dari tamadun kebendaan, peradaban yang mementingkan kemewahan dan nafsu-syahwat, yang telah meratah bangsa-bangsa umat Islam. Tamadun ini telah menjauhkan umat dengan kepimpinan Nabi s.a.w dan petunjuk Al-Quran, ia telah menghalang alam jagat ini daripada cahaya petunjuk dan menyebabkan umat Islam mundur terkebelakang beratus-ratus tahun.

Peranan ini mestilah berterusan sehinggalah bumi kita bebas dari belenggunya dan bangsa kita terselamat dari balanya. Dan peranan kita bukanlah terhad di sini sahaja malah kita akan menghadapi dan memerangi peradaban tersebut di bumi tempat kelahirannya sehingga seluruh alam ini akan melaungkan nama Nabi Muhammad s.a.w sehingga manusia semuanya meyakini Al-Quran dan naungan Islam akan meneduhi alam. Di saat inilah tercapainya cita-cita seorang muslim, maka di kala itu tiada lagi fitnah ke atas agama ini dan jadilah agama ini semata-mata bagi Allah."