06 November 2016

06 November 1996 : Sultan Kelantan Gagal Hadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ekoran Krisis MB Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1996, Sultan Kelantan, Sultan Ismail Perta telah gagal menyertai mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174 di Istana Negara, Kuala Lumpur kerana tidak diiringi oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat atau wakilnya. Menurut peraturan mesyuarat Majlis Raja-raja, seseorang sultan perlu diiringi oleh Menteri Besar atau timbalannya yang diwakilkan secara bertulis untuk membolehkan Baginda menyertai mesyuarat tersebut. Keengganan Menteri Besar Kelantan melantik wakilnya ke mesyuarat Majlis Raja-raja ekoran krisis politik Kelantan ketika itu telah menyebabkan Sultan Kelantan yang menghadiri mesyuarat tersebut bersama Timbalan Menteri Besar II Kelantan, Dato' Mohamed Rozali Isohak telah tidak dibenarkan menyertainya.

Krisis politik Kelantan telah tercetus selepas Pilihan Raya Umum 1995 apabila Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) mula menimbulkan isu-isu yang mengeruhkan hubungan dengan PAS, sehingga akhirnya hubungan kedua-dua parti diputuskan pada 14 Julai 1996. Ekoran itu, PAS cuba memecat empat orang Exco (kemudian menjadi tiga kerana kematian ADUN Pulai Chondong pada 4 Disember 1996), tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana Sultan Kelantan enggan memberikan perkenan. Pada 19 Julai 1996, Menteri Besar Kelantan telah bertindak melucutkan semua portfolio Exco Kerajaan dari PMS46 kerana tidak mahu meletak jawatan setelah menjadi pembangkang. Dalam masa yang sama, beberapa kali permohonan Menteri Besar untuk mengadap Sultan Kelantan bagi menyelesaikan krisis ini telah ditolak oleh Istana.

Di sebalik anggapan umum bahawa Sultan Kelantan telah campur tangan dalam urusan politik, BN telah bertindak mendesak PAS membubarkan DUN Kelantan bagi membolehkan pilihan raya diadakan untuk PAS mendapat baru, kerana kononnya mandat lama diperolehi atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Pada 6 Oktober 1996, PMS46 dibubarkan bagi membolehkan ahli-ahlinya menyertai Umno. Mengambil langkah terhadap tindakan Istana Kelantan serta peranan PMS46 dan Umno dalam krisis ini, pada 24 Ogos 1996, Menteri Besar Kelantan telah berunding dengan Peguam Negara untuk meminda Perlembagaan Negeri Kelantan; serta usaha menggantung keahlian anggota Exco Kerajaan dari PMS46 melalui Jawatankuasa Khas DUN Kelantan, tetapi kedua-duanya telah menemui kegagalan. Sultan Kelantan pula terus memboikot Kerajaan PAS Kelantan dengan tidak menjemput wakil-wakil rakyat PAS dalam majlis-majlis pengurniaan di raja di jajahan-jajahan. Sementara itu, Umno terus menggunakan isu perlantikan Exco Kerajaan adalah hak Sultan Kelantan, dan mendakwa mereka tidak perlu meletak jawatan walaupun telah menyertai Umno.

Bertindak terhadap kedegilan Exco Kerajaan dari PMS46 yang tidak mahu meletak jawatan dan keengganan Sultan Kelantan menerima mengadap Menteri Besar selaku ketua kerajaan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah bertindak untuk tidak menandatangani surat pelepasan untuk membolehkan Sultan Kelantan diiringi oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' Abdul Halim Abdul Rahman ke Mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174. Sultan Kelantan yang enggan diiringi oleh Menteri Besar kerana krisis ini, dan juga gagal diiringi oleh Ustaz Dato' Abdul Halim Abdul Rahman kerana tidak diberi pelepasan oleh Menteri Besar, terpaksa membawa Timbalan Menteri Besar II, Dato' Mohamed Rozali Isohak sebagai pengiring dalam mesyuarat pada 6 November 1996 itu tanpa surat pelepasan Menteri Besar. Oleh kerana kedua-dua Timbalan Menteri Besar tersebut tidak diberikan surat pelepasan untuk mengiringi Sultan Kelantan, Baginda Sultan Kelantan telah 'dimalukan' kerana tidak dibenarkan menyertai mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-174 pada 6 November 1996 tanpa diiringi oleh Menteri Besar atau wakilnya.

Tiada ulasan: