19 November 2025

Belanjawan Selangor 2026 : Rakyat Terbeban, Kerajaan Terus Beretorik

Ketika rakyat Selangor bergelut setiap hari dengan harga barang yang melambung, pendapatan yang tidak mencukupi dan tekanan hidup yang semakin menghimpit, Belanjawan Selangor 2026 yang dibentangkan baru-baru ini sebenarnya menonjolkan jurang ketara antara retorik kerajaan dan realiti rakyat.

Sama ada kita sedari ataupun tidak, Selangor kini merekodkan inflasi 1.8%, lebih tinggi daripada purata kebangsaan, dengan kenaikan harga makanan, minyak masak, sayur, ikan serta perkhidmatan harian yang semakin mahal sehingga ada kategori barangan meningkat hampir 50%. Cukai Jualan & Perkhidmatan (“SST”) dengan kadar 5–10% pula terus memburukkan harga barangan bukan keperluan asas. Ironinya, Kerajaan Selangor tidak membentangkan sebarang pelan konkrit untuk menurunkan harga atau meningkatkan kemampuan rakyat menghadapi lonjakan kos sara hidup.

15 November 2025

Belanjawan Selangor 2026 : Antara Pelaburan Mega Dan Keperluan Rakyat

Belanjawan Selangor 2026 dibentangkan dengan lenggok bahasa sastera, teori ekonomi Barat dan analogi hutan seolah-olah ia sebuah karya falsafah, bukannya dokumen fiskal yang sepatutnya menjawab keresahan rakyat. Kerajaan Selangor menonjolkan angka yang kelihatan gah seperti rizab negeri yang kini mencecah RM4.8 bilion, namun persoalan asas yang tidak dijawab ialah: apakah manfaat angka tersebut kepada rakyat yang masih bergelut membayar sewa rumah, menanggung kos makanan yang meningkat serta berdepan pasaran kerja yang tidak stabil? Sekiranya rizab terus meningkat tetapi rakyat terus menanggung tekanan hidup, maka itu bukan kemajuan, itu hanyalah pencitraan politik yang cuba menutup ketidakefektifan dasar.

Belanjawan Selangor 2026 juga memperlihatkan defisit RM430 juta, walaupun Kerajaan Selangor mendakwa kedudukan kewangan kukuh dan perbelanjaan berhemah. Rakyat melihat situasi ini sebagai kegagalan Kerajaan Selangor menyusun keutamaan fiskal secara telus dan bertanggungjawab. Defisit sebegini menggambarkan kecenderungan Kerajaan Selangor berbelanja secara populis, meluluskan projek mega tanpa menimbang kemampuan sebenar dan mengabaikan impak jangka panjang kepada kedudukan fiskal negeri. Tidak salah rasanya jika Kerajaan Selangor mengalihkan 10 hingga 15 peratus perbelanjaan pembangunan yang kini banyak tertumpu kepada projek-projek berskala besar kepada program peningkatan pendapatan isi rumah, subsidi pengangkutan serta bantuan perumahan rakyat, langkah yang jauh lebih bermakna dan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.