03 November 2016

03 November 1990 : PAS Tubuhkan Jawatankuasa Pemandu Awasi Pentadbiran Kelantan

Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) bagi merancang, menasihat dan mengawasi pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan. Jawatankuasa Pemandu ini dibentuk setelah PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) berjaya menguasai Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990 dengan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar. Jawatankuasa Pemandu ini berfungsi untuk membantu Kerajaan Kelantan dalam melaksanakan pentadbiran berasaskan Islam sebagai mana manifesto PAS 'Membangun Bersama Islam.'

Jawatankuasa Pemandu ini dianggotai oleh pemimpin-pemimpin kanan PAS yang terdiri daripada Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor (Yang Dipertua PAS Pusat), Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Timbalan Yang Dipertua PAS Pusat), Dr Daeng Sanusi Mariok (Naib Yang Dipertua PAS Pusat), Haji Mustafa Ali (Bendahari PAS Pusat), Ustaz Abdul Halim Arshad (Setiausaha Agung PAS), Ustaz Azizan Abdul Razak, Haji Wan Abdul Muttalib Embong dan Ustaz Nik Abdullah Arshad (Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat). Peranan utama mereka adalah untuk membantu Kerajaan PAS Kelantan merancang program-program pembangunan, perlaksanaan syariat dan pentadbiran Islam; menasihati dasar-dasar Kerajaan PAS Kelantan agar selari dengan Islam; serta mengawasi dasar dan pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan supaya selari dengan Islam dan dasar parti.

Setelah Jawatankuasa Pemandu ini dibentuk, pada 30 November 1990, mereka telah menubuhkan lima buah jawatankuasa kecil untuk menjalankan peranan Jawatankuasa Pemandu. Lima jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, Hubungan, Bantuan dan Kepakaran; Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat; Jawatankuasa Pengesan Pentadbiran Kerajaan Negeri; Jawatankuasa Pembangunan Sosio-ekonomi; dan Jawatankuasa Perancangan Pendidikan dan Latihan. Pada 29 November 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah menetapkan satu prinsip pentadbiran iaitu parti menguasai kerajaan dan Kerajaan PAS Kelantan dikehendaki melaksanakan semua dasar yang terkandung dalam Manifesto PAS dan Manifesto PAS Kelantan.

Jawatankuasa Pemandu yang dibentuk pada 3 November 1990 ini kemudiannya berjaya memainkan peranan membantu Kerajaan PAS Kelantan terutama dalam proses mewujudkan pentadbiran Islam dan perlaksanaan syariat. PAS pada peringkat awalnya mengambil langkah melaksanakan pentadbiran Islam dengan mewujudkan pentadbiran telus dan bebas rasuah, kerajaan tanpa riba serta kerajaan yang berjimat-cermat dan membudayakan gotong-royong. Kemudian rakyat diperkenalkan dengan budaya hidup Islam dan penghapusan budaya mungkar, sebelum agenda perlaksanaan syariat dikembangkan. Perlaksanaan syariat telah dimulakan dengan penutupan premis judi dan penghapusan riba hinggalah kepada penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993. Kelantan juga turut menjadi model dalam memperkenalkan perumahan tiga bilik, sistem gadaian Islam, cuti dua hari seminggu dan lain-lain, selain berjaya memaksa perlaksanaan sistem perbankan dan kewangan Islam di negara ini mulai 1994.

Tiada ulasan: