09 November 2016

09 November 1977 : Undang-Undang Darurat Kelantan Menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1977, Parlimen telah meluluskan Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 bagi membolehkan negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak 1959 didaruratkan dan diambil alih pentadbirannya oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran). Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 ini telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn pada 8 November 1977 atas alasan untuk menyelesaikan krisis politik Kelantan yang tercetus sejak 1975. PAS yang menolak cadangan mendaruratkan Kelantan ini telah menentang rang undang-undang tersebut, termasuk mengarahkan semua penjawat awamnya meletakkan semua jawatan dalam kerajaan pada 6 November 1977 bagi membolehkan wakil-wakil rakyat PAS menentangnya.

Krisis politik Kelantan yang tercetus sejak 1975 apabila ADUN-ADUN PAS pada 13 Mac 1975 telah melahirkan ketidakpuasan hati terhadap Dato' Mohamad Nasir selaku Menteri Besar Kelantan. Pada 8 Mei 1975, telah tersiar beberapa kenyataan Menteri Besar Kelantan itu dalam media yang dianggap merugikan parti dan kerajaan sehingga beliau didesak meletakkan jawatan. Setelah keadaan reda seketika, pada 20 November 1976, Dato' Mohamad Nasir telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada parti berkuat kuasa mulai 31 Ogos 1977. Namun begitu, pada tarikh tersebut beliau tidak berundur dari jawatannya kerana dipengaruhi oleh anasir Umno, sehingga menimbulkan kemarahan pimpinan PAS Kelantan. PAS Kelantan kemudiannya mengarahkan Menteri Besar itu untuk bertindak demikian sebelum 20 September 1977, tetapi turut ditolak oleh Dato' Mohamad Nasir.

Krisis ini telah membawa kepada pemecatan Dato' Mohamad Nasir sebagai ahli PAS pada 10 Oktober 1977 dan diikuti oleh usul undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977. Dato' Mohamad Nasir kemudiannya disokong oleh sebuah badan, Barisan Bertindak Rakyat Kelantan yang dipimpin oleh Ibrahim Ali. Badan ini telah menganjurkan siri-siri demonstrasi yang kemudiannya bertukar menjadi rusuhan dan keganasan yang berkemuncak pada 22 Oktober 1977 dan perintah berkurung diisytiharkan. Pada 22 Oktober 1977 itu, wakil PAS telah berunding dengan Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di mana Formula Dr Mahathir dicadangkan, tetapi ditolak oleh PAS Kelantan keesokkannya. Pada 25 Oktober 1977, Dr Mahathir Mohamad telah mencadangkan supaya Kelantan didaruratkan, dan seorang pegawai MCS dilantik sebagai pentadbir yang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri.

Idea darurat ini mendapat tentangan kuat daripada PAS Kelantan, dan pada 29 Oktober 1977 ditubuhkan Jawatankuasa Perunding untuk berunding dengan Kerajaan Pusat. Dalam perjumpaan pada 2 November 1977, Perdana Menteri telah menyatakan cadangannya untuk mendaruratkan Kelantan dan memberi tempoh sehingga 7 November 1977 untuk PAS membuat pendirian. Tetapi pada 4 November 1977, Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan cadangan ini di Parlimen, diikuti perinciannya oleh Dato' Hussein Onn pada 6 November 1977, sehingga pendirian PAS pada 7 November 1977 tidak bererti lagi. Pada 6 November 1977, PAS mengarahkan semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen PAS meletak jawatan untuk membantah cadangan mendaruratkan Kelantan itu.

Perdana Menteri kemudiannya pada 8 November 1977 telah mengemukakan Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 di Dewan Rakyat. PAS dan DAP telah membantah rang undang-undang ini, tetapi ia diluluskan dengan 118 undian menyokong berbanding 18 undian membangkang. Dua wakil rakyat PAS yang menyokong undang-undang ini ialah Dato' Hassan Adli Mohd Arshad dan Ustaz Lokman Abdul Kadir. Pada 9 November 1977, Dewan Negara pula telah meluluskannya dengan 46 undi menyokong dan satu undi membangkang. Dengan kelulusan oleh Dewan Negara pada 9 November 1977 ini, Akta Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 telah berkuat kuasa dengan Hashim Aman menjadi Pengarah Mageran. Kesan dari isu ini, PAS telah dipecat dari BN pada 13 Disember 1977 dan tewas dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 11 Mac 1978.

Tiada ulasan: