05 September 2016

05 September 1987 : Pejabat Agung PAS Berpindah Ke Taman Melewar

Pada hari ini dalam tahun 1987, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil keputusan untuk memindahkan Pejabat Agung PAS dari No. 28A, Jalan Pahang Barat, Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur (Pejabat Harakah sekarang) ke Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Batu Caves, Selangor, setelah kompleks tarbiyah PAS itu mulai beroperasi sejak April 1987. Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini mula menjadi tuan rumah kepada muktamar PAS kali pertama pada 11-12 April 1987 iaitu Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33, setelah ia bermuktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 1971 (Muktamar Kali Ke-17). Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini ada hasil daripada perancangan PAS sejak 1977 untuk memiliki kompleks sendiri, yang asalnya dicadangkan di Chow Kit, Kuala Lumpur tetapi berpindah ke Kampung Changkat, Gombak (Taman Melewar).

Sejarah Markaz Tarbiyah PAS Pusat ini bermula dengan pemilikan sebidang tanah di Kampung Changkat atas nama Ustaz Harun Jusoh bagi pihak PAS Terengganu pada 1976. Apabila rancangan PAS mendirikan bangunan 17 tingkat di Chow Kit gagal kerana ditendang dari BN pada 13 Disember 1977, PAS memutuskan untuk membangunkan kompleksnya di Taman Melewar. Pada 6 November 1983, Setiausaha Agung PAS telah memulakan kutipan derma pembinaan markaz ini dan akhirnya kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan pada Jun 1984 secara gotong-royong. Dalam masa yang sama, aktiviti-aktiviti kepartian seperti ceramah umum telah mula dijalankan di sini, dengan berpusat di rumah Ustaz Hassan Shukri. Akhirnya, pada awal 1987, fasa pertama Markaz Tarbiyah PAS Pusat berjaya disiapkan iaitu bangun pejabat (Pejabat KUIZM sekarang) dan dewan utama (Dewan Fadzil Noor sekarang), sekali gus membolehkan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 diadakan di markaz ini pada 11-12 April 1987.

Sebelum Markaz Tarbiyah PAS Pusat dibina, ekoran kegagalan rancangan pembinaan Kompleks Pejabat Agung PAS di Chow Kit, PAS telah menjadikan bangunan di No. 28A, Jalan Pahang Barat sebagai Pejabat Agung PAS sejak 1974. Sebelum itu, Pejabat Agung PAS berpindah-randah sejak ia mula beroperasi di Kuala Lumpur mulai 1 Disember 1956, setelah lima tahun beroperasi di Seberang Perai. Pejabat Agung PAS yang pertama ialah di No. 721, Kepala Batas, Seberang Perai (rumah Setiausaha Agung PAS, Haji Ahmad Maliki, sekarang di Jalan Kedah) (1951-1952), kemudian berpindah ke Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam (madrasah Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Yang Dipertua Agung PAS) (1952-1953), diikuti oleh Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas (Madrasah Sheikh Haji Abdullah Fahim, bekas Ketua Dewan Ulamak PAS) (1954-1955) dan akhirnya berpindah ke Pajak Song, di No. 958, Kepala Batas (rumah Cikgu Ahmad Awang, Setiausaha Agung PAS) (1955-1956).

Mulai 1 Disember 1956, Pejabat Agung PAS telah dipindahkan ke Kuala Lumpur bertempat di No. 45, Institute Road, Sentul (rumah Haji Abdullah Akin, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) (1956-1957), kemudian ke Batu 4, Segambut, P.O Sentul (rumah Tuan Guru Haji Mohd Noor Mahyuddin, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) (1957). PAS kemudiannya menumpang di rumah Haji Yunus Taib (Bendahari Agung PAS) di No. 26, Jalan Hamzah, Kampung Baru pada pertengahan 1957, sebelum ia dapat menyewa di No. 24, Jalan Hamzah, Kampung Baru (1957-1962). Pejabat Agung PAS berpindah lagi ke No. 4, Jalan Raja Uda, Kampung Baru pada 1962 hingga Jun 1964, sebelum ia berpindah ke No. 300-3C, Jalan Pekeliling (sekarang Jalan Tun Razak, simpang Jalan Semarak) (1964-1970). Pejabat Agung PAS kemudiannya berpindah di bangunan yang sama pada Oktober 1970 ke No. 300-6B, Jalan Pekeliling sehingga 1973. Setelah itu, ia berpindah lagi ke No. 214-1A, Jalan Pahang (sebelah Hospital Tawakal) (1973-1974). Kemudian itu, barulah PAS menduduki No. 28A, Jalan Pahang Barat sebagai Pejabat Agung PAS sehingga ia berpindah ke Taman Melewar (1974-1987).

Kejayaan PAS menyiapkan fasa pertama pembinaan kompleks Markaz Tarbiyah PAS Pusat pada awal 1987, telah menyebabkan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 5 September 1987 memutuskan untuk Pejabat Agung PAS berpindah ke Taman Melewar. Bangunan asal Pejabat Agung PAS di No. 28A, Jalan Pahang Barat telah dijadikan Pejabat Harakah, iaitu lidah rasmi PAS yang mula diterbitkan kali pertama pada 17 April 1987. Turut berpindah ke markaz ini ialah Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, diikuti oleh Pejabat Dewan Ulamak PAS Pusat, Pejabat Dewan Muslimat PAS Pusat dan Pejabat Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat secara berperingkat-peringkat. Pejabat Agung PAS beroperasi di Taman Melewar selama 20 tahun sebelum ia berpindah ke No. 318A, Jalan Raja Laut mulai 23 Mac 2007. Kini, Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar menjadi kampus Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) dan Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: