Artikel asal oleh : Dr. Tuan Noorkorina binti Tuan Kub (Universiti Sains Malaysia)
Sebelum kehadiran wabak COVID-19, istilah 'Bekerja Dari Rumah' atau 'Work From Home' (WFH) ini kurang dikenali disebabkan tidak ramai yang tahu tentang cara untuk bekerja menggunakan teknologi dari rumah. Kini istilah ini tidak asing lagi memandangkan hampir keseluruhan pekerja yang perlu menyiapkan tugasan telah mula bekerja dari rumah. Perkara paling penting untuk melakukan WFH adalah jaringan internet yang stabil, komputer riba atau telefon bimbit. Dengan adanya pelbagai teknologi terkini, tugas-tugas yang dahulunya hanya boleh dilakukan di tempat kerja kini telah dapat dilakukan bukan sahaja di rumah, malah di mana-mana sahaja.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diarahkan oleh kerajaan telah menjadikan rakyat hanya boleh duduk di rumah dan keluar dari rumah apabila ada urusan yang penting sahaja. Pelbagai pekerjaan tidak dapat dilakukan sekiranya masyarakat tidak memanfaatkan teknologi WFH yang telah disediakan oleh pelbagai syarikat gergasi teknologi seperti Microsoft, Google, Cisco dan lain-lain lagi.
Penggunaan teknologi ini bukan seratus peratus sempurna kerana terdapat bidang pekerjaan yang memerlukan individu berada di tempat kerja, misalnya doktor dan jururawat. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya teknologi ini telah dapat dimanfaatkan oleh pelbagai sektor pekerjaan yang lain seperti pendidikan, perbankan, kerajaan dan sebagainya. Aktiviti mesyuarat, perbincangan, pembahagian tugasan, malahan guru atau pensyarah juga dapat mengajar hanya dengan berada di rumah.
Walaupun kebanyakan rakyat Malaysia boleh dikatakan baharu sahaja diperkenalkan dengan teknologi ini, namun hakikatnya ia telah pun digunakan secara meluas oleh golongan yang berkecimpung dalam bidang teknologi maklumat, seperti bahagian sokongan teknikal (technical support), pembangun aplikasi (apps developer) dan sebagainya. Kini dengan adanya perintah kawalan pergerakan untuk mengekang rantaian penularan wabak COVID-19 serta perlunya beberapa bidang pekerjaan untuk terus beroperasi, kebanyakan sektor telah mewajibkan penggunaan teknologi WFH kepada pekerja mereka. Pemberian internet percuma sebanyak 1 G sehari oleh pihak kerajaan, telah memudahkan rakyat Malaysia untuk terus berhubung dan memanfaatkan teknologi ini sebaik mungkin. Namun, untuk memudahkan penggunaannya, pengguna mestilah memahami setiap tools, apps dan services yang ada dan belajar cara menggunakannya dengan betul.
Teams, Zoom, Teamviewer, Slack, Trello dan Github adalah antara aplikasi atau platform yang membolehkan pekerja berhubung secara dalam talian. Penggunaannya sangat mudah iaitu dengan hanya menggunakan telefon bimbit, ia boleh dimuat turun melalui Marketplace seperti Google Play Store dan Apple Store. Selain itu, ia juga boleh dilayari secara terus melalui laman web. Aplikasi ini boleh dihubungkan bersama dengan Software as Services (SAS) yang lain seperti Google G Suite dan Microsoft Office 365. Selain itu, dengan kewujudan pelbagai aplikasi lain seperti video conference, Desktop Sharing apps, Virtual Private Network(VPN), Team Communication apps dan Project Management tools, banyak perkara yang dapat dilakukan dari rumah dengan lebih berkesan dan efisien.
Video Conference
Video conference atau telesidang biasanya digunakan bagi tujuan mesyuarat, perbincangan dan pengajaran. Ia boleh digunakan sama ada secara berdua ataupun berkumpulan. Secara umumnya, platform video conference ini berbayar, namun terdapat beberapa penyediaan platform video conference yang menyediakan langganan secara percuma dengan kekangan seperti mengehadkan bilangan peserta atau tempoh masa perbincangan pada satu-satu masa. Untuk mendapatkan jumlah peserta yang ramai dan tempoh yang tidak terhad, pengguna boleh membuat langganan tersebut dengan bayaran tertentu. Zoom adalah antara perisian yang paling popular. Walau bagaimanapun, baru-baru ini terdapat isu yang telah dibangkitkan berkaitan keselamatan maklumat semasa menggunakan platform ini yang kemudiannya telah diambil langkah pencegahan oleh pihak Zoom. Antara contoh lain platform video conferencing termasuklah Cisco Webex, Microsoft Skype, Microsoft Teams, Google Hangout meet dan Jitsi meet (sumber terbuka). Platform ini boleh diintegrasikan bersama aplikasi lain seperti Slack dan Teams.
Virtual Private Network (VPN)
Virtual Private Network biasanya digunakan oleh pekerja yang memerlukan akses pada data yang sulit, misalnya bidang perbankan, pendidikan atau kesihatan yang mana maklumat ini tidak didedahkan di internet. VPN membolehkan sesuatu data sulit diakses dari mana-mana sahaja bagi mengelakkan kebocoran data kepada pihak ketiga. Semasa PKP, VPN dapat digunakan dengan menghubungkan peranti alatan rangkaian di luar ke dalam jaringan rangkaian di dalam organisasi secara maya.
Desktop Sharing Apps
Desktop Sharing Apps merupakan suatu kaedah iaitu seorang pekerja boleh membuat kerja secara kawalan jauh dengan peralatan di tempat lain. Misalnya, komputer di tempat kerja boleh dihubungkan dengan komputer di rumah dan membolehkan pekerja melakukan kerja tanpa perlu hadir ke tempat kerja. Antara contoh Desktop Sharing Apps yang biasa digunakan ialah TeamViewer dan AnyDesk. Selain melakukan kerja secara kawalan jauh, aplikasi ini juga dapat membuat aktiviti lain seperti remote screen recording, remote printing dan sebagainya.
Team Communication Apps
Team Communication Apps merupakan suatu aplikasi untuk berkomunikasi secara berkumpulan, sama ada perbincangan, berkongsi maklumat atau fail di suatu tempat, membuat pembahagian tugas dan tindakan susulan terhadap sesuatu tugasan. Slack dan Microsoft Teams merupakan antara Team Communication Apps yang biasa digunakan. Melalui Slack, ahli kumpulan boleh berkongsi maklumat melalui ruang kerja yang sistematik yang dipanggil sebagai workspace serta channel perbincangan mengikut kategori tugas masing-masing. Dengan fungsi yang hampir sama dengan Slack, Microsoft Team pula dapat diintegrasikan dengan planner, OneNote, OneDrive dan Sharepoint yang terdapat di dalam Office 365 serta boleh dihubungkan bersama untuk aktiviti video conference.
Project Management Tools
Untuk menguruskan projek pula, Project Management Tools boleh digunakan oleh pekerja yang bertugas dalam satu pasukan. Walaupun pekerja berada di lokasi berbeza, Project Management Tools merupakan suatu platform untuk membuat perancangan projek, mengurus tugasan, mengesan masa, melakukan kerjasama dalam pasukan, membuat carta gantt, membuat perancangan kewangan atau bajet, dan membuat laporan projek. Selain itu, Project Management Tools dapat mengingatkan ahli kumpulan terhadap tugasan masing-masing, misalnya mengutamakan tugasan mengikut prioriti, membuat list to do, in progress dan complete pada cardboard. Untuk memastikan ahli kumpulan tidak terlepas deadline/tarikh akhir tugasan, Project Management Tools boleh membuat notifikasi kepada ahli pasukan melalui e-mel. Selain itu, ahli pasukan juga boleh memberikan komen serta berkongsi imej dan fail di dalam tools ini. Antara contoh Project Management Tools ialah Trello, JIRA dan Redmine.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, aplikasi dan platform untuk WFH merupakan teknologi yang perlu dipelajari oleh masyarakat pada masa ini. Sekiranya masyarakat enggan mempelajari atau masih mahu berada di takuk lama, pelbagai aktiviti dan tugasan dalam pekerjaan akan tergendala. Selain itu, setiap individu mestilah mementingkan disiplin diri untuk memastikan waktu di rumah diperuntukkan dengan optimum untuk pekerjaan yang dilakukan. Pemilihan platform dan aplikasi yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi dan sentiasa mengemaskini (update) sistem pengoperasian peranti, jaringan internet yang stabil, serta peka dengan notifikasi pada tools merupakan antara faktor kejayaan penggunaan teknologi WFH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan