16 November 2016

16 November 1987 : Pak Yusof Rawa Dilantik Sebagai Mursyidul Am PAS Pertama

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1987, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi atau lebih dikenali sebagai Pak Yusof Rawa sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama. Pak Yusof Rawa yang mula menduduki kepemimpinan PAS sejak 1956 sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dilihat sebagai tokoh yang paling berwibawa untuk menduduki jawatan tertinggi PAS yang baru diwujudkan itu. Jawatan Mursyidul Am PAS diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS pada 1983 untuk mengetuai Majlis Syura Ulamak PAS, dan ia mula dikuatkuasakan selepas pindaan tersebut diluluskan pada 1987. Kewujudan Majlis Syura Ulamak PAS merupakan perlaksanaan terhadap konsep Kepemimpinan Ulamak PAS yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982.

Pindaan Perlembagaan PAS yang dibuat pada 1983 adalah bertujuan untuk menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai badan tertinggi yang bertanggungjawab untuk mengawal dasar PAS, menjaga tatatertib PAS dan menafsirkan Perlembagaan PAS. Majlis Syura Ulamak PAS yang dianggotai oleh 12 orang ulamak ini diketuai oleh Mursyidul Am PAS, iaitu jawatan tertinggi dalam heirarki kepemimpinan PAS. Pak Yusof Rawa, seorang ulamak dan ahli perniagaan yang terkenal di Pulau Pinang adalah lulusan Maahad al-Falah, Mekah pada 1942. Beliau dilahirkan di Lebuh Aceh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922 dalam sebuah keluarga Rao (Rawa). Beliau mendapat pendidikan Inggeris di Pulau Pinang, belajar agama di Mekah dan mengikuti kursus perniagaan ketika berkhidmat dengan syarikat Mesir.

Beliau menyertai PAS sejak 1951 dan mula menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang pada 1956, sebelum menduduki Jawatankuasa Kerja Agung PAS selama lebih dua dekad dan dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada 1981, seterusnya mengetuai PAS sejak 1983, sebelum diangkat menjadi Mursyidul Am PAS. Pembentukan Majlis Syura Ulamak PAS untuk sesi pertama bermula pada akhir 1987 setelah pindaan Perlembagaan PAS diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Setelah Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat masing-masing melantik empat orang Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, pada 30 Oktober 1987, badan tertinggi PAS ini telah bermesyuarat kali yang pertama dan melantik empat orang lagi Ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Dalam mesyuarat kedua Majlis Syura Ulamak PAS pada 16 November 1987, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Pak Yusof Rawa sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama. Beliau memegang jawatan tertinggi PAS ini sehingga 18 September 1994 dan digantikan oleh Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tiada ulasan: